KOLUM | Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, ekonomi negara dijangka terus mengukuh pada tahun ini didorong oleh beberapa faktor.
Misalnya rangsangan ekonomi dipacu oleh pertumbuhan pasaran buruh yang memberangsangkan, peningkatan eksport dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta pelaksanaan beberapa inisiatif dalam sektor pelaburan utama.
Empat sektor paling utama yang menyumbang kepada perkembangan positif ekonomi negara itu adalah sektor perkhidmatan, pembuatan, minyak sawit serta minyak dan gas (O&G).
Ya, seni, sastera dan filem bukanlah bidang yang dapat diharap dapat memberikan banyak sumbangan ekonomi buat negara ini.
Dalam kertas kerja Dasar Industri Kreatif Negara yang dilancarkan pada 2012 dulu, dijelaskan bahawa secara purata industri kreatif di negara-negara maju menyumbang antara 1 peratus sehingga 5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dalam konteks Malaysia, industri kreatif dianggarkan menyumbang 1.27 peratus kepada KDNK dengan sebahagian besar datang dari sektor pengiklanan.
Pada tahun itu jugalah sejumlah RM200 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi melonjakkan bidang perfileman. Malangnya filem terbaik yang meraih banyak anugerah di Festival Filem Malaysia pada 2013 - berjudul Bunohan - hanya mengutip sekitar RM780,000 berbanding RM1.8 juta yang dilaburkan.
Ada petunjuk memberangsangkan
Boleh jadi mentaliti apresiasi buruk penonton terhadap filem pada zaman itu – yang tidak pandai menghargai seni filem sebaik Bunohan atau Hanyut di pawagam – kini sudah berubah.
Pada Ogos tahun lalu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menyatakan bahawa sejak 2013 hingga 2023, pelaburan asing dan domestik bernilai RM2.4 bilion telah dicatatkan sementara 22,820 peluang pekerjaan diwujudkan.
Menurut Teo lagi, prestasi kutipan filem pecah panggung tempatan sepanjang 2023 juga menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak 56 buah filem tempatan mencatatkan kutipan RM98.8 juta secara keseluruhan.
Malah setakat Mei tahun 2024 saja, kutipan pecah panggung yang dicatatkan daripada 26 buah filem mencecah RM87 juta, yakni hampir menyamai jumlah keseluruhan kutipan yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Makanya tentu ada bayangan potensi besar ekonomi yang boleh diperoleh daripada sektor perfileman walaupun ia tidak menyumbang sebanyak empat sektor utama ekonomi itu tadi.
Bagaimanapun perubahan sikap penonton yang semakin baik, petunjuk dan peratusan yang memberangsangkan, kadar KDNK serta angka-angka yang menunjukkan peningkatan tidak sentiasa akan jadi ukuran sumbangan sesuatu sektor terhadap negara.

Hari ini kita mempunyai suatu masalah yang dipanggil educated illiterate (buta huruf yang terpelajar). Ia merujuk kepada sekumpulan individu yang berpendidikan tetapi buta dan tuli dalam menterjemahkan pengetahuan masing-masing ke dalam kehidupan.
Individu yang memiliki masalah ini sangat bangga menonjolkan sikap berpelajaran mereka dengan bermacam aksi kebodohan yang dilakukan secara terbuka di khalayak ramai.
Sungguhpun mereka kumpulan agamawan yang belajar tentang agama misalnya, kumpulan atau individu terbabit tidak teragak-agak untuk membelakangkan moral, ihsan dan kemanusiaan kerana masing-masing yakin Tuhan tetap akan bersama walau sebanyak pun kejahatan yang dilakukan.
Pertimbangan akal fikiran mereka juga selalu cetek walaupun sebenarnya memiliki kelulusan dan jawatan yang baik.
Tak fikir panjang untuk tampar
Hasilnya ialah, masyarakat kita akan hidup seperti zombi yang sentiasa lapar untuk menyerang serta mencederakan sesiapa sahaja yang tidak sealiran.
Persekitaran hidup jadi bobrok, keamanan terpecah menjadi kacau apabila provokasi kaum, penghinaan agama, kecaman antara kumpulan dan mesej-mesej kebencian dinormalisasikan.
Manusia zombi sebegini bukanlah pengemis atau gelandangan yang biasa kita lihat di jalanan. Sebaliknya mereka memiliki rumah dan kenderaan besar, memiliki pekerjaan yang baik serta status sosial dalam masyarakat.
Sebagaimana dapatan dari Laporan Rasisme Malaysia 2024 yang dijalankan Pusat Komas, terserlah bahawa anggota parlimen selalu menggunakan sentimen perkauman dan agama dalam ucapan – sama ada secara halus atau terbuka.
Ia kemudian tentu saja akan mendorong zombi-zombi lain untuk membuat tindakan susulan yang pada akhirnya keadaan menjadi sukar dikawal.

Zombi-zombi itu tidak akan teragak-agak untuk menampar sesiapa sahaja yang tidak mahu tunduk pada kehendak mereka. Tiada undang-undang negara yang terpakai kerana hukuman akan diletakkan pada buku lima mereka saja.
Semua ini berlaku akibat dari proses pereputan otak (brain rot) yang mereka alami kerana terlalu banyak mendengar dan menonton kandungan-kandungan media sosial yang bodoh serta tidak berkualiti.
Ia diburukkan lagi dengan labun-labun ceramah, sembang audio siar dan keratan-keratan video politik yang membantutkan fungsi otak.
Ada peranan besar
Oleh kerana itu pengkarya dalam bidang perfileman serta penyedia platform penyiaran harus diberikan tanggungjawab untuk memainkan peranan.
Negara kita yang sedang berhadapan dengan krisis peradaban dan kebudayaan ini harus segera diselamatkan. Kegilaan pihak tertentu untuk menumbangkan kerajaan dengan menjadikan rakyat sebagai zombi harus diubah.
Rakyat wajib diwaraskan dengan karya-karya filem yang bijak dan pintar.
Pergeseran keilmuan dan akal budi yang berlaku hari ini mengakibatkan ilmu pengetahuan, adat, tradisi dan budaya tidak lagi menjadi teras pegangan anggota masyarakat.
Justeru kerajaan Madani yang membawa misi untuk memajukan pemikiran, kerohanian dan kebendaan rakyat harus menyedari bahawa sektor perfileman ada peranan yang lebih besar daripada sekadar menyumbang dalam bentuk KDNK negara saja.
Melalui sektor perfileman, kewarasan rakyat dapat dikembalikan agar menjadi manusia berakal, berilmu dan berpengetahuan.
Sangat kritikal untuk mereka dipaparkan dengan kandungan sastera dan kebudayaan yang bermutu dan berpengetahuan setiap hari.
HARIS HAUZAH ialah Melayu Islam yang cuba hidup tanpa rumah, kereta dan telefon.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.