malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

KOLUM | Suasana politik dunia kita hari ini sedang berubah. Saya telah meramalkan bila Donald Trump  dipilih untuk menjadi presiden Amerika Syarikat ke-47, dunia akan menjadi huru hara. Apa yang saya ramalkan kini telah dan sedang  berlaku.

Pada Isnin 24 Februari 2025, Presiden Emmanuel Macron dari Perancis telah datang berjumpa Trump. Pada Khamis pula Perdana Menteri Keir Starmer dari United Kingdom pula berjumpa Trump. Esoknya, Jumaat 28 Februari datang pula Volodymyr Zelensky.

Semua datang tergesa-gesa berjumpa Trump untuk membincangkan Perang Ukraine. 

Ketegangan suasana politik bermula kerana ada pertemuan Amerika-Rusia satu minggu sebelum ini. Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio telah bertemu dengan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov di Riyadh, Arab Saudi.  Agenda utama ialah untuk menamatkan Perang Ukraine. 

ADS

Sebelum perjumpaan di Riyadh, Trump pernah mengakui bahawa dia ada membuat panggilan telefon dengan Vladimir Putin. Mereka berbincang panjang. Amin.

Bila diumum akan  ada pertemuan Amerika dan Rusia,  semua mata dunia menghala ke Arab Saudi. Apa yang memeranjatkan ialah wakil Ukraine tidak dijemput hadir. Wakil Kesatuan Eropah (EU) juga tidak dipelawa. Semua tertanya-tanya dan tidak tahu apa yang sedang  dirundingkan.  

Vladimir Putin

Oleh kerana tidak dijemput, maka suara-suara tidak puas hati dari Eropah mula kedengaran. Kenapa tidak ada wakil Eropah sama berbincang. Kenapa Ukraine yang terlibat dalam perang tidak dijemput.

Zelensky berkata bahawa Trump terperangkap dalam dunia propaganda Rusia. Bila suara-suara ini didengar maka Maharaja Trump murka. 

ADS

Trump memanggil Zelensky sebagai seorang diktator yang membatalkan pilihan raya. Mengikut Trump, si Zelensky hanya mendapat empat peratus sokongan rakyat Ukraine. 

Maharaja Trump mahu perang ditamatkan. Ini janji ketika berkempen. Menamatkan perang  seharusnya membawa kegembiraan kepada semua. Tetapi ini tidak berlaku.

Malah suasana bertambah tegang. 

Justeru kerana inilah Macron datang menyembah Trump. Ia diikuti dengan Starmer. Dua pemimpin Eropah ini membuka jalan untuk meredakan keadaan dan menyediakan ruang untuk Trump dan Zelensky berbincang.

Trump telah menimbulkan hal dana persenjataan dari Amerika kepada Ukraine. Trump kata Amerika telah memberi 350 bilion dolar bantuan senjata dalam perang selama tiga tahun itu.  Perang selama tiga tahun itu dilihat oleh Trump tidak membawa apa-apa keuntungan. Hanya membawa kemusnahan dan kematian.

Donald Trump

Untuk memaut hati Trump, Ukraine telah menawarkan bahan galian seperti nadir bumi  sebagai gantian. Malah daripada apa yang dilaporkan, Ukraine dan Amerika telah bersetuju dalam hal cari gali hasil bumi ini.

Dunia diberitahu semua telah dirancang - pada hari Jumaat di akhir pertemuan Trump-Zelensky,  dua pemimpin negara ini akan menandatangani perjanjian cari gali. Kelihatan semua berjalan kosher.  Macron dan Starmer telah berjaya meredakan keadaan.

Jumaat sampai. Satu sidang akhbar telah diadakan di Pejabat Oval.  Zelensky,  Trump dan Naib Presiden Amerika JD Vance duduk santai berhadapan dengan media dunia. Awalnya semua berjalan lancar – tersenyum dan bersalaman. Suasana indah.

ADS

Trump bersuara - dia mahu gencatan senjata dibuat dengan serta-merta.  Trump mahu menggunakan  diplomasi untuk mencari jalan penyelesaian. Bila perkara ini muncul dari mulut Trump, kelihatan Zelensky tidak selesa. Dia memotong cakap Trump. 

Sebelum gencatan senjata berlaku, Zelensky mahu perjanjian dibuat untuk menjamin keselamatan Ukraine. Zelensky bersurah panjang bagaimana dia tidak pernah percaya  diplomasi akan membawa damai dengan Putin.

Suasana menjadi tegang. JD Vance menyampuk. Naib presiden ini ditanya oleh Zelensky apakah dia pernah sampai ke Ukraine. Ini menaikkan lagi suhu perbincangan.

Di sini Zelensky terlupa. Satu perkara yang amat penting tetapi media dunia tidak menghangatkan berita ini.

20 Februari 2025 ialah ulang tahun ketiga  Perang Ukraine. Di New York,  Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan satu resolusi mengutuk Rusia dan menuduh Rusia memulakan perang. Resolusi ini juga menuntut Rusia menarik keluar bala tentera dari Ukraine.

Untuk pertama kalinya resolusi anti-Rusia ini telah ditentang oleh Amerika. Amerika bersama  Rusia, Korea Utara dan Belarus menolak resolusi ini. Sebelum ini resolusi-resolusi mengenai   Perang Ukraine  semuanya telah disokong oleh Amerika.

Hakikatnya Zelensky telah terlalai dan tidak memahami apa yang berlaku di New York.  Di PBB  apa telah berlaku ialah perubahan dasar Amerika terhadap Perang Ukraine. Malah lebih daripada itu, di bawah Donald Trump dasar luar Amerika telah berganjak dan berubah.

Volodymyr Zelensky

Untuk pertama kalinya dunia melihat bagaimana Presiden Amerika membedal seorang pemimpin negara Eropah di hadapan wartawan. Malah dunia melihat bagaimana Zelensky telah diserang hendap oleh JD Vance.

Apa yang berlaku di Pejabat Oval pada 28 Februari 2025 adalah sejarah. Inilah apa yang saya katakan bahawa Trump ini jujur, kasar dan lucah. 

Trump jujur bila dia mengatakan dia mahu menamatkan perang. Trump jujur dia tidak mahu melihat kematian anak-anak muda Ukraine atau Rusia berterusan. Trump jujur dia melihat  bahawa kedegilan Zelensky ini boleh membawa pecah Perang Dunia Ketiga. 

"Saya yakin bahawa Presiden Zelensky tidak bersedia untuk keamanan…Saya tidak mahu kelebihan, saya mahu keamanan…" Ini kata-kata Trump semasa sidang media.

Pada masa sama Trump dilihat lucah dan kasar kerana dia lepas cakap dan tidak berdiplomasi. Trump menibai dan memperlekeh seorang pemimpin negara asing di hadapan wartawan.

Hasil pertemuan Zelensky dengan Trump pada Jumaat itu ialah kegagalan. Zelensky diminta meninggalkan Pejabat Oval. Makan tengah hari yang telah diatur dibatalkan. Upacara tanda tangan perjanjian jual beli galian antara Ukraine dan Amerika batal.

Keir Starmer

Di London Perdana Menteri Starmer gelabah. Di Paris Macron jadi kelam kabut. Di Warsaw Poland Donald Tusk seriau. Di Brussels Presiden EU Ursula von der Leyes sakit kepala.

Starmer dengan cepat membuat kenyataan bahawa UK akan terus menyokong Ukraine. Malah UK sanggup menghantar soldadu ke Ukraine. Untuk menyedapkan cerita, beberapa lagi sekatan akan dikenakan oleh kerajaan UK terhadap Rusia.

Pada hari Sabtu 1 Mac 2025, Zelensky dari Amerika singgah di London untuk berbincang dengan Starmer. Dengan serta merta Starmer mengangkat telefon dan memanggil semua pemimpin negara Eropah dan anggota Nato termasuk Canada untuk mengadakan sidang tergempar di London. 

Seramai sembilan perdana menteri, empat presiden, seorang canselor dan menteri luar mewakili Turki telah datang ke Lancaster House untuk bersidang. Starmer menjadi tuan rumah.

Objektif mesyuarat itu adalah untuk mewujudkan "coalition of the willing”, atau Gabungan Yang Sanggup, di Eropah yang akan dapat membentangkan rancangan damai untuk Ukraine.

Pelik tapi benar. Selama tiga tahun perang berjalan tidak ada satu malaon dari mana-mana negara di Eropah yang bersuara untuk mengajukan damai. 

Pada awal perang – tiga tahun dulu – Erdogan dari Turki telah mengadakan rundingan damai antara Ukraine dengan Rusia. Perjanjian damai ini telah disailang oleh Boris Johnson, perdana menteri UK ketika itu.

Sekarang apabila Trump mahu menamatkan Perang Ukraine barulah para malaon ini tergesa-gesa memanggil diri mereka Gabungan Yang Sanggup. 

Dari Lancaster House di London, dunia diberitahu bahawa 18 pemimpin Eropah akan terus menyokong Ukraine. Starmer berjanji akan memberi 2.26 bilion pound kepada Ukraine. Dana ini ialah harta-harta Rusia di UK dan duit milik Rusia yang tersangkut dalam bank UK. 

Macron pula mencadangkan gencatan senjata satu bulan dilaksanakan sebagai permulaan.  Ketika gencatan senjata ini berjalan,  perundingan juga berjalan sama.

Apa yang jelas dari mulut Gabungan Yang Sanggup ini ialah mereka semua masih mahu meneruskan perang. Mereka menolak cadangan damai Trump. Apa yang menjadikan persidangan ini lawak bebal ialah 18 pemimpin Eropah dan Nato ini gagal memahami apa yang telah berlaku di Amerika. Mereka gagal membaca siapa Donald J Trump.  Mereka gagal memahami apa itu MAGA – Make America Great Again.

Gabungan Yang Sanggup ini sebenarnya hanya sanggup bersuara. Mereka tidak mempunyai kekuatan ekonomi apatah lagi bala tentera untuk meneruskan Perang Ukraine.

"Kita harus menghabiskan hanya sedikit masa untuk bimbang tentang Putin dan lebih banyak masa untuk bimbang tentang pendatang haram yang merogol, raja dadah, pembunuh dan orang dari institusi mental yang memasuki negara kita - Supaya kita tidak berakhir seperti Eropah!" Trump menulis dalam X.

Saya memahami apa yang ditulis oleh Trump dan melihat Amerika yang berhadapan dengan berjuta pendatang haram. Saya juga hairan kenapa berbilion dolar diberi kepada Ukraine walhal landasan kereta api di Amerika selalu robek.   

Saya melihat dan membaca tentang kemusnahan kampung, pekan dan kota di Ukraine. Saya juga membaca tentang kematian di kedua-dua pihak. Ini wajib dihentikan. 

Ini bukan bermakna kuasa imperialisme Amerika telah berubah. Tidak. Amerika masih lagi kuasa hegemon dunia. Amerika di bawah Presiden Trump masih lagi menjadi kepala kaum kapitalis dunia.

Lima hari yang menggoncang dunia ini wajib membuka mata kita semua bahawa dunia kita masih dalam keadaan kacau. Lima hari ini juga mengajar kita untuk menyedari bahawa dasar luar Amerika dengan sekelip mata boleh berubah.

Malah saya juga agak bimbang dan tidak tahu selepas Perang Ukraine tamat pasti Trump akan menghalakan matanya ke Gaza.

Ke arah mana huru-hara dan perubahan akan menghala. Ini belum berapa jelas. Apakah Amerika akan berbaik dengan Rusia?Sama-sama kita tunggu. 


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen