malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
KOLUM | Kerajaan yang tak reti manfaatkan seni
ADS

KOLUM | Sesiapa yang menonton filem The Boy in the Striped Pajamas pasti akan ketawa apabila mendengar dialog “Ibu harus berhati-hati. Tahu tak bahawa menyatakan pendapat secara terbuka boleh mendatangkan masalah kepada ibu?”

Entah mengapa filem era Perang Dunia Kedua yang menyorot kehidupan seorang anak kecil pegawai kanan tentera Nazi yang bersahabat dengan seorang rakan sebaya berbangsa Yahudi dalam kem tahanan mengingatkan saya kepada menteri Kerajaan Madani dan masalah perkauman negara ini.

Sebenarnya tidak guna menyalahkan Menteri Perpaduan Negara apabila ada penjaja jagung bakar meletakkan poster rasis.

Bahkan idea untuk mewujudkan portfolio menteri untuk hal-ehwal bukan Islam juga hanya akan melahirkan lebih banyak prejudis.

ADS

Sebenarnya masalah perpaduan kaum yang berlaku sekarang bukanlah kerana lemahnya seorang menteri di Kementerian Perpaduan Negara, sebaliknya bolehlah dianggap kegagalan seorang menteri di Kementerian Komunikasi yang tidak benar-benar berfungsi.

Hal itu akan saya jelaskan kemudian.

Untuk sementara kita harus terlebih dulu perlu tahu bahawa apa saja isu perpaduan kaum yang terisi dalam longgokan bagasi perpaduan negara hari ini tidak seharusnya dipikul oleh hanya seorang Menteri Perpaduan Negara.

Prejudis dapat dielakkan

Kerja-kerja menyatupadukan manusia berbilang kaum, bangsa dan agama dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia adalah projek mega yang memerlukan penglibatan lebih banyak pihak. Misalnya seperti pengkarya seni filem.

Masalah perpaduan kaum yang membebankan negara ini semenjak hampir 70 tahun ini bermula sebaik British menggunakan kuasa politik mereka untuk membawa masuk warganegara India dan China ke Tanah Melayu.

Sungguhpun waktu itu hubungan antara kaum masih terkawal, namun orang Melayu sudah mula berasa tidak senang sekiranya kuasa politik mereka digugat.

Namun oleh kerana mereka dipisah-pisahkan mengikut petempatan bilamana orang Melayu kekal mendiami kampung, Cina menghuni kawasan bandar dan lombong, sementara India ditempatkan di estet-estet, pergeseran kaum akibat prejudis dapat dielakkan.

Kedatangan Jepun hanya menambahkan lagi jurang kebencian kaum apabila mereka memberikan layanan yang sangat buruk terhadap orang Cina berbanding Melayu dan India.

Kebangkitan dan penguasaan komunis yang banyak diperjuangkan oleh orang Cina selepas itu pula memburukkan lagi perhubungan Melayu-Cina.

Hal itu kerana orang Melayu yakin orang Cina mahu menggugat kuasa politik orang Melayu - walaupun dari sesetengah aspek ada kebenarannya.

Kemelut prejudis perkauman ini memuncak apabila British sekali lagi - melalui agenda Malayan Union - mahukan orang Cina dan India diberikan hak-hak yang sama dengan Melayu.

ADS

Dua belas tahun selepas itu, peristiwa 13 Mei pun meletus.

Semenjak itu segala isu perkauman akan menjadi isu politik yang hangat. Ia terus membara dan sering membakar emosi masyarakat.

Sehingga kini isu kaum dan agama semakin laris dijual sebagai modal murahan oleh parti-parti politik yang kemaruk kuasa.

Patut ada daya imaginasi

Kerana itulah masalah perpaduan di negara ini tidak pernah dapat diselesaikan dengan tuntas oleh mana-mana menteri yang muncul dari apa-apa jenis kerajaan pun!

Pendekatan oleh semua menteri dari beberapa kerajaan untuk menangani isu perkauman tetap sama - autokratik, sifar imaginasi dan usang.

Walhal hari ini Malayan Union sudah diingat sebagai sejarah. Orang India dan Cina yang hidup di ini bukan lagi pendatang. Mereka juga adalah warganegara Malaysia yang ada hak dan jaminan undang-undang.

Sementara orang Melayu pula terus mendominasi politik mentadbir negara sepertimana yang mereka mahukan.

Seorang menteri komunikasi pada zaman Madani seharusnya lebih manusiawi, maju dalam aspek pemikiran, berimaginasi tinggi serta berkeupayaan memanfaatkan seni bagi menyatupadukan negara.

Dia tidak boleh tidak mesti memiliki keupayaan menangkis naratif jahat menggunakan isu kaum dan agama oleh minda politikus antiperpaduan.

Sebab itu saya katakan peranan Menteri Komunikasi tidak benar-benar difungsikan.

Fahmi Fadzil

Mengapa Finas disibukkan mengejar Oscar dan menghurung pasaran antarabangsa sedangkan filem berpotensi menjadi seni menganyam hidup bermasyarakat secara waras dan harmoni?

Filem yang mendidik masyarakat tidak semestinya ada ledakan bom atau dibisingkan dengan bingit bunyi tembakan daripada dua pihak yang gila berperang.

The Boy in the Striped Pajamas membuktikan bahawa filem tentang perang juga adalah filem senyap, sunyi dan sepi yang memaksa kita untuk mendengar serta berfikir tentang bahaya prejudis perkauman yang bertunjangkan kebencian.

Dialog di antara Bruno dan Shmuel dalam filem itu tidak hanya memberi definisi baru kepada persahabatan.

Dengan bersahaja dan santun dua kanak-kanak yang berbeza bangsa dan agama itu meruntun jiwa kita agar menjadi manusia yang lebih terbuka, prihatin serta banyak mendengar untuk cuba memahami segala kemelut termasuk politik kebencian dan perkauman yang ada sekitar kita.

Perang politik kepartian yang sering memangsakan rakyat tidak sepatutnya menjadikan kita manusia rasis, jahat, wasangka dan selalu ingin berseteru terhadap sesama teman berlainan bangsa dan kepercayaan.

Kisah persahabatan yang ditunjukkan dalam filem The Boy in the Striped Pajamas menuntut kita untuk lebih memahami bahawa rasisme kebencian akan pasti mendatangkan kecelakaan.

Ingatlah bahawa filem berstatus antarabangsa adalah filem yang mengangkat kekayaan masyarakat lokal di tempat ia dihasilkan.

Sudah tiba masanya kerajaan Madani - yang sedang bergelut dengan seribu satu isu perpaduan dan percanggahan nilai kepercayaan - memanfaatkan seni filem untuk menyampaikan mesej-mesej kasih sayang, moral dan damai.


HARIS HAUZAH ialah seorang lelaki kurus yang mengalami masalah pertambahan berat badan akibat termakan banyak politik kebencian. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen