malaysiakini logo
story-image
ADS

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu saya, pegawai yang akan ditemui itu namanya Yakin. Saya di gagang tersenyum. Dan kemudian tatkala bertemu Tuan Yakin, saya difahamkan beliau lebih dikenali sebagai Tuan Peribahasa.  

Saya belum tahu mengapa, tetapi saya yakin ada sebabnya.  

“Saya sudah ada gaji yang cukup, dan agak senang waktu itu. Saya tidak perlu pun menyertai SPRM. Tapi kita tidak akan pernah boleh menyalahkan takdir, bukan begitu?”  

Saya diam, tetapi Tuan Yakin nampaknya menanti saya menyahut. Matanya tergantung merenung. Saya segera mengangguk. Setelah saya membalas, barulah tenungan itu melonggar, seakan dia berasa puas.  

Kami memesan set hidangan itik salai masak lemak cili padi di Kopi Saigon Bangi Avenue. Tuan Yakin mendapatkan Butter Croissant, dan Kurma Creamy saiz biasa yang ditambah dengan cincau. Di perkarangan kafe kelihatan beberapa pelanggan pasar raya borong CS menolak troli yang penuh.  

Saya menyeluruhi Tuan Yakin, atau Tuan Peribahasa sungguh-sungguh. Usianya saya percaya, sedikit lebih dari saya. Mungkin dia sudah mencapai pertengahan 50-an, tetapi kerana kulitnya putih melepak dan rambutnya agak rapi tersikat; tambah tiada yang putih kelabu maka dia kelihatan seperti di awal 40an.  

Misai Tuan Yakin agak jarang-jarang.  

Setiap kali dia ingin bersuara dia akan berfikir, merenung dan bila bertutur keluar segala peribahasa. Seakan-akan Tuan Peribahasa ini menghafal aneka simpulan bahasa sebelum hadir bertemu saya. Demikian lagaknya.  

“Sewaktu saya ditemu duga untuk jawatan di SPRM ini saya perlu lepas dulu ujian kecergasan, dan ujian poligraf. Untuk ujian kecergasan, saya memang tiada masalah. Saya berkayak, bermain bola dan biasa berenang. 

“Tapi untuk ujian poligraf, saya mulanya cuak juga. Penemuduga memeriksa pergerakan kita, melihat gerak-geri, memantau nadi dan kalau kita berbohong memang terserlah.”  

Saya tertarik, “Apa soalan-soalan yang ditanya?”  

Tuan Peribahasa gesit menjawab, “Misalnya ada soalan, lima tahun lepas adakah anda pernah menghisap ganja? Atau adakah anda pernah membuat tuntutan palsu sebelum ini? Juga, adakah anda pernah ‘beromen’ sebelum berkahwin? Itu semua untuk menentukan integriti kami selaku pegawai SPRM kelak sihat atau tidak.”  

Enam bulan kemudian Tuan Yakin dipanggil melapor diri ke Jalan Duta. Tatkala itu SPRM masih Badan Pencegahan Rasuah (BPR), jauh sebelum dijenamakan semula sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Enam bulan di Jalan Semarak, beliau menempuh cabaran bermacam-macam.  

“Kalau ikutkan hati memang rasa nak berhenti. Sebabnya ada juga saya terfikir, hai… aku ini dah ada gaji elok, kerja bagus…mengapa aku sertai SPRM dengan gaji kecil ini? Dapat pula penat hari-hari.”  

Bilis pun rasuah, Paus jerung pun rasuah

Pun, Tuan Peribahasa akhirnya akur. Latihan keras dan lasak itu demi membina disiplin, dan mengukuhkan mental pegawai sebelum berdepan dengan pelbagai cabaran, dugaan dan siri kes yang nanti penuh warna.  

Beliau juga bersyukur isterinya memahami tugas sebagai pegawai SPRM, “Ada juga kadang-kadang tarik muka masam…macam musim Raya, biasalah, kadang kita tak dapat cuti.”  

Kafe kecil itu mendadak sesak.  

Apabila hidangan kami tiba, masing-masing sibuk menyuap. Tuan Peribahasa meretis roti croissant sambil bersuara, “Saya ada lebih 40 kertas siasatan yang pernah disiapkan…Dr Faisal mahu tahu yang mana…”  

Saya mengunyah hiris daging itik, menyuap nasi ke mulut dan dengan pipi separuh penuh menyahut, “Mana-mana yang Tuan ingat…”  

Tuan Peribahasa memandang roti dalam piringnya, seakan-akan mengimbau kenangan kerja yang masih segar.  

Di Kuala Lipis ada bilis. Atau di Lipis ada iblis.  

Tuan Peribahasa tidak pernah percaya ada kes kecil atau kes besar dalam rasuah atau dunia sogok-menyogok, “Bilis pun rasuah. Paus jerung pun rasuah. Barangkali bilis selalu lalai, bukan jenis pandai. Manakala paus jerung selalu haus, tetapi berhati-hati mengharung. Maka yang bilis selalu masuk jaringnya, sedang yang besar tidak memadai jaring untuk kita perangkap mereka. Kita mesti menggunakan alat lebih canggih agar mengena.”  

Tuan Yakin dipanggil untuk melengkapkan pasukan yang akan memerangkap penguat kuasa di sebuah sekolah dalam pembinaan. Pengadu adalah seorang kontraktor yang sedang mengerjakan sebuah sekolah kebangsaan.  

Buruh yang bekerja - seperti biasa - adalah pekerja kontrak dari Indonesia. Seminggu sekali, kadang lebih kerap si penguat kuasa dalam seragam datang untuk meminta wang. Mungkin ada dalam kalangan pekerja tersebut ada yang permitnya telah pun melepasi tarikh luput.  

“Bagaimana penguat kuasa tahu?”  

“Mencium,” Balas Tuan Yakin sepatah. 

Kemudian dia menyambung, “Saya diminta menyamar sebagai buruh. Kami datang penuh persiapan, saya sendiri masuk bekerja dengan cangkul. Yang tahu kami ini adalah pegawai SPRM hanyalah kontraktor. Saat itu saya ‘pura-pura kerja’ mengemas longkang yang belum jadi di tapak kantin sekolah. Kawan sekerja lain, sedang berpeluh memecahkan simen di kantin tersebut.”  

Wang fotokopi

Dan hari yang baik, orang yang disyaki iaitu si penguasa datang penuh bongkak, kepala mendongak dan pongah bermotor. Dia fikir dia helang. Dia tidak setakat berhenti di kantin tetapi memandunya sehingga ke bahagian dalam kantin yang hampir siap itu.  

Pengadu iaitu kontraktor memang ada di situ.  

Operasi tersebut telah pun dirancang rapi. Ada wang perangkap yang telah difotokopi. Pengadu juga sudah mengumpankan yang tersangka. Di luar tapak sekolah, yang menjaga palang adalah pegawai SPRM. Di dalam kontena memerhati suasana ada  pegawai SPRM. Malah turut serta timbalan pengarah SPRM negeri.  

“Dia menghulur tangan dan mengambil dengan tangan kiri, kemudian merogoh masuk gumpal wang ke dalam poket kanan. Begitu jelas, saya memang melihat transaksi itu. Saya saksi.  

“Berapa?”  

“RM400.”  

Saya tersedak, meneguk kopi kelapa ais, tersengih tidak percaya.  

Tuan Peribahasa berdehem yakin, “RM400 kalau sepuluh kali, sudah RM4,000.”  

Saya angguk, “Ya…bukan saya memperkecilkan angka itu. Saya memikir, RM400 saja nilai maruah yang berpakaian seragam…”  

Tatkala penguat kuasa itu beredar keluar, ke arah pintu besar; pegawai SPRM dengan segera ingin menyergap. Akan tetapi penguat kuasa muda itu nekad melarikan diri, dengan motor lagak pelakon aksi dia memandu betul-betul menghala ke arah Tuan Yakin.  

Sekelip mata Tuan Peribahasa perlu membuat pilihan yang tepat. Dia tidak boleh membiarkan operasi itu gagal. Maka dia mengangkat, seraya mengacah cangkul di tangan. Penguat kuasa itu terjatuh dengan motornya sekali, dan dia melempar diri ke atas penguat kuasa. Mereka bergumpalan di atas jalan berbatu, luka menganga di siku dan dahi. Apabila penguat kuasa itu berjaya dipaut, dipeluk erat, seorang pegawai lain tangkas meraba pistol tersisip.  

“Itu sangat perlu. Kerana dalam keadaan panik, si penguat kuasa boleh melakukan apa saja. Silap hari bulan, dia mencapai senjata dan memuntahkan peluru terhadap kami…”  

“Kenapa Tuan masih mengingat kes ini?”  

RM500 di belakang pusat karaoke

Dia menarik nafas, memandang mata saya tepat dan semacam menggumam bersuara kesal, “Kerana dia mengenakan jam tangan yang jelas memberi indikasi dia adalah penerima Pingat Gagah Berani.”  

Kemudian dengan bibir terketar, Tuan Peribahasa bermadah, “Kita tak akan dapat melupakan anjing jika mereka berpakaian seragam…”  

Nyaris saya tersedak mendengar kata hikmah itu.  

2002. Tertangkap di Mentakab.  

Ceritanya SPRM tidak boleh senyap, ekoran aduan itu lengkap. Dan Tuan Peribahasa kali ini akan menjadi penangkap. 

“Penguat kuasa tidak tahu malu ini akan selalu menyinggah mampir di belakang pusat karaoke. Yang membuat onar, dua orang, dan orang lama. Yang ditagih pula RM500.”  

Saya menghabiskan kopi kelapa dalam cangkir, berkerut dan melontar soalan naif, “Tetapi kenapa pusat karaoke?”  

Tuan Yakin angkat bahu, “Saya tidak pasti tentang itu. Barangkali pusat karaoke tak patut ada alkohol. Mungkin pula lesennya bukan pusat karaoke…untuk kami, itu soal lain. Untuk kami, persoalannya adalah rasuah dan korupsi telah mengambil tempat.”  

Sekali lagi menurut Tuan Peribahasa wang kecil usah dipandang tipis. Jumlah RM500 itu jika terus-terusan ditagih bulan demi bulan apabila terhimpun memang besar nilainya.  

Pada mulanya penguat kuasa yang lebih rendah pangkatnya tiba, dia masuk ke dalam ruang nyanyian sembari mata memerhati. Matanya menangkap seorang pelanggan dengan janggut sejemput. Entah kenapa dia terketar. Jarang gamaknya pelanggan karaoke berjanggut pandak.  

Kemudian, seperti haiwan dia dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Cepat-cepat dia beredar buru-buru. Pegawai SPRM yang sudah menunggu untuk memberkas sempat hampa. Akan tetapi Tuan Yakin meyakinkan teman-teman sekerjanya yang lain, “Anjing selalu makan tahi, akan kembali menjamah tahi…”  

Mata Tuan Yakin dikesip-kesip. Entah mengapa mukanya memerah seolah-olah dia begitu terkesan dengan memori kerja tersebut.  

Nyonya pemilik karaoke itu menanti-nanti ketibaan pemeras dua ekor tersebut untuk kembali. Binatang jarang tidak rakus. Dan seperti dijangka, ternyata kali ini mereka ‘extra berhati-hati’, dan sebaik tiba di belakang deretan kedai, kereta penguat kuasa itu mengehon nyaring berkali-kali. Nyonya Lau didesak untuk menyerahkan sampul wang di motokar rasmi.  

Nyonya Lau, kepalanya bergalauan

Pihak SPRM yang mengintai dan telah memasang perangkap lebih awal menasihatkan agar Nyonya Lau tidak melakukannya di kenderaan. Namun demikian, suami wanita berketurunan Tionghua yang diugut itu berasa bimbang. Dalam kepalanya ada macam-macam, bergalauan.  

“Nampaknya penguat kuasa memaksa,” Saya mencelah, ingin membantu melincirkan kenangan yang sedang digali semula.  

“Ya Dr Faisal, penjenayah rasuah ini ibarat anjing, dan umpamanya anjing, ia akan patah balik dan menyalak-nyalak mahukan tulang…”  

Saya terpegun mendengar bahasa berperi Tuan Peribahasa, “RM500 mereka betul tak ada iman ya? Dua orang senior, dah nak pencen…”  

Tuan Yakin menghela nafas, “Salah seorangnya nak naik haji. Nama dah naik senarai.”  

Saya geleng kesal, malu, dan rasa geram, “Mengapa sampai gini.”  

“Buah merimbun di dalam, dan luar pagar. Orang lalu lalang yang dah terbiasa memetik di luar, bila dah habis tentu mereka ingin merasa yang berjuntai di dalam…” Balas Tuan Peribahasa terus-terusan mencipta-cipta kiasan untuk ditafsir dan diberi makna.  

Dalam dada Nyonya Lau kacau balau, dan rasa dipaksa. Suaminya melanggar kesepakatan yang direncana sebelumnya dengan pegawai-pegawai SPRM. Dia membuat keputusan untuk menyerahkan wang di jendela kereta.  

Ketika itu Tuan Yakin sedang mengintai berhampiran. Dia berada dalam Pajero selaku pemandu, dan menyedari penguat kuasa curang itu akan segera beredar. Dan seperti haiwan yang menyedari pemangsa lebih berkuasa sedang meninjau, motokar rasmi itu pun diundur pantas, dan seorang pegawai SPRM yang sedang mendekati kereta tersebut malah nyaris digilis. Pegawai tersebut terjatuh di tubir parit berlumut.  

Mujur juga Tuan Yakin melaung dan sempat memberi amaran. Seorang pegawai lain yang hendak keluar dari Pajero juga hampir dilanggar. Sungguh nasib baik tangannya sempat dihela masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda itu semula sekilat pantas.  

Dek geramkan penguat kuasa gelojoh itu, berlakulah adegan kejar mengejar, dan nekad. Kereta penguat kuasa dibunyikan siren dan kenderaan itu dipacu kelam dalam kabut menyeberangi pembahagi jalan sebelum memecut pergi.  

“Jadi mereka terlepas?”  

Balik mandi

Tuan Peribahasa geleng, “Tidak akan kami biarkan binatang terus menjalang…setelah perbincangan, tambah pula nyawa kami tadi nyaris dipertaruhkan, kami cepat bergerak ke balai. Kami membuat laporan, dan menemui pegawai mereka yang lebih tinggi.”  

“Ini kerja terasing atau sindiket berkumpulan?”  

“Sendiri-sendiri. Kalau korup berkumpulan cirinya lain pula…” Tuan Yakin menjelaskan, “Dan, kedua-duanya diarahkan hadir.”  

Saya tersandar mendengar cerita tersebut. Di luar kafe, pelanggan CS yang singgah membeli kopi segera Kopi Saigon meramai.  

“Ternyata mereka pulang ke rumah, mandi, membuang duit di tebing jalan.”  

“Mandi?”  

“Dah berlumur najis…” Tuan Peribahasa tajam berkias.  

Tambah Tuan Yakin pada mulanya kedua-dua penguat kuasa itu tidak mengaku. Bahkan sempat pula membuat cerita kononnya mereka memecut kereta dan melarikan diri kerana menyangkakan ada penjenayah mengancam. Konon dek memikir diri dalam bahaya itulah motokar rasmi tersebut dipandu pergi dengan cepat sekali.  

“Wang RM500?”  

“Ya mereka buang…”  

“Dan terlepas?” Saya geram.  

“Tidak juga…kerana salah seorangnya terlanjur cakap, mereka tadi pulang mandi lantaran cemas kalau-kalau pada not wang yang diberi itu ada bedak yang akan membuatkan telapak tangan dan cap jari mereka boleh dicam… dari situlah kami mendesak dan memaksakan supaya mereka mengaku.”  

Ada beberapa lagi kisah Tuan Yakin yang akan saya simpankan untuk perhatian kemudian. Saya sedang berbasa-basi di hujung dengan Tuan Yakin apabila notifikasi masuk menerusi telefon tangan.  

Berita kilat tersebar rasmi: “Tun Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri kelima telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 petang di Institut Jantung Negara, KL.”  

Saya segera menyuguhkan paparan di telefon itu kepada Tuan Yakin. Dia nampaknya terdiam, dan sepasang mata itu seakan berair.  

“Banyak jasa Pak Lah dalam memperkasakan BPR menjadi SPRM…al Fatihah.”  

Dalam perjalanan pulang fikiran saya menerawang, kata-kata Tuan Peribahasa bergema, “penjenayah rasuah ini ibarat anjing, dan umpamanya anjing, ia akan patah balik dan menyalak-nyalak mahukan tulang.”  


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen