Hari Isnin lalu, 24 Februari, Presiden Prabowo Subianto bersama dua mantan ketua negara, Susilo Bambang Yudhoyono dan Joko Widodo meluncurkan dana kedaulatan negara bernama Danantara yang diharapkan dapat menjana pendapatan negara secara kekal.
Danantara boleh juga dilihat sebagai “Dana Nusantara”, dengan Nusantara bermaksud Indonesia. Ia merupakan institusi pengelola pelaburan yang menggabungkan kesemua syarikat BUMN atau badan usaha milik negara bawahnya.
Diharapkan Danantara akan berjaya seperti Temasek, badan pengelola pelaburan negara Singapura. Tetapi pada waktu sama terdapat kebimbangan di kalangan pemerhati ekonomi Indonesia bahawa Danantara boleh menjadi 1MDB kerana strukturnya dari segi pengurusan dan pemantauannya tidak meyakinkan.
Maknanya dana itu boleh terdedah kepada korupsi dan agenda tidak jujur yang lain. Hujah-hujah mereka ini ditularkan dalam Tik Tok.
Danantara dirancang sejak zaman pentadbiran Presiden Yudhoyono yang memerintah dari tahun 2004 hingga 2014. Kiranya Indonesia sudah agak lewat dalam hal ini. Temasek ditubuhkan pada tahun 1973 semasa pemerintahan perdana menteri Lee Kuan Yew.

Khazanah ditubuhkan pada tahun 1993 semasa pentadbiran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan 1MDB pada tahun 2009 tentunya oleh perdana menteri Najib Razak. Negara-negara yang mempunyai dana besar ialah Norway, China dan Emiriah Arab Bersatu.
Menurut seorang penganalisis Indonesia, Danantara mempunyai risiko tinggi kerana ia menghimpunkan kesemua syarikat negara di satu tempat dalam keadaan ekonomi Indonesia yang kurang mantap.
Kata beliau, Indonesia sekarang mempunyai hutang dengan China kerana membeli kereta api laju (mereka memanggilnya kereta cepat) yang perlu dibayar mulai Mac ini.
Tetapi penganalisis dari NGO itu menyebut tentang dana tersembunyi Indonesia yang tidak diketahui di mana ia berada. Ia bermula dengan harta peninggalan pentadbiran kolonial Belanda yang kemudian menjadi harta rampasan perang Jepun.
Setelah Jepun menyerah kalah, peninggalan ini jatuh pada Amerika Syarikat. Harta peninggalan Hindia Belanda ini bergabung dengan emas China dan Jepun, dijadikan asas kepada Bretton Woods dan Bank Dunia yang kemudiannya sering memberi pinjaman kepada Indonesia.
Satu lagi harta misteri, menurutnya ialah dana peninggalan pemerintahan Soeharto yang dikatakan wujud dan masih belum digunakan. Perkara ini agak rumit dan sulit untuk saya memahami. Tetapi itulah yang disebut oleh seorang Tiktoker yang secara konsisten bersiaran di media sosial.
Pada hari peluncuran Danantara itu, semua editor atau pemimpin redaksi media massa utama dipanggil oleh presiden Prabowo. Pertemuan itu membincangkan keadaan semasa Indonesia.
Antara media itu, Kompas, Jawa Pos, Republika dan majalah Tempo yang sering mengkritik Prabowo sejak lama dahulu. Prabowo adalah sebahagian daripada keluarga presiden Soeharto.

Negara yang kompleks
Tetapi sejarah ekonomi dan politik Indonesia lebih kompleks, sekali gus menjadikannya lebih menarik. Saya sendiri tidak dapat memahami politik Indonesia walaupun mengikuti perkembangannya sejak tahun 1972 ketika masih di tingkatan satu.
Ia bermula apabila saya membaca komik mengenai peristiwa 30 September 1965, yang masih menggunakan ejaan lama Indonesia. Dari situ saya membaca mengenai Revolusi Indonesia dan peranan Parti Komunis Indonesia (PKI) 0 melalui buku sejarah dan sastera yang ada di perpustakaan awam. Saya turut mendengar Radio Jakarta.
Pertama kali saya ke Indonesia ialah pada tahun 1981, iaitu di Medan. Saya membeli semua tajuk akhbar Indonesia dan sebuah buku sejarah akhbar di negara itu.
Untuk memperoleh maklumat mengenai politik Indonesia ketika itu memang sukar. Atas permintaan saya, Kedutaan Indonesia mengirimkan bahan-bahan penerangan Orde Baru. Pada tahun 1976, barulah saya dapat membaca majalah Tempo dan kemudiannya pada tahun 1990-an, majalah Gatra, Editor, Forum Keadilan, Detik.
Media-media itu menyalurkan banyak maklumat dari Indonesia.Tetapi majalah-majalah ini tentunya tertakluk pada keizinan pemerintah. Majalah Tempo pernah diharamkan oleh pemerintahan Suharto.
Saya lebih cenderung meminati Sukarno berbanding Suharto walaupun banyak keburukan yang berlaku pada zaman Orde Lama dan banyak juga kebaikan pada Orde Baru.
Maka saya sering mengikuti perkembangan pergerakan penentang presiden Suharto baik dari kalangan golongan Islam seperti kegiatan mahasiswa di Institut Teknologi Bandung (ITB) mahupun di kalangan kiri.
Bermulanya detik-detik gerakan Reformasi pada tahun 1998 dengan munculnya Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan Megawati Soekarnoputri dan Parti Rakyat Demokratik (PRD) pimpinan Budiman Sudjatmiko. Beliau kemudian menyertai PDIP tetapi kini menjadi aktivis pendokong Prabowo.
Reformasi Indonesia yang menyaksikan kejatuhan presiden Soeharto memberi harapan besar kepada rakyat Indonesia dapat bangkit. Indonesia yang merupakan negara besar selayaknya muncul sebagai kuasa serantau dan boleh bertindak menandingi kuasa-kuasa lain seperti China dan Jepun.
Korupsi sejak era Sukarno
Indonesia mempunyai potensi untuk menjadi negara maju yang memberikan kesejahteraan pada rakyatnya. Komuniti intelektualnya juga lebih terserlah daripada negara-negara jiran. Malah Indonesia sendiri diasaskan atas fahaman-fahaman intelektual.
Namun masalah korupsi terus mengekang kebangkitan Indonesia sejak zaman Sukarno.
Selepas kebangkitan Reformasi, presiden Soeharto digantikan dengan BJ Habibie, Gus Dur, Megawati, Susilo Bambang Yudhoyono, Jokowi dan kini Prabowo yang belum cukup 100 hari mentadbir.

Kini maklumat lebih mudah daripada media sosial terutamanya Tik Tok. Saya mengikuti beberapa Tiktoker Indonesia yang membicarakan soal politik, ekonomi, sejarah, falsafah dan sains. Beberapa minggu lalu terdapat gerakan “Kabur Aja Dulu”, bermaksud tinggalkan saja Indonesia.
Mereka menceritakan betapa sukarnya orang Indonesia berkelulusan mendapatkan pekerjaan. Terdapat banyak halangan birokrasi untuk mendapatkan pekerjaan. Mereka mendakwa terdapat korupsi dan nepotisme.
Maka mereka hilang harapan untuk berada di Indonesia, dan langkah terbaik ialah bekerja di luar negara, iaitu tinggalkan saja tanah air sendiri.
Perkara ini kemudian membawa kepada gerakan Indonesia Gelap. Maksudnya aspirasi Reformasi tidak terlaksana. Golongan elit, daripada presiden hinggalah kepada menteri dan ahli parlimen didakwa hanya tertumpu untuk menghitung kepentingan peribadi.
Ia terserlah apabila Prabowo memotong belanjawan untuk pengajian tinggi. Dipercayai wang penjimatan itu dialihkan kepada Danantara.
Banyak lagi cabaran Indonesia terhadap kedudukan kewangan dan ekonomi mereka. Prabowo menghentikan peruntukan untuk pembangunan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara.
Minggu lalu ribuan para mahasiswa di seluruh Indonesia turun ke jalan raya berdemonstrasi. Bukan saja di Jakarta, Bandung, Semarang dan lain-lain kota di Jawa tetapi juga berlaku di Sumatera Utara dan juga Sulawesi.
Bukan saja mahasiswa di kampus terkemuka iaitu Universitas Indonesia (UI) yang berjaket kuning tetapi juga siswa Institut Agama Islam Negeri (IAIN) yang terdapat di seluruh negara.
Indonesia Gelap
Tema demonstrasi mereka adalah Indonesia Gelap dan mereka mempunyai 13 tuntutan yang pada umumnya mereka tidak puas hati dengan keadaan Indonesia sekarang. Lagu semasa Reformasi Tahun 1998 dahulu “Buruh Tani” berkumandang.
Demonstran ini merupakan generasi baharu yang pada tahun itu belum lahir. Satu lagi lagu popular semasa demonstrasi itu adalah “Bayar, bayar” yang merupakan sindiran terhadap polis.
Pada mulanya apabila mendengar bantahan-bantahan mengenai tindakan beliau, Prabowo jawab “Ndasmu”, yang bernaksud “kepala otak kamu”, ketika berucap dalam majlis hari ulang tahun parti Gerindra.
Ditambah pula apabila beliau melaungkan “Hidup Jomowi”, yang menunjukkan rasa terhutang budi pada Jokowi, sedangkan mantan presiden itu dilihat sebagai telah membawa kepada keadaan yang dianggap sebagai buruk sekarang ini.

Tetapi Prabowo mengambil sikap positif terhadap gerakan Indonesia Gelap ini. Tidak seperti ketika Orde Baru dahulu, pentadbiran Probowo menerima kertas tuntutan untuk dipertimbangan. Ada tuntutan dipenuhi. Keadaan sekarang tidaklah sama dengan masa Orde Baru.
Institusi-institusi demokrasi sudah wujud, termasuk Komite Pemberantasan Korupsi (KPK) sudah ada.
Namun, politik Indonesia sedang bergolak dan boleh menjejaskan kestabilan sedangkan masih terlalu banyak rakyat yang sedang menderita untuk kelangsungan hidup yang asas.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.