malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketika tulisan ini digarap, perbincangan antara Zionis Israel dengan Hamas sedang berjalan di Qatar. Agenda utama untuk meneruskan pertukaran tawanan dan menyambung gencatan senjata.

Pada 7 Oktober 2023, Hamas dan kumpulan militan Palestin lain telah menculik 251 orang dari Israel dan dibawa masuk ke Semenanjung Gaza, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Data bulan April 2022 menunjukkan terdapat 4,450 orang tahanan keselamatan Palestin di penjara Israel – termasuk 160 kanak-kanak, 32 wanita, dan lebih 1,000 "tahanan pentadbiran".

Tahanan pentadbiran ini sama seperti tahanan ISA di Malaysia. Mereka akan ditahan bertahun-tahun tanpa bicara.

Gambar fail, pembebasan tahanan Palestin di Tebing Barat.
ADS

Pada gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari lalu, Hamas membebaskan 18 orang tebusan.

Israel pula membebaskan 383 tawanan sebagai balasan. Perbincangan di Qatar pada ketika ini bertujuan untuk membebaskan kira-kira 33 warga Israel dan 1,900 warga Palestin.

Ketika gencatan senjata ini berjalan, mata dunia sedang memerhati ke Washington DC. Ini kerana Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah terbang ke Amerika untuk bertemu dengan Presiden Donald Trump.

Netanyahu menjadi pemimpin pertama yang datang ke Rumah Putih bertemu dengan Trump.

ADS

Dunia memerhati Netanyahu kerana telah ada waran tangkap ke atasnya. Dia telah dituduh melakukan jenayah perang oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Seperti yang dijangkakan, waran tangkap ini tidak dipedulikan oleh Amerika. Maharaja Trump terus menyambut baik kedatangan Tok Penghulu mukim Israel.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa tidak mempunyai bidang kuasa ke atas Amerika Syarikat atau Israel. Kedua-dua negara ini tidak menjadi pihak dalam Statut Rom atau ahli ICC. Kedua-dua negara tidak pernah mengiktiraf bidang kuasa ICC.

Untuk menunjukkan kuasa hegemoni Amerika kepada dunia, Maharaja Trump bertindak balas terhadap ICC. Titah dikeluarkan untuk membuat sekatan terhadap ICC dan beberapa sosok yang terlibat dengan ICC.

Trump juga telah bertitah untuk menghentikan dan membekukan apa sahaja bantuan terhadap Afrika Selatan. Trump berkata ini dilakukan kerana Afrika Selatan menjalankan dasar diskriminasi terhadap masyarakat kulit putih.

Walhal dunia melihat ini sebagai dendam kesumat Trump kerana Afrika Selatan negara utama yang membawa kes Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda.

Di Washington DC, sidang media Maharaja Trump dan Tok Penghulu Netanyahu telah memeranjatkan dunia. Donald Trump ini telah bercakap dan melakukan pelbagai perkara – termasuk didakwa cuba merogol, meraba dan menipu – sepatutnya Trump tidak lagi memeranjatkan dunia.

Tapi kali ini sekali lagi dunia gempar dengan kata-kata Trump.

ADS

“Hari ini saya gembira mengalu-alukan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kembali ke Rumah Putih.

“Ia adalah perasaan yang indah dan peristiwa yang indah. Kami mengadakan perbincangan yang hebat...."

“Amerika akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami akan melakukan kerja.....Amerika akan lakukan kerja yang sebenar, lakukan sesuatu yang berbeza...."

Mata dunia terbeliak. Telinga dunia terbuka luas. Warga Arab dan umat Islam tersentak.

Al-Jazeera pada 5 Februari 2025 melaporkan: Presiden Donald Trump telah berkata Amerika Syarikat akan "mengambil alih" dan "memiliki" Gaza selepas pembersihan etnik rakyat Palestin. Satu rancangan luar biasa yang didakwanya boleh mengubah kawasan itu menjadi "Riviera Timur Tengah". Riviera ini kota peranginan di tepi laut.

Bila sahaja berita Gaza akan dijadikan kota peranginan ini maka para Tok Arab dari Saudi, dari Jordan dan dari Mesir pun membuat teater bersandiwara. Mereka semua bersuara keras menolak rancangan Maharaja Trump ini.

Pertubuhan 'Koperasi' Islam (OIC) yang mewakili 57 negara Islam juga bersuara membuat lawak dari Jeddah. Badan ini menolak rancangan ambil alih Gaza oleh Amerika. OIC meminta semua ahli untuk menolak rancangan Riviera oleh Maharaja Trump ini.

Malah Anwar Ibrahim yang dikait dengan Blackrock dari Malaysia juga telah turut sama membuat lawak dengan dialog ‘... saya perlu meneliti kenyataan Trump dulu....’ Apa yang perlu diteliti oleh Anwar Ibrahim hanya Guru Nanak yang tahu. Kah kah kah.

Gambar fail, Anwar bertemu pemimpin Hamas di Qatar.

Biar saya nyatakan di sini secara jujur. Saya memperlekehkan dan bersikap sinikal terhadap pemimpin negara-negara Arab dan negara-negara yang mendakwa sebagai negara Islam ini.

Dalam masa sama, saya tidak hairan dan tidak terperanjat apabila Maharaja Trump mahu mengambil Gaza untuk dijadikan mukim Amerika.

Saya gembira dan ketawa bila melihat klip YouTube sidang akhbar Trump dan Netanyahu. Malah saya akan lebih gembira jika Maharaja Trump dan Zionis Israel merancang untuk mengambil Jordan, Mesir atau Saudi Arabia sebagai mukim tanah jajahan Amerika, sama seperti niat Maharaja Trump terhadap Kanada dan Greenland.

Ini bukan bermakna saya tidak bersimpati terhadap perjuangan Palestin. Atau telah meninggalkan sikap menyokong perjuangan adil rakyat tertindas. Tidak. Saya masih setia kepada garis perjuangan.

Sikap baru yang saya ambil ini ada sebab musabab. Dari pemerhatian dan keterlibatan saya dalam agenda Palestin ini, saya mendapati ada pembelotan yang maha besar telah dan sedang berlaku.

Pembelotan inilah yang kini membawa kepada agenda penjualan Gaza.

Jika kita kembali melihat sejarah Palestin, kita akan terjumpa beberapa dokumen lama pasca Nakba 1948. Dalam piagam Al-Fatah dan dalam piagam PLO – Palestin Liberation Organisation - ada tertera niat dan cita-cita perjuangan rakyat Palestin.

Dalam piagam ini jelas dinyatakan garis politik PLO: Untuk mendirikan Palestin Merdeka yang sekular, demokratik dan adil; sebuah negara Arab, Yahudi dan Kristian boleh hidup bersama dalam sebuah negara bernama Palestin.

Dalam Piagam ini juga tertera dasar PLO tidak akan mengiktiraf Zionis Israel.

Sementara garis politik Al-Fatah – gerakan gerila induk PLO - dengan jelas dinyatakan perjuangan bersenjata menjadi garis utama. Gerakan pembebasan Palestin melalui angkat senjata ini juga disokong oleh beberapa lagi kumpulan gerila Palestin seperti PFLP – Barisan Popular Pembebasan Palestin.

Pada hemat saya, hanya Maharaja Trump dalam masa empat tahun ini boleh melakukan semua ini.

Wahai Maharaja, terus huru-harakan dunia ini. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen