malaysiakini logo
story-image
ADS

KOLUM | "Majlis ada tiga ekor orang putih pun guna Bahasa inggeris," kata Haji Hadi Awang. Dia meluahkan rasa tidak senang apabila penggunaan Bahasa melayu kini - menurutnya - semakin terpinggir.

Pertama, sebagai penulis portal yang katanya anti-Melayu dan juga Islam, kami terpaksa menyanggah kenyataan tersebut. Juga, kami ingin mengatakan yang Haji Hadi pun bersalah dalam hal ini.

Dia menggunakan penjodoh bilangan yang silap.

Ekor biasanya digunakan untuk binatang dan agak tidak manis apabila dia sebagai tuan presiden sebuah partai yang mahu dilihat sebagai pejuang agama menisbahkan beberapa orang manusia dengan penjodoh bilangan binatang.

ADS

Tambahan pula dalam islam, orang Inggeriskah, orang Indiakah, orang Cina DAP-kah, semuanya makhluk Tuhan dan perlu dihormati sebagaimana layaknya.

Kemudian daripada itu, Haji Hadi juga agak terlewat apabila mengeluarkan kenyataan tersebut.

Umum mengetahui yang perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah lama habis. Ia sama dengan usaha untuk menghapuskan rasuah atau mengharapkan budak perempuan Melayu yang bekerja dalam bidang servis untuk senyum dan memandang wajah kamu semasa mengambil pesanan.

Atau lebih peribadi - apabila kawan-kawan rapat yang mengharapkan kami kembali menggunakan telefon genggam.

Di mana baiknya saling memahami

Semua harapan pemulihan untuk perkara di atas sudah musnah. Sama musnahnya dengan harapan kamu untuk mengharapkan kerajaan yang ada untuk terbuka menerima kritikan dan dengan senang hati membiarkan kamu berdemo, misalnya.

Haji Hadi harus faham yang ini adalah negara yang pelbagai kaum. Mengutamakan mana-mana bahasa adalah perbuatan yang kurang bijak.

Semua penduduknya mesti diberikan hak yang sama, maka jalan yang paling baik ialah dengan membenarkan semua penduduknya bertegur sapa dalam apa pun bahasa yang mereka selesa, waima bahasa kera.

Biarkan saja mereka berhuh-hah huh-hah sesama mereka.

Biarkan mereka sentiasa curiga antara satu sama lain, dan biarkan mereka tidak faham antara satu bahasa dengan satu bahasa yang lain. Ini adalah jalan menuju keamanan.

Gambar hiasan

Lihat saja bagaimana apabila seorang perempuan India yang faham bahasa Melayu dan tahu apa yang ditulis oleh penjual jagung di Kota Warisan itu. Tidakkah ini menimbulkan perbalahan antara kaum?

Di manakah baiknya apabila semua faham apa yang disampaikan antara satu sama lain dan kemudian menimbulkan kekeruhan?

ADS

Cuba bandingkan jika perempuan India tersebut menulis sesuatu yang menyakitkan hati bangsa lain namun tidak difahami oleh bangsa tersebut.

Tentu saja bangsa yang tersakiti itu tidak melakukan apa-apa yang mungkin menyebabkan rusuhan kaum, misalnya.

Dah tak faham, nak mengamuk buat apa, kan?

Dan lagi, Haji Hadi juga harus menerima hakikat bahawa negara kita adalah negara yang cantik. Lalu kerana itu kita setiap tahun menerima puluhan juta pelancong dari seluruh dunia.

Sediakan segala kemudahan

Jika semua papan tanda perniagaan, jalan raya dan sebagainya menggunakan hanya bahasa Melayu, tidak cukup tangan nanti kita terpaksa melayan pelancong asing yang sesat itu.

Kita harus berterima kasih kepada kerajaan yang lepas. Sebelum insiden serangan 9/11, negara kita adalah sorga bagi pelancong Timur Tengah.

Dan kerana itu kerajaan yang bertanggungjawab pada waktu itu memulakan usaha membuat nama-nama jalan dalam bahasa Arab.

Hasilnya - tidak pernah terjadi mana-mana pelancong dari Timur Tengah tersesat sewaktu mencari di mana letaknya menara berkembar Petronas yang kita semua banggakan itu.

Mereka yang nak jadi macam Arab pun dah tidak kita terlayankan, ini pula mahu melayan Arab yang jahil. Cemas kita dibuatnya nanti.

Hari ini pelancong dari China adalah antara yang paling ramai memasuki negara kita. Maka adalah logik apabila semua kemudahan disediakan untuk mereka.

Gambar hiasan

Papan tanda dan nama jalan di tempat-tempat yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan hendaklah 100 peratus menggunakan bahasa Mandarin.

Di kawasan lain, sedikit kelonggaran boleh diberikan kepada bahasa Melayu.

Lagipun, rakyat Malaya ini semua sudah hafal nama-nama jalan, jadi apa perlunya lagi nama-nama itu dipaparkan dalam bahasa Melayu? Membazir wang dan tenaga saja. Bukankah membazir itu kawan kepada syaitan.

Orang Melayu yang katanya sangat berhemah itu sebenarnya juga perlu membiasakan diri dengan gaya bercakap pelancong China. Mereka jika sudah asyik akan berbual dengan suara setengah menjerit.

Menghormati tetamu adalah budaya kita. Dan tetamu mesti diraikan. Tambahan pula tetamu yang membawa wang yang banyak.

Ke hadapan ini, India dilihat sebagai satu lagi gergasi yang sedang tidur. Ekonominya dalam diam-diam sedang membaik.

Adalah tidak menghairankan nanti jika negara yang mempunyai lebih 1 bilion penduduk itu akan menjadi semaju China.

Macam ditinggal zaman

Tentu saja apabila itu terjadi dan penduduknya sudah boleh mengembara, Malaya pasti akan menjadi satu destinasi pilihan dek kerana faktor hubungan sejarah silam di antara kedua-dua negara.

Maka kerana itu semua persiapan untuk menyambut mereka hendaklah dimulakan dari sekarang. Misalnya bolehlah mula membuat bangunan ala Taj Mahal.

Ini adalah penting untuk membuatkan mereka yang terbang jauh itu nanti berasa seperti di rumah sendiri.

Alahhhh, macam kamu yang bila keluar negeri sibuk mencari nasi. Apabila dalam negeri sendiri sibuk pula cheese sana cheese sini. Baser.

Gambar hiasan

Maafkan kami Yang Mulia Haji Hadi. Kami terpaksa menepis kata-kata tuan guru dalam hal memartabat bahasa Melayu. Seperti selalu-selalu, tuan kelihatan agak ketinggalan zaman.

Kami bersetuju untuk menidakkan kepentingan bahasa Melayu sehingga bahasa tersebut dibuktikan berasal dari Kedah. Sama dengan pedang nabi, tembok Zulkarnain, perahu Nabi Nuh dan juga laksa ikan sekoq.

Selagi belum ada bukti kukuh sedemikian rupa, maka kami memetik satu kata-kata hikmat bahasa asing: "Let it rot!”. Atau “mapuh gi aaaa” sebagai perhormatan kepada Haji Hadi.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis, penulis dan seniman yang pernah tekun menadah kitab di Rusila.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen