malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Kolum
KOLUM | Elon Musk rungkai daulah terpendam AS
ADS

KOLUM | Sejak tahun 1950-an, dunia takut dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang dirasakan berada di mana-mana. Ia dengan tersembunyi turut berada dalam negara-negara musuh Amerika Syarikat (AS) iaitu Soviet Union dan sekutu-sekutunya termasuk Jerman Timur dan Republik Rakyat China.

CIA berperanan menumbangkan kerajaan-kerajaan demokrasi pilihan rakyat yang tidak mengikut kata Amerika. Mereka menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri Iran, Mohammad Mossadegh pada tahun 1953 kerana beliau mahu memiliknegarakan syarikat minyak asing.

CIA juga berperanan dalam pembunuhan presiden pilihan rakyat, Patrice Lumumba di Republik Demokratik Congo pada tahun 1960. Peristiwa ini diabadikan oleh Kassim Ahmad dalam sajaknya yang disiarkan oleh Utusan Melayu, dan kemudian diabadikan dalam antologi sajak dan cerpen bertajuk Kemarau di Lembah yang popular di kalangan golongan kiri negara ini.

Agensi perisikan Amerika itu juga berperanan besar dalam usaha menjatuhkan Presiden Sukarno yang akhirnya tumbang pada tahun 1965.

ADS

Tetapi peristiwa yang paling menarik minat saya ketika remaja ialah rampasan kuasa tentera ke atas kerajaan pilihan rakyat di Chile. Presiden Salvador Allende, seorang Marxis ditangkap dan dibunuh. Nama kod bagi rampasan kuasa itu ialah “Jakarta” mengambil sempena gerakan tentera bagi menjatuhkan Sukarno. Peristiwa itu berlaku pada tahun 1973 ketika saya di tingkatan dua dan beritanya menjadi sorotan majalah utama dunia, Time dan Newsweek. Penglibatan CIA adalah jelas.

Banyak lagi kerajaan yang ditumbangkan oleh CIA di Amerika Tengah seperti Grenada, Panama dan Nicaragua serta juga beberapa negara Afrika. Seorang ahli akademik dan aktivis internasional Amerika yang kini lantang bersuara mendukung Palestin, Jeffrey Sachs sering menyebut dan menyenaraikan kerja-kerja CIA yang disifatkan beliau sebagai sebahagian daripada daulah terpendam atau deep state Amerika.

Banyaknya filem Hollywood mengenai aktiviti CIA menambah misteri agensi itu. Walaupun kisah-kisah itu bersifaf fiksyen tetapi ia meningkatkan prestij agensi itu. Sebahagian besar filem itu berdasarkan kepada novel-novel perisikan popular di seluruh dunia. Salah seorang novelis perisikan terkenal ialah John le Carre sejak tahun 1970-an, iaitu waktu kemuncak pertembungan antara CIA dengan Komiti Keselamatan Negara (KGB) yang merupakan agensi perisikan Soviet Union.

Lawan musuh Amerika

ADS

Tetapi kisah fiksyen mengenai CIA yang paling saya minati ialah Bourne Identity. Saya mula melihat bukunya pada tahun 1980. Penulisnya Robert Ludlum sememangnya banyak menulis novel popular yang berjaya. Saya menonton filem pertamanya pada tahun 1988 di pawagam. Tetapi Bourne Identity yang dikeluarkan pada tahun 2002 lakonan Matt Damon adalah lebih menarik.

Hampir kesemua filem mengenai pertembungan antara CIA dan KGB berakhir dengan kemenangan pihak Amerika. Tetapi realitinya tidak seperti itu. Untuk itu saya ada baca buku KGB: The Secret Work of Soviet Secret Agents (Kerja Rahsia Agen Rahsia Soviet) oleh John Barron yang diterbitkan pada tahun 1974. Sememangnya akhirnya Soviet tumbang pada tahun 1979. Bukan kerana CIA tetapi kelemahan sistem politik, sosial dan ekonomi negara itu.

CIA hanya beroperasi di luar Amerika. Agensi perisikan dalam negara ialah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang juga terkenal di seluruh dunia. Pada tahun 1950-an, mereka telah merosakkan banyak kerjaya karyawan-karyawan filem dan ahli akademik yang hanya disyaki sebagai komunis.

CIA dan FBI adalah agensi kerajaan Amerika yang berada di medan depan untuk melawan komunisme. Tetapi selepas kejatuhan Soviet, mereka terus beroperasi dengan sendiri untuk melawan apa yang dianggap sebagai musuh Amerika. Ternyata mereka beroperasi di luar kendalian kuasa-kuasa politik yang dipilih rakyat. Maka tidak mengira siapa yang memerintah, sama ada parti Demokratik atau Republikan, operasi CIA dan FBI terus bergerak ke arah matlamat yang mereka tetapkan walaupun pengarah agensi bertukar ganti di bawah presiden berbeza. Maka CIA dan FBI dilihat digerakkan oleh suatu kuasa atau pengaruh yang tidak kelihatan. Ia berada di dalam kerajaan secara terpendam.

Walaupun pengarah CIA dan FBI perlu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Kongres, tetapi dirasakan Kongres dan presiden tidak dapat mengendali mereka.

Namun adalah dirasakan bukan saja CIA dan FBI merupakan sebahagian daripada daulah terpendam. Dalam kerangka ini adalah dirasakan bahawa jabatan-jabatan kerajaan penting lain seperti Jabatan Negara dan Kementerian Pertahanan iaitu Pentagon juga tergolong di dalamnya. Daulah terpendam dikatakan bukan saja ada dalam kerajaan tetapi juga media arus perdana iaitu televisyen dan akhbar.

Begitu juga universiti-universiti utama negara dan badan-badan pemikir. Ia juga berkaitan dengan lobi Yahudi yang berpengaruh dan juga bank-bank serta badan-badan korporat daulah terpendam merentas fahaman politik. Ini meskipun mereka mempunyai pendirian politik nasionalisme dan patriotisme yang bersandarkan pada keyakinan tertentu mereka terhadap negara.

Tetapi adakah daulah terpendam itu benar-benar wujud? Ada pihak yang menyifatkaan hanya sebagai teori konspirasi dan tidak benar-benar wujud.

ADS

Konsep deep state ini timbul pada tahun 1990-an apabila penganalisis politik memerhati keadaan di Turkiye. Mereka melihat bahawa tidak kira seaiapapun yang memerintah negara itu, mereka perlu tunduk pada deep state yang tetletak dalam tentera. Pihak tentera Turkiye meletakkan kesetiaan mereka terhadap aspirasi pengasas republik mereka iaitu Kamal Attaturk, yang mendukung sekularisme, republikanisme dan nasionalisme.

Konsep deep state ini digunakan kemudiannya terhadap pentadbiran Presiden Barack Obama. Ada perubahan besar yang hendak dilakukan telah digagalkan oleh deep state atau daulah terpendam yang mempunyai prinsip-prinsip tersendiri.

Daulah terpendam versi konservatif

Bagi saya, deep state wujud di semua negara, termasuk Malaysia. Ia bukan digerakkan oleh seseorang atau sekumpulan secara khusus. Ia lebih pada “deep state of the mind” atau “negara terpendam dalam minda” iaitu minda pegawai-pegawai kerajaan, pihak tentera, sektor swasta, para agamawan, ahli akademik dan lain-lain. Mereka bertindak secara kolektif dan ada masanya tidak sedar.

Pendukung-pendukung Presiden Donald Trump dari pelbagai golongan sama ada pihak aktivis Make America Great Again (MAGA), Projek Republican 2025, Nasionalis Kristian dan lain-lain tentu melihat deep state itu wujud di Amerika dan yang dikuasai oleh golongan liberal. Maknanya walaupun Trump dipilih rakyat dan mempunyai kuasa presiden, deep state liberal ini akan menggagalkan wawasan dan aspirasi Trump.

Malah antara perkara penting yang dilakukan Trump pada hari pertama beliau dilantik presiden ialah melantik bilionair teknologi Elon Musk sebagai pengarah Jabatan Efisiensi Kerajaan (DOGE) yang baru ditubuhkan. Dari segi fungsinya ia adalah seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang ada dalam kerajaan Malaysia.

Tetapi DOGE adalah bertaraf kementerian dan diketuai oleh tokoh kanan presiden. DOGE dan Musk adalah radikal. Menurut Musk, birokrasi adalah bertentangan dengan demokrasi. Birokrasi adalah deep state.

Beliau menutup banyak kementerian dan agensi serta memberhentikan ramai kakitangan kerajaan. Antara yang diberhentikan adalah ejen-ejen CIA dan FBI. Selain daripada Jabatan Pendidikan hinggalah kepada agensi USAID yang mempunyai program di seluruh dunia. Banyak anggota tentera juga diberhentikan. Radio Voice of America dan Radio Liberty turut ditutup.

Apa yang dilakukan oleh DOGE dan Musk amat besar dan meluas. Ternyata beliau telah menghancurkan deep state Amerika. Tetapi ia mewujudkan suatu vakum atau kekosongan deep state. Maka realitinya ialah apa yang dihapuskan itu adalah deep state liberal. Maka tidak hairan jika ia akan digantikan dengan deep state konservatif republikan versi Trump-Musk yang akan membawa Amerika dan dunia ke era baru.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen