malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

KOLUM | Semenjak Israel diwujudkan Tel Aviv adalah ibu negara Israel. Semua pejabat duta negara-negara yang mengiktiraf Israel berpusat di Tel Aviv walau pun Israel sendiri sentiasa kata Jerusalem atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Kota Baitulmaqdis ini terletak di Tebing Barat. Pada tahun 1967 wilayah Tebing Barat ini ditakluk oleh Israel. Kota Baitulmaqdis terpecah dua – Timur dan Barat.

Baitulmaqdis Timur ialah istilah yang digunakan untuk menandakan bahagian Baitulmaqdis yang berada di bawah pendudukan Israel selepas perang 1967. Baitulmaqdis Barat yang berada di bawah kawalan Israel sejak perang 1948. Ada Garisan Hijau memisahkan Baitulmaqdis Timur dan Barat.

Jerusalem atau Baitulmaqdis adalah kota suci untuk agama Yahudi, Kristian dan Islam. Di kota ini ada bangunan dan banyak tapak-tapak penting lagi suci dalam ajaran dan sejarah agama-agama ini. Contohnya termasuk Gereja Holy Sepulchre, Dome of Rock, Masjid Al-Aqsa dan Tembok Barat.

ADS

Semua presiden Amerika menyokong kewujudan Israel. Jika ada senator atau ahli Dewan Kongres yang berani mengkritik Israel, pasti sosok ini akan dikalahkan ketika bertanding untuk kali kedua.

Tetapi Trump ketika menjadi presiden kali pertama telah menunjukkan sikap pro-Israel yang jelas lagi terbuka.  Trump seorang  Zionis yang tidak berselindung.

Pada 6 Disember 2017, Presiden Trump secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan menyatakan bahawa kedutaan Amerika akan dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Pada 2025 Trump menjadi presiden sekali lagi. Lihat sahaja ahli kabinet yang dilantik. Setiausaha Negara Marco Rubio,  Setiuasaha Pertahanan Pete Hegset, Penasihat Keselamatan Negara Mike Waltz, Wakil ke PBB Elise Stefanik dan Duta ke Israel Mike Huckbee . Kesemua mereka ini adalah Zionis totok. 

ADS

Presiden Trump juga dikelilingi oleh penasihat Zionis seperti Elon Musk.

Dunia mengakui Israel ini wujud kerana ada Amerika. Selagi Amerika menyokong dan membantu Israel dari segi dana, senjata dan diplomasi, maka Zionis Israel akan wujud.

Pembunuhan beramai-ramai – genosid – di Gaza dan di Jenin tidak akan berlaku tanpa lampu hijau dari Amerika.

Pada 9 Februari 2025, Portal SAN telah mengutip kata-kata Netanyahu dari stesen Fox News: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggelar Presiden Donald Trump sebagai "sahabat terbaik yang pernah Israel miliki di Rumah Putih" semasa di wawancara.

Donald Trump dan Benjamin Netanyahu

Pada 21 Februari 2025,  Profesor Jeffrey Sachs dari Universiti Columbia dan juga seorang ahli ekonomi dan penganalisis dasar awam Amerika telah berucap di Parlimen Eropah. Sosok ini pernah menjadi penasihat kepada Gorbachev serta dua bekas setiausaha agung PBB, Ban Ki-Moon dan Kofi Annan.

Hari ini Profesor Sachs masih lagi menjadi penasihat Matlamat Pembangunan Mampan  kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres. Hakikatnya sosok ini adalah orang dalam dan bukan kecil anak.

Di Parlimen Eropah, Profesor Sachs telah menerangkan sejarah panjang lebar tentang geopolitik Eropah bersangkutan dengan Ukraine dan Rusia.

Mengenai Timur Tengah, Profesor Sachs yakin bahawa Netanyahu adalah sosok yang bertanggungjawab mencetuskan Perang Iraq, Syria dan Libya. Malah mengikut  pandangan Profesor Sachs pada ketika ini Netanyahu sedang memasang jerat untuk memerangkap Amerika agar menyerang Iran.

ADS

Profesor dari Universiti Columbia ini telah memberi  ingatan lebih tepat lagi amaran kepada kita semua - jika apa yang dilakukan oleh Netanyahu ini berterusan maka kemungkinan Perang Dunia  Ketiga akan meledak.

Ketika tulisan ini digarap gencatan senjata  fasa pertama di Gaza telah selesai. Fasa kedua kini tertangguh. Zionis Israel dan Netanyahu telah menimbulkan pelbagai kerenah untuk memulakan kembali serangan.

Netanyahu menuduh Hamas telah menggelapkan bahan bantuan untuk menjualnya semula.  Lipat ganda untung dari penjualan ini akan menjadi dana Hamas.

Pada ketika ini penduduk Gaza telah pulang ke wilayah tempat rumah mereka yang kini telah hancur musnah. Mereka diberi khemah dan bantuan makanan serta ubatan. Ini bukan satu kerja amal dan pengagihan bantuan yang mudah. Ada lebih dari dua juta sosok yang memerlukan bantuan.

Ketika inilah Zionis Israel mula melarang kemasukan barang bantuan. Lori-lori yang membawa bahan  bantuan ini masih tersadai di Mesir. 

Malah media Zionis Israel telah memaparkan gambar makcik Palestin dan anak-anak kecil yang gemuk.  Gambar ini sebagai bahan bukti bahawa tidak ada kelaparan dan kebuluran di Gaza.

Berita ada kebuluran di Gaza hanyalah tohmah dan fitnah.

Ketika Netanyahu menjadi pemimpin dunia pertama melawat Trump di Rumah Putih, stesen  Al-Jazeera telah melaporkan: Trump telah mencadangkan bahawa Amerika berhasrat untuk "mengambil alih" Gaza. Penduduk akan dihantar ke negara lain dan sebagai ganti, Gaza Riviera akan didirikan.

Negara seperti Mesir dan Jordan telah disebut sebagai negara yang akan menerima lebih dua juta warga Gaza. Nama Indonesia juga disebut. Wilayah Gaza ini akan dibersihkan dan dikosongkan daripada warga Palestin. Sebagai ganti Gaza akan dijadikan pantai peranginan. 

Ini dalam kepala Trump sebagai seorang ahli perniagaan dan pemaju untuk berniaga dan menjual hartanah. 

Bila kenyataan Trump ini didengar, para pemimpin Arab menjadi gelabah. Liga Arab bermesyuarat. Sebulat sekata semua pemimpin Arab menolak rancangan pembangunan semula Trump ini.  

Liga Arab mencadangkan Gaza dibangunkan semula oleh warga Palestin.  Pemimpin Arab akan menyediakan USD53 Bilion untuk membangunkan semula Gaza.

Presiden Abdel Fattah el-Sisi dari Mesir, Raja Abdullah dari Jordan dan Muhamad Bin Salman dari Arab Saudi sedar yang mereka terus dapat berkuasa kerana ada sokongan dari Amerika.

Pemimpin-pemimpin Arab ini bukan berkuasa kerana undian dan pilihan sokongan rakyat. Jordan dan Arab Saudi negara feudal. Manakala Sisi naik takhta melalui rampasan kuasa.

Jangan kita lupa bila saja Trump menjadi presiden, dia telah bertitah untuk membatalkan semua bantuan senjata dan dana kepada pelbagai negara kecuali Mesir dan Israel.

Pada ketika ini Trump sedang berdepan dengan Ukraine. Trump mahu Perang Ukraine dihentikan dengan secepat mungkin. Demi perniagaan dan Make America Great Again, presiden Amerika ini mahu hubungan dengan Rusia dipulihkan.

Pada hemat saya bila sahaja Perang Ukraine ini tamat maka mata dan kepala Trump akan menuju Palestin. Niat dan cita-cita Trump untuk memindahkan semua warga Gaza akan menjadi agenda utama sekali lagi.

Apa yang sedang cuba dilakukan oleh pemimpin Arab itu adalah niat baik. Tetapi hakikatnya pemimpin Arab ini adalah boneka Amerika. Selain daripada menghebohkan USD53 bilion untuk Gaza,  pemimpin Arab ini mahu dua perkara turut dijalankan.

Pertama, Gaza ditadbir oleh  Pihak Berkuasa Palestin aka Mahmoud Abbas dan PLO.  Kedua, Hamas memulangkan semua senjata dan menamatkan perjuangan bersenjata.  Sebenarnya permintaan Liga Arab ini adalah projek asal Zionis.

Mahmoud Abbas

Zionis Israel telah berjaya memandulkan PLO dan Al-Fatah yang kini bukan sahaja meninggalkan perjuangan bersenjata malah menjadi tali barut Mossad.  Kakitangan Al-Fatah kini ada yang menjadi mata-mata yang  dibayar oleh Israel. 

Kerenah Netanyahu melarang kemasukan bantuan juga sebahagian daripada strategi  Israel untuk memerangkap Trump. Strategi ini dilihat berjaya.

Bila fasa dua gencatan senjata ini tertangguh, Presiden  Trump telah mengeluarkan apa yang disebutnya sebagai "amaran terakhir" kepada Hamas untuk membebaskan tebusan yang ditahan di Gaza.

"Saya menghantar kepada Israel segala yang diperlukan untuk menyelesaikan tugas itu, tiada seorang pun ahli Hamas akan selamat jika anda tidak melakukan seperti yang saya katakan," kata Trump dalam catatan panjang di platform Truth Socialnya.

Ini ucapan merdu untuk telinga Netanyahu. Mengikut analisis Profesor Sachs, semua ini menghala kepada rancangan Netanyahu yang mahu menjerut leher Amerika agar memerangi Iran.

Lihat sahaja kejayaan Netanyahu. Mesir telah dimandulkan. Iraq yang satu ketika dulu  memiliki bala tentera yang kuat yang boleh menggantikan Mesir kini musnah. Libya di bawah Muammar Gaddafi kini menjadi negara gagal. Syria, satu-satunya negara Arab yang teguh berjuang sebagai benteng belakang Palestin, kini hancur. 

Satu ketika dahulu semua gerakan pembebasan Palestin membuka pejabat di Damascus.  Presiden Hafiz dan kemudian Bashar Al-Assad telah membenarkan semua kumpulan gerila Palestin beroperasi dari Syria. Kini Syria masuk dalam poket Israel.

Trump akan menjadi maharaja selama empat tahun. Dari dua bulan yang kita baru lalui ini, saya yakin projek Netanyahu untuk terus menjerut Amerika untuk memerangi Iran sedang  berjalan.  

Semuanya bergantung kepada apa yang akan terjadi di Ukraine. Jika Perang Ukraine tamat ini petanda baik. Amerika kini berbaik sangka dengan Rusia. Dasar luar Amerika berubah. Segala sekatan ke atas Rusia lupus.

Persoalannya apakah langkah Rusia – apa tindakan Rusia jika Netanyahu berjaya menjerut Amerika untuk memerangi Iran. Apakah Trump akan berfikir sebagai pemaju hartanah atau Trump akan dikepung oleh para Zionis totok yang kini berada dalam kabinetnya. Amin. 


HISHAMUDDIN RAISaktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen