KOLUM | Pada Rabu 2 April 2025 Presiden Amerika Donald Trump telah mengumumkan tarif jual beli import eksport antara Amerika dengan negara luar. Trump memanggil hari Rabu itu – ‘Liberation Day – Hari Pembebasan’ untuk Amerika.
Tarif ialah cukai sempadan yang dikenakan ke atas import barangan dari negara asing. Pengimport membayar cukai apabila masuk ke agensi kastam negara atau blok yang mengenakannya. Cukai biasanya dicaj sebagai peratusan nilai produk.
Dalam bahasa yang mudah semua barang yang dibawa masuk ke Amerika akan dikenakan cukai.
Pada Rabu itu Trump umumkan jumlah cukai yang akan dikenakan. Ada negara seperti China kena cukai 34 peratus, Vietnam 46 peratus, Jepun 24 peratus, Kesatuan Eropah 20 peratus, Siam 31 peratus, Indonesia 32 peratus dan kita Malaysia dikenakan 24 peratus.

Mengikut Trump peratus cukai ini adalah ‘reciprocal tariff’ atau cukai timbal balik. Mengikut pemahaman Trump Malaysia kenakan cukai 24 peratus pada Amerika maka Amerika kenakan cukai 24 peratus pada Malaysia.
Bagaimana Trump mendapat angka-angka ini atau apakah jumlah cukai yang dikenakan betul atau salah bukan persoalan induk?
Untuk saya yang induk pada ketika ialah sikap media dunia. Media dunia dan media arus perdana di Amerika semuanya menyatakan terperanjat bila mendengar pengumuman dari Presiden Trump. Seolah-olah ini kali pertama mereka mendengar perkataan ‘tariff’.
Saya tidak terperanjat. Malah saya faham kenapa media dunia terperanjat. Mereka terperanjat kerana mereka anggap Trump ini sama seperti politikus yang lain. Politikus yang lain menyatakan ini dan itu ketika berkempen mencari undi. Sesudah menang semua hanya tinggal janji kosong.

Kelakuan dan janji politikus - cakap tak serupa bikin ini – bukan hanya berlaku di Amerika atau Malaysia. Di mana-mana pun sama. Ketika mencari undi janji dan retorik dihambur ke hulu ke hilir.
Tidak dengan Trump. Presiden Amerika ini mengotakan apa yang dia janjikan ketika berkempen.
Ketika berkempen Trump telah menjajakan idea tarif ini. Ke mana saja dia berkempen Trump telah berjanji untuk Make America Great Again tarif akan diperkenalkan sebagai dasar.
Media dunia terperanjat kerana Trump menjadi politikus yang jujur. Mengotakan janji kempen.

Malah sebelum Hari Pembebasan Trump telah menggunakan tarif terhadap Mexico dan Canada. Dua negara ini menjadi sasaran kerana mengikut Trump dari dua negara ini punca pendatang haram dan dadah masuk ke Amerika.
Saya tersenyum kenapa media dunia hairan dan terperanjat. Mereka menganggap Trump akan berdulak dalik sama seperti politikus yang lain. Jangan silap faham. Trump dengan Maga– Jadikan Amerika gagah Kembali – sedang merancang untuk merealisasikan slogan ini.
Hakikatnya Amerika ketika ini sedang nazak dari segi ekonomi. Amerika berbelanja lebih dari pendapatan. Seperti seorang ayah yang bergaji RM1,000 sebulan tetapi berbelanja RM1,500 sebulan. Tiap bulan hutang bertambah.
Jurang hutang
Data terbaru 5 Mac 2025, hutang negara kasar Amerika adalah kira-kira AS$36.22 trilion. Sebanyak AS$28.9 trilion dipegang oleh orang ramai dan AS$7.31 trilion sebagai hutang antara kerajaan.
Ini beban negara yang amat berat. Beban yang boleh membawa runtuh.
Semua Presiden Amerika berjanji akan mengurangkan jurang hutang negara. Janji tinggal janji. Trump adalah satu-satunya politikus Amerika yang berniat mahu mengurangkan hutang negara.
Justeru langkah mengenakan tarif ini salah satu perancangan Trump untuk mengecilkan jurang hutang.
Trump berkempen dan berjanji. Bila janji dikota dunia jadi huru-hara. Rantaian ekonomi kapitalis terputus.

Mister Nguyen pengeksport kasut Nike dari Vietnam kini terganggu. Kasut dihantar dari Saigon ke New Orleans kini tersangkut di pelabuhan. Pengeksport kini wajib membayar cukai baru untuk kasut itu.
Mister James – pembeli – juga akan membayar harga baru. Akhirnya harga kasut Nike ini wajib dinaikkan – yang membayar ialah pengguna kasut – warga Amerika. Inilah yang sedang berlaku.
Ketika tulisan ini digarap Trump masih berkeras untuk meneruskan dasar tarif ini. Menurut Trump tarif ini macam makan ubat – pahit tapi akhirnya membawa kebaikan.
Suara bantahan hingar-bingar didengar di media Amerika. Saham di Wall Street turun mendadak. Bukan berjuta, bukan berbilion dana lesap bila saham jatuh. Trilion dolar hangus di bursa saham.

Pada 5 April 2025 portal The Economic Times memapar berita: Pelabur Wall Street mengalami kejutan AS$8 trilion sejak Trump mengambil alih. Adakah yang terburuk akan datang?
Nilai saham merundum jatuh dan hangus terbakar bukan hanya di Amerika atau di New York. Dari London ke Lisbon, dari Berlin ke Bombay, dari Singapura ke Shanghai, dari Toronto ke Tokyo – semua mengalami masalah yang sama.
Kaum kapitalis kecil dan besar jadi mangsa. Pemodal dan pengilang kini dalam keadaan tidak menentu. Trump masih berkeras.
Para penganalisis dan pemerhati politik dari kiri dan kanan semua mengeluarkan pandangan.
Adakah akan ‘dijimatkan’?
Malah Senator Ted Cruz, wakil parti Republikan Texas dan penyokong kuat Trump telah bersuara:
"Tarif adalah cukai ke atas pengguna, dan saya bukan peminat menaikkan cukai ke atas pengguna di Amerika, jadi harapan saya ialah tarif ini adalah jangka pendek dan ia berfungsi sebagai penekan untuk menurunkan tarif di seluruh dunia."
Trump tidak ambil pot.
Sikap degil Trump ini telah memunculkan komen daripada Raymond McGovern. Sosok ini bukan ‘kecik anak’ – Raymond pegawai CIA dan seorang penganalisis CIA dari 1963 hingga 1990.
Sosok ini menyediakan dan memberi taklimat harian kepada Presiden Amerika di zaman Reagan.

Dalam temu bual membincangkan hal tarif di portal Judging Freedom pada 7 April 2025 bekas CIA ini telah menimbulkan tentang keselamatan Trump.
Perkara ini timbul kerana ketika ini Trump telah memberi Arahan Eksekutif agar semua - di huruf besarkan – SEMUA – fail pembunuhan John F Kennedy (1917-1963) dibuka dan tidak dirahsiakan lagi.
Menurut Ray McGovern salah satu sebab kenapa JFK perlu 'dijimatkan' kerana presiden ini mahu menyusun kembali CIA. JFK pernah berkata: "I will splinter CIA into a thousand pieces." JFK mahu memecah-belahkan CIA 'menjadi seribu keping....’
Daripada pandangan bekas CIA ini sebelum menjadi presiden – ketika berkempen – telah berlaku dua kali percubaan membunuh Trump. Jelas ini membuktikan bahawa ada ‘kumpulan atau ‘ada sosok-sosok yang berpengaruh’ yang tidak suka kepada Trump.

Amat jelas pada ketika ini Trump semakin memperbanyak musuh. Kaum kapitalis, kaum pemodal, pemilik kilang dan ada beberapa hartawan yang semakin tidak selesa dan merasa kepentingan mereka diancam oleh Presiden Donald Trump.
Dasar tarif Trump ini menjadi perbualan dunia. Pada masa sama Trump juga telah melupuskan kuasa kerajaan pusat dalam hal pembelajaran. Jabatan Pelajaran AS dihapuskan. Kini jabatan Pelajaran AS dikendalikan oleh negeri.
Tidak cukup dengan ini Trump melalui Elon Musk sedang memperkecil kaki tangan kerajaan. Beratus ribu warga Amerika kini hilang pekerjaan.
Daripada apa yang berlaku sekarang saya sama seperti pandangan Ray McGovern ada menyimpan pandangan bahawa Trump yang semakin memiliki banyak musuh ini akan 'dijimatkan'.

Jika sebelum jadi Presiden telah ada percubaan untuk menjimatkan Trump maka mustahil ketika ini daulah terpendam tidak merancang.
Pada hemat saya penjimatan Trump ini akan menetas apabila Projek Riviera Gaza cuba direalisasikan oleh Trump.
Jangan lupa bagaimana Sirhan Bishara Sirhan (1944) dituduh membunuh Robert Kennedy (1925-1968) pada tahun 1968. Anak Palestin yang kini berumur 80 tahun itu masih lagi dalam penjara.
Jangan lupa membaca Fail JFK yang kini sedang dibuka. Kita akan bertemu dengan fakta bagaimana James Jesus Angleton (1917-1987) pegawai tertinggi CIA telah mengenal dan menyimpan data Lee Harvey Oswald (1939-1963) bertahun-tahun sebelum Oswald dituduh membunuh JFK.

Apa yang jelas ketika tulisan digarap dunia sedang dihuru-harakan oleh Trump. Perang Dagang sedang bermula apabila China akan membalas tarif Trump dengan tarif China.
Ke mana arah dan apakah Perang Dagang akan meluas atau mengendur. Tidak ada siapa yang dapat meramalkan pada tahap ini. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

