Mahkamah Sesyen Sepang hari ini menetapkan 11 Mac sebagai tarikh keputusan kes Aliff Syukri Kamarzaman yang menghadapi empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang pada tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan pembelaan terdiri daripada peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Mohd Radzlan Jalaludin dan Hasshahari Johari Mawi.
Pihak pendakwaan pula diwakili timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Faten Hadni Khairuddin.
Awang Armadajaya pada hujahannya berkata wujud kemungkinan kandungan video itu tidak dimuat naik oleh Aliff Syukri kerana pembantunya mengisi sendiri nama pengguna dan kata laluan akaun media sosial milik usahawan terbabit semasa hadir memberi keterangan di MCMC.
“Aliff Syukri menerima borang dan dia telah mengarahkan pembantu untuk menulis tanpa mengarahkan apa yang perlu ditulis.
“Pembantu menulis (nama pengguna dan kata laluan) tanpa mendapatkan maklumat daripada Aliff Syukri sebelum borang diserahkan semula kepada MCMC.
"Maknanya, ada pihak lain tahu nama pengguna dan kata laluan akaun media sosial Aliff Syukri,” katanya.
Sementara itu, Faten Hadni berhujah, tidak semestinya seseorang yang mengetahui maklumat akaun media sosial milik orang lain juga bertanggungjawab memuat naik sesuatu kandungan.
Dia berkata hasil siasatan mendapati kapsyen pada kandungan video bertajuk Jangan Kecam Saya jelas menunjukkan ia ditulis sendiri oleh orang kena saman (OKS), iaitu Aliff Syukri.
“Kami telah merampas telefon bimbit milik OKS dan mendapati semua maklumat serta bahan kandungan video ada dalam telefon bimbit miliknya.
“Jelas di sini, akaun media sosial itu ditadbir sendiri oleh OKS,” katanya.
Pada 13 Okt 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
- Bernama