KOLUM | Saya kecewa bahawa negara ini masih tidak dapat menerima kebebasan membaca buku walaupun berada pada zaman lambakan maklumat dan mempunyai kerajaan yang memerintah atas gagasan “madani.”
Penolakan negara ini terhadap kebebasan membaca buku terserlah apabila ia mengharamkan buku Islam, Autoritanisme dan Kemunduran Bangsa oleh Ahmed T Kuru pada 20 Mac lalu.
Pengharaman itu dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama Jabatan Perdana Menteri di Bahagian Hal Ehwal Agama melalui keputusan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Apa yang dimaksudkan ‘negara’ di sini ialah kerajaan dan rakyat. Sementara struktur kerajaan itu pula terdiri daripada pentadbiran kerajaan dan parti politik yang memerintah.
Jadi pengharaman itu dilakukan oleh pentadbiran kerajaan yang terdiri daripada MKI, Jakim dari Bahagian Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Penerbitan Kementerian Dalam Negeri.
Sementara bahagian politiknya adalah kedua-dua menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang wajar menjawab pada Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri. Sementara MKI itu terdiri daripada wakil-wakil autoriti agama Islam dari 14 buah negeri dan wilayah di seluruh Malaysia yang mana mereka mempunyai kuasa ke atas hal ehwal agama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Perdana Menteri dan kedua menteri itu adalah anggota Kerajaan Madani yang dibentuk melalui hasil pilihan raya umum. Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri adalah daripada PKR yang merupakan anggota Pakatan Harapan. Sementara PH pula dapat menerajui kerajaan kerana mendapat sokongan Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti Sabah.

Parti-parti ini mendapat sokongan kebanyakan kawasan parlimen di negara ini. Mereka memerintah dengan andaian bahawa apa yang dilakukan mereka itu adalah cerminan kehendak rakyat. Beginilah sistem demokrasi. Maka mereka mengandaikan kebanyakan rakyat menghendaki pengharaman buku itu. Maka apabila kerajaan dan rakyat mendokong tindakan itu, ia bererti negara Malaysia yang melakukan pengharaman itu.
Buku itu adalah mengenai umat Islam, maka ia adalah hanya berkaitan dengan rakyat beragama Islam di negara ini. Sebab itu yang mengambil tindakan itu hanyalah dari institusi agama Islam iaitu MKI dan Jakim.
Buku di zaman Tik Tok
Saya percaya majoriti besar orang Islam tidak membaca buku, lebih-lebih lagi buku ilmiah. Dari pengalaman saya sebagai editor buku dari tahun 1995 hingga 1999, buku ilmiah hanya boleh dicetak 3,000 naskhah, dan dapat dijual hanya purata separuh daripadanya. Sememangnya ada juga buku yang dicetak berulang kali tetapi tidak banyak yang sedemikian.
Daripada kalangan yang membelinya, hanya segelintir membaca, mungkin tidak sampai 10 peratus. Daripada mereka yang membacanya pula hanya sebahagian kecil yang ingat, bertambah kecil lagilah mereka yang dapat diyakini oleh hujah-hujah buku itu.
Bagi Malaysia, buku adalah kaedah paling lemah untuk mempengaruhi orang. Lebih-lebih lagi dalam zaman Tik Tok ini. Adalah lebih berkesan dengan menggunakan ceramah dan media sosial untuk mempengaruhi orang ramai.

Pada tahun 2008, saya pernah menghadiri satu majlis makan malam Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. Ia adalah anjuran Bahagian Penerbitan dengan kerjasama syarikat penerbitan Karangkraf Sdn Bhd. Saya pula diundang untuk mewakili syarikat Utusan Karya Sdn Bhd yang menerbitkan pelbagai tajuk majalah.
Dalam majlis itu, kebetulan saya duduk di sebelah seorang pegawai Bahagian Penerbitan KDN yang terlibat langsung dengan pengharaman buku. Maka saya mengambil peluang untuk bertanya mengapa dan bagaimana buku diharamkan.
Oleh itu, saya percaya ada orang Islam yang membuat laporan mengenai buku Islam, Autoritarisme dan Kemunduran Bangsa itu kepada KDN. Oleh kerana ia adalah mengenai agama Islam, maka ia kemudian diajukan pada Jakim. Buku itu kemudian dihantar kepada pakar untuk membuat penilaian.
Umumnya pakar merupakan ahli akademik di institusi-institusi pengajian tinggi. Saya percaya penilai-penilai itu terdiri daripada orang yang sefahaman dengan aliran agama Islam yang dominan dan berkuasa di negara ini iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah, bermazhab Imam Syafii dan berfahaman iktikad Asy'ariah dan Maturidiah. Kecuali Perlis, semua pihak berkuasa negeri memegang fahaman ini iaitu aliran yang disokong oleh kebanyakan orang Islam di negara lni.
Maka setelah dibuat penilaian, mereka akan membuat perakuan yang dihantar ke Jakim dan seterusnya MKI. Setelah dibincangkan, ia diputuskan, diwartakan dan diserahkan kepada Bahagian Penerbitan KDN untuk dikuatkuasakan pengharamannya.
Walaupun saya percaya kebanyakan orang Islam di negara ini menyokong dasar kerajaan mengawal penerbitan buku tetapi saya adalah daripada kalangan minoriti yang menentang pengharaman apa jua buku, lebih-lebih buku ilmiah. Bagi saya mengharamkan bukui bererti mengharamkan pemikiran.
Saya mula melihat buku itu pada Januari 2024 semasa mengunjungi kedai buku Balai Ilham di Nilai, Negeri Sembilan. Saya ke sana bersama pemilik Toko Buku Rakyat yang mahu turut mengedarnya.
Zaman Keemasan Islam
Buku itu adalah terjemahan dari buku bertajuk Islam, Authoritarianism and Underdevelopment. Saya menganggarkan mereka mencetak 1,000 atau 3,000 naskhah. Untuk menerbitkan buku itu memerlukan pelaburan yang besar dengan mengetahui ia tidak akan laku. Bukan saja kos cetak tetapi lebih besar ialah upah penerjemahan. Kemudian ada upah suntingan dan reka bentuk. Bayaran royalti perlu diberikan pada penulis asal yang tinggal di Amerika Syarikat.
Saya tidak membeli buku itu tetapi berhasrat untuk membaca buku asal dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan orang yang berminat dan tahu minat bahasa Inggeris akan membaca naskhah asal.
Walaupun umumnya penduduk negara ini tahu bahasa Inggeris kerana ia diajar di sekolah tetapi kebanyakan orang tidak membaca buku bahasa Inggeris. Ada sebahagian besar hanya membaca buku dalam bahasa Melayu. Maka buku terjemahan ke bahasa Melayu amat diperlukan. Namun terjemahan yang buruk menjauhkan orang daripada membacanya.
Walaupun saya mungkin tidak bersetuju dengan semua fikiran beliau tetapi saya berasa orang ramai perlu didedahkan pada pemikiran berbeza untuk mengembangkan dan memajukan masyarakat dan negara dalam konteks demokrasi global ini.
Buku ini diterbitkan oleh Islamic Renaissance Front, sebuah pertubuhan yang berusaha untuk merangsang masyarakat kepada pelbagai jalur fikiran. Perlu diingat bahawa dalam sejarah Islam, apa yang disebut sebagai Zaman Keemasan Islam hanya berlaku sekitar tujuh ratus tahun di Baghdad dan Kaherah pada zaman Kekhalifahan Abasiah dan Umayah di Cordoba. Pada masa itu pelbagai fikiran luar terutama dari Greek dibawa masuk. Pada zaman itu lahirlah ilmuwan Islam dari pelbagai bidang, baik sains, sastera mahupun falsafah.
Tetapi selepas zaman itu, umat Islam menjadi mundur. Sebaliknya ilmu mengenai banyak bidang itu berpindah ke Zaman Renaisans di Itali yang berkembang kepada zaman Pencerahan di Eropah dan selanjutnya membawa kepada Revolusi Sains dsn Industri yang menjadi asas kepada dunia moden hari ini.
Sebaliknya apa yang pergi kepada dunia Islam hanyalah ilmu agama dan minda ummah menjadi tertutup dengan sikap konservatisme melampau yang masih berlaku hari ini.
Mungkin IRF mengambil nama ‘Renaissance’ pada namanya kerana ia mempunyai aspirasi untuk menghidupkan kebangkitan intelektual negara ini. Namun nampaknya negara ini tidak dapat menerima aspirasi renaisans ini.
Saya sering hadir kegiatan IRF yang berupa perbincangan ilmiah dari tahun 2016 hingga 2019. Aktiviti IRF yang berupa seminar dan forum kecil diadakan dari masa ke masa dengan mengundang tokoh-tokoh dari luar negara. Antaranya dari Indonesia dan Turki.
Diskusi ini terbuka pada awam dan percuma. Ia diadakan di tempat-tempat selesa dengan disediakan makanan pada hujung minggu. Hadirinnya tidak ramai tetapi mereka adalah golongan yang amat berminat tentang diskusi ilmiah ini.
Saya turut serta dengan aktiviti IRF yang membincangkan antara lain tokoh seperti Ali Shariati, Tjokroaminoto dan lain-laln, iaitu tokoh-tokoh yang tidak dibincangkan dalam ceramah biasa. Pembentang yang jadi kontroversi adalah antaranya Mun'im Sirry dari Indonesia dan Ahmed T Kuru sendiri.
Tentulah apabila berdiskusi secara ilmiah, ia ada menyentuh hal agama kerana perbincangan adalah mengenai Islam dan umat Islam. Pernah satu ketika pihak berkuasa datang dan menuntut supaya seorang tokoh yang diundang perlu mendapat tauliah. Keadaan seumpama ini tentulah menyukarkan kegiatan IRF. Diskusi adalah bersifat ilmiah. Tapi ia disifatkan sedemikian oleh segelintir orang saja. Akhirnya IRF tidak aktif lagi untuk mengadakan aktiviti awam.
Diskusi pun kena kawal. Menerbitkan buku pun kena kawal. Maka sukarlah IRF atau mana-mana pertubuhan atau gerakan untuk mendorong supaya Malaysia mencetuskan renaisans Islam. Jika dunia Islam terus ketinggalan, tidak akan ada Zaman Keemasan Islam Kedua.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.