KOLUM | Sebagai orang yang membesar dengan bola di kaki, berlari di padang dan kini ditakdirkan menjadi jurulatih bola sepak, penulis sendiri pada awalnya tidak begitu selesa apabila istilah “e-sukan” diberikan untuk merujuk permainan video.
Mungkin bagi ramai lagi dalam dunia sukan fizikal, istilah “sukan” itu punya nilai dan maruahnya yang tersendiri. Ia sepatutnya menguji kekuatan fizikal, ketahanan mental dan semangat juang secara nyata.
Maka apabila seseorang hanya duduk di depan skrin, memegang alat kawalan, menggerakkan tetikus atau menekan papan kekunci dianggap bersukan, terasa seolah-olah maksud murni bidang tersebut dibinasakan!
Namun dari satu sudut pandang yang lain, erti sukan itu tidaklah terlalu sempit. Sebenarnya dalam disiplin ilmu pun, pemaknaan sesuatu istilah mempunyai tafsiran yang pelbagai. Apa yang menjumudkannya ialah otak kita.
Akhirnya kita sedar bahawa sukan itu mencakupi pelbagai cabang seperti sukan tradisional, sukan berpasukan, sukan tempur, sukan permotoran, sukan padang dan balapan, sukan air, sukan udara, sukan lasak dan banyak lagi.
Berlumba kereta atau motosikal adalah sukan, bermain catur yang duduk sahaja di atas kerusi juga sukan, menembak atau memanah pun sukan, malah bermain snuker dalam bilik berhawa dingin pun dikategorikan sebagai sukan.

Kini, satu lagi cabang baru muncul seiring kemajuan teknologi, iaitu sukan elektronik atau ringkasannya, e-sukan.
Pada asasnya, e-sukan merujuk kepada pertandingan permainan video yang bersifat kompetitif, sama ada secara individu mahupun berpasukan. Antara permainan yang popular termasuk Dota 2, League of Legends, Counter-Strike serta FC (dahulunya dikenali sebagai Fifa).
Hari demi hari e-sukan bangkit sebagai industri global yang kukuh, dengan ekosistem tersendiri dan potensi ekonomi yang nyata.
Gaya hidup sihat, lestari
Satu stigma besar terhadap e-sukan datang daripada persepsi bahawa sukan itu hanya untuk mereka yang maskulin, berotot, kekar dan gagah. Maka muncul anggapan bahawa pemain permainan video atau gamers yang duduk lama di depan skrin Cuma berfizikal biasa.
Tetapi apabila difikirkan kembali, matlamat utama bersukan bukan semata-mata untuk membina otot, tapi untuk mencapai kualiti hidup yang sihat. Jika seseorang itu menghabiskan beberapa jam bermain permainan digital namun masih memperuntukkan masa untuk aktiviti fizikal ringan, itu masih menepati prinsip kesihatan yang seimbang.
Ironinya, ada juga yang bersukan secara ekstrem tanpa mengikut kemampuan tubuh hingga merosakkan kesihatan sendiri. Dari kecederaan otot sehinggalah kes kematian mengejut akibat tekanan jantung yang tidak dipantau.
Jadi tidak adil untuk melabel e-sukan sebagai kumpulan yang pasti akan menghadapi obesiti, sakit belakang atau gangguan tidur. Segalanya bergantung kepada gaya hidup individu.
Sama ada aktiviti fizikal atau duduk di hadapan skrin, apabila dilakukan secara berlebihan, ia tetap akan membawa kepada kemudaratan. Khalas!
Dengan adanya garis panduan jelas, contohnya had masa skrin, sela masa untuk aktiviti fizikal dan rehat berkualiti, pemain e-sukan juga mampu menjalani gaya hidup yang sihat dan lestari.
Di sinilah letaknya nilai e-sukan dalam konteks pendidikan. Tidak semua kanak-kanak dilahirkan dengan kelebihan fizikal. Ada yang tidak cemerlang dalam acara sukan padang, tetapi hebat dari segi pemikiran taktikal, refleks pantas, kemahiran strategi, dan koordinasi tangan-mata.

E-sukan membuka peluang kepada kelompok murid bukan atlet untuk menyerlah. Mereka boleh membentuk pasukan, menyertai kejohanan, dan bertanding hingga ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
Ini bukan sahaja mengasah bakat, tetapi juga membina keyakinan diri dan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerjasama dan komunikasi.
Malah, di sesetengah sekolah sudah ada yang menjadikan e-sukan sebagai sebahagian daripada kokurikulum atau aktiviti rasmi kelab.
Universiti tempatan pula mula menawarkan kursus dalam bidang berkaitan seperti pengurusan e-sukan dan pembangunan permainan, menunjukkan bahawa ini bukan sekadar trend sementara, tetapi satu bidang kerjaya masa depan.
Jadi sumber pendapatan utama
E-sukan akhirnya mencipta pelbagai peluang pekerjaan baru dalam ekosistem ini termasuk jurulatih e-sukan, penganalisis permainan, pengulas profesional, pengurus pasukan, pereka kandungan, pengelola kejohanan, jurutera perisian permainan, pembangun platform penstriman, pakar pemasaran digital serta pakar kesihatan dan psikologi sukan digital.
Lihat pula realiti sukan tradisional di Malaysia. Perit untuk kita mengaku bahawa ia gagal untuk membina ekosistem yang mampan.
Apa yang terjadi kepada liga bola sepak profesional negara kita yang diswastakan?
Rata-rata kelab terbabit tidak berdaya saing dari segi kewangan sehingga hutang kelab menimbun. Kesannya, gaji pemain dan pegawai kelab tertunggak hingga nilainya mencecah jutaan ringgit. Memalukan!

Tanpa hak penyiaran besar, tanpa jualan tiket konsisten dan kegagalan menarik penaja utama, sukan yang kita bangga-banggakan itu sebenarnya lesu. Kita hanya bergantung kepada dana kerajaan dan sumbangan korporat yang sifatnya tidak tetap.
Sebaliknya, e-sukan terus berkembang dengan ekosistem kewangan yang berdaya tahan. Penajaan, penstriman langsung, pencipta kandungan, hak penyiaran digital, penjualan barangan, dan hadiah kemenangan menjadi sumber pendapatan utama industri ini.
Sejak 2018, kerajaan Malaysia mula melihat e-sukan sebagai satu sektor strategik. Dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan RM10 juta khusus untuk pembangunan e-sukan.
Peruntukan itu meningkat kepada RM20 juta setahun kemudian menunjukkan komitmen berterusan Putrajaya dalam membina ekosistem e-sukan tanah air.
Walaupun angka ini mungkin kecil berbanding negara-negara besar lain, ia tetap satu pengiktirafan rasmi bahawa e-sukan adalah sebahagian daripada landskap sukan dan ekonomi digital negara.

E-sukan mungkin belum sempurna dan pastinya ada banyak ruang untuk diperbaiki. Mungkin hari ini kita belum ada garis panduan yang jelas dari segi kesihatan pemain, kawal selia pertandingan, dan juga kebajikan atlet digital.
Tapi semuanya boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.
Namun demikian, menolak e-sukan hanya kerana ia berbeza daripada norma lama bukanlah tindakan bijak. Jika kita benar-benar menghargai semangat sukan, maka kita perlu akui bahawa bentuknya tidak tunggal.
Elemen disiplin, kemahiran, strategi, semangat berpasukan dan cabaran, semuanya wujud dalam dunia e-sukan.
Jika ia membuka pintu kepada bakat baru, memberi pulangan ekonomi, serta membantu generasi muda kekal aktif dalam dunia yang serba digital, mungkin sudah sampai masa kita terima hakikat bahawa e-sukan ini bukan sekadar permainan.
Ia adalah masa depan.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

