KOLUM | Oleh kerana datang lewat dan balik awal, tidak dapatlah saya menyaksikan sendiri beberapa anggota polis beruniform datang membuat pemantauan di kedai buku Gerakbudaya baru-baru ini.
Pada petang hujung minggu itu, di tempat tersebut berlangsung majlis memperingati 100 tahun pengarang terkenal, Pramoedya Ananta Toer.
Dia lahir pada 6 Feb 1925 di Blora – sebuah daerah di Jawa Tengah – ketika Indonesia adalah suatu idea politik yang belum membentuk sebuah negara merdeka.
Rakan-rakan yang datang ke majlis itu mengesahkan kehadiran anggota keselamatan yang katanya mencari buku ‘haram’ (yang disenaraikan sebagai terlarang oleh Kementerian Dalam Negeri).
Majlis tersebut menjemput ramai pembicara. Antaranya Max Lane, Okky Madasari, Tian Chua dan lain-lain. Faisal Tehrani juga dijemput tetapi dia tidak hadir.
Hadirin pula terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, pelbagai latar belakang, ideologi berbeza dan politik yang rencam. Ada yang berusia senja, pertengahan dan muda remaja.
Bukankah itu salah satu ciri sebuah negara madani?
Kehadiran anggota keselamatan memang memberi nilai tambah kepada majlis ringkas tersebut. Daripada acara bicara santai ia berubah menjadi peristiwa politik menarik pada hujung minggu.
Pernah ditekan, dibuang
Jika ada nilai tambah, ia pergi kepada Gerakbudaya yang mendapat publisiti percuma untuk rumah penerbitan bebas itu.
Dua karya saya pernah diterbitkan Gerakbudaya pada tahun lalu: Ustaz Sulam - Sebuah Potret Ulama Kampung dan Mat Indera - Antara Identiti dan Ideologi. Kedua-duanya mengisahkan dua nama yang sifatnya bukan pada arus perdana.
Saya menulis sebagai tanggungjawab sosial kepada tanah air.
Ia menghimpunkan memori dan pergulatan kendiri dalam mengumpul memori ramai pihak dengan pengetahuan peribadi. Tanpa dicatat, memori dan pengalaman berharga yang lalu akan hilang.
Lalu kekal benarlah ungkapan “sejarah ditulis oleh yang menang” seperti disebut oleh Winston Churchill.
Hakikatnya, sejarah ditulis oleh orang yang gigih menulis, menerbitkan dan memasarkan. Itulah yang dilakukan oleh Pramoedya sewaktu dia ditekan dan dibuang.
Dalam soal kebenaran, ia perlu disampaikan sama ada secara terbuka mahupun gelap. Idea Pramoedya ialah melawan ketidakadilan dan menegakkan kemanusiaan.

Gerakbudaya menerbitkan buku-buku yang jarang mendapat perhatian umum tetapi memiliki nilai tersendiri – aliran pemikiran alternatif dalam masyarakat yang menjadi pemuja penguasa - fikiran-fikiran yang memerdekakan.
Jika nilai tambah itu kepada karya-karya Pramoedya, maka itu bermakna ‘Polis Fikiran’ masih menjadi mekanisme penguasa autokratik atau pseudodemokratik (acah-acah demokratik).
Sesetengah kita di Malaysia ini mula mengenali nama Pramoedya mula dikenali seawal di bangku sekolah terutama dalam kalangan pelajar yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di peringkat menengah tinggi.
Novelnya, Keluarga Gerilya, dijadikan teks sejak 1980-an (atau mungkin lebih awal lagi).
Aktor bukan politik diabaikan
Maknanya dari sekolah lagi pemikiran Pramoedya sudah mewarnai sebahagian besar generasi negara selain diasuh oleh sentuhan Usman Awang, Keris Mas, Arenawati, Shahnon Ahmad dan sebagainya.
Ketika karya Pramoedya mendapat pengiktirafan antarabangsa, ia diharamkan oleh rejim Suharto.
Di Malaysia pula novel itu dijadikan teks sastera di sekolah dan ditelaah oleh ribuan pelajar.
Barangkali anggota polis yang menziarahi Gerakbudaya itu tidak pernah membaca karya Pramoedya. Mereka hanya menurut perintah pihak atasannya tanpa fikir atau soal.
Novel George Orwell, 1984 ada menyentuh tentang ‘Polis Fikiran’ yang menjadi perkakas kerajaan Oceania bagi mengawal gerak geri rakyatnya. Terutamanya jalur fikiran yang menongkah arus atau idea melawan.

Politik ini sangat dinamik dan politikus pula mudah berubah. Hari ini hijau, esok boleh menjadi menjadi coklat dan tulat berubah biru.
Namun dalam sistem kenegaraan, banyak aktor lain turut memberi peranan dalam merupa bentuk wajah kerajaan. Antara aktor itu ialah birokrat, kaum feudal, saudagar, ulama, penulis, seniman, buruh, petani dan pengemis jalanan.
Aktor-aktor yang bukan politik itulah biasanya sering diabaikan dalam aspek kebertanggungjawaban keputusan politik.
Dalam dunia sebenar, pelaksanaan pada setiap keputusan politik tertakluk pada semua pihak yang mempunyai kepentingan berbeza. Pihak yang sering dituding kesalahan ialah politikus.
Ini adalah ketidakadilan kepada politikus. Politikus sering kecundang kepada aktor bukan politik yang mempunyai fungsi penguasa.
Bukan sekadar indahnya bahasa
Pada era kerajaan Madani ini, semua aktor kenegaraan perlu lebih terbuka, khususnya birokrat kuasa yang memegang peluru dan pedang negara.
Begitu juga dengan golongan ‘Bal’am’ yang sering mengguna kunci syurga atau neraka untuk menundukkan lawan mereka.
Tidak kurang pentingnya ialah saudagar yang menjadi kaum pemodal dan menguasai pasaran.
Percayalah bahawa rakyat punya seribu lidah sakti dan tulang kaki keras yang bersedia berdepan dengan keadilan yang tertangguh.
Pada hari itu, bilik kuliah tingkat atas bangunan Gerakbudaya yang terletak di Petaling Jaya itu sudah penuh. Di daerah itulah saya mula mengenal nama Jomo K Sundaram lebih tiga dekad lalu semasa menjadi mahasiswa.

Dia menjadi salah seorang pembicara dan diletak sebagai pembicara terakhir. Biasanya watak yang disusun sebagai yang terakhir adalah pencetus detik kemuncak sesuatu acara.
Jomo menyebutkan bahawa novel Anak Semua Bangsa dan Gadis Pantai patut dibaca oleh generasi muda masa kini agar mereka lebih menghargai perdamaian.
Kemudian, dia menekankan soal perjuangan Pramoedya terhadap wanita lewat karyanya seperti Gadis Pantai dan Panggil Namaku Kartini yang memberikan gambaran cabaran berbeza zaman.
Jomo juga bercakap tentang karya terjemahan Pramoedya ke dalam bahasa lain termasuk bahasa Melayu yang kadang-kadang menimbulkan polemik.
Bagi Jomo, sastera bukan sekadar soal keindahan bahasa tetapi juga soal renungan sejarah pada cita-cita atau impian masyarakat yang terpendam.
Saya berdiri sambil bersandar pada dinding kerana kerusi sudah penuh. Namun belum sempat kaki ini lenguh, Jomo menamatkan bicaranya.
Memang tidak puas!
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.