malaysiakini logo
story-image
ADS

Malaysia, sebagaimana beberapa negara lain, telah lama membina politiknya atas asas individu yang kuat, tokoh-tokoh karismatik, legenda reformasi, serta pemimpin yang berpengaruh.

Namun dalam keterikatan kepada sosok-sosok besar seperti itu, politik kita terperangkap dalam satu kitaran yang sama: legasi dan dinasti. Nama diwarisi, kuasa dipindah tangan sesama kelompok, dan peluang untuk generasi baharu terus terkepung oleh tembok 'yang lama masih mahu terus berkuasa.'

Kini, kita berada di persimpangan. Mahukah kita terus bergantung kepada warisan politik lama, atau sudah tiba masanya memberi laluan kepada muka baharu yang berwibawa dan bersedia membawa perubahan sebenar?

Tak tolak pengalaman, tapi tuntut perubahan

Kita sedari, pengalaman adalah aset, tetapi apabila pengalaman dijadikan alasan untuk kekal dalam kuasa tanpa henti, maka ia berubah menjadi beban kepada sistem demokrasi sedia ada.

Politik Malaysia, sejak sekian lama, terikat dengan tokoh-tokoh tertentu yang bukan sahaja mendominasi parti, malah membentuk budaya 'kita-kita sahaja.’ hingga tiada ruang dan peluang muka-muka baharu beraksi mengetengahkan kompetensi dan bakat yang dimiliki.

Sama ada dalam parti pemerintah atau pembangkang, negara menyaksikan perkara yang sama:

  1. Anak menggantikan bapa.

  2. Isteri menggantikan suami.

  3. Sahabat lama menjadi pewaris.

  4. Kuasa tidak berpindah, hanya berputar.

Ini bukan sekadar fenomena politik. Barangkali, ia adalah melibatkan krisis kepercayaan hingga rakyat semakin muak. Anak muda menjauh. Pengundi menjadi skeptikal untuk melakukan tanggungjawabnya.

Sewajarnya, suara-suara yang mengumandangkan ‘politik matang dan sejahtera’ perlu memandang situasi ini dengan serius juga tegas. Bilakah masanya mereka yang lama akan menjadi penasihat atau pemerhati, bukan lagi berada di dalam ‘gelanggang politik negara?’

Bukan sekadar muda

Seruan untuk muka baharu bukan semata-mata soal usia. Ia soal kesegaran idea, kejelasan nilai, keberanian bertindak dan ketelusan dalam berkhidmat serta yang utamanya berkompetensi apalagi berilmu juga berpengetahuan.

Muka baharu adalah mereka yang dikategorikan tidak terbeban dengan legasi masa silam, mampu berfikir luar kerangka lama, tidak terperangkap dalam budaya politik feudal dan bekerja untuk rakyat, bukan untuk menjaga tembolok sendiri.

Kita perlukan pemimpin yang tidak hanya mahu menang pilihan raya, tetapi mahu memperbaiki negara.

Mengapa legasi dan dinasti perlu dihentikan?

1. Ia membunuh demokrasi dalaman parti

Bila kerusi diwariskan, ketika tokoh lama enggan berundur, maka ruang untuk pemimpin pelapis tertutup rapat. Parti menjadi lesu. Idea baharu ditolak. Wibawa politik semakin pupus.

2. Ia merosakkan persepsi rakyat terhadap sistem

Rakyat akan melihat bahawa kuasa bukan berdasarkan kebolehan, tetapi hubungan. Ini melahirkan rasa muak, sinis dan akhirnya menjauh dari proses politik.

3. Ia tidak selari dengan realiti zaman

Generasi muda hari ini celik maklumat, kritikal dan tidak lagi tunduk kepada naratif ‘tokoh lama mesti diikuti.’ Dunia telah berubah. Politik juga perlu dan sentiasa berubah.

Keperluan muka baru

Di peringkat global, banyak negara telah memberi laluan kepada pemimpin baharu yang tidak lahir dari legasi politik, namun berjaya membina semula negara mereka.

  1. Jacinda Ardern (New Zealand): Muncul dari barisan kedua parti, menjadi simbol kepimpinan empati dan progresif.

  2. Sanna Marin (Finland): Dilantik sebagai Perdana Menteri pada usia 34, dan berjaya memimpin negara dalam menangani krisis.

  3. Gabriel Boric (Chile): Bekas aktivis pelajar, menang sebagai Presiden dengan agenda reformasi dan keberanian moral.

Sangat diyakini bahawa, Malaysia tidak kekurangan bakat seperti ini. Apa yang kita kekurangan ialah kesediaan untuk melepaskan dan membuka laluan kepada ‘muka-muka baharu’ ini.

Apa yang parti politik patut lakukan sekarang ialah membanteras beberapa perkara yang seringnya menjadi penghalang antaranya;

  1. Tamatkan budaya pemusatan kuasa.

  2. Menolak kronisme dan nepotisme.

  3. Adakan pemilihan terbuka dengan meritokrasi sebenar.

  4. Bina sistem mentorship dan bukan pewarisan.

  5. Berani tampilkan calon-calon baharu sebagai muka hadapan dalam parti.

  6. Berhenti menjadikan 'legasi' sebagai alasan untuk menolak perubahan.

Bagaimana rakyat boleh memberi tekanan?

  1. Sokong calon-calon yang bebas dari politik warisan.

  2. Desak parti untuk beri ruang kepada wanita, belia dan aktivis masyarakat.

  3. Tolak budaya puja tokoh dan politik keturunan.

  4. Berikan undi kepada yang bawa nilai, bukan nama.

Kita tidak mahu ‘raja politik’ lagi

Politik bukan monarki. Pemimpin bukan raja. Rakyat bukan hamba yang mewariskan kuasa kepada anak cucu atau tokoh terdahulu.

Rakyat mahukan politik yang menyuburkan harapan.Rakyat inginkan pemimpin yang mewakili zaman.Rakyat dambakan masa depan yang tidak dikunci oleh masa lalu.

Sudah sampai masanya kita beri laluan seluasnya kepada mereka yang benar-benar layak, bukan hanya kerana nama mereka diwarisi tetapi punya kompetensi, kreadibiliti dan menjunjung integriti.

Dan barangkali, sejarah Malaysia akan bermula semula dengan wajah baharu, nilai baharu, dan harapan yang benar-benar berpihak kepada rakyat serta menguntungkan negara, merealisasikan baldatun thoyyibatun warabbbun ghofur iaitu negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun, insya-Allah.

Noktahkan legasi. Tamatkan dinasti!


ATRIZA UMAR felo di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen