malaysiakini logo
story-image
ADS

Pada tahun 1979, ketika saya berusia 20 tahun, seperti sebahagian daripada anak-anak muda zaman itu, saya teruja dengan kemunculan seorang warga emas berusia 80 tahun yang dipanggil Ayatollah Khomeini.  

Beliau mengetuai Revolusi Islam yang menumbangkan kerajaan Shah Iran, Reza Pahlavi, yang didukung dan dibantu oleh Amerika Syarikat.  

Pada masa itu, Iran mengiktiraf dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.  

Iran, seperti Afghanistan dan Pakistan, adalah negara strategik bagi Amerika ketika itu kerana ia menghalang kemaraan Kesatuan Soviet daripada menguasai laut di sebelah selatan benua, iaitu Teluk Parsi dan Laut Arab.  

ADS

Kesatuan Soviet bertapak di Afghanistan apabila tenteranya menggulingkan Raja Zahir Shah, diikuti rampasan kuasa parti komunis.  

Bendera Kesatuan Soviet

Amerika segera menyalur bantuan kepada kumpulan-kumpulan Islam untuk menjatuhkan kerajaan komunis itu.  

Bantuan itu disalurkan melalui Pakistan, yang merupakan sekutu Amerika.  

Ayatollah Khomeini antara lain memperkenalkan empat istilah dan konsep semasa revolusi itu.  

Istilah “Mustakbirin” bermaksud pihak yang takbur, sombong, dan angkuh dengan kekuasaannya.  

Amerika dan Kesatuan Soviet adalah Mustakbirin yang berlagak angkuh kerana mereka memiliki kuasa politik, ekonomi, dan ketenteraan.  

Negara “pembuli” adalah Mustakbirin.  

Sejak selepas Perang Dunia Kedua, Amerika sememangnya angkuh, mengebom negara-negara yang tidak disukai tanpa menghiraukan penderitaan orang yang menjadi mangsa senjatanya, umpamanya di Vietnam (bawah).  

Mereka yang dizalimi dan ditindas itu diistilahkan oleh Ayatollah Khomeini sebagai mustadhafin, golongan dhaif yang ditindas.  

Perkataan ini terdapat dalam Al-Quran.  

Sungguhpun begitu, ketika berlakunya Revolusi Iran, yang menjadi presiden ialah Jimmy Carter.  

Beliau adalah dari Parti Demokratik yang mempunyai perdamaian sebagai dasarnya.  

ADS

Dalam kalangan rakyat Amerika, beliau dianggap lemah dan ternyata kemudian kalah dalam pilihan raya presiden pada tangan Ronald Reagan dari parti Republikan.  

Semasa pentadbirannya, beliau tidak pernah mengarahkan sebarang pengeboman.  

Beliau mengusahakan perdamaian antara Mesir dan Israel serta menyediakan proses bagi penubuhan negara Palestin dalam konteks penyelesaian dua negara.  

Malah, beliau yang meminta Shah Iran keluar dari Teheran dan memungkinkan Revolusi Islam.  

Selepas Carter, presiden Amerika ialah Ronald Reagan, George W Bush, Bill Clinton, George HW Bush, Barack Obama, dan Joe Biden.  

Dasar luar keras

Tidak ada yang “lembut” dari segi dasar luar seperti Carter.  

Tetapi Donald Trump berbeza.  

Presiden-presiden lain, walaupun datang dari dua parti berbeza, Demokratik atau Republikan, dasar luar mereka tidak banyak berbeza, seperti yang dijangka dari Amerika sebagai kuasa Mustakbirin.  

Tetapi Trump, dari segi perwatakannya, menampilkan seorang yang takbur, angkuh, dan sombong.  

Bukan saja sebagai seorang yang menyandang jawatan presiden sebuah kuasa besar, tetapi sebagai seorang individu yang tidak mempedulikan norma dan adab Barat.  

Perwatakan itu sudah ditonjolkan sejak semasa kempen pilihan raya presiden penggal pertama.  

Bergaduh dengan jiran-jirannya, Kanada dan Mexico, mengenai tarif dagang menunjukkan keangkuhan Amerika bawah Trump.  

Menyatakan keinginannya untuk mendapatkan Greenland, Terusan Panama, dan Gaza adalah juga hasil sikap Mustakbirin itu.  

Tetapi kemuncak sikap angkuh itu dapat dilihat bagaimana beliau melayan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Pejabat Oval, Rumah Putih minggu lalu.  

Tidak pernah dalam sejarah berlaku pertembungan kata-kata antara dua presiden (atas).  

Apabila Republik Islam Iran ditubuhkan, ia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.  

Syaitan Besar, Syaitan Kecil, muzium

Dua istilah yang dikemukakan oleh Khomeini ialah “Syaitan Besar” (Shaytan Bozorg) yang merujuk pada Amerika dan “Syaitan Kecil” iaitu Israel.  

Amerika jadi syaitan besar kerana ia membantu Israel.  

Iran tidak memanggil Kesatuan Soviet sebagai “syaitan” tetapi menyifatkannya sebagai “muzium”.  

Katanya, Kesatuan Soviet sudah layak diletakkan ke dalam muzium.  

Ramalannya benar apabila Kesatuan Soviet runtuh di luar jangkaan.  

Dari keruntuhan itu, lahirlah Republik Ukraine yang merdeka.  

Ia berlaku dengan tiba-tiba, tetapi keruntuhan Kesatuan Soviet bermula apabila ia menerima supaya Ukraine keluar dari kesatuan itu.  

Ekoran itu, semua republik lain turut mahu keluar, termasuklah Rusia sendiri.  

Tidak ada republik dalam Kesatuan Soviet yang mahu duduk bawahnya.  

Semua orang mahukan demokrasi dan kapitalisme.  

Masalahnya, Ukraine seperti mana-mana banyak negara lain adalah sebuah negara pelbagai bangsa walaupun etnik Ukraine adalah majoriti, dominan, dan wajar menjadi identiti nasional.  

Ukraine dan Rusia bagaimanapun serumpun.  

Tetapi ada satu masa sebelum ditakluk Rusia, Ukraine adalah sebuah negara merdeka.  

Namun, sempadannya tidak meliputi bahagian selatan, khususnya wilayah Crimea.  

Bangsa yang tinggal di Crimea dahulu adalah Tatar (bawah).  

Mereka beragama Islam dan serumpun dengan Turki.  

Rusia menakluk Ukraine dan Crimea serta menjadikannya sebagai sebahagian daripada Empayar Rusia bawah kedaulatan Czar di Moscow dan St Petersburg.  

Crimea menjadi wilayah strategik bagi Empayar Rusia bagi mewujudkan pangkalan angkatan tentera laut.  

Apabila berlaku Revolusi Rusia pada tahun 1917 dan ditubuhkan Kesatuan Soviet, kerajaan komunis mewarisi Empayar Rusia termasuk Ukraine dan Crimea.  

Pada mulanya, Ukraine dijadikan sebagai sebuah republik dalam Kesatuan Soviet seperti Rusia.  

Crimea terletak dalam Rusia.  

Semasa Stalin, pemimpin kedua Soviet, beliau memindahkan semua orang Tatar ke tempat lain.  

Mereka dihimpunkan dalam wilayah yang dinamakan Tatarstan dan diletakkan dalam Rusia.  

Sementara itu, orang Rusia dibawa pindah ke kawasan timur Ukraine dan juga Crimea.  

Tujuannya adalah untuk menambahkan orang Rusia di Ukraine dan Crimea.  

Semasa Stalin, orang Ukraine mengalami penderitaan yang dahsyat–kebuluran akibat dasar-dasar penggabungan tanah dan pertanian radikal yang silap dari segi sains.  

Stalin

Selepas Stalin, Nikita Khrushchev memerintah.  

Beliau memindahkan wilayah Crimea keluar dari Rusia dan memberikannya kepada Ukraine.  

Tidak tahu sebabnya.  

Isteri Khrushchev berasal dari Ukraine.  

Ribuan orang Ukraine mati kebuluran

Ada pihak berkata pemimpin Soviet itu melakukannya kerana rasa bersalah pada Ukraine sebab kesilapan Soviet menyebabkan ribuan orang Ukraine mati kebuluran.  

Selagi Ukraine dan Rusia berada dalam Kesatuan Soviet, kedudukan Crimea itu tidak menjadi masalah.  

Tetapi apabila Kesatuan Soviet tumbang dan Crimea berada dalam Ukraine, ia menjadi masalah bagi Rusia kerana angkatan tentera lautnya berada di situ.  

Semasa Boris Yeltsin memerintah Rusia, negaranya membayar sewa pangkalan tentera itu pada Ukraine.  

Tetapi perkara ini tidak dapat diterima oleh Vladimir Putin, dan beliau menyalahkan pemimpin Soviet terdahulu.  

Sambil menyifatkan Crimea adalah sentiasa merupakan sebahagian daripada Rusia, beliau menakluk Crimea pada tahun 2014.  

Maka, hakikatnya Ukraine terdiri daripada dua bangsa, iaitu bangsa Ukraine dan bangsa Rusia.  

Sebahagian daripada Ukraine mahu menjadi “Eropah.”  

Sebahagiannya pula mahu menjadi “Rusia.”  

Pada awal kemerdekaannya, ada golongan politik Ukraine mahukan satu identiti saja bagi Ukraine dan mahu benamkan identiti Rusia dalamnya.  

Mereka melarang penggunaan bahasa Rusia dan menutup sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa Rusia.  

Golongan itu juga mahu Ukraine menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).  

Sedangkan realitinya Ukraine adalah serumpun dengan Rusia.  

Sementara Rusia pula merupakan sebuah negara besar dan kuat yang jirannya.  

Rusia pula mempunyai sejarah menakluk Ukraine.  

Suka jadi Eropah

Sememangnya majoriti rakyat Ukraine suka menjadi orang Eropah dengan mempunyai nilai-nilai demokratik mereka, mempunyai kemakmuran ekonomi, dan kemajuan teknologi.  

Tetapi realitinya, sebahagian warga negara Ukraine adalah orang Rusia yang berasa lebih hampir dengan Rusia.  

Semua negara hidup berdasarkan kedudukan geografi.  

Benar seperti kata Zelensky pada Trump di Pejabat Oval bahawa Amerika “beruntung” kerana mempunyai laut “indah” yang besar di sempadannya.  

Tetapi Ukraine mempunyai Rusia di sempadannya.  

Kalau melihat ke belakang, Ukraine sepatutnya “bermesra” dengan Rusia untuk mengelak perang.  

Inilah yang Trump kata sebagai “realiti.”  

Hasrat sebahagian rakyatnya untuk menjadi “Eropah” perlu dibenamkan demi keselamatan.  

Perkara inilah juga yang sedang diambil iktibar oleh negara-negara Baltik, iaitu Estonia, Lithuania, dan Latvia, serta juga Finland yang pernah ditakluk oleh Kesatuan Soviet.  

Ketika baru merdeka, Ukraine juga mewarisi senjata nuklear.  

Janji-janji negara yang tak boleh dipegang

Semasa Clinton menjadi presiden Amerika, beliau berjanji melindungi Ukraine dari serangan Rusia sebagai syarat Ukraine menghapuskannya.  

Senjata nuklear itu boleh menjadi penghalang kepada sebarang serangan Rusia.  

Tetapi Amerika mahu mengurangkan kewujudan senjata nuklear di dunia.  

Tetapi ternyata janji-janji negara tidak boleh dipegang.  

Apabila berganti pemimpin, maka dasar juga boleh berubah.  

Kini Trump tidak mahu melindungi Ukraine.  

Malah, Trump melakukan urusan antara negara seperti menguruskan perniagaan, bukan diplomasi sebenar.  

Beliau pula mempunyai hubungan baik dengan Putin.  

Tiba-tiba Amerika jadi sahabat dengan musuhnya; Rusia dan Korea Utara.  

Sementara sekutu-sekutunya seperti Kanada dan negara-negara Eropah mendukung dan membantu Ukraine.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen