Sebagai seorang yang telah lama meniti usia, seringkali saya menyandarkan diri pada kerinduan akan zaman ketika buku-buku sastera menjadi santapan rohani yang mengisi ruang-ruang sunyi. Namun, baru-baru ini, tatkala saya melangkah ke sebuah kedai buku ternama di bandar raya Pantai Timur, hati saya tersentak laksana ditikam keris kesedaran.
Dengan langkah perlahan namun penuh semangat, saya melangkah masuk ke sebuah kedai buku terkenal yang menjadi tumpuan ramai pembaca. Di sanalah biasanya jiwa-jiwa yang rindukan kata-kata berkunjung untuk mencari makanan rohani.
Namun, apa yang menyentak hati tua ini ialah ketiadaan buku-buku sastera—karya dari sasterawan negara, cerpenis, penyair, atau novelis seperti saya sendiri. Di rak-rak yang seharusnya dipenuhi puisi-puisi yang mendayu-dayu, prosa-prosa yang membangkitkan kesedaran, dan drama-drama yang menggugah jiwa, hanya berdiri tegak novel-novel tebal bertajuk ganjil, ditulis oleh penulis yang langsung tidak saya kenali.
Rak-rak yang dahulu penuh dengan karya-karya agung sasterawan negara, kini dipenuhi novel-novel tebal berhias angka jualan "satu juta naskhah" atau "setengah juta salinan" atau “Adaptasi Netflix!” ditulis oleh nama-nama yang asing bagaikan bayang-bayang di tengah kabut. Benarkah ini masa depan pembacaan kita?
Di manakah hilangnya buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)? Di manakah novel-novel yang pernah saya genggam erat, saya ulang baca demi mencari makna tersirat?
Saya termenung. Adakah inilah realiti dunia sastera kita hari ini? Di mana nilai-nilai estetik, falsafah, dan pemikiran dalam sastera digantikan dengan formula-formula komersial yang lebih menjual?
Karya-karya itu bagai sirna ditelan zaman, digantikan dengan tulisan-tulisan yang mungkin laris di pasaran, tetapi tidak meninggalkan jejak di relung jiwa. Saya termangu, bertanya dalam hati:
"Adakah ini fenomena biasa di Pantai Timur atau seluruh negara, atau inilah wajah baru dunia perbukuan kita?"
Sastera yang terpinggir: Adakah kita mula lupakan akar budaya?
Saya menyoal jurujual. Jawapannya ringkas: "Buku sastera memang ada, tapi kurang permintaan."
Hati saya bagai dicucuk jarum. Bukankah sastera adalah cermin budaya bangsa? Bukankah ia warisan intelektual yang membentuk identiti sebuah bangsa? Mengapa kini ia diabaikan, dilupakan, malah dibiarkan pudar tanpa usaha untuk menyelamatkannya? Terus terpelanting ke tepi arus perdana yang lebih mementingkan keuntungan komersial daripada nilai intelektual dan estetika?
Mungkin generasi kini lebih mudah tertarik dengan alur cerita yang ringkas, konflik cinta yang berlebihan, dan fantasi yang tiada kaitan dengan akar budaya kita? Apakah ini normal?
Saya teringat akan kerajaan yang dipimpin oleh seorang perdana menteri yang mencintai kesusasteraan. Mengapa tidak diwujudkan suatu hari khusus—Hari Sastera Malaysia atau seumpama dengan nama hebat sebagai wadah menghidupkan kembali semangat persuratan tanah air?
Saya membayangkan suatu perhimpunan besar-besaran, dirancang oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta penerbit-penerbit besar, yang menghimpunkan semua insan yang pernah menulis, mengedit, dan menerbitkan karya.
Bayangkanlah: sasterawan, novelis, cerpenis, penyair, penulis skrip drama, penulis akademik, penulis agama, wartawan, editor, penerbit, bahkan kartunis—semua berkumpul dalam satu ruang tanpa dinding pemisah. Tiada hierarki, tiada jarak; hanya semangat cinta akan kata-kata.
Hari Sastera Malaysia: Impian atau realiti?
Sebagai warga emas yang telah menyumbang lebih empat dekad dalam dunia penulisan, berhijrah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama 18 tahun sebelum strok dan pernah menjelajah 41 negara, saya berani menyatakan: ini bukan masa depan yang kita impikan.
Sastera bukan sekadar hiburan. Ia adalah jantung tamadun, rakaman sejarah batin dan nurani bangsa. Bila sastera dipinggirkan, bangsa kehilangan suara halus yang membentuk empati dan intelek.
Saya tidak menulis untuk mengeluh tentang zaman yang telah berlalu. Saya menulis untuk bertanya dengan jujur — apakah dalam dunia pendidikan masa depan, sastera akan terus menjadi subjek pinggiran? Apakah generasi cucu kita hanya mengenal nama Shakespeare dan JK Rowling, tetapi buta terhadap Usman Awang, Keris Mas, A Samad Said dan Shahnon Ahmad? Di manakah dalam silibus anak muda kita disemai kecintaan kepada bahasa yang halus dan pemikiran yang dalam?
Saya teringat akan zaman silam, apabila para sasterawan menjadi ikon nasional. Karya mereka dibincangkan di sekolah-sekolah, universiti, majlis ilmu, hingga dalam ruang lingkup politik dan agama. Kini, siapakah tokoh sastera yang dikenali remaja hari ini? Siapakah nama yang disebut dengan bangga di media massa?
Saya akui, tidak semua salah pemerintah. Saya menghargai inisiatif kerajaan memperuntukkan RM2.5 juta kepada Pena untuk menerbitkan 123 buah buku melalui projek Pena-Malaysia Madani. Ini langkah penting. Tetapi sastera bukan hanya memerlukan buku — ia perlu perayaan, sambutan, dan ruang hidup dalam masyarakat.
Mengapa tiada sambutan tahunan seperti Hari Sastera Malaysia yang hebat? Hanya pesta buku yang untuk semua tidak kira genre. Mengapa penganugerahan sasterawan negara berlangsung dalam sepi, tanpa siaran langsung, tanpa wajah-wajah muda yang hadir mengambil ilham? Buat sekali cukup memberi inspirasi.
Program sebegini wajar dijalankan selama dua atau tiga hari, penuh dengan kegiatan yang bermanfaat. Bukan sekadar pembentangan kertas kerja yang kaku, tetapi juga forum-forum interaktif, pameran buku, dan peluang bagi penulis menjual karya mereka secara langsung. Biarlah acara ini berlangsung secara santai, tetapi sarat dengan makna.
Kita juga boleh memanfaatkan media sosial untuk promosi yang lebih meluas. Jemputan kepada pelajar universiti, politeknik, dan institut perguruan juga harus digiatkan, kerana merekalah generasi pewaris warisan sastera kita.
Sistem pendidikan dan hilangnya minat terhadap sastera
Persoalan lain yang mengganggu fikiran: Benarkah sistem pendidikan kita tidak lagi mementingkan seni dan budaya? Subjek-subjek berkaitan sastera kerap dianggap tidak
orientasi peperiksaan, lalu dipinggirkan. Kesan daripada sikap ini jelas kelihatan sekarang—minat terhadap sastera semakin pudar, digantikan dengan hiburan popular yang lebih mendapat tempat.
Saya tidak menafikan kepentingan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), dan pelbagai jurusan teknikal yang kini menjadi keutamaan negara. Dunia memang sedang berubah, dan anak-anak kita mesti bersedia dengan kemahiran abad ke-21. Namun, perubahan tidak seharusnya bermakna penghapusan.
Sastera tidak patut menjadi mangsa kemajuan. Kita memerlukan jurutera yang berperasaan, saintis yang memahami manusia, dan usahawan yang mengenal akar budaya. Dan itu semua, datang daripada kehalusan budi yang diasuh oleh sastera.
Banyak negara maju — termasuk New Zealand tempat saya belajar dahulu — terus mengekalkan sastera dalam pendidikan tinggi.
Mereka tahu bahawa daya cipta, pemikiran kritis dan keupayaan memahami pelbagai perspektif tidak hanya lahir dari makmal, tetapi dari pembacaan mendalam dan perbincangan sastera. Mengapa kita di Malaysia, negara dengan warisan sastera yang kaya, semakin melupakan ini?
Lihatlah betapa lumayan hadiah untuk juara program realiti televisyen berbanding hadiah sastera. Juara rancangan nyanyian boleh membawa pulang ratusan ribu ringgit, sedangkan hadiah untuk penulis—bahkan sasterawan negara—terasa terlalu kecil nilainya. Aneh, negara kita sudah melahirkan 15 sasterawan negara, namun penghargaan terhadap mereka seakan-akan hanya sekadar upacara tahunan tanpa kesan mendalam.
Sasterawan negara: Tokoh besar yang terlupakan?
Jika majlis sebesar Anugerah Sasterawan Negara pun terpinggir dalam liputan media, apatah lagi acara sastera peringkat negeri. Persoalan yang lebih besar muncul: Apakah Sasterawan Negara tidak dianggap sebagai tokoh besar negara, setaraf dengan tokoh sukan, guru, atau selebriti hiburan?
Kata-kata seorang sasterawan lama: "Bangsa yang tidak membaca sastera adalah bangsa yang buta jiwa."
Jika buku-buku sastera semakin sukar ditemui di rak kedai buku, jika anak muda lebih mengenali YouTuber daripada penulis novel sastera, jika hadiah untuk penulis tidak sebanding dengan penggiat hiburan—apakah ini petanda bahawa kita sedang kehilangan jiwa sebagai bangsa yang berbudaya tinggi?
Seruan hidupkan kembali sastera
Mungkin sudah tiba masanya untuk suatu gerakan besar—suatu usaha kolektif menghidupkan kembali dunia sastera kita. Hari Sastera Malaysia atau seumpama hanyalah satu permulaan. Kita memerlukan komitmen daripada kerajaan, penerbit, media, dan masyarakat untuk menjadikan sastera sebagai nadi budaya bangsa.
Maka, apakah jawabannya? Bagaimana kita mahu menyelamatkan sastera?
Jawabannya terletak pada keprihatinan bersama. Kerajaan, badan-badan sastera, institusi pendidikan, media massa, dan masyarakat umum perlu berganding bahu. Kita perlukan satu momentum besar—seperti Hari Sastera Malaysia untuk mengembalikan maruah sastera sebagai jiwa bangsa.
Kepada semua yang peduli, mari kita mulakan langkah. Jangan biarkan sastera terus terlantar. Jangan biarkan pena mati ditelan arus waktu. Sastera bukan sekadar hobi, bukan sekadar karangan. Ia adalah warisan , identiti, dan nyawa budaya yang tak ternilai.
Saya, sebagai warga emas yang telah melihat zaman berubah, hanya mampu berharap: Jangan biarkan sastera mati. Jika sastera hilang, hilanglah sebahagian identiti kita.
Dan jika kita tidak bertindak hari ini, maka esok, kita akan menyesal di hari kemudian.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

