KOLUM | Perang Dunia Kedua bermula di Eropah pada 1 September 1939, apabila Jerman menyerang Poland. Great Britain dan Perancis bertindak balas dengan mengisytiharkan perang ke atas Jerman pada 3 September. Perang antara Soviet Rusia dan Jerman bermula pada 22 Jun 1941
Wajib kita tahu fakta sejarah Perang Dunia Kedua. Rusia mengorbankan nyawa paling banyak. Seramai 27 juta warga Rusia terkorban. Ini 10 peratus dari jumlah penduduk Rusia ketika itu. Seramai 8 juta soldadu Rusia gugur bertempur. Seramai 5.7 juta rakyat biasa etnik Rusia dan 1.3 juta etnik Ukraine menjadi mangsa perang.
Berbanding dengan Amerika hanya seramai 407,316 soldadu Amerika terkorban. Kira-kira 250,000 di medan perang Eropah dan baki 160,000 dalam Perang Pasifik.
Berbanding dengan United Kingdom hanya 264,443 anggota Tentera British terbunuh, dari jumlah lebih 750,000 anggota tentera British terbunuh, cedera, atau dilaporkan hilang.
Orang Islam perangi Hitler
Malah kita juga tidak di beri tahu bahawa mengikut data National Muslim War Memorial Trust seramai 5.5 juta orang Islam menyertai Perang Dunia Kedua menentang Nazi Jerman.
Hampir 1.5 juta umat Islam terbunuh. Soldadu Islam ini dalam pasukan Tentera India British dan juga dalam tentera Rusia.
Kita juga menjadi mangsa perang. Dari data Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu sendiri termasuk Singapura lebih dari 100,000 telah menjadi korban.

Apa yang sering kita baca berkenaan Perang Dunia Kedua hanyalah 6 juta Yahudi dibunuh oleh Nazi Hitler. Berita ini dihebohkan ke hulu ke hilir. Hollywood dengan wayangnya memperkukuhkan naratif ini sehingga dunia hari ini terus menyangka bahawa Hitler hanya membunuh Yahudi. Ini tidak benar.
Amat jarang kita mendengar tentang pengorbanan yang paling besar dari Rusia. Fakta ini sengaja di tenggelamkan manakala pembantaian Yahudi terus menerus di sebarkan hingga ke hari ini. Malah di Eropah telah menjadi kesalahan jenayah jika kita mempertikaikan jumlah Yahudi yang di bunuh oleh Nazi
Ketika Perang Dunia Kedua – Amerika, Britain, Perancis dan Rusia bekerjasama dalam pasukan Bersekutu. Tiga pemimpin negara ini di panggil Big Three: Franklin D. Roosevelt (Amerika Syarikat), Winston Churchill (United Kingdom) dan Joseph Stalin (Kesatuan Soviet).
Pasukan Bersekutu memerangi Pasukan Axis terdiri daripada Hitler dari Jerman, Mussolini dari Itali dan Tojo dari Jepun.

Selesai sahaja Perang Dunia Kedua – Rusia terus dianggap musuh. Maka bermulalah apa yang dipanggil Perang Dingin. Kawan sekubu kini menjadi lawan.
Perang Dingin ini perang ideologi. Perang ideologi yang lahir dari dua sistem ekonomi yang bertentangan. Rusia dengan sistem ekonomi sosialis dan Amerika dengan sistem ekonomi kapitalis.
Rusia dan Amerika memiliki tradisi revolusi. Dua-dua negara ini memiliki sejarah perjuangan untuk pembebasan.
Rusia dengan pimpinan Vladimir Lenin (1870-1924) melalui Revolusi Oktober 1917 telah mendirikan Soviet Rusia sebagai pengamal sistem ekonomi sosialis pertama dalam dunia.
Manakala Revolusi Amerika 1776 – membebaskan Amerika dari menjadi tanah jajahan United Kingdom. Amerika terus mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.
Ekonomi berpaksi senjata
Selesai Perang Dunia Kedua – ekonomi semua negara-negara di Eropah hancur terbarai. Amerika muncul sebagai negara ulung dan terselamat dari bencana perang. Ekonomi Amerika yang meleset sebelum perang kini membangun rancak. Tahun-tahun 1950an merupakan tahun kegemilangan Amerika.
Perang membantu perkembangan ekonomi Amerika. Soldadu Amerika yang berada di Eropah tidak dipanggil pulang. Mereka terus ditempatkan di Eropah.
Pada tahun 1949 seramai 12 negara Eropah barat menubuhkan Nato – perjanjian pertahanan – dikepalai oleh Amerika. Ekonomi yang berpaksikan senjata dan perang di teruskan di Amerika.
Sebagai jawapan kepada Nato pada tahun 1955 – Soviet Rusia menubuhkan Perjanjian Warsaw dengan tujuh buah negara Eropah Timur.
Ketika ini dunia terbahagi kepada dua negara kuasa besar – Amerika dengan bala tentera Nato dan Rusia dengan bala tentera Perjanjian Warsaw. Pada masa sama kuasa imperial Anglo-Amerika mendominasi Afrika, Amerika Latin dan Asia.

Hari ini perjanjian ketenteraan Nato yang bermula dengan 12 negara telah dianggotai oleh 32 buah negara. Selama 75 tahun Eropah Barat selamat berpayung di bawah hegemoni Amerika.
Hari ini Soviet Rusia dengan Perjanjian Warsaw telah lupus. Rusia tidak lagi memiliki kuasa hegemoni terhadap Eropah Timur. Rusia yang satu ketika di panggil USSR kini tidak wujud. Soviet Union runtuh pada tahun 1991. Bala tentera dikhuatiri oleh Eropah Barat itu tidak lagi wujud.
Masuk Presiden Donald Trump ke Rumah Putih untuk kali ke dua. Kali pertama dulu Trump telah menyatakan negara Eropah wajib menambah bajet pertahanan sendiri.
Kali kedua ini Trump dengan jelas menyatakan bahawa Amerika tidak lagi berminat dengan Nato. Amerika merasakan Eropah untung besar tidak berbelanja banyak dalam hal ketenteraan. Dalam masa yang sama Eropah juga tidak membeli produk Amerika walau pun keselamatan Eropah dijaga oleh bala tentera Amerika.
Amerika merasa ditipu oleh Eropah. Justeru Trump mahu mengenakan 25 peratus tarif terhadap produk Eropah yang di eksport ke Amerika. Inilah suasana yang dunia sedang kita hadapi sekarang. perang perdagangan telah bermula.
Kenapa kita wajib mengetahui semua ini? Apa sangkut-paut dengan Malaysia yang beribu batu jauhnya dari Eropah dan Amerika.

Penting memahami geopolitik dan politik ekonomi Amerika dan Eropah kerana dua negara ini rakan niaga kita.
Amerika akan niaga ke tiga terpenting sesudah Singapura dan China. Sementara itu Eropah menjadi rakan niaga keempat. Justeru ekonomi Malaysia terikat kuat dengan ekonomi Amerika dan Eropah.
Awas! Bloomberg awal tahun ini melaporkan ada kemungkinan Amerika akan mengenakan tarif terhadap Malaysia. Pada bulan April ini Trump akan mengumumkan tarif untuk produk elekronik dan semi-konduktor. Produk-produk ini eksport terbesar Malaysia ke Amerika.
Tarif ertinya cukai. Ertinya barang yang kita jual akan menjadi lebih mahal. Besar kemungkinan pengguna di Amerika akan mencari pasaran yang lebih murah.

Pergaduhan dan pertelingkahan Amerika dengan Eropah ini pasti akan membawa impak kepada kita. Malah dunia hari ini sedang dalam suasana tidak menentu. Kemasukan Trump ke Rumah Putih telah mengubah geopolitik seluruh dunia.
Dua perkara yang memangkin geopolitik ini, perang Ukraine dan perang Gaza. Di kedua-dua pentas perang ini Amerika dan Eropah terlibat.
Trump mahu Perang Ukraine ditamatkan. Amerika enggan terus mengeluarkan dana dan senjata untuk Ukraine. Tapi menamatkan Perang Ukraine ini tidak semudah yang diharapkan.
Perundingan berjalan. Dari segi niat – Ukraine, Rusia, Amerika dan Eropah bersetuju untuk menamatkan perang. Hantu setan dan polong akan muncul apabila memperincikan perjanjian ini.

Hakikatnya pendamaian masih jauh di hadapan. Eropah pada ketika ini dengan gah dan angkuh masih lagi melihat Rusia sebagai musuh.
Ketika ini Eropah terutama - UK, Perancis dan German - telah bersedia menerima hakikat bahawa Nato akan menjadi sejarah. Malah PM Keir Starmer dan Macron sedang merancang untuk mendirikan bala tentera Eropah. Jerman pula akan membelanja 600 bilion dolar untuk persenjataan.
Pada masa sama ekonomi dunia pada ketika ini sedang menguncup. China sebagai pengeksport terbesar dunia sedang mengalami masalah ekonomi. Ekonomi China sedang menguncup. Berjuta graduan tidak mendapat pekerjaan. Yang bekerja hilang kerja.
Sementara itu, di Eropah ekonomi Jerman pemangkin utama ekonomi Eropah sedang merundum. Malah mungkin menuju zaman meleset.
Bumiputera kulit putih
Di United Kingdom telah beberapa kali perdana menteri bertukar ganti. Ini manifestasi krisis ekonomi. Suasana politik dan ekonomi Perancis tidak jauh bezanya dengan apa yang sedang berlaku di UK.
Krisis ekonomi dibantu pula oleh krisis sosial yang maha hebat yang sedang melanggar Amerika dan Eropah.
Pendatang – yang haram dan yang halal – kini menjadi agenda politik utama. Menentang kemasukan warga yang bukan bumiputera berkulit putih sedang menjadi agenda politik di Amerika, di Jerman, di Perancis, di Itali dan di UK.

Rata-rata di Eropah dan di Amerika garis politik antimigran sedang mengampuh. Keadaan ini menjemput pelbagai pandangan dan penganalisan. Ada yang mengatakan ini sama seperti suasana tahun-tahun 1930an - suasana menuju ke zaman meleset.
Krisis sosial dan ekonomi ini menjadi lebih parah bila malapetaka iklim sama sampai. Dulu pelarian perang kini pelarian iklim. Dari Amerika Selatan mangsa pelarian iklim menuju ke Amerika Utara. Dari Afrika dan Asia mangsa pelarian iklim lari menuju Eropah.
Suasana geopolitik dan ekonomi yang tidak menentu ini diperkusutkan lagi oleh Internet. Berita dan maklumat palsu menjadi sarapan harian. Keadaan parah ini diparahkan lagi dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI).
Justeru kita wajib bertanya pada diri sendiri: Ke mana arah kita semua hari ini? Ke mana arah tuju perang perdagangan ini? Apakah perang Ukraine dan Perang Gaza akan membuka pentas perang yang lebih meluas hingga menuju ke arah perang dunia ketiga?
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.