malaysiakini logo
story-image
ADS

KOLUM | Lukisan ini dipamerkan di Balai Seni negara pada 2009. Pameran Tampannya Budi diusahakan oleh Salmah Mansor yang kami hormati itu adalah antara pameran terawal yang pernah kami sertai.

Salmah menghubungi kami melalui e-mel bagi menyatakan niatnya untuk menjemput kami menyertai pameran tersebut. Ketika itu kami masih berada di luar negara.

Setelah berbalas-balas e-mel, kami pun dengan besar hatinya bersetuju. Terima kasih kepada Salmah.

Selain pameran Tampannya Budi, Salmah juga sering menjemput kami menyertai pameran yang dianjurkannya. Malah dia pernah membawa beberapa keping karya kami untuk dipamerkan di Kanada.

ADS

Semasa mencari bahan untuk karya tersebut, kami masih dalam kehidupan yang panas. Maksudnya, kami ini kononnya pengkritik bangsa Melayu nombor satu. Kami meluat dengan kerakusan politik dan penyokongnya.

Lalu kebodohan bangsa yang satu itu kami gambarkan dengan apa yang berlaku pada Pak Kaduk.

Judul karya tersebut ialah Pak Kaduk Tinggal Songkok, dan memang itu pun yang tinggal kepada bangsa yang kuat bergaduh tak tentu hala ini. 

Sehingga hari ini pun bangsa Melayu masih bodoh. Dipecah-pecahkan oleh partai politik.

Orangnya tidak dipandang dan bahasanya adalah pariah di negara sendiri. Namun mereka tetap bangga.

Kerana kekurangan bahan dek agak kurang bersedia, kami melukis karya tersebut di atas kertas sebesar A3. Namun saiz tersebut tentu saja tidak sesuai untuk dipaparkan dalam pameran yang besar dan ditempat yang dianggap sebagai impian mutlak setiap pelukis.

Lalu kami mengambil keputusan untuk mencetak lukisan tersebut di atas tarpaulin yang biasanya digunakan sebagai kain rentang. Pemilihan bahan murah ini juga satu ‘penghormatan’ kepada orang Melayu.

Karya yang asalnya hanya bersaiz 1 kaki x 1½ kaki itu kami besarkan menjadi 4 kaki x 7 kaki.

Ia adalah seperti orang Melayu yang gemar membesarkan perkara-perkara remeh. Semua hal mahu dibahaskan di parlimen, misalnya.

Kami diberitahu yang pameran tersebut akan dirasmikan oleh Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri waktu itu jika tidak silap ingatan kami.

Dia senyum, kami senyum

Maka kami pun membuat rancangan untuk ‘mengembangkan’ karya tersebut dengan meminta Tun M meletakkan tandatangannya sewaktu pameran.

ADS

Kami menyatakan hasrat berkenaan kepada gemulah Pyanhabib dan juga Sinaganaga.

Mereka berdua pun bersetuju.

Pada hari pameran, Pyan dan Naga mengambil tanggungjawab untuk ‘mengepung’ Tun M apabila dia tiba di tempat lukisan tersebut dipamerkan.

Rancangannya ialah supaya kami ada masa yang lebih lama sedikit untuk melaksanakan pelan berkenaan.

Kami pula sudah bersedia dengan pen marker dalam kocek belakang. Pen tersebut juga sudah kami cuba beberapa kali bagi memastikan ia berfungsi apabila diperlukan.

Ketika Dr M tiba di hadapan Pak Kaduk Tinggal Songkok, pegawai Balai Seni Negara yang diberi tanggungjawab mengiringi perdana menteri, Alizam Hassan, memperkenalkan kami kepadanya.

Dia senyum dan menganggukkan kepalanya tanda mengiktiraf kehadiran kami di situ.

Pyan pun melayan Tun M seperti yang dirancang. Seperti yang diketahui umum, dia memang pakar dalam perkara-perkara begitu, dan tentu kita semua tahu tentang ‘aura’ yang dimilikinya dalam memenangi hati seseorang.  

Naga pula menghalang orang ramai dari mendekati kami.

Kami sendiri beku tidak berkata apa-apa. Kami angguk, Tun M angguk. Dia senyum, kami senyum. Tidak sepatah pun ayat yang keluar dari mulut mungil kami. Dan ia kemudian habis di situ.

Setelah beberapa minit, Tun M pun bergerak untuk melihat karya pelukis lain. Kami pula dimarah oleh Pyan dan juga Naga dek kerana kelembaban bertindak.

Dan untuk beberapa lama selepas itu kami sering diingat-ingatkan akan keselengaan kami itu oleh mereka berdua.

Sinaganaga

Maka terlepaslah peluang untuk mendapatkan tandatangan negarawan di atas sebuah lukisan kami. Terlepas juga impian untuk melakar sejarah dua orang pengkritik bangsa Melayu bekerjasama di atas sebuah lukisan.

Pun begitu, lukisan tersebut kini disimpan oleh Laki Hanim. Nanti jika Tun M membaca tulisan ini dan ingin menurunkan tandatangannya, kami bersedia pada setiap masa untuk bertemu dengan beliau di mana-mana saja.

Untuk mempertahankan diri , sewaktu mula-mula keluar ke khalayak sebagai pelukis dan penulis, kami adalah seorang yang mudah menggeletar.

Kami teringat cerita di atas apabila membaca tulisan Ku Syafiq di portal Seni Malaya.

Nasi macam bubur

Jika kamu belum tahu, Ku Syafiq ialah seorang penulis yang kami hormati. Sebelum rajin menulis mengenai karya catan dia telah mensia-siakan hidupnya dengan menulis mengenai muzik indie yang tidak berfaedah itu.

Dia kemudian kembali ke pangkal jalan dan mula menulis mengenai seni catan setelah mengikuti bengkel Kataseni, yakni satu usaha untuk melahirkan penulisan mengenai kegiatan dan juga hasil catan di negara ini.

Program tersebut adalah hasil kerjasama antara Balai Seni Negara dan juga portal Seni Malaya.

Harapannya adalah bengkel seperti itu akan terus diadakan demi kebaikan dunia catan negara. Balai Seni Negara boleh menghubungi kami dan Seni Malaya jika nanti mereka mempunyai bajet yang besar untuk melakukannya.

Yelah, mahu diharap doktor profesor melakukannya, mereka sibuk berebut jawatan dalam fakulti. Lalu kita bentuklah sendiri dalam kalangan mereka yang perasan sebagai pejuang seni negara.

Biar padan muka kita semua apabila tugas yang penting diserahkan kepada mereka yang bukan ahlinya.

Gambar hiasan

Selain Ku Syafiq, penulis lain yang mengikuti program tersebut antara lain ialah pelakon, juga penulis skrip drama serta filem terkenal, Aloy Paradoks.

Semasa acara tersebut juga kami dapati yang mereka berdua apabila makan nasi kandar akan lebihkan kuah berbanding nasi sehingga kelihatan seperti bubur.

Kami andaikan itu adalah hasil pengalaman hidup miskin mereka suatu masa dulu, yakni mereka kembangkan nasi dua ganda supaya mudah kenyang. Sekali sebelum masuk ke perut, dan kedua ialah apabila di dalam perut.

Aloy juga gagal untuk dilahirkan sebagai pengulas atau pengkritik seni tampak. Dia kekal menjadi pelakon dan juga penulis skrip.

Dalam artikel mengenai lawatannya ke Langkawi, Ku Shafiq kelihatan amat apologetik.

Elok jangan buang masa

Konon kerana dia belum begitu faham akan seni catan. Kami bandingkan diri kami sewaktu kejadian di atas dengan apa yang ditulis oleh Syafiq dan menyalahkan kurangnya keyakinan diri dalam mempersembahkan sesuatu hal.

Kesalahan besar seniman ialah apabila terlalu merendah diri. Mereka leka menunggu untuk ditemui. Kurang benar seniman yang bersedia dalam semua segi apabila mahu membentangkan diri kepada massa.

Mereka selalunya akan bekerja sendiri tanpa mahu bekerjasama dengan semua pihak. Mungkin kerana bimbang terpaksa berkongsi laba atau mungkin juga kerana terlalu berharap kepada bakat besar kurniaan Tuhan kepada mereka.

Lalu mereka juga akan menjadi sangat defensif semasa bercerita mengenai karya-karya sendiri. Boleh dikatakan tidak ada seniman seni tampak yang bersedia dikritik.

Sementelah pula kita langsung tidak ada walau seorang pengkritik seni tampak di negara ini.

Dan lagi - kecuali satu atau dua orang - seniman kita tidak ada kepakaran untuk memperkatakan hasil karya sendiri. Kita hanya melahirkan pengulas dan juga kaki puji.

Maka akan selamanya dunia catan kita tinggal begini.

Namun untuk berlaku adil, dunia filem kita yang dipenuhi oleh pengkritik itu juga tidak ke mana-mana.

Justeru elok juga sebenarnya kita tidak lagi membuang masa bercakap, berbincang, bertukar-tukar pandangan mengenai kerja seni di negara ini.

Menghabiskan beras, kata orang. Beras pulak tu entah mana yang import mana yang tempatan.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis dan mudah baran melihat orang gomen Malaysia bergaya dengan batik Indonesia pada setiap Khamis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen