malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
KOLUM | Peluang keemasan yang disesiakan PKR
ADS

KOLUM | Boleh jadi ramai pemimpin PKR yang berjawatan atau ada kedudukan dalam parti hari ini tidak tahu – atau sengaja buat-buat tak tahu – apa yang berlaku pada tanggal 2 Sept 1998 dulu.

Sebaik sahaja Anwar Ibrahim dilucutkan daripada semua jawatannya baik dalam kerajaan mahupun dalam Umno, dia tidak mempunyai apa-apa selain keluarga terdekat, sahabat setia dan sebuah rumah yang terletak di Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara.

Sejak hari pertama Anwar dilengserkan rumah itu mendadak dibanjiri bukan saja oleh wakil-wakil media antarabangsa dan tempatan. Rupa-rupanya rumah tersebut tidak henti-henti diziarahi pelbagai lapisan kaum dan kumpulan masyarakat.

Mereka hadir untuk menzahirkan simpati selain menyatakan sokongan.

Di sanalah Anwar dengan tegas dan lantang mengungkapkan kenyataan yang tak seharusnya ahli-ahli PKR lupakan: “Saya komited untuk melakukan reformasi di negara ini, saya komited dalam perjuangan menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme.”

Sejak itu perkataan kronisme, nepotisme, rasuah dan salah guna kuasa mula dijeritkan dalam ucapan-ucapan awam. Sedangkan sebelum itu barangkali perkataan kronisme dan nepotisme sangat langka diketahui.

Lihat saja apa kata Mahathir Mohamad dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno pada 1998: “Tahun lepas dalam mesyuarat Umno, siapa yang bercakap berkenaan kronisme, berkenaan nepotisme? Ingat tak? Tak ada. Tak ada seorang pun, kita belum dengar.

“Kita belum dengar bukan kerana perkataan itu tidak ada. Ada, tetapi belum diguna secara meluas oleh akhbar dan majalah asing. Tetapi hari ini, kita dengar kerana selalunya ia disebut majalah asing. Kita mendapati ada sebuah negara yang mengguna perkataan ini, guna untuk menjatuhkan kerajaan mereka.”

Semua parti ada buat

Isi ucapan Mahathir itu sebenarnya adalah tindak balas ke atas Ahmad Zahid Hamidi selaku ketua Pemuda Umno yang membangkitkan isu korupsi, kronisme dan nepotisme dalam ucapan dasar sayap parti itu beberapa hari sebelumnya.

Tanpa dipetik sebarang nama, orang tahu ia disasarkan kepada Mahathir.

Boleh jadi ramai pemimpin PKR yang berjawatan dan ada kedudukan dalam kerajaan hari ini tidak tahu – atau sengaja buat-buat tak tahu – apa yang pernah berlaku pada awal tahun 2023 lalu.

Pada tahun itu Nurul Izzah Anwar dalam temubual eksklusif dengan akhbar The Star mengakui dia dilantik menjadi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Sungguhpun perlantikan tersebut disahkan Anwar sebagai pro bono Nurul Izzah akhirnya terpaksa melepaskan jawatan tersebut selepas menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.

Ia dikaitkan dengan amalan kronisme dan nepotisme di dalam pentadbiran kerajaan.

Tahun ini di tengah banyak kerusi, jawatan dan kedudukan, pemilihan PKR jadi rancak dan berebut-rebutan. Isu kronisme dan nepotisme timbul lagi.

Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi Ketua Pemuda Umno Malaysia

Mungkin benar dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tidak ada salahnya seorang anak presiden merebut jawatan timbalan presiden parti melalui proses demokrasi.

Kata mereka, memang hampir semua parti politik di Malaysia turut mengamalkan politik dinasti.

Buktinya –  selain PKR, PAS sudah pun ada dinasti Nik dan dinasti Hadi. Orang Melayu juga ada ada  dinasti Abdul Razak dan dinasti Abdullah dalam Umno. Dinasti Mahathir pula bermula dalam Umno sebelum berlanjutan di dalam Bersatu dan akhirnya Pejuang.  

Orang Cina tetap ada dinasti Lim dalam DAP.

Memang jadi perhatian

Sungguhpun begitu, ia belum tentu wajar untuk diteruskan sebagai suatu tradisi politik yang terus mahu diamalkan.

Sebagai sebuah parti yang mengakui mereka adalah parti derita, yang diangkat oleh rakyat susah di jalanan melalui bermacam demonstrasi atas semangat, keinginan dan cita-cita untuk menegakkan keadilan, seharusnya pemimpin dalam PKR sedar diri.

Sedar diri bahawa mereka sudah terlepas peluang paling berharga untuk memperlihatkan PKR ialah sebuah parti yang berbeza. Sedar diri bahawa parti mereka – yang dimulakan dengan semangat dan komitmen reformasi untuk memerangi kronisme, nepotisme, rasuah dan salah guna kuasa – kini tercalar imejnya.

Ia berlaku sebaik saja Nurul Izzah dirayu dengan longgokan sokongan terbuka oleh anggota dan ahli mereka sendiri dan dilengkapkan oleh persetujuan anak Anwar tersebut.

Sebaik saja Ketua Penerangan PKR menjawab “sebab dia tak ada point lain” kepada isu persepsi nepotisme yang timbul apabila Nurul Izzah setuju merebut jawatan timbalan presiden, kamu telah terlepas peluang untuk membuktikan parti kalian adalah sebuah parti reformasi yang ada maruah dan jati diri politik tersendiri.

Saya percaya siapa pun yang tewas dalam persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR kali ini, orang itu tetap akan dilantik menjadi naib presiden juga nanti.

Akan tetapi tidakkah kalian mahu menunjukkan contoh dan memberikan bukti kepada rakyat bahawa PKR tidak pernah luntur semangat untuk memberikan komitmen melaksanakan reformasi institusi yang boleh dimulai dari dalam parti itu sendiri.

Oleh kerana parti kalian adalah parti perdana menteri, maka kalian diperhati.

Selamat memilih.


HARIS HAUZAH bukanlah ahli PKR tetapi pernah merasakan tubuhnya disembur air dan dipukul cota FRU semasa zaman reformasi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen