KOLUM | Jika ingin melihat politik masa hadapan, lihatlah Perak!
Sejarahnya, kongres pertama Parti Kebangsaan Melayu Malaya berlangsung di Dewan Bandaran Ipoh pada 1945.
MIC sendiri ditubuhkan oleh seorang anak jati Perak yang bernama John A Thivy. Dia merupakan anak kelahiran Kuala Kangsar.
Penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) 2008 bermula dari Perak. Meski semasa PRU berlangsung, DAP tidak berada dalam Pakatan.
Keadaan politik semasa selepas PRU ke-15 memerlukan semua parti pembangkang ketika itu mengetepikan ego masing-masing demi mencari titik persamaan.
Tidak hairanlah Perak menjadi negeri pertama yang mewujudkan kesepakatan antara BN dengan PH bagi menubuhkan kerajaan perpaduan. Kemudian barulah diikuti di peringkat persekutuan dan seterusnya negeri-negeri lain.
Meski peristiwa penubuhan kerajaan Perak pada 2008 dengan 2022 adalah berbeza dari segi kompenan parti politik, sebenarnya ia adalah kesan tindakan watak dan pemikiran politik yang sama.
Pepatah Melayu ada menyebut, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Keberanian memecahkan tembok pemisah diperlukan dalam politik. Lebih-lebih lagi kepada pendukung politik madani.
Ini adalah tanggungjawab semua pihak.
Hakikatnya, politik tanah air masih terbina dengan tembok kaum dan agama yang tebal. Sebabnya kedua-dua faktor itu merupakan modal politik paling murah dan mudah.
PRK pertama di Perak
Misalnya menyebarkan fitnah dan khabar angin keterancaman kaum atau agama. Hal-hal sebegini mudah membakar sentimen dan memusnahkan kerukunan bernegara.
Itulah yang akan didepani banyak pihak di Ayer Kuning nanti.
Pada 1959 kawasan itu hanya memiliki seramai 16,667 pengundi dan meningkat empat kali ganda menjadi 61,946 orang pada 2022. Tentu corak demografi dan geogpolitik di situ mengalami perubahan yang banyak.
Dari segi demografi pengundi Melayu mewakili 60 peratus daripada keseluruhan pemilih diikuti Cina (22 peratus) dan India (17 peratus).
Dalam corak demografi sebegitu, isu-isu kaum dan agama sangat rapuh. Bahkan dari segi kaedah strategi mengemukakan calon juga, pertimbangan tersebut sangat diambil perhatian.
Memang ada yang akan menangguk di air keruh.
Sepanjang tiga tahun ini, proses mewujudkan perpaduan antara parti-parti yang pelbagai idealogi dan kepentingan banyak digerakkan oleh kepimpinan peringkat atasan.
Selepas PRU 2022, beberapa pilihan raya kecil (PRK) diadakan berikutan kematian penyandangnya atau kesan keputusan mahkamah.
PRK Ayer Kuning merupakan PRK pertama di Perak selepas PRU lalu.
Sebelum ini, jentera kerajaan Madani Perak membantu PRK di Padang Serai, Tioman, Kuala Terengganu, Nenggiri, Simpang Jeram, Pulai, Pelangai, Jepak, Kuala Kubu Baru, Kemaman dan Nenggiri.

Kali ini, kerajaan Madani Perak pula akan menerima bantuan rakan-rakan dari negeri lain.
Antara ikon klasik di Ayer Kuning ialah stesen kereta api, balai polis dan pejabat pos lama di pekan Tapah Road. Boleh datang ke sini dengan mengggunakan kemudahan ETS juga.
Datang sebagai pelancong politik juga boleh membantu memberi impak ekonomi domestik. Paling tidak, kedai-kedai makanan dan peniaga kecil akan mendapat manfaatnya.
Ketika ini, pembeli tidak memilih berdasarkan jenama atau slogan parti politik tetapi menu yang sihat dan berkhasiat.
Tidak banyak kesan politik yang diperolehi melalui bantuan jentera pilihan raya dari luar. Namun ia adalah satu proses yang lazim berlaku kepada semua parti di Malaysia.
Pun begitu, ia adalah proses mewujudkan perpaduan dan keserasian dalam jangka panjang.
Janjikan sokongan penuh
Berlakunya PRK adalah ujian kepada kepimpinan dan penyokong akar umbi untuk membentuk perpaduan yang lebih jitu. Kekuatan akar umbi adalah asas dalam pembinaan masyarakat madani.
Dalam PRU 2022, kawasan DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan PH diwakili Amanah melalui calonnya, Dr Mohd Nazri Hashim. PN mula diwakili PAS, manakala Parti Sosialis Malaysia dan Pejuang turut sama mencuba.
BN mempertahankan kerusi itu melalui Ishsam Shahrudin. Dia - yang meninggal dunia pada 22 Feb lalu - merupakan Ketua Umno Tapah.
Apabila BN dan PH bekerjasama, persaingan lebih tertumpu kepada pertembungan di antara parti kerajaan perpaduan (Umno) dengan perikatan pembangkang yang diketuai PAS.
PAS sudah menghantar senarai calonnya selepas Pengerusi PN, Muhyiddin Yasin, memaklumkan bahawa parti itu akan meletakkan calon.
Dua PRU lalu, Amanah berhadapan dengan PAS sesuai dengan sifat kedua-dua parti yang ada keserasian berseteru.

Namun dalam era kerajaan Madani ini, Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi, menjanjikan bantuan penuh untuk memenangkan BN. Itulah secebis makna bersahabat dalam politik.
Minggu ini berlangsung mesyuarat bersama BN - PH Perak di Tapah bagi mengatur strategi mengekalkan kemenangan.
BN Perak diketuai Menteri Besar, Shaarani Mohamad, yang sekali gus mempengerusi mesyuarat, manakala PH diketuai Shamsul Iskandar Md Akin yang dilantik sebagai ketua baru PH negeri.
Selepas itu, satu mesyuarat antara kompenan parti PH diadakan di tempat yang sama yang dipengerusikan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berkenaan.
Di atas kertas, Ayer Kuning adalah kawasan selamat buat Umno namun dalam PRK matlamatnya bukan sekadar mempertahankan kemenangan. Ia juga menjadi indikator kepada tahap sokongan kerajaan.
BN akan mengetuai kempen. Setiausaha Amanah Perak, Salman Salleh, dilantik PH negeri untuk menjadi pengarah PRK dengan dibantu oleh pemimpin dari PKR, DAP dan Upko.
Pejabat PKR Tapah akan menjadi pusat operasi PH.
Selamat datang ke Ayer Kuning, kawan.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.