malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

“Memang ramai kawan-kawan yang bertanya, kalau-kalau saya seronok menguruskan kes rasuah seks di SPRM. Tapi sebetulnya saya geli, saya meluat, saya geleman, saya menyampah dan pernah saya diserang migrain yang teruk ekoran satu kes ini.” Bruno kelihatan jujur, dan saya tidak perlu rasa terpaksa untuk mempercayainya.

Bruno masih di awal tiga puluhan tatkala menyertai SPRM. Dengan lima orang anak lelaki berturut usia, Bruno tahu seks halal dan seks haram tentunya. 

Kopi Saigon di Taman Dato Harun di Petaling Jaya sesak dengan pengunjung. Masyhur sebagai kafe pertama Kopi Saigon, ia pernah menjadikan Taman Medan dan sekitar Taman Dato Harun macet sejak dibuka dalam tahun 2021. Saya menghirup perlahan, menikmati dengan sungguh-sungguh kopi santan yang berlemak itu.

Wajah Bruno yang berjambang, mata sepet dan bertubuh sasa itu memang selayaknya menjadi tajuk drama soap opera‘Suamiku Pegawai SPRM’. Meskipun tampak maskulin, sebetulnya jika saya menyelami retina mata yang nampak berair selalu itu, Bruno menyimpan rahsia resah.

“Rahsia resah, atau rahsia desah?” Saya sengaja mengusik, berseloroh.

ADS

Bruno nampak serius. Ternyata dia tidak terpancing. Dan memang benar dia sudah mual dan muak dengan rasuah - khususnya rasuah seks - yang menjadi salah satu kepakarannya.

Bruno menggenyeh mata dan menghela nafas. Dia menghimbau kembali hari-hari latihan sebagai pegawai SPRM selama 395 hari di Kuala Lumpur. Bruno masih ingat dia baru beroleh anak ketiga tatkala menyertai SPRM. Anak-anak yang lain masih kecil, dan latihan selama itu mendera rindunya sebagai ayah. 

“Anak tak kenal saya bila pulang. Telefon tidak dibenarkan. Latihan fizikal dan akademik mulai pagi santak petang; bersenam dan kawad kaki. Itu bermula seawal subuh. Dan mulai sembilan pagi sehingga ke petang jadual pembelajaran kami penuh padat dengan kursus seputar siasatan, perisikan dan undang-undang (akta), yang disampaikan oleh pegawai senior dan TPR (timbalan pendakwa raya).”

ADS

Sewaktu latihan itu, dalam tidurnya malah dia termimpi-mimpikan gerakan dan teriak kawad kaki. Keperluan cekatan mengangkat kaki kiri separas buku lali membawa ke sebelah kiri supaya terdengar satu bunyi dengan kiraan ‘satu’, dan serentak itu membawa kedua-dua tangan ke belakang, dengan tangan kanan rapat di hadapan tapak tangan kiri dan ibu jari bersilang.

Sekali dengan Bruno, ahli keluarga barunya bermula 88 orang, tetapi ramai yang gugur kerana tidak sanggup dengan latihan ala kepolisan. Angka jatuh ke 75 orang; antaranya 15 orang perempuan, tiga berbangsa India, dan dua Sikh.

“Ramai yang mengalah ya? Tuan Bruno sendiri kenapa boleh habis? Memang minat?” Saya memulakan bicara. Tentu, saya meronta ingin mendengar pengalamannya menguruskan kes-kes rasuah seks. Namun kebiasaan saya membuka ceritera dengan kisah-kisah awal seorang pegawai.

“Mungkin saya tiada pilihan lain. Tapi mungkin juga kerana saya benci rasuah. Itulah motivasi asal untuk saya.”

Orang baru ‘ikut buku’

Bruno sebelumnya adalah seorang jurutera tetapi dikontrak, dan tempohnya diperbaharui setiap tahun. Ini menjadikan diri rasa tergantung dan ada desak-keperluan untuk memburu kerja tetap. 

Kerja sebagai jurutera, dia mula terdedah kepada aksi rasuah dan itu menjadikannya tambah hilang selera. 

“Rasuah dalam kalangan jurutera?”

ADS

Bruno angguk, dia menyedut matcha coconut. Matanya yang sepet itu menyeluruhi saya, “Duit tepi Dr. Waktu itu saya adalah jurutera projek; semacam konsultan tapak. Saya adalah penasihat kepada inspector of work. Kerja saya memang banyak di lapangan. Saya memerhati dan membuat keputusan di site. Urusan saya banyak dengan pelanggan dan kontraktor. Sepatutnya saya adalah orang tengah atau penasihat untuk client.”

“Jadi di mana kesempatan untuk jurutera khianat melakukan duit tepi?”

Dada Bruno berombak, dia mengancing semula butang baju Melayu yang terdedah.

“Kontraktor mesti selalu memaklumkan kerja sama ada berlandas prosedur (SOP), atau proses sebenar dalam persetujuan; tapi selalunya kontraktor cari jalan mudah dan memikir hanya untung besar. Ada bahagian yang sengaja nak ditutup dengan alasan berjimat. Misalan, ada yang membuat jalan tidak mengikut ketebalan batu pasir dan premix tar yang telah ditetapkan. Yakni ketebalan tak ikut seperti dalam desain.”

Saya mengangguk, baru saya memahami mengapa ada jalan raya terkadang serasa nipis; ada yang serasa tebal. Bruno menambah, bukan sahaja ketebalan memain peranan, tetapi jurutera juga akan memastikan compactor melindas jalan yang telah siap itu untuk beberapa kali. Bahkan tiap gegaran ada perinciannya.  

“Sebab saya orang baru. Saya dikatakan ’belajar ikut buku’, sedang senior atau orang lama dalam lapangan sudah pandai buat asal siap. Apabila kontraktor melayan pelanggan berlebihan, terhutang budi lantaran dapat pakej bercuti siap boleh bawa keluarga, atau rokok, atau apa sajalah maka ada bab yang mereka tutup mata. 

“Mereka cuba juga menghulur kepada saya, tapi saya enggan. Dek kerana saya ‘tegak‘ dan seorang, mereka mulai tak berminat dengan saya, dan untuk mudah, mereka lalu terus dengan pelanggan. Akibatnya pelanggan akan okey belaka. Jadi saya rasa tak berfungsi. Padahal kerja saya itu mesti saya yang luluskan ini kerana saya yang bersaksi.”

“Ish tak adukan?” Saya mulai rasa sakit hati. Di sinilah rupanya kita sebagai pengguna akan mendapat hasil yang tidak memuaskan.

Bruno mendengus. “Cerita ini cerita di sebuah universiti ya, Dr. Jadi, ada pay cut. Di lapangan, rasuah begini susah kita nak buktikan. Ini kerana membayar dengan caj. Justeru masing-masing ada kepentingan sendiri dan tak mahu mengadu. Tapi pengguna jadi mangsa.”

Saya terdiam, memikir, patutlah memandu di universiti yang disebutkan itu serasa tidak sedap. Rasa berombak.

Setelah usai latihan, Bruno ditempatkan di Bahagian Siasatan SPRM. Dia ditugaskan menangani pelbagai kes rasuah yang menurutnya - menjijikkan - dan ternyata hampas atau najis masyarakat.

Nampak thiqah, berjanggut

“Kes yang betul-betul membikin hati saya panas dan mengundang kebencian rasuah tidak lain tidak bukan ialah kes seorang ustaz yang kemaruk rasuah seks.”

Saya yang tersandar, kini duduk tegak, “Woww…ustaz dan rasuah seks?”

Bruno tidak kelihatan teruja. Barangkali dia sudah terbiasa atau lali sehingga tidak lagi punya nyali. 

Rasuah seks tidak menyerupai rasuah wang atau benda. Ia penuh helah dan muslihat lantaran setiap kes perlu dibuktikan perbualan dan permintaan seks itu. Untuk kes perangkap, pengadu diajar cara mengumpan, sembari merakam. Bukti perbualan boleh sahaja menjadi alat rakaman suara atau dalam bentuk video, dan itu selalu menegah ramai pengadu untuk meneruskan hasrat memerangkap sasaran yang sial itu. 

Dalam kes rasuah seks juga, perlu diwajarkan adanya niat menerima, dan balasan yang jika berlaku persetubuhan, maka satu peluang atau hasil yang tidak patut akan dilunaskan. Lantas memintas aneka langkah sedia ada yang telah ditetap peraturan, atau dalam erti kata lain menyalahi pelbagai undang-undang.

Saya meneguk kopi santan. Sedikit terkalih tumpuan apabila kedengaran suara barista menerangkan sesuatu mengenai kopi di kafe itu. Saya memasang telinga perihal Kopi Saigon yang menggunakan biji kopi premium jenis Robusta berkualiti tinggi dan dijamin halal.

Telinga menangkap penjelasan bahawa espresso Kopi Saigon adalah dihasilkan dengan kaedah dripping dengan menggunakan Phin Filter. Saya terjerat penerangan gadis di kaunter pembayaran yang entah mengapa begitu rajin memahamkan pelanggan yang teknik ini merupakan kaedah tradisional yang telah digunakan oleh masyarakat Vietnam sejak berkurun.

Bruno menyambung, ”sasaran ini adalah seorang pegawai kerajaan yang berperanan memantau bekas banduan ketagihan. Orangnya nampak thiqah, berjanggut, rambut sikat tepi. Selalu mencuri masa bekerja untuk bersembahyang dhuha, didorong bos untuk mengetuai bacaan Yaasin. Kalau ada majlis rasmi dia yang membacakan doa. Di pejabat, orang memanggilnya ustaz. Kalau dia di depan, orang tepuk bahu suruh jadi imam solat. Malah orang bertanyakan hukum-hakam. Cara bercakap tersusun. Pendek kata tiada siapa menjangkakan perangai sebegini daripadanya.”

Saya mulai membayangkan watak-watak tipikal begini di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta. Isteri sasaran duduk jauh di utara Semenanjung, bekerja keras demi keluarga. Dia di Kota XV tanpa peneman, tanpa penyedap, tanpa pelayan dan kesepian.

“Kalau dicetak perbualan WhatsApp dia memang tak sanggup Dr. Naik geli geleman. Naik migrain.”

“Contoh?”

“Abang umpama power bank, tapi perlu dicucuh sekali-sekala. Atau, bil air dah naik tinggi, atau abang dah lama tak merasa daging ayam.”

Mulut saya terlongo, terbit daripada seorang ustaz? Kisahnya adalah bekas banduan ketagihan ini ada perintah mahkamah untuk melapor diri setiap bulan, selama tiga tahun. Jikalau tuang tiga kali berturut-turut maka pegawai yang melapor boleh menghantarnya ke penjara kembali. Tapi bekas banduan ini sudah enam bulan menghilang diri konon terperangkap dengan satu firma scam di Taiwan. ”

Tawar tutup kelompongan

Ida (bukan nama sebenar) dipenjarakan kurang tiga bulan tetapi untuk memantau perkembangannya dia perlu sentiasa diperhatikan. Bruno sangat waspada. Profil Ida bukan elok sangat. Gerak-gerinya retis, liuk badannya manja, suaranya dipintal lembut dan pakaiannya naudzubillah.

“Kalau pun orangnya cantik genit dengan dada tetal, tetapi dia seorang penagih. Jadi tak ada perasaan pun buat saya, atau kami yang menguruskan kes ini.”

Senyuman menggoda Ida itulah yang menimbulkan rasa kasihan di hati ustaz. Tatkala dia dimarahi seorang pegawai pelaksana wanita kerana selalu tuang, ustaz terus terpanggil ingin menyelamatkan. Perlahan, tetapi meningkat, tegur menegur sapa menyapa menjadi lencongan tajam. Saya menarik nafas, terkenang ayat Hamka, ‘dari kasihan datang kasih’.

Ida dan Ustaz pun mulai keluar minum di Coffee Bean. Mereka bertukar nombor dan kerap berhubung. Dan Ustaz menawarkan untuk menandakan buku laporan, merakam dalam sistem, dan membuat catatan di borang harian kaunter ketibaan agar hari-hari kepontengan Ida boleh ditutup lompongnya. Kalau Ida enggan, ada kemungkinan dia dihantar semula ke mahkamah dan berakhir di penjara. Ustaz berjanji menutup lopak rongak. Dengan syarat Ida beri ‘ringan-ringan’.

“Susah berurusan dengan pengadu bekas banduan ketagihan ini ya Dr. Kita suruh datang pagi, dia petang baru bangun. Cakapnya kadang perlu ditapis boleh pakai ke tak.” Bruno menggaru lengannya yang berbulu lebat. 

“Dia tak cuba goda tuan Bruno?”

“Tak ada. Kami pun tak jelira. Mengenangkan perangainya, mengenangkan ketagihannya. Tapi ya, untuk Ustaz itu pun jadi.”

Di agensi yang memerhatikan bekas banduan ketagihan ini, nama Ida menjadi panas. Ramai yang kehairanan kerana dia selalu menghilang, tetapi pada hari mereka akan mengambil tindakan; Ida akan menjelma tiba-tiba seolah ada dalam kalangan pegawai pemantau yang telah membocorkan maklumat perihal tindakan bakal diambil ke atasnya. 

Syak curiga mulai berganda. Tetapi tiada siapa menyangkakan dalangnya adalah Ustaz. Pegawai pemantau mulai berteka-teki, dan mencurigai sesama sendiri. Andaian rasuah berkembang. Tetapi tiada siapa menyangka ia adalah rasuah tubuh badan.

“Jadi yang melapor kepada SPRM, Ida atau pegawai pemantau?”

“Ida.”

“Mengapa?”

“Sebab dia dah tak tahan. Ustaz dah kemaruk. Dia tak dapat apa. Kalau dia dapat wang mungkin dia akan diam. Ida minta juga wang ‘sara’, tapi Ustaz kedekut. Dan bila sudah banyak kali dia mulai serik. Pertama kali berlaku persetubuhan di rumah Ustaz. Kali kedua di hotel. Kali seterusnya di dalam kereta…”

Sebaik beroleh laporan, SPRM melesat ke Kota XV. Pukat dipasang. Perangkap dirancang. Ida akan perlu bekerjasama untuk menangkap Ustaz kaki jimak haram ini. 

“Kenapa nak pasang perangkap?” Saya menduga.

“Tujuan perangkap untuk memastikan kehendak dan permintaan atau desakan Ustaz itu betul wujud dan dapat dibuktikan.”

Saya menggetap bibir, saspen.

“Kami perlu memastikan memang Ustaz ada menghubungi. Bahawa ada permintaan rasuah seks. Ada penawaran. Dan untuk dijadikan bukti kami perlu rakaman bantuan teknikal.”

Perangkap dipasang

Maka Ida diajar bagaimana memperdaya Ustaz. Yang tidak mudah pastinya.

Perangkap yang dikenakan adalah untuk memastikan Ustaz dan Ida bertemu setelah waktu pejabat. Akan ada alat rakaman di tubuh Ida yang dapat dipantau secara langsung. Ada juga perakam halus dalam tas tangannya. Alat bantuan video dan audio dipasang di sebuah hotel yang biasa ditempah oleh Ustaz. Tiga kamera tersembunyi disiapkan agar semua aksi dapat dirakam.

Pada mulanya Ustaz cuak. Selalunya dia yang membuat tempahan. Berkali-kali dia bertanyakan Ida mengapa Ida terlalu ingin ‘menyerah’ kali ini. Mengapa misalnya hotel yang sama. Mengapa bilik yang tertentu. Ustaz malah membuat panggilan video dan meminta Ida menunjukkan persekitaran kamar demi memastikan tiada yang aneh-aneh.

Setelah bertemu di tempat biasa, Ida dan Ustaz di dalam kenderaan berpusingan di kota. Bruno dan pasukan SPRM perlu mengekori dari jauh. Ternyata Ustaz demikian berhati-hati. Dan saatnya pun tiba apabila Ustaz menawarkan untuk memastikan rekod kehadiran Ida cemerlang, dengan syarat Ida sanggup rebah untuknya.

Dari dalam kenderaan, Ustaz dan Ida berpindah ke kedai kopi. Dan saat yakin tiba, Ustaz mengajak Ida ke kamar. Di bilik tidur, tangan Ustaz mulai ganas merayap, bibirnya mencari tengkuk putih Ida. Dan Ustaz dalam keadaan berahi berjanji akan memastikan Ida tidak ke penjara semula. Laporannya akan dikemas kini.

Tapi Ida yang mulai ketakutan dengan aksi sangap Ustaz itu lekas memujuk sasaran agar mandi terlebih dulu. Mulanya Ustaz agak kehairanan, tetapi memilih menurutkan. Ida berkali mengatakan ketiak Ustaz serasa masam. Ustaz akur. Ketika itulah Ida memastikan selak pintu kamar sudah terbuka. Setelah lima minit Ustaz pun keluar dari kamar mandi sambil bersiulan bahagia.

Di saat itu jugalah SPRM masuk menyerbu.

“Ustaz bertakbir, mencekup alat kemaluan dan kelam kabut mencari tuala.”

“Bertakbir?” Soal saya hairan, juga lucu.

“Ya, bertakbir dan terus dia kata begini, ‘haaa aku dah agak dah’.”

Ustaz berakhir dalam busana warna jingga oren. Ustaz digari. SPRM dengan rahmah melayani Ustaz, lantas dibekalkan mask untuk menutup aib. 

Dalam reman, Ustaz mulanya mengelak-elak, tetapi bila disangkal oleh Bruno, “Bang, konon tak nak main macam mana…anu kau pun tegang.” 

Ustaz akhirnya terkulai keinsafan.

Kami bubar. Dalam Grab pulang ke rumah, saya memahami pengakuan Bruno kini, bahawa rasuah seks yang sering ditanganinya itu risi, ada mendatangkan rasa jejap, menimbul mual, dan mempelawa loya. Dalam benak saya bersarangan persoalan, apakah yang menggeletek naluri seorang lepasan bidang agama untuk meminta rasuah seks, melakukan zina tanpa pengetahuan isteri? 

Tidakkah dia tahu bab agama? Atau adakah dia tidak dapat mengawal nafsu? Atau memang dia menggunakan kedudukan dan kuasanya untuk meminta sesuatu yang tidak patut sebagai tukaran sesuatu yang memang salah?

Dan jika watak-watak seumpama Ustaz pun begini, tidakkah jahanam negara ini kalau dibiarkan?

Di radio kenderaan Grab berkumandang suara penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Pemandu memecah kesunyian, “Abang rasa dia pakai baju Melayu warna apa?”

Saya melontar pandangan ke luar jendela. Melihat lampu neon ibu kota tumpah dari puncak bangunan, saya menyahut selamba, “Apa pun boleh dik,  asal jangan warna jingga oren.”


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen