KOLUM | Hujan lebat. Di Raub.
Mereka perlu masuk ke hutan yang bukat, dan dalam tiga jam matahari akan jatuh, terbenam dan semua terbungkus gelap. Mr Jedi membuka mata dan memandang saya.
Jedi - demikian gelaran yang diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang saya temui di The Coffee Bean One Utama. Waktu pihak SPRM meminta saya menghubungi beliau untuk projek Sastera Lisan dan Dokumentasi Pengalaman Pegawai SPRM ini, Mr Jedi sedikit teragak-agak.
Alasannya: “Pengalaman saya tidak begitu banyak… saya lebih banyak di bahagian pendidikan.”
Tetapi saya berjaya meyakinkan Mr Jedi bahawa “Kita sama-sama pendidik kalau begitu, dan tentu ada silang pengalaman yang boleh saling kita kongsi.”
Demikian saya memujuk. Maka itu membawa saya bertemu Mr Jedi di kompleks membeli belah One Utama.
Mr Jedi sudah hampir-hampir bersara, namun dia enggan memberitahu saya bila. Barangkali dia memang jenis perahsia dan tidak mahu orang meneka-neka usianya.
“Kenapa Tuan Jedi menyertai SPRM?”
Dia meneguk chai latte dengan penuh nikmat, dan menyuap bagel poppy seed yang siap di sapu krim keju. Orangnya kelihatan lambat, dan berfikir, makanya dia kelihatan lebih selesa menikmati makanannya sebelum menjawab apa yang saya soalkan.
“Mungkin saya kagum atau sanjung ayah saya.”
Saya membiarkan tutur itu mengalir.
Mr Jedi mengunyah bagel liat itu sungguh-sungguh, meneguk lagi chai latte, dan bersuara, “Abah saya dulu pernah berkhidmat di Biro Siasatan Negara pada 1975.”
Tahan sakit geraham
Saya mencatat. Dalam kepala, saya menghafal penubuhan badan atau biro pemantauan rasuah di Malaysia dengan baik. Bermula 1959, Unit Pencegahan Rasuah, Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan. Pada 1967 pula Badan Pencegah Rasuah (BPR) diasaskan.
Kemudian pada 1973 Biro Siasatan Negara menggantikan seketika fungsi BPR sebelumnya. Kemudian pada 1982, BPR kembali sebagai Badan Pencegah Rasuah.
Hanya pada 2009, ia dijenamakan semula sebagai SPRM. Justeru, jika orang lama merujuk BPR sebagai ‘Badan’ maka saya akan segera menangkap tahu bahawa individu terbabit pernah melalui era 1960-an dan 1970-an.
Mr Jedi masih menatap wajah saya.
“Hutan Raub yang tebal. Dan kami hadir menjemput beberapa pegawai perhutanan terlebih dahulu,” kata Mr Jedi.
Sebetulnya dia resah. Persiapan mereka untuk masuk ke hutan itu kurang terancang. Kasut masing-masing hitam berkilat dari pejabat. Ada antara mereka bahkan berkemeja dengan seluar kain licin. Dia sendiri kebetulan sedang sakit gigi geraham. Rasa sakit itu datang dan pergi.

“Apa yang akan berlaku dalam hutan Raub?” soal saya menggesa.
"Pembalak dijangka akan beri duit kepada pegawai perhutanan. Maka kami mau menangkap dia serta-merta.”
Sewaktu baru tiba di Coffee Bean & Tea Leaf itu saya sengaja berbasa-basi supaya Mr Jedi tidak terlalu kekok dengan saya. Untuk menjayakan projek ini saya sebetulnya perlu 'berkawan’ dengan pegawai-pegawai SPRM sehingga mereka rasa selesa terlebih dahulu.
Kemudian barulah mereka bersedia bercerita kepada saya.
Maka dalam basa-basi itu saya sengaja melakukan provokasi.
"Sebagai pegawai Bahagian Pendidikan SPRM, apa bahagian yang rasanya masyarakat paling kurang terdidik?”
Mr Jedi mengetuk-ngetuk permukaan meja.
“Mereka tidak faham limitasi kami.”
Saya mengangguk tanda meminta dia menjelaskan lagi.
“Kami di SPRM tiada kuasa mendakwa.”
“Siapa yang punya kuasa mendakwa?”
Seperti dijangka, Mr Jedi fasih sekali menjejerkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang dihafalnya.
“Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.”
Saya yang memang arif aspek ini segera mencungkil lagi. “Kuasa SPRM hanya menyiasat?”
Mr Jedi cepat menyambut, “…hanya…”
Kurang percaya penguat kuasa
Apabila saya menyedut matcha green tea dingin, saya terlantar semula di hadapan Mr Jedi yang mungkin terbang kembali ke memori masa lalu di hutan Pahang, menjejaki kayu balak bernilai jutaan ringgit. Meskipun pengalaman Mr Jedi tidak banyak, tetapi yang ada beberapa itu sebetulnya cukup mencemaskan.
“Well, balak tu cengal, makanya tentulah nilai terkumpul berjuta-juta ringgit. Jadi kalau sekadar seratus dua ratus ribu mereka 'pejam mata' saja. Pembalak ini ingin membawa keluar cengal haram yang sudah dirampas. Dua hari sebelumnya, pejabat perhutanan sudah sita. Jadi tanggapan pembalak adalah balak ini boleh, dan akan dibawa keluar dengan bayaran rasuah.”
“Pegawai Perhutanan yang mengadu ya?”
Mr Jedi tersenyum, dia dapat membaca fikiran saya. Memang persepsi masyarakat pada 2014 seperti di dalam laporan Malaysia Corruption Barometer yang dijalankan oleh Transparency International menyatakan 31 peratus sektor yang paling rasuah ialah dalam kalangan penjawat awam.
Sebanyak 42 peratus anggota masyarakat mempercayai polis paling ramai merasuah selepas kelompok ahli politik.
“Pegawai perhutanan yang bersama kami tu ada integriti. Orang beragama. Bak kata CS Lewis, integriti ini adalah doing the right thing even when no one is watching... beragama,"
Dek tidak mahu kalah dengan Mr Jedi saya lekas mencelah.
“Ya, beragama, dan dalam terma agama kita integriti itulah takwa, seperti diungkapkan oleh Saidina Ali: takwa ialah takut kepada Tuhan, beramal dengan kitab yang diturunkan, reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan."
Mr Jedi pula yang tersenyum. Ada lesung pipit terlindung oleh jambang nipis di kedua belah pipinya. Dia memejam mata kembali untuk seketika, dan kenangan di hutan Pahang itu tersingkap semula di retinanya.
“Kami pergi dengan wartawan sebuah stesen televisyen. Mereka nak ikut, dan kami terima kerana itukan sebahagian dari pendidikan untuk masyarakat terbanyak. Bayangkan kalau disiarkan rakaman tangkapan itu semasa berita waktu perdana.”
Saya angguk, mengeyakan.
”Wartawan ini pula ada yang datang dengan baju kurung. Haih.”
Ketika kumpulan pegawai SPRM Pahang menyertai pegawai perhutanan bersama tiga wartawan dengan kamera berat, hari mulai petang. Pertama yang perlu dilakukan ialah memastikan balak atau cengal itu memang ada.
Mereka menyedari para pembalak telah membuka alur air, menyebabkan perjalanan mereka ke dalam hutan akan mencabar. Padahal sebelumnya anak sungai itu boleh dilalui oleh kenderaan seperti Pajero.
Akibatnya kumpulan Mr Jedi terpaksa meninggalkan kereta lantas berjalan dalam hutan mencari balak yang dimaksudkan. Mereka berjalan berjam-jam. Mungkin tiga jam turun dan naik bukit. Sepatu pejabat memusuhi langkah mereka. Dan wartawan yang berbaju kurung kerap terhenti, sekali-sekala mengeluh lelah, dan pada suatu detik mulai semacam menangis.
Keadaan menjadi lebih getir apabila menjelang malam, tiba-tiba hujan lebat.
“Kami berjalan susah payah, kaki berat, badan pun menanggung beban kerana basah kuyup. Tapi kami paksa juga berjalan untuk mencari balak yang disembunyikan.”
Saya berkerut, dan Mr Jedi lekas mengingatkan.
“Ingat - alur air dah berubah dan kami kehilangan arah. Jadi, apabila kita berjalan keadaan menjadi lebih sulit kerana kami dah tidak boleh mengagak di mana itu dan ini seperti dalam peta atau haluan arah.”
Jalan bukit berlumpur, licin
Pun, pencarian mereka berhasil dan bau kayu yang kuat mengikat deria hidu lantas akhirnya sampai ke celah bukit dalam malam yang masih muda.
“Dr mesti merasai pengalaman mencium bau kayu cengal selepas hujan. Penuh mistik.”
Saya menelan air liur. Saya kini membayangkan malam yang gelap, hutan yang tebal, dan wartawan stesen televisyen yang mulai rasa berbaloi berjalan jauh dan sibuk mengambil gambar dan merakam video.
“Kami membuat pengesahan balak memang ada. Hari sudah malam. Pegawai perhutanan menyarankan kami turun semula lalu berhimpun di matau.”
Mereka berpatah balik ke tempat kenderaan ditinggalkan. Dan sekali lagi, mereka berjalan berjam-jam lamanya dalam gelap pekat malam. Hanya Tuhan yang mengetahui rasa debar, takut, penat tidak selesa, dan pada suatu peringkat, Mr Jedi memang terpaksa melepaskan kencing di antara pohon dan belukar.
Memang dia serasa-rasa ada bunian mengintai. Tapi bunian masih mesra. Yang paling dikhuatiri masing-masing ialah pak belang atau harimau kumbang tiba-tiba mencakar.
Setelah tiba di tempat perhentian, mereka memutuskan wartawan televisyen dan pegawai perhutanan akan turun ke matau dengan kenderaan pejabat perhutanan.
“Dr tahu apa natijahnya malam dan hujan?”
Saya angkat bahu.
“Kenderaan pejabat perhutanan memang ada kelengkapan. Roda kenderaan itu disiapkan dengan rantai. Jadi lecak mana pun ia mencengkam dan tidak akan meleret turun kerana licin. Kenderaan itu turun bergaya ke bawah bukit dengan roda berantai itu.”
Saya sambung menelan liur, meneguk minuman tetapi mata saya tidak beralih daripada memandang retina kecoklatan Mr Jedi. Saya dapat membayangkan kenderaan SPRM hanya biasa-biasa.
Tatkala itu tercetus perkelahian, Mr Jedi berkeras mahu turun berjalan kaki, meskipun nanti tiba di bawah subuh atau pagi. Jalan bukit berlumpur yang licin melorot akan membuatkan kereta itu mustahil dikawal. Teman-teman SPRM yang lain pula berhujah mereka tidak boleh meninggalkan kereta pejabat begitu sahaja di dalam hutan.
Mr Jedi mengikutkan kehendak kawan-kawan sepejabatnya. Dan sebaik kereta Proton itu dimasukkan gear satu, ia meluncur ke bawah bukit tanpa dapat lagi dikawal. Pemandu kenderaan sepenuh daya memiuh stereng untuk membawa kereta menghala ke tebing sedang di sebelah kiri adalah gaung yang menganga memanggil-manggil dengan maut.
Kereta itu terhenti setelah muka kenderaan bertemu lereng bukit yang keras.
Mr Jedi yang sedari tadi bertempik ketakutan dan marah kerana perlu mengekori kebodohan memilih untuk turun, menghempas daun pintu dan berjalan ke bawah. Dalam kegelapan malam. Dalam hujan yang mulai kembali melebat.
Ternyata pilihan Mr Jedi itu betul. Ini kerana dia tiba lebih cepat, dan tepat. Sebaik Mr Jedi mendekati rombongan pegawai perhutanan dan wartawan televisyen, sebuah kereta pacuan empat roda menghampiri.

Wartawan segera bersembunyi di celah semak, dan memain peranan asalnya. Mereka merakam dengan kamera dari dalam belukar yang basah.
Dua lelaki Cina keluar, gemuk-gemuk dan bertatu. Kedua-dua pembalak itu menyangkakan semua yang ada di situ adalah pegawai pejabat perhutanan. Di matau itu pembalak berasa selamat dan seakan Tuhan. Pergi mampus dengan integriti, atau takwa, atau undang-undang.
Di dalam rimba yang ada hanya undang-undang haiwan.
Salah seorang yang tampak yakin kelihatan mara lalu bertanya: “Siapa bos?”
Pegawai perhutanan bergerak ke hadapan.
“Kami mahu bincang, berapa you mahu. Dalam kereta ada RM180,000 boleh kongsi-kongsi semua. Boleh naik haji, boleh beli lemari Ikea, boleh pergi Bangkok,” pembalak pertama itu kelihatan berseloroh dalam menghina.
Pegawai perhutanan segera menjawab. ”Ini salah. Ini rasuah tau?”
“Tak mahu wang kita boleh tukar bagi hadiah… mahu amoi pun boleh,” tiba-tiba pembalak kedua menyampuk dari belakang.
Tak payah mengumpan
Mata saya bulat. Saya sedar amat bahawa terdapat segala jenis bentuk rasuah, beraneka macam. Ia boleh jadi dalam bentuk wang, bonus, perkhidmatan seks, jawatan, upah, dan diskaun.
“Kalau RM180,000 tak cukup, awak mahu berapa?” pembalak pertama menawarkan. Dia masih selamba.
Mr Jedi yang masih dalam lelah dan debar debur jantungnya akibat berjalan banyak kemudian mencelah: “Ini rasuah, satu kesalahan.”
Pembalak tetap enggan peduli, bahkan terus mengumpan.
“Haiya, you mau berapa untuk kasi setel? Gua ambil duit.”
Sebaik pembalak mendapatkan duit dan kembali ke hadapan mereka, Mr Jedi membuat isyarat kepada wartawan di dalam semak. Itu untuk memastikan semua telah dirakam. Kebetulan ketika itulah kenderaan SPRM tiba dari puncak bukit dengan susah payah dek tayar bersalut lumpur.
Pembalak segera cuak dan sedar mereka terperangkap. Mr jedi tanpa lengah menerkam seorang pembalak, pegawai perhutanan pula mencekup pembalak lainnya.
Kedua-dua mereka tertangkap.
“Itu kes rezeki namanya Dr. Nak tangkap, dapat terus tangkap. Tak perlu bersusah payah mengumpan pun.”
Saya mengangguk faham dengan kata ‘rezeki’ itu. Dalam banyak kes rasuah, apabila ada pengaduan misalnya, pihak SPRM akan bertemu jalan buntu lantaran ia tidak lengkap.
Misalnya tiada tarikh, masa, dan tempat kejadian. Tiada pula identiti pemberi, penerima dan orang tengah. Tiada juga saksi. Lagi-lagi tiada dokumen berkaitan.
Jadi apa yang berlaku dengan pembalak di matau hutan Pahang itu memang rezeki. Dalam banyak keadaan maklumat diterima SPRM terlalu umum, tiada kriteria ‘dapat bertindak’ atau pursuable, dan lebih teruk tidak dapat dikesan atau traceable.
Kami berpamitan. Perjalanan dari One Utama kembali ke kampus UKM yang sepatutnya singkat nampaknya memakan masa.
"Hujan lebat" - demikian ayat pertama untuk rencana ini bergentayangan di depan cermin hadapan kereta ditimpa titis-titis air yang terkuak oleh pengelap silikon kelabu.
Hujan lebat.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

