malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Kolum
KOLUM l Malaysia tidak dijajah 446 tahun
ADS

Ada naratif di media sosial yang menyatakan negara ini sedang terancam oleh “komunis” sambil menunjukkan bahawa walaupun Malaysia telah dijajah “500 tahun”, orang Melayu masih tidak mengambil pelajaran dari sejarah.

Penyebar naratif berkenaan mungkin mengambil angka “500 tahun” itu dengan mengira jumlah masa tempoh penjajahan dari tahun 1511 apabila Portugis menakluk kota Melaka hinggalah apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 iaitu sejumlah 446 tahun.

Malaysia tidak pernah dijajah. Ia baru wujud hanya pada tahun 1963. Sememangnya kota Melaka dijajah selama 446 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan kembali pada British.

Tetapi apabila Portugis menakluk kota Melaka, kerajaannya, Kesultanan Melayu tidak terhapus. Kerajaan itu berpindah ke Johor. Pemerintahan dan kedaulatannya ke atas wilayah di Semenanjung dan Sumatera berterusan.

ADS

Pada awalnya, British hanya menguasai Melaka, Pulau Pinang dan Dinding. Negeri-negeri lain dijajah dalam bentuk naungan atau “protectorate”. Maknanya negeri-negeri Melayu masih mempunyai kedaulatan walaupun mereka terikat dengan British melalui residen dan penasihat.

“Protectorate” asasnya bermaksud “wilayah dipertahankan” oleh British daripada sebarang usaha penaklukan atau penjajahan negara-negara lain.

Hanya apabila Jepun menakluk keseluruhan Malaya, ia dijajah walaupun Raja-raja Melayu tidak dimansuhkan dan masih dirujuk. Tetapi apabila British kembali pada tahun 1946 dan mengisytiharkan gagasan Malayan Union, maka Malaya sepenuhnya dijajah dengan kedaulatan Raja-raja dimansuhkan.

Walaupun kemudian kedudukan Raja-raja Melayu dipulihkan dalam gagasan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, Malaya tetap adalah sebahagian daripada Empayar British hinggalah kemerdekaan. Maka untuk mengira tempoh Malaya dijajah, bolehlah dikira bermula dengan penaklukan oleh Jepun pada tahun 1943 hingga negara merdeka iaitu pada tahun 1957. Jumlahnya ialah 14 tahun.

ADS

Namun begitu, konsep “kedaulatan” atau “sovereignty” serta naungan atau “protectorate” merupakan ciptaan British melalui bidang undang-undang yang mereka terapkan ke seluruh dunia. Ia adalah untuk menjajah dunia secara aman. Konsep itu dibuat supaya anak-anak jajahan tidak rasa dijajah.

Malaysia baru wujud mulai tahun 1963. Bukanlah ia bermakna bumi yang menjadi Malaysia sebelum itu tidak wujud. Tentulah dari segi geografi, demografi dan entiti politik, ia sudah wujud. Sebenarnya bukan saja berlaku perubahan nama, Malaysia suatu gagasan baru yang berlainan daripada konsep Malaya atau Tanah Melayu. Maka kesedaran atau “consciousness” warga Malaysia tentulah berbeza daripada Malaya.

Adalah lebih bermanfaat untuk membayangkan Malaysia bermula pada tahun 1963 sebagai suatu era baru yang segar dan penuh harapan. Maka peristiwa-peristiwa sebelum itu boleh dilihat sebagai naratif sejarah yang boleh diambil manfaat tetapi tidak dijadikan ungkitan-ungkitan yang hanya menimbulkan bibit-bibit perpecahan rakyat dan tidak mendatangkan manfaat pada suasana hari ini dan akan datang.

Komunisme di Malaya bermula apabila PKM ditubuhkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada tahun 1930. Ketika itu China belum menjadi komunis tetapi Parti Komunis China (CCP) yang ditubuhkan pada tahun 1921 sudah ada. Sementara Parti Komunis Indonesia (PKI) ditubuhkan lebih awal lagi iaitu pada tahun 1914. Negara komunis yang ada pada tahun 1930 ialah Soviet Union dan Mongolia.

Pada masa itu Empayar British berasa dicabar oleh gerakan komunis kerana ia secara jelas menyatakan hendak menjatuhkan semua kuasa imperial dan kolonial di dunia. Pengasas Soviet Union iaitu Lenin menyatakan bahawa “imperialisme adalah bentuk kapitalisme tertinggi.”

Bagaimanapun, semasa Perang Dunia Kedua, Stalin mengarahkan semua komunis bekerjasama dengan kuasa kapitalis bagi memerangi musuh bersama iaitu fasis yang terdiri daripada Jerman, Itali dan Jepun. PKM menubuhkan Tentera Rakyat Anti-Jepun (MPAJA) atau dikenal sebagai Bintang Tiga dan mereka bukan saja menerima bekalan senjata dari British tetapi juga pingat penghargaan.

Apabila Perang Dingin berlaku, Stalin mengarahkan semua parti komunis di seluruh dunia mengangkat senjata melawan penjajah Barat. Maka PKM menubuhkan Tentera Rakyat Anti-British (MPABA) yang kemudian menjadi Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (MPLA). Mereka melancarkan perang yang kini dikenali sebagai Darurat mulai tahun 1948 dan berakhir pada tahun 1960.

Walaupun mereka sudah ditundukkan, tetapi PKM terus ada dan melancarkan Darurat Kedua mulai 1968. Setelah Stalin meninggal dunia pada tahun 1953, China berbalah dengan Soviet Union dan berbaik dengan Amerika Syarikat. Ini membolehkan Malaysia turut mengiktiraf Republik Rakyat China. Dengan pengiktirafan itu, Malaysia meninggalkan Republik China yang memerintah Taiwan. Ini bermakna mulai tahun 1974, Malaysia mengiktiraf dasar “Satu China” iaitu Taiwan adalah sebahagian daripada Republik Rakyat China.

ADS

Hubungan baik Kuala Lumpur dengan Beijing ini membolehkan kerajaan China menghentikan sokongan dan bantuan kepada PKM. Ia membezakan hubungan antara parti dan kerajaan tetapi akhirnya CCP menghentikan hubungan dengan PKM.

Pada 2 Disember 1989, ditandatangani perjanjian dengan kerajaan Malaysia dan Thailand, PKM dibubarkan. Pada 26 Disember 1989, Soviet Union juga dibubarkan dengan diikuti sembilan negara komunis yang lain.

Negara komunis yang tinggal hanyalah China, Vietnam, Cuba, Laos dan Korea Utara. Tetapi mereka pun sudah meninggalkan komunisme yang asal. China, Vietnam dan Laos sudah mengamalkan ekonomi pasaran. Cuba pun sudah ada pelabur asing. Korea Utara sudah menjadi negara kultus yang berlainan daripada fahaman komunis asal.

Di Republik Rakyat China, mereka tidak lagi mengikuti pemikiran Mao Zedong. Mereka mengikut fahaman Deng Xiaoping dan pewarisnya Xi Jinping, presiden China sekarang. Saya percaya sesiapa yang mahu menghidupkan semula fahaman Mao di China, pasti akan ditangkap oleh kerajaan mereka.

Sememangnya dalam lagu kebangsaan China, ada lirik yang masih mencerminkan pemikiran Mao. Tetapi itu hanya lagu nasional yang diwariskan. Seperti mana lirik lagu kebangsaan Perancis yang merupakan warisan Revolusi Perancis yang ada laungan berdarah tetapi kini ia tidaklah diambil serius.

Maka hari ini, komunis tidak relevan dan bukannya suatu ancaman. Sebaliknya fahaman yang mengancam negara ini ialah bibit-bibit fasisme.

Ciri utamanya adalah perkauman diikuti dengan kebencian terhadap pendatang atau keturunannya. Ia mempunyai idea “keagungan kaum” (racial supremacy). Fahaman ini pernah menerajui Jerman, Itali dan Jepun pada masa Perang Dunia Kedua.

Bukan saja Malaysia menerima ancaman ini tetapi juga seluruh dunia. Pentadbiran Donald Trump mempunyai anasir-anasir “White Supremacist.” Parti anti-imigran meraih banyak undi di Jerman dan negara-negara Eropah. Islamofobia adalah sebahagian daripada ciri-ciri bibit fasisme ini. Begitu juga Sinofobia iaitu membenci orang China.

Sememangnya Republik Rakyat China sedang berusaha untuk menguasai Taiwan. Itu adalah hasrat nasional mereka dan bukannya untuk penyebaran ideologi. Seboleh-bolehnya mereka mahu mengambil alih secara aman, iaitu rakyat Taiwan sendiri menerimanya.

Mereka mahu Taiwan menjadi seperti Hong Kong dan Macau. Adalah dipercayai Persatuan Penyatuan Secara Aman Satu China yang diwujudkan di luar China termasuk di Amerika dan Malaysia merupakan kempen untuk mengambil Taiwan tanpa peperangan.

Pada saya rakyat Malaysia tidak patut terheret dengan soal dalam negara China. Taiwan adalah soal mereka walaupun apa yang berlaku di situ akan turut memberi kesan pada Malaysia.

Adalah mudah bagi rakyat Malaysia tertentu untuk berasa kagum dengan Republik Rakyat China kerana pencapaian besar mereka dalam politik, ekonomi dan teknologi.

Sikap mengagumi Republik Rakyat China yang berlebihan dan ketara menimbulkan rasa tidak selesa dan tidak senang hati pada rakyat Malaysia yang lain. Akibatnya ia menjejaskan hubungan kaum dan melemahkan jati diri negara.

Kesetiaan seseorang rakyat pada negaranya tidak datang dengan semula jadi. Ia perlu disemai dan dipupuk, tetapi tidak boleh dipaksa. Negara pula perlu memberi manfaat dan faedah pada rakyat untuk mereka berasa terikat dan setia.

Banyak usaha perlu dilakukan untuk menyemai dan menguatkan identiti negara. Projek memakai lencana Jalur Gemilang pada semua pelajar adalah suatu usaha kecil yang baik.

Pengibaran bendera negara asing besar-besaran dalam sesuatu acara terutama bendera Republik Rakyat China wajarnya dilarang. Begitu juga dengan menyanyi lagu kebangsaan mereka. Ia bukan soal sensitiviti kaum lain tetapi lebih penting lagi ia bertujuan untuk mengukuhkan jati diri negara.

Rakyat Malaysia juga perlu hentikan sebarang kata-kata termasuk hantaran dan komen dalam media sosial yang menjurus kepada menimbulkan keraguan dan kecurigaan terhadap sesama rakyat Malaysia. Perbuatan menggerakkan sensitiviti kaum walaupun berjuang untuk meraih undi adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang melemahkan jati diri negara.

Malaysia diasaskan pada tiga wilayah, Malaya, Sarawak dan Sabah yang di dalamnya Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum lain-lain. Walaupun rakyat majoriti menguasai politik negara, tetapi negara ini milik semua warga negara termasuk minoriti.

Pada saya, tidak ada kaum yang terancam di negara ini. Tetapi apa yang terancam adalah negara ini sekiranya berlaku keretakan hubungan kaum.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen