Menyorot sejarah sejak penubuhan Malaysia pada tahun 1963, perkhidmatan parlimen telah diasingkan daripada penjawat awam yang bernaung bawah eksekutif.
Dalam erti kata lain, mereka yang berkhidmat bawah parlimen mempunyai autonomi sendiri yang tidak boleh digugat atau dipengaruhi oleh kuasa eksekutif.
Autonomi ini adalah terjemahan kepada konsep pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif (parlimen), dan kehakiman.
Ketiga-tiga badan ini mempunyai kuasa dan autonomi tersendiri bagi memastikan wujudnya semak dan imbang dan tata kelola yang baik dalam pemerintahan negara.
Namun, pada tahun 1992 ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, Akta Perkhidmatan Parlimen ini dimansuhkan, susulan itu perkhidmatan parlimen diletak bawah naungan eksekutif.
Maka, kakitangan parlimen bukan lagi dianggap sebagai golongan yang bebas dan berautonomi sebaliknya tertakluk kepada naungan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dalam masa sama, JPA juga berkuasa untuk menentukan sesiapa yang boleh menganggotai perkhidmatan parlimen seperti yang dilakukan ke atas agensi-agensi kerajaan lain.
Pada tahun 2005, ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri, perbincangan untuk mengembalikan akta ini dihidupkan bertujuan untuk mengembalikan autonomi kepada Parlimen.
Perbincangan demi perbincangan berlanjutan ke era Najib Razak hingga ke zaman Ismail Sabri, namun penggubalan akta ini gagal direalisasikan.
Kali ini pada tahun 2025, kerajaan Madani bawah kepimpinan Anwar Ibrahim mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen ini.
Kejayaan ini dianggap oleh beberapa NGO seperti Bersih, Ideas, Projek Sama, Reform dan Rasuah Busters sebagai keazaman politik yang harus dipuji walaupun ditolak oleh sebilangan besar penjawat awam, berkemungkinan akibat daripada libat urus yang tidak optimum untuk menjelaskan kepentingan usaha reformasi institusi parlimen.
Namun, harus diakui Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 ini sifatnya campuran - hibrid iaitu pengasingan perkhidmatan tidak secara mutlak akibat dari penolakan penjawat awam atas faktor yang dinyatakan.
Walaupun begitu, sebagai alternatif beberapa NGO khususnya Bersih, Ideas, Projek Sama, Reform, dan Rasuah Busters mendesak kerajaan untuk memberi tiga jaminan dalam parlimen agar akta ini benar-benar menjalankan fungsi yang baik bagi memastikan wujudnya autonomi parlimen.
Tiga jaminan
Ketiga-tiga jaminan tersebut adalah:
1. Penubuhan jawatankuasa tetap di Dewan Negara dan Dewan Rakyat (Jawatankuasa Bersama) berhubung pentadbiran dan kewangan parlimen yang akan menjadi sebagai mekanisme pemantauan kepada Majlis Perkhidmatan Parlimen.
Jawatankuasa Bersama ini perlu mempunyai kuasa untuk menyemak peruntukan kepada parlimen dan mencadangkan jumlah yang berpatutan bagi memastikan peruntukan yang mencukupi kepada perkhidmatan parlimen, termasuk peruntukan pembangunan kawasan kepada anggota parlimen.
Penubuhan jawatankuasa ini memerlukan pindaan Peraturan Mesyuarat sedia ada dan juga RUU Perkhidmatan Parlimen.
2. Peruntukan berhubung laporan tahunan parlimen harus dibentangkan di parlimen bagi menjadikan parlimen yang bertanggungjawab, bebas dan telus.
Kandungan laporan tahunan ini haruslah bersifat komprehensif termasuklah berhubung aspek penting dalam fungsi parlimen, pentadbiran, kewangan, prestasi dan tata kelola yang baik.
Hal ini termasuk juga aktiviti yang melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) dan Kumpulan Ahli Parlimen Rentas Parti (KRPPM).
3. Peruntukan yang mewajibkan etika kakitangan perkhidmatan parlimen bersifat tidak berpihak dan larangan terhadap nepotisme di dalam Akta Perkhidmatan Parlimen.
Hal ini memerlukan semua anggota perkhidmatan parlimen bertindak secara tidak berpihak dan tidak tertakluk kepada tekanan serta campur tangan badan eksekutif, dan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pelantikan anggota-anggota perkhidmatan parlimen adalah berdasarkan merit, dan bukan pertimbangan lain.
Prinsip keadilan juga harus tercermin dalam Akta Perkhidmatan Parlimen dengan membuang kawalan Ketua Pentadbir ke atas anggota-anggota perkhidmatan parlimen.
Secara positif, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam ucapan penggulungan di parlimen memberikan jaminan ke atas pelaksanaan ketiga-tiga desakan tersebut dalam tempoh transisi selepas akta ini diluluskan.
Melihat ke hadapan, penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 ini harus menjadi pemangkin kepada pelaksanaan agenda reformasi institusi lain.
Semak dan imbang
Dalam banyak tuntutan NGO seperti Bersih menyentuh tentang reformasi institusi penting dalam negara seperti reformasi SPRM, pemisahan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya, semak imbang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Parlimen dijadikan sebagai organ penting untuk menjalankan kerja semak imbang agar tidak berlaku salah guna kuasa secara wewenang tanpa prinsip akauntabiliti.
Mengenai semak imbang pelaksanaan pilihan raya sebagai contoh, parlimen selepas kewujudan Akta Perkhidmatan Parlimen harus mewujudkan sebuah jawatankuasa tetap khusus berkaitan hal ehwal pilihan raya yang turut dianggotai wakil pembangkang.
Hal ini penting bagi memastikan Jawatankuasa yang membuat semak imbang berkenaan laporan pilihan raya serta membincangkan calon-calon pengerusi dan anggota SPR mempunyai status yang sama seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Atas sebab itulah usaha reformasi parlimen menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 ini adalah lakaran sejarah yang signifikan serta dianggap sebagai ibu kepada Reformasi.
Dalam masa sama, seluruh pihak khususnya kerajaan Madani tidak harus selesa atas pencapaian ini, sebaliknya kerja-kerja reformasi yang dijanjikan masih banyak perlu untuk dilunaskan.
Jaminan kerajaan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kesalahan Pilihan Raya serta usaha ke arah penggubalan Akta Pendanaan Politik harus dilaksanakan segera sebagai langkah untuk negara meniti di landasan yang tepat memerangi rasuah serta menghargai nilai-nilai demokrasi.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah pengerusi Bersih.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.