KOLUM | Pilihan raya umum Jerman baru saja selesai pada Ahad 23 Februari 2025. Media melaporkan kerajaan SPD (Parti Sosial Demokrat) – politik garis tengah – di bawah pimpinan Olaf Scholz kalah.
Pungutan suara awal jelas menunjukkan ombak politik garis kanan semakin mara ke hadapan.
Ombak garis kanan ini dibawa oleh dua parti politik berpaksikan agama: Christian Democrat Union (CDU) dan Christian Social Union (CSU). Dua parti Kristian bersaudara ini mendapat 28.8 peratus dari jumlah undi. Parti kerajaan hanya mendapat 16.2 peratus sokongan.
Apa yang lebih menarik sokongan yang didapati oleh parti AFD (Alternative for Germany - Parti Alternatif untuk Jerman). Ini parti baru yang hanya ditubuhkan pada tahun 2013.

Alternatif untuk Jerman membawa politik populis. Dilaporkan lebih kanan daripada parti Kristian bersaudara CDU/CSU. AFD mengajukan dasar bumiputera Jerman.
Parti ini bersikap skeptik terhadap Kesatuan Eropah (EU). Parti AFD menentang kemasukan pendatang asing ke Jerman. Menolak kemasukan imigran beragama Islam yang dianggap merosakkan budaya Jerman. Parti AFD ini semakin popular dan berjaya memperluas pengaruh.
Untuk menangkis kemaraan AFD, parti lawan mula mentakrif dan menuduh AFD sebagai parti ekstremis kanan. Parti ini disangkut pautkan dengan Parti Nazi. Malah ada yang menuduh parti AFD ini membawa kembali politik Hitler.
Apakah ini benar?
Untuk memahami apa yang sedang berlaku di Jerman, kita wajib juga menyedari apa yang telah berlaku di Austria, di Itali dan di Poland. Negara-negara berkanaan pada ketika ini semuanya di bawah kerajaan populis berhaluan kanan.
Paling terbaru di Belanda bila mana Party for Freedom yang pada 2024 telah bersama menubuh kerajaan. Parti ini menganggap Islam tidak secocok dengan tamadun Belanda dan bercanggah dengan tamadun Eropah.
Perkara sama berlaku di Itali. Perdana menteri wanita pertama di Itali, Giorgia Meloni, dilantik pada tahun 2022. PM Meloni datang daripada Parti Brothers of Italy - satu parti baru yang ditubuhkan pada 2012. Parti bumiputera Itali ini mengajukan dasar populis anti-imigran.
Majalah perniagaan Forbes meletakkan Meloni sebagai wanita ketiga paling berkuasa di dunia dan dia disenaraikan antara orang paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time. Sementara itu majalah Politico meletakkannya sebagai orang paling berkuasa 2025 di Eropah.

Amat jelas pada ketika ini ombak garis kanan bukan sahaja sedang melanggar Eropah, malah ombak politik kanan tersebut sedang mengampuh di seluruh dunia.
Presiden Donald Trump yang baru masuk ke Rumah Putih di Amerika juga manifestasi dan hasil daripada politik garis kanan.
Apa itu parti garis kanan?
Secara umum semua parti garis kanan menjadi popular kerana menentang kemasukan imigran. Imigran bermakna bukan bumiputera yang tidak berkulit putih. Imigran baru dan lama semua dimasukkan ke dalam satu bakul. Datang secara sah atau masuk secara haram, semua ditakrif sebagai pembawa masalah kepada budaya bumiputera.
Dalam istilah politik moden, garis ini dipanggil nativist - bumiputera. Lawannya pendatang yang tidak berkulit putih. Falsafah perjuangan nativist mengajukan dasar menyokong dan melindungi kepentingan penduduk asli atau penduduk yang sudah mapan. Dalam bahasa mudah, ini parti bumiputera berkulit putih.
Kemasukan pendatang bukan bumiputera ke Eropah bukan satu yang baru. Dari zaman kolonial lagi warga anak tanah jajahan telah datang masuk ke Eropah. Bukan secara gelap. Mereka dibawa oleh tuan penjajah.
Di Tanah Melayu misalnya ada Sepoi dari India datang melawan perjuangan antipenjajah yang dipimpin Tok Janggut, Mat Kilau dan Tok Bahaman.
Ketika rakyat Tanah Melayu bangun melawan Inggeris sesudah Perang Dunia Kedua, kuasa kolonial Inggeris membawa askar Ghurkha dari Nepal dan soldadu dari Fiji. Selesai menjalankan tugas, ada yang pulang ke negara asal dan ramai berpindah ke negara tuan penjajah.
Sesudah Perang Dunia, ekonomi mula berkembang kembali. United Kingdom, negara yang paling banyak tanah jajahan, membawa masuk buruh dari India, Pakistan dan Carribbean. Perancis membawa masuk warga dari Algeria. Belgium dan Belanda membawa masuk buruh dari Moroko manakala Jerman membawa masuk warga Turki.
Awalnya, semua yang bukan bumiputera ini dijemput dan disambut kedatangan mereka. Mereka dilihat membantu negara tuan membangun kembali. Tenaga kerja mereka diperlukan.
Ketika ekonomi Eropah berkembang, warga yang bukan Bumiputera dilihat tidak menjadi masalah.
Margaret Thatcher menjadi perdana menteri pada tahun 1979. Ronald Reagan menjadi Presiden Amerika ke-40 pada tahun 1989. Dua sosok ini menjadi panglima kapitalis untuk mengajukan dasar globalisasi.
Dasar globalisasi ini dibantu pula oleh suasana geopolitik. USSR – blok sosialis Rusia runtuh. Perang Dingin tamat. China mengamalkan pasaran bebas. Pada 2001, China diterima menjadi ahli Anggota Perdagangan Dunia (World Trade Organisation).
Kuasa imperial Anglo-Amerika mendominasi dunia kapitalis. Ekonomi dunia rancak berkembang. Ketika ini modal makin bergerak maju. Bila modal bergerak, kaum buruh ikut bergerak sama.
Globalisasi sekali lagi membawa ombak imigran masuk ke Amerika Utara dan Eropah – dua wilayah termaju dalam sistem ekonomi kapitalis. Ekonomi China yang bangun mengembang membantu pergerakan modal dan buruh.
Kaum kapitalis satu dunia berkenduri kendara. Saham melonjak naik. Kapitalis berkrismas tak henti-henti. Keuntungan dilihat tidak berhujung. Tenaga buruh murah diperlukan di sana-sini untuk melipatgandakan keuntungan. Imigran dibawa masuk.
Tiba-tiba Perang Teluk sampai. Perang Afghanistan sampai. Timur Tengah bergolak. Pelarian perang makin berganda. Di Afrika, benua yang sentiasa ada perang makin tidak stabil kerana dampak dari malapetaka iklim.
Kali ini satu lagi ombak pendatang menuju ke Eropah dan Amerika Utara. Ombak pertama – warga pelarian – hasil dari perang di Afghanistan, Iraq, Libya dan Syria. Ombak kedua – warga pelarian malapetaka iklim.
Pada tahun 2015, Eropah Timur dan Barat sedang dihantui oleh warga pelarian perang. Itali, Hungary, Maldova, Republik Czech dan Poland semua diceroboh masuk oleh pendatang haram.
Angela Merkel yang ketika itu menjadi Canselor Jerman telah membenarkan lebih daripada 1 juta orang pelarian ini masuk ke Jerman.
Ketika inilah politik Jerman mula berubah. Jika dahulu kedatangan imigran ini berdikit-dikit tidak dirasakan kehadiran mereka, apabila 1 juta pendatang baru yang tidak berkulit putih masuk mendadak, semua sistem sosial di Jerman terganggu.
Dalam suasana inilah parti-parti berhaluan kanan makin berkembang maju. Di United Kingdom, Reform Party dan UKIP (United Kingdom Independence Party) mula mendapat pengaruh.
Ketika tulisan ini digarap, kerajaan baru di Jerman belum ditubuhkan. Kerajaan baru tidak dapat tidak akan menubuhkan kerajaan campuran kerana tiada satu pun parti yang memiliki majoriti – total 630 kerusi parlimen – untuk membentuk kerajaan.
Warga bukan Bumiputera dan kaum imigran terutama yang beragama Islam di Jerman wajib berhati-hati. Jangan lupa, Hitler menjadi Canselor pada 30 Januari 1933 juga melalui pilihan raya umum.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.