malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
KOLUM | Siapa bakal pimpin M'sia selepas ini?
ADS

KOLUM | Kepimpinan negara bukan sekadar soal siapa yang layak memegang tampuk kuasa, tetapi soal masa depan rakyat, kestabilan negara dan kesinambungan nilai-nilai kenegaraan yang luhur.

Mempunyai ilmu dan pengetahui apalagi berkompetensi untuk mengemudi negara.

Tatkala negara berada dalam fasa pemulihan ekonomi, pendemokrasian maklumat dan kebangkitan kesedaran rakyat, timbul satu persoalan penting yang perlu difikirkan bersama:

“Siapakah yang bakal memimpin Malaysia selepas ini?”

Malaysia negara demokrasi yang unik, masyarakatnya majmuk, sejarahnya berwarna-warni, dan cabarannya bukan sedikit.

Justeru, menjadi satu keperluan untuk semua parti politik mula menyiapkan barisan kepimpinan pelapis yang mampu menggantikan tokoh semasa dengan legitimasi, integriti dan visi yang jelas.

Kenapa bangkit soalan ini sekarang?

  1. Demografi politik sedang berubah - golongan muda, kelas menengah dan pengundi atas pagar semakin vokal bersuara.

  2. Ketidakstabilan politik pasca PRU14 dan PRU15 menunjukkan sebahagian rakyat semakin hilang keyakinan kepada sistem yang tidak mempunyai perancangan jangka panjang.

  3. Rakyat perlukan harapan dan arah tuju, bukan sekadar retorik atau penyambung legasi tanpa misi baru.

Justeru, kepimpinan akan datang tidak boleh hanya bergantung pada pengaruh atau populariti. Ia mesti berasaskan kriteria berikut:

  • Kebijaksanaan strategik mampu membaca realiti global dan menyesuaikan dasar negara ke arah pembangunan mapan.

  • Keteguhan moral dan integriti bersih daripada rasuah, telus dalam tadbir urus, dan berani menolak budaya politik lama.

  • Kemampuan merentasi sempadan kaum dan ideologi mempunyai rekod penyatuan, bukan pemecahan.

  • Komunikasi dan karisma yang membangkitkan harapan pemimpin masa depan mesti mampu menginspirasi, bukan sekadar memerintah.

  • Komitmen terhadap reformasi struktur bukan hanya kosmetik, tetapi berani menstruktur semula sistem institusi negara demi keadilan dan ketelusan apalagi kesejahteraan rakyat.

Sedia tampil ikon baru?

Malaysia pascareformasi, pascapandemik, dan pascapolitik lompat parti sedang menunggu sesuatu. 

Bukan hanya dasar baru. Bukan sekadar manifesto indah. Tetapi ikon baru, sosok pemimpin yang boleh menjadi simbol harapan, keutuhan dan masa depan negara.

Namun persoalannya yang perlu dijawab segera ialah, sudahkah parti-parti politik di Malaysia bersedia menampilkan wajah-wajah baru kepimpinan negara?

Sejak merdeka, politik Malaysia banyak bergantung kepada legasi dan dinasti. Nama-nama besar seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah, Dato’ Sri Mohd Najib Razak dan kini YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semuanya mendominasi lakaran peta politik tanah air selama berdekad.

Namun dalam dunia yang semakin pantas berubah, kepimpinan juga perlu berevolusi apalagi direjuvenasi.

Jika dilihat, tentunya rakyat sudah penat dengan wajah lama yang mengitar semula isu-isu lapuk serta retorik. Permainan politik selamat yang tidak menyelesaikan masalah sebenar. Serta kepimpinan yang gagal berani membuat lompatan struktur.

Maka, jika parti-parti politik benar-benar mahu kekal relevan dan diyakini rakyat, mereka seharusnya berani menampilkan ikon baru.

Perlu disedari, bukan semua anak muda itu ikon baru. Dan bukan semua veteran itu tidak lagi relevan dikedepankan. 

Ikon baru bukan sekadar soal umur, tetapi kesegaran idea, kejelasan nilai, dan keberanian membina kepercayaan awam.

Ikon baru mesti mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Bersih dan bebas skandal.

  • Kaya dengan visi dan kefahaman dasar.

  • Fasih merentas kaum, agama dan ideologi.

  • Mampu menjadi jambatan generasi dan masyarakat.

  • Berani melawan arus, tetapi tetap setia kepada rakyat.

Barangkali, Pakatan Harapan (PH) perlu menyiapkan pengganti dengan naratif yang tidak bergantung kepada legasi reformasi semata-mata. 

Begitu juga, Barisan Nasional (BN) pula, memerlukan ikon baru yang benar-benar ‘bersih’ dan keluar dari bayangan silam. 

Tidak terkecuali, Perikatan Nasional (PN) dan PAS, dengan imej ultra-konservatif tidak cukup untuk bertahan lama. 

PN perlu mempersembahkan ikon yang dapat menyeimbangkan Islam dan realiti Malaysia kontemporari.

Malaysia masih belum memiliki perdana menteri wanita. Sedangkan negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura juga Filipina pernah melaluinya.

Sudah sampai masanya tokoh-tokoh wanita kita diangkat, bukan hanya sebagai ‘wakil gender,’ tetapi atas dasar kompetensi yang ada apalagi ilmu dan pengetahuan yang dimiliki.

Sedangkan ramai tokoh wanita kita layak dan kompeten serta seharusnya diangkat menerajui negara. 

Tentunya, ikon wanita bukan sekadar memenuhi kuota, tetapi memperluas horizon kepimpinan negara dengan sentuhan yang lebih bijaksana, empati dan telus.

Masa depan tak tunggu

Jika kita terus berpolitik seperti hari ini, berlegar dalam isu personaliti lama, tanpa pelan pengganti maka kita sedang menggadai kestabilan masa hadapan negara.

Setiap parti politik wajar mula menamakan dan membina tokoh-tokoh pelapis serta menyerlahkannya secara serius. 

Bukan hanya untuk meraih undi, tetapi untuk menyambung perjuangan membina Malaysia yang lebih baik, adil, sejahtera lagi progresif.

Hakikatnya, rakyat kini tidak sekadar mahu siapa yang memimpin, tetapi bagaimana ia memimpin dan untuk siapa ia memimpin?

Sudah tiba masanya kita memikirkan pemimpin masa depan negara. 

Barangkali, sudah tiba masanya untuk kita, sekalian rakyat Malaysia membayangkan calon wanita pertama menjadi perdana menteri Malaysia, merealisasikan sebuah negara yang lebih baik, insyaAllah. Ayuh, mulakan sedari kini.


ATRIZA UMAR felo di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

Artikel ini padangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen