Selama tiga minggu di tengah sebuah kota yang sibuk, Puan Remlah berpanas berhujan di bazar Ramadan. Reruainya memperagakan almond London, biskut bersalut coklat dengan inti badam yang sedang masyhur tatkala itu. Dia juga menawarkan tart nenas kepada pelanggan, kebetulan dia memang pencinta pastri rapuh dengan jem nenas disumbat di dalamnya. Terdapat juga popia simpul mengecur liur.
Bayangkan, aduh kulit popia yang disimpul dengan isi serunding ayam atau daging pedas. Lain-lain dia menyediakan cornflakes madu. Salah satu kegemarannya yang lain ialah semperit, sarang semut, biskut suji dan biskut dahlia.
Tiga minggu itu dia menyamar sebagai peniaga bazar Ramadan.
“Laris?”
Puan Remlah meneguk kopi creme brule. Ikut tergiur, saya juga mencicip kopi buttercream. Kami terperuk di sebuah sudut di Kopi Saigon, luar Ipoh.
“Mana tidaknya, saya sendiri terkejut. Sepanjang penyamaran saya itu saya dapati pulangan atau keuntungan yang diperolehi mencapai ratus ribu, Dr. Patutlah peniaga berebutkan tapak bazar Ramadan di kota yang sibuk itu. Dan sepanjang itu juga saya berdebar. Saya perlu mengimbang diri sebagai peniaga kuih raya, dan sebagai pegawai SPRM.”
Saya mencapai pena, mencatat, “Tapi Puan Remlah nak takutkan apa?”
Di kalangan pegawai SPRM, Puan Remlah lebih dikenali sebagai Crispy. Dia belum bertudung ketika itu dan loghat Sabahnya yang agak ketara kadang menjadi seloroh-ajukan teman-teman. Pun dia tidak kecil hati. Sejak menyertai SPRM pada tahun 2009, Puan Remlah memang menganggap kawan-kawan pejabatnya adalah keluarga besar yang memahami.

Pada tahun 2006, ketika latihan di Tanjung Bidara, Melaka, satu generasi dengannya terdapat 100 lebih pegawai. Dan generasi itu antara yang paling ramai menerima pegawai SPRM wanita (atau tatkala itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah).
“Latihan memang lasak. Memang macam latihan polis. Saya betul penat. Habis saja hari, melepet kami. Tapi saya layankan juga. Orang mula panggil saya Crispy kerana bunyi ’drak’ sendi saya. Entah mengapa ia mudah berbunyi bila saya meluruskan sendi-sendi jari, memutarkan pergelangan tangan, menggerak kepala atau meluruskan sendi lutut. Jadi orang rasa saya macam biskut, rangup,” dia tertawa kecil.
Saya tidak mencelah atau mahu mengganggu Puan Remlah yang perlahan-lahan rasa yakin bercerita. Saya tahu apa yang dia maksudkan itu adalah crepitus dalam bahasa perubatan.
“Usai latihan, saya dihantar ke Cawangan Perkhidmatan Teknik, di Bahagian Perisikan.”
Crispy di bahagian tersebut kira-kira dua tahun. Dia mulai tepu dengan tugas yang sebetulnya tiada dalam khayalannya ketika menyertai SPRM. Pegawai atas menyedari tugas Puan Remlah perlu digilirkan dengan yang lain. Ketika itulah dia dihantar ke cawangan yang mengerjakan projek khas. Ada beberapa orang perempuan sahaja yang terpilih. Dan Puan Remlah memang tidak menyembunyikan hakikat dirinya memang berminat untuk menyertai sebarang operasi. Jadi arahan itu dianggap umpama pucuk dicita ulam mendatang.
“Tak takut bila membuat operasi?”
“Bergantung, tetapi bukan kita seorang. Kalau tidak berkumpulan, paling-paling kami ada pasangan kerja.”
Sepanjang berada di bahagian operasi atau projek khusus itu, Puan Remlah tidak pernah rasa didiskriminasi kerana gender. Kebetulan pegawai atasnya ketika itu beranggapan semua tugasan yang boleh dilakukan pegawai lelaki, boleh juga dilunaskan oleh pegawai wanita. Maka dia memang bersungguh-sungguh mahu menyerlah untuk membuktikan kemampuan kaum wanita.
“Projek khas pertama saya tatkala itu sebagai pegawai penyiasat adalah untuk menyiasat satu kes pasir di negeri Selangor. Kes menipu docket.”
“Docket?”
“Dokumen yang berisi konsaimen, pakej tertentu…dan dalam hal ini berapa banyak pasir di kuari yang diangkut, berapa lori yang keluar masuk. Pemandu lori perlu sentiasa membawa docket, dan docket ini akan mengesahkan berapa kuantiti berat pasir. Semacam buku slip.
“Jadi kalau nak menipu mereka boleh semberono untuk membanyakkan tuntutan. Sebetulnya ini kes kartel. Malaysia ini penuh kartel, Dr. Kadang kita nak salahkan kerajaan sahaja tak boleh.”
Dengan kes ini, Puan Remlah pertama kali mempelajari bagaimana menjadi pegawai penyiasat, menyiapkan kertas siasatan, bekerja di tapak, ikut mendaki berlari, berdebu bersampah, dan disalak anjing Rottweiler dan German Shepherd garang.
Bermula dari situ dia ditugaskan pula ke kes-kes lebih mencabar. Dia menyamar pula sebagai pengusaha kolej swasta untuk memerangkap ‘con man’ yang kononnya ada kaki di Kementerian Dalam Negeri. ‘Con man’ yang kononnya boleh memudahkan urusan visa pelajar. Dalam kes itu, Puan Remlah menjadi saksi utama transaksi penyerahan duit.
Kerja Puan Remlah terus cemerlang, dan dia berganti kes. Kali ini dia perlu memerangkap guru asrama sebuah sekolah di Sarawak yang cuba menipu tuntutan. “Di sekolah ini, guru atau warden asrama yang berurusan dengan kontraktor kantin sekolah. Guru ini menekan kontraktor dengan kuantiti yang tak sepatutnya, padahal pelajar yang ada untuk makan berapa orang saja. Tapi guru claim lebih. Dia minta duit lebih.”
“Ada kes di bulan Ramadan?”
Puan Remlah spontan menyahut dengan gelak. Tiba-tiba pula gelak Puan Remlah digalak oleh gelak lain dari pelanggan muda yang mencari siri frappe dan teh tarik Vietnam yang sedap di Kopi Saigon.

“Ada. Bos arahkan saya menjadi penyamar untuk memerangkap penjual tapak bazar Ramadan?”
“Kenapa?”
“Sebab saya crispy, rangup, jadi layak untuk menjual biskut…” Puan Remlah ketawa beria-ia, barangkali serasa indah mengenangkan pengalaman lalu itu. Kes tersebut sudah lebih sedekad. Puan Remlah mengambil masa untuk mengingat.
“Arahannya ialah saya perlu membeli tapak bazar Ramadan. Kami pada mulanya akan memerangkap seorang ahli Persatuan Penjaja. Sumber kami memberitahu sasaran ini bukan orang sembarangan.”
Pun, Puan Remlah gagal beroleh tapak bazar. Sasaran menyatakan tapak sudah pun penuh, meskipun sumber projek khas SPRM ini memberitahu tapak bazar masih banyak. Ternyata sasaran berhati-hati dan memilih-memilih peniaga yang dia inginkan. “Bila peniaga tak dapat tapak mereka akan bising-bising dengan Majlis Bandaran, padahal kadang di pihak Persatuan Penjaja pun ada buat hal.”
Begini, di kota yang sibuk, terdapat sebuah jalan yang panjang. Jalan memanjang ini akan ditutup siang membawa ke malam oleh pihak berkuasa tempatan untuk dijadikan tapak bazar.
Saya cuba memahami latar kes. Di jalan panjang ini terdapat penguasaan tiga empat buah Persatuan Penjaja. Dalam erti kata lain Persatuan Penjaja beroleh kuota atau tapak bazar dari Majlis Bandaran.
“Kenapa Majlis Bandaran beri kuota kepada Persatuan Penjaja pula? Tak boleh secara langsung?” Tanya saya pura-pura naif.
“Apa pula tak bolehnya Dr? Tapi Persatuan Penjaja ini, konon mereka memperjuangkan hak penjaja, buat hingar. Jadi Majlis Bandaran akhirnya tunduk dan membuat sempadan. Jalan yang panjang itu dibahagi ikut lokasi, dan diperuntuk kepada tiga empat Persatuan Penjaja. Kita orang awam tak perasan atau tak tahu garis sempadan ini. Setiap Persatuan Penjaja ada senarai nama ahli, dan tapak ini boleh diberikan kepada ahli sahaja. Kononnya niat murni untuk mendahulukan ahli.
“Tapi selalunya, ahli ini tak berniaga pun. Makanya ahli ini akan menjual kepada orang luar atau peniaga dengan harga tapak dinaikkan menggila. Pun peniaga tak kisah. Ini kerana tapak kadang 10X20 untuk menjual baju raya kanak-kanak akan balik modal dalam masa dua tiga hari sahaja. Kalau menjual kurma, dua hari sudah mula mengutip untung.”
Puan Remlah tahu sebagai peniaga dia hanya perlu membayar sekitar RM1,000 kepada Majlis Bandaran untuk satu tapak. Akan tetapi, berurusan dengan ahli Persatuan Penjaja terbabit, tapak yang diperuntukkan itu kini mencecah RM28,000-35,000.
Sumber projek khas mereka memberitahu dari jumlah puluh ribu itu, akan ada porsi untuk pegawai Majlis Bandaran, dan tentu sahaja jumlah spesial buat ahli Persatuan Penjaja yang memberikan hak tapaknya itu.
Puan Remlah tambah jengkel dengan rasuah, penyelewengan dan korupsi. Itu yang menjadi motivasi untuk dirinya bangkit setiap pagi sebagai ‘penjual kuih raya’ atau apa-apa penyamar dalam operasi khas pun. Ini kerana dia dapat melihat sendiri wang negara digerigit oleh tikus jahat, dan dia mahu membanterasnya.
Akan tetapi untuk kali ini, perangkap SPRM hanya untuk anggota Persatuan Penjaja. Oleh kerana sasaran awal enggan menjualkan tapak bazar. Puan Remlah berusaha mendapatkan sasaran seterusnya.
Perangkap SPRM mengena, “Saya hubungi sasaran baru. Kami berpakat untuk bertemu di sebuah restoran makanan segera. Saya hairan juga, ini kerana ketika itu bulan puasa. Tapi rupanya di restoran makanan segera itu memang ada banyak ’pertemuan’ sedang terjadi, di sela pelanggan bukan Islam dan pelancong yang takut-takut untuk menjamu selera.”
“Jumpa di restoran untuk apa?”
“Saya nak beri wang pendahuluan. Sasaran iaitu ahli Persatuan minta RM5,000 terlebih dahulu.”
“Bagaimana kalian memerangkap sasaran?” Saya kian tertarik.
“Kami duduk di sebuah meja berdua. Saya dan sasaran. Saya beritahu dia, saya ibu tunggal. Susah, maka nak jual kuih raya. Dia selamba minta RM35,000. Selepas tawar menawar, dia berhenti di angka RM27,000.”
“Ada perasaan takut waktu itu?”
“Ada juga. Sebab sasaran ini meskipun warga emas tetapi dia ada ’rank’ dalam kongsi gelap Melayu yang beroperasi di situ. Jadi gangster ada berkeliaran. Dia nampak sahaja sempoi, berniaga ala Rambo iaitu dompet kulit. Tapi sebenarnya seseorang juga orangnya. Tapi rakan sekerja iaitu pegawai SPRM lain ada di meja sebelah memantau pergerakan.”

Satu hal yang menarik ialah ketika Puan Remlah menyamar itu, dia juga harus mengendalikan alat rakaman di tubuh. Bersama dengannya ada kamera video kecil tersembunyi sebagai kunci kenderaan, dan ketika itu Puan Remlah mengenakan kaca mata dengan kamera.
“Masalahnya Dr, waktu itu…lama dahulu, teknologi tak secanggih hari ini. Bila rakaman berlangsung terus menerus, spek itu mulai terasa panas. Tapi saya menahan saja. Takut juga kalau spek itu terbakar, meletup atau apa. Sudahlah saya tak pasti apakah alat itu betul-betul berfungsi. Saya tak cekatan sangat dengan gajet-gajet begini.”
“Ada pengalamanlah jadi James Bond.”
Setelah beroleh tapak, bulan puasa telah pun memasuki minggu kedua. Makanya sumber projek membekalkan Puan Remlah dengan tapak untuk menjual kuih raya. Tiga minggu, mulai pukul 11 pagi dia akan berpanas dahaga, membawa ke malam santak pukul 10, menyamar sebagai saudagar kuih.
“Tapi kenapa Puan mesti berniaga juga? Bukankah sasaran sudah pun menerima bayaran RM27,000?”
“Eh mestilah berniaga. Nanti sasaran itu tahu pula, sebab dah bayar. Kalau tak berniaga nanti kantoilah kami daripada SPRM. Kita mesti yakinkan sasaran dahulu.
“Maka saya pun berniaga atas nama permit bogus, menggunakan nama palsu, kad pengenalan bogus. Jadi dapat permit dengan nama bogus. Elok saja Majlis Bandaran lepaskan. Padahal syarat permit diberi kepada penjaja tidak boleh dijual kembali. Tapi Majlis Bandaran pun memejam mata. Pegawai mereka datang berkeliaran pun hanya tengok lesen sambil lalu.”
“Waktu itu Puan guna nama apa?”
“Ros Mama. Saya guna nama Rosjah.”
“Oh?” Saya berasa kagum.
Dalam perbualan, ketegasan Puan Remlah sebagai pegawai SPRM terserlah. Dia berpandangan prosedur dan peraturan berkait tapak bazar yang sudah ada memang masih boleh ditambah baik, akan tetapi terdapat ketidakpatuhan SOP di beberapa lapis yang membolehkan penyelewengan, korupsi dan sogokan kekal berlaku.
Komitmen pemimpin kerajaan seperti menteri dan kepimpinan Majlis Bandaran sangat diperlukan. “Bayangkan kalau menteri pun dan penyokong dan penajanya adalah orang seperti sasaran kedua tadi. Orang kuat kongsi gelap Melayu. Atau kalau menteri Cina dan India hal yang sama juga terjadi…bila masalah tapak berniaga nak selesai di negara ini kalau semua lapis ada melindungi?”
Saya menghela nafas, patutlah kisah kartel bazar tidak pernah habis-habis. Puan Remlah menambah, sebetulnya dia agak kasihan juga dengan sasaran ahli Persatuan Penjaja tersebut. Usianya menghampiri 70 tahun, tetapi rasa belas itu terpaksa dikambus.
“Walaupun dia macam pangkat-pangkat ayah kita, tapi korup tetap korup…kita hantar juga ke penjara.” Ujar Puan Remlah sambil menggerakkan tengkuknya, dan ‘drak’ bunyi sendi itu kedengaran.
Dalam hati saya bersuara, oh patutlah crispy.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.