malaysiakini logo
story-image
ADS

Tatkala kamu memohon untuk memasuki perkhidmatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hampir dua dekad lalu, terdapat tiga kisah menyayat hati yang entah mengapa menujah bermacam sel dalam benak kamu. 

Tiga kisah tersebut sering disebut-sebut santak menggerigit tiap penjuru dan kotak dalam otak. Ia sangat mengganggu, dan tidak berupaya keluar dari lubang memori. 

Pertama, kisah Teh Cheang Wan. Kedua, nasib yang sama menimpa Robert Budd Dwyer; dan terakhir petaka yang dicipta sendiri oleh Toshikatsu Matsuoka (bawah)

Penghujungnya berhulu kecelakaan rasuah.

ADS

Pada tahun 2009, kamu diberi gelar teman sebagai Twister, kamu sedang bertugas di pejabat SPRM Selangor.

“Apa cabaran tahun tersebut?”

Kamu menarik nafas, merenungiku tidak berkelip, membuatkan aku serba-salah. Beberapa detik kamu terlihat menghimbau sesuatu yang merusuhkan sudut kenangan. 

Tanpa disangka kamu membalas begini: “Perkelahian.”

Aku menanti bingung penjelasan, “Perkelahian?”

Kamu angguk.

“Kes saksi bintang yang jatuh tersebut telah membawa kepada tekanan luar biasa buat saya, secara khusus…dan untuk kami seluruhnya.”

Ingatan kamu masih segar di kala bulan-bulan SPRM sedang meniti cacian seluruh negara, persepsi terburuk sejak penubuhannya. 

Keadaan memburuk apabila ditokok dengan label pembunuh sehingga setiap pegawai merasai kejatuhan moral dan kesasaran fokus secara dahsyat sekali.

Kamu ditugaskan mengurusi logistik melibatkan pegawai yang akan ke mahkamah ketika sesi demi sesi inkuiri Suruhanjaya Diraja (RCI). Tempoh itu penuh tekanan. 

Kamu tidak pulang ke rumah, berulang Shah Alam-Kuala Lumpur-Putrajaya-Semenyih. Makan minum kamu entah ke mana, mengakibat gastrik selalu. Kerja sering usai pada pukul dua pagi, dan bermula kembali pada pukul enam. 

Tugas kamu terlihat rantingan, mengiring dan menjaga para pegawai yang dihadap ke sesi inkuiri tersebut. Dalam masa yang sama, serasa tidak ada seorang pun ahli masyarakat bersimpati dengan mereka. 

ADS

Hikayat liar

Tuduhan dan hikayat liar di atas talian memenuhi ruang sesawang dan membuatkan fikiran para pegawai SPRM sehabis keruh. Dan semua itu menjadikan fikiran kamu juga tidak jernih.

Di rumah, isteri yang baru dikahwini kurang memahami acap melampias kemarahan dan puncaknya dia mengadu di Facebook. 

Tentulah itu pilihan yang silap. Status media sosial spontan tersebut menular dalam kalangan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat rapat menyebabkan pertanyaan demi pertanyaan.

“Twister kamu tidak pulang ke rumah? Ada perempuan lain? Tidak bertanggungjawab? Sudah tidak bercakap dengan isteri? Pulang jam empat pagi? Gaduh? Kelahi? Bertegang urat? Kamu berhenti menyentuh isteri?”

Kamu murung, sedih, diserta kecaman masyarakat yang tidak membina dan tiada sebab mengawali punca memburukkan keadaan. Di luar sesi inkuiri, keluarga ‘mangsa’ dalam nestapa lain memandang semua pegawai SPRM sama. 

Bukan sekali dijerit, disorak, diancam dan diejek ketika kamu mengiring saksi ke mahkamah. 

“Apa perasaan kamu Twister?” Soal saya mengambil berat, membayangkan duduk letak kesihatan mental beliau.

Kamu mengesip mata, “Ya waktu itu rasa ditelanjangi. Kejadian jatuh itu melibatkan kematian, dan ia diselubungi sudut pandang politik yang kuat. Ada perasaan tidak berdaya ke dasarnya.”

Kamu bersyukur betapa kes jatuh saksi bintang tersebut membawa kepada penambahbaikan yang luar biasa. Yakni manfaat yang diperlukan oleh SPRM. Kini, soal-siasat lebih terurus dan rapi. 

Kamar tersangka dan tahanan tidak lagi di aras tinggi. Setiap penjuru dipantau CCTV yang munasabah dan berfungsi. 

Tentu ada kecuaian atau kelompongan dalam kejadian tersebut yang membuatkan kamu dan rakan-rakan bermuhasabah, tetapi kecaman dan ancaman yang terlempar ketika itu juga sangat keterlaluan.

Selain pengalaman di atas, kamu juga mengingat rasa sakit hati yang beragaman.

“Pengalaman geram?” 

Mana tidaknya, saksi bintang kamu untuk satu kes rasuah entah kenapa terlihat berbual di ruang mahkamah dengan peguam bela yang tertuduh. 

Kamu tahu kamu tidak boleh mencegah saksi tersebut berbual dengan pihak seberang, dan betullah telahan kamu, kes itu tidak mencapai puncaknya lantaran aksi mengubah keterangan.

“Pengalaman seram?”

Dikepung gangster

Twister tertawa, ya bergantung seram yang bagaimana. Kamu menceritakan bagaimana rasa geruh menular dalam pembuluh darah apabila kamu pernah dikepung ahli gangster di Kelang dalam satu kes rasuah membabit sang penarik kenderaan berhutang.

“Memang saya takut tatkala itu. Mereka ramai dan pakat mengeliling. Saya pula berseorangan. Kita juga manusia biasa. Tetapi latihan sedia ada menjadikan saya berjaya mengatasinya…saya pula menggertak mereka dan menunjukkan kad kuasa.”

“Pengalaman lucu?”

Twister lebih tertawa. Wajah keruh kamu tadi kini mendatar.

“Dia orang tua, dah nak pencen, baya-baya abah kita. Saya kasihan juga. Dia mengambil seratus dua daripada penggerai yang mahu beroleh tapak niaga yang strategik semasa Hari Peladang. 

Dek kerana takut, dia terkincit cirit dalam seluar dalam kereta. Tiba-tiba terbau busuk menusuk.”

“Pengalaman meluat?”

Kamu menggetap bibir.

“Ya selalu kami menahan mereka yang di luar pura-pura alim.”

“Pengalaman jengkel?”

Twister berfikir, kemudian dengan mata yakin menjawab, “Trap atau perangkap malam Raya. Kita siap-siap untuk pulang berhari-raya, tup-tup ada aduan dan terpaksa berpatah balik. Proses itu berpanjangan kadang kerana terdapat proses jaminan. Tup-tup nanti kita di dalam kereta di saat takbir menggema. Tapi yang paling jengkel ialah perangkap atau aduan itu tidak benar atau gagal menjadi.”

Saya menghirup mocha dalam cangkir. Kafe ZUS lengang sejenak. Barangkali disebabkan cuaca hodoh kian berlabuh.

“Dan apa yang mencabar?”

Kamu mengesat mulut dengan tisu. Buih sisa latte tersangkut di kumis tebal.

“Mengimbang diplomasi. Pegawai SPRM harus belajar mengimbang. Masyarakat tak selalu mengerti yang kami tidak boleh semberono. Kami di SPRM tidak boleh main tangkap, main dakwa…rasuah, korupsi dan penyelewengan adalah jenayah kolar putih. 

“Bukan seperti penjenayah samun atau bunuh yang ada pendekatan lain. Kami berurusan dengan orang yang cekatan dengan helah, kadang mahir selok belok undang-undang dan kaki sakau. Kalau gopoh-gapah kita kelak boleh kalah di mahkamah.”

Imej Cheang Wan, Budd Dwyer, Matsuoka

Hujan berterusan. Twister ingin minta diri. 

“Saya perlu pulang, tak mahu berkelahi. Tapi ya, Alhamdulillah semua sudah makin jernih. Ini berkat Hari Keluarga SPRM, kami bawa sekali famili, ketika acara ini pegawai atas tidak jemu mengingatkan ahli keluarga kami yang tugas pegawai dan staf SPRM kepada negara nampak enteng tetapi selalu juga perlu menggadai emosi.”

Masuk mesej dalam grup bual media sosial Telegram. Naib canselor meletakkan jawatan. Saya pulang ke kampus UKM. Sekarang imej-imejan Teh Cheang Wan, Robert Budd Dwyer; dan Toshikatsu Matsuoka menyerbu retina mata. Jalan raya licin dan di sana sini ada lopak lecak.

Pada bulan Disember 1986, Menteri Pembangunan Singapura; Teh Cheang Wan telah disiasat oleh Corrupt Practices Investigation Bureau sebuah agensi pencegahan rasuah di Republik Singapura. Teh yang panik ekoran siasatan tersebut mengambil keputusan membunuh diri pada 14 Disember 1986. 

Seorang kontraktor mengakui menyogok Teh dua kali dengan nilai sogokan setiap satunya SGD500,000. Kamu memejam mata membayangkan derita dan galau wajah Teh di momen terakhirnya. Entah kenapa detik khayalan itu mengguris bahagian benak kamu.

Sore itu tatkala kamu memandu pulang menempuh perjalanan macet dari Putrajaya ke Semenyih, ada gambaran berulang Budd Dwyer, Ahli Senat Pennsylvania yang dituduh menerima rasuah AS$300,000 untuk memastikan syarikat Computer Technology Associates dilantik kerajaan bagi menentukan bayaran kembali lebihan cukai kepada pekerja. 

Dwyer didapati bersalah, dihukum penjara 55 tahun dengan denda nilaian yang sama. Kamu terlihat-lihat dalam lipatan sejarah, bagaimana Dwyer pada 22 Januari 1987 menganjurkan sidang media dan membunuh diri di hadapan para wartawan. 

Tatkala kenderaan terhenti, kamu melempar pandangan ke luar ada titis hujan lembut menangkap kaca jendela.

Titis hujan itu berkembang menjadi mantan wajah Menteri Pertahanan, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Toshikatsu Matsuoka antara September 2006 sehingga Mei 2007. 

Tuduhan untuk Matsuoka adalah beliau dikatakan membelanjakan lebih 28 juta Yen untuk perkakasan dan utiliti pejabat rasminya. Meskipun sebetulnya perbelanjaan itu memang tanggungan kerajaan. 

Tuduhan rasuah dan penyelewengan ini ketahuan; disiasat secara meluas lantas mendorong kekacauan fikiran Matsuoka. Kekhuatiran melampau membuatkan Matsuoka memilih untuk menggantung diri di pangsapurinya.

Kamu memandang ke hadapan. Aliran kenderaan melancar semula menuju Institut Alam dan Tamadun Melayu, dan hujan yang tadi sopan turun kini menitik deras melebat diserta langit kelabu mengguruh. Kamu meneruskan perjalanan. 

Berita baru menerpa itu mencipta seribu kemusykilan.

Dalam hati kamu membujuk diri, cuaca tidak akan celaka sepanjang hari. Sebentar lagi akan teduh, dan siapa tahu kelak muncul mentari diiring jelmaan pelangi?


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiakinI.

ARTIKEL LAIN DALAM SIRI INTEGRITI INI:
(1)
KOLUM | Tersungkur di kaki rumah urut
(2)
KOLUM | Halimunan kejar kereta piang


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen