KOLUM | Dari Washington DC diberitakan bahawa Presiden Trump telah menghubungi Presiden Putin melalui telefon. Dua pemimpin dunia ini membincangkan cara menghentikan perang di Ukraine.
Pada ketika ini serang menyerang masih berlaku. Malah bertambah ganas. BBC melaporkan 337 dron Ukraine menyerang Moscow. Sebanyak 91 ditembak jatuh. Al-Jazeera pula melaporkan 178 dron Rusia menyerang dan 130 ditembak jatuh.
Cadangan gencatan senjata selama 30 hari kini dalam perbincangan. Ini hasil dari pertemuan pemimpin tertinggi Ukraine dengan wakil Presiden Trump di Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini.
Presiden Ukraine Zelensky telah menerima rancangan gencatan senjata ini. Putin juga mengatakan dia bersetuju pada dasarnya. Tetapi Putin menyatakan terdapat "soalan serius" untuk Rusia yang perlu ditangani terlebih dahulu.
Pandangan Putin ini telah diperlekeh oleh Zelensky.
Dia menganggap Putin sengaja melengahkan perjanjian gencatan senjata. Zelensky menuduh Putin enggan menghentikan perang.

Cadangan awal gencatan senjata ini dimunculkan oleh Presiden Macron dari Perancis. Cadangan ini mendapat sokongan Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer. Jelas kelihatan ada kerjasama yang erat antara Perancis dan Britain dan juga Kesatuan Eropah.
Malah Starmer telah mengadakan sidang kemuncak minggu lalu. Sebanyak 20 negara terlibat – dari Kesatuan Eropah, NATO, Australia, New Zealand dan Canada. Sidang ini diadakan secara dalam talian melalui Zoom. Presiden Zelensky terlibat sama.
Dalam persidangan ini Starmer dan yang lain sedang berusaha untuk mendorong Presiden Putin ke arah rundingan damai
Starmer berkata: ‘“Kami bersetuju kami akan terus meningkatkan tekanan ke atas Rusia, memastikan bantuan ketenteraan mengalir ke Ukraine, dan terus mengetatkan sekatan ke atas ekonomi Rusia untuk melemahkan jentera perang Putin dan membawanya ke meja”.
‘Gabungan yang sanggup’
Dari apa yang berlaku di hadapan mata dunia sekarang jelas ada dua pendekatan. Satu usaha dari Trump dan satu lagi dari Starmer dan Kesatuan Eropah. Ada perbezaan yang jelas antara dua pendekatan ini.
Trump cuba menamatkan perang ini dengan memberi tekanan awal kepada Zelensky. Perbalahan di Oval Office antara Trump dan Zelensky di hadapan kamera TV telah membuktikan bahawa Trump mahu Ukraine - yang dilihat berdegil - untuk berdamai.
Trump kemudian bertindak menghentikan sokongan dana. Menghentikan penghantaran senjata. Dan membatalkan semua sokongan risikan untuk kegunaan tentera Ukraine.
Trump berjaya. Zelensky yang degil kini berubah dan terus menjadi jurucakap damai. Dengan licik Zelensky mengubah dasar dan membalingkan bola ke padang Putin. Kini Putin dituduh sebagai mahu meneruskan perang.
Manakala pendekatan dan cara yang disusun oleh Starmer ini agak mencurigakan. Starmer menjual idea apa yang dipanggil “coalition of the willing” atau “gabungan yang sanggup” ke negara-negara Eropah.
“Sekarang adalah masa untuk meletakkan tekanan maksimum ke atas Rusia," kata Starmer. Kumpulan "gabungan yang sanggup" berikrar untuk bergerak ke "fasa operasi" perancangan praktikal.

Tanpa merujuk atau berbincang dengan Trump di Amerika, Starmer kini telah menjadi panglima perang. Gabungan ini sedang berbincang hal ketenteraan. Mengikut Starmer, jaminan keselamatan konkrit yang boleh termasuk "tentera di darat dan kapal terbang di langit" jika perlu.
Jelas kelihatan Trump dan Amerika mahu damai. Manakala Starmer seolah-olah dilihat mahu Perang Ukraine diteruskan. Apa sebenarnya sedang berlaku?
Untuk memahami ini kita wajib melihat kembali ke akar umbi punca perang ini. Selepas runtuhnya USSR – Soviet Union 1991 – Rusia dilihat bukan lagi sebagai satu kuasa besar. Tamatnya Perang Dingin, Amerika dakwa mereka meraih kemenangan.
Rusia di bawah Gorbachev dan Amerika di bawah Reagan – dua pemimpin ini mahu berbaik-baik. Malah Gorbachev sendiri menyatakan Rusia mahu menjadi keluarga Eropah. Rusia tidak ada masalah untuk bersama NATO.
Apabila Jerman Timur bersatu dengan Jerman Barat, hanya satu permintaan Rusia: NATO jangan diperluaskan anggotanya ke Eropah Timur.
Pemimpin datang dan pergi. Perjanjian Reagan dan Gorbachev tidak diambil kira. Satu demi satu negara Eropah Timur menjadi anggota NATO. Ketika ini Ukraine di bawah kerajaan yang mahu berjiran baik dengan Rusia.
Pada 2014 melalui kerja jahat CIA satu rampasan kuasa berlaku. Presiden Victor Yanukoyvch digulingkan. Kerajaan baru Ukraine tidak lagi mahu menjadi jiran yang berbaik dengan Rusia.
Di wilayah Donbas – selatan Ukraine – majoriti etnik Rusia diserang. Rusia masuk campur-pertempuran berlaku. Akhirnya perjanjian Damai Minsk ditandatangani pada 2014. Suasana reda.
Namun keadaan tegang kembali. Presiden Zelensky mahu melamar untuk menjadi anggota NATO. Rusia membantah kerana tidak mahu bala tentera NATO berkhemah di hadapan ‘pintu rumah’ mereka.
Wilayah Donbas pula membuat pungutan suara. Rakyat Donbas mahu masuk menjadi wilayah Rusia. Suasana bertambah tegang. Maka pada 24 Februari 2022 Putin melancarkan Operasi Istimewa terhadap Ukraine – Perang Ukraine bersambung lagi.
Hakikatnya Perang Ukraine ini ialah perang proksi. Amerika menggunakan Ukraine untuk memerangi Rusia. Amerika dan konco-konco dalam NATO hanya membekal senjata, memberi dana dan maklumat risikan. Dalam masa yang sama – secara gelap - ada pegawai penasihat tentera yang dari Amerika yang membantu Ukraine.
Polong dan hantu
Untuk Presiden Trump perang ini ialah perang yang direka oleh Obama dan dikembangkan oleh Biden. Justeru Trump mahu dilihat sebagai Presiden Amerika yang membawa damai.
Presiden Obama dapat Hadiah Nobel Keamanan kerana menentang merebaknya senjata nuklear. Mungkin jika Perang Ukraine tamat Trump ada peluang untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan dari Sweden.
Panggilan telefon antara Trump dengan Putin telah berlaku. Trump melalui sosial media telah menulis bahawa semua berjalan baik seperti yang dirancang. Putin bersetuju dengan gencatan senjata.

Langkah pertama ialah Rusia akan menghentikan serangan terhadap jana kuasa Ukraine. Juga Rusia dan Amerika akan mencari jalan untuk menyelesaikan kedudukan loji nuklear Zaporizhzhia. Loji ini yang terbesar di Eropah kini telah ditawan oleh Rusia semenjak 2022.
Bunyi cakap Trump ini kelihatan mudah. Tetapi hakikatnya masih banyak ‘polong’ dan ‘hantu’ wujud dalam perjalanan menuju damai.
Putin sebaliknya menggariskan beberapa syarat. Putin mahu semua bantuan tentera dihentikan semasa 30 hari gencatan senjata berjalan. Putin tidak mahu 30 hari ini digunakan untuk menyusun kembali bala tentera Ukraine.
‘Polong’ besar ialah apakah Amerika akan menerima hakikat bahawa Ukraine tidak akan kembali ke sempadan asal sebelum 2014? Apakah Trump akan mengiktiraf wilayah Crimea dan Donbas yang kini telah menjadi sebahagian dari Rusia?
Sempadan baru Ukraine ini pasti akan ditolak oleh Presiden Zelensky. Malah sebelum Trump dan Putin berbincang Zelensky telah menyatakan bahawa Ukraine tidak mahu menerima sempadan baru.
Dari sini kita akan kembali kepada persoalan asal: keahlian Ukraine dalam NATO. Inilah punca yang menyebabkan Putin melancarkan Operasi Istimewa pada 24 Februari 2022 terhadap Ukraine. Rusia tidak akan menerima Ukraine menjadi anggota NATO.
Presiden Trump yang memperlihatkan sikap “bertolak ansur” terhadap NATO mungkin akan menerima pandangan Putin. Tetapi bahaya datang dari polong-polong baru yang sedang dikumpulkan oleh Starmer dan Macron.
“Kasut di atas tanah dan kapal terbang di langit” adalah tanda kesediaan PM Starmer untuk menghantar soldadu ke Ukraine. Manakala Presiden Macron telah mengeluarkan cadangan agar Eropah dipayungi oleh senjata nuklear Perancis.
Sikap Trump terhadap NATO telah memperkuatkan iman negara Eropah. Kini negara-nagara Eropah berjanji untuk menaikkan lagi bajet untuk persenjataan.
Negara-negara Eropah Barat semenjak selesai Perang Dunia Kedua telah berpayung di bawah NATO yang dikepalai oleh Amerika. Hari ini masih ada 64,000 soldadu Amerika di Eropah - 34,000 soldadu Amerika di Jerman, 12,000 di Itali, 10,000 di UK dan di negara NATO yang lain.
Kerajaan Jerman yang baru ditubuhkan akan membelanjakan 600 bilion Euro untuk mendirikan infrastruktur senjata. Ini bermaksud mendirikan kilang senjata dan mengumpulkan bala tentera. Bajet sebanyak ini adalah paling besar dalam sejarah Jerman semenjak Perang Dunia Kedua.
Starmer telah juga mencadangkan jika berlaku gencatan senjata maka perlu ada soldadu pemerhati untuk memastikan perjanjian damai berjalan lancar.
Tentera asing di Ukraine ini adalah ‘polong’ yang amat-amat ditentang oleh Putin. Rusia tidak akan menerima soldadu pemerhati ditempatkan dalam Ukraine. Untuk Putin ini adalah pintu belakang bagi Ukraine menjadi NATO.
Trump mungkin kini melihat Rusia sebagai bakal rakan meniaga. Tetapi negara-negara Eropah masih melihat Rusia sebagai musuh. Eropah kini dilihat sebagai batu api yang mahu meneruskan perang.
Kita tunggu dan lihat apa akan terjadi minggu hadapan. Dalam politik, satu minggu adalah jangka masa yang panjang. Semua boleh berlaku.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.