“Seperti halimunan!” ujar Mancung dengan demikian yakin, disusuli senyum. Dia mencicip Americano versi Boss itu dengan gaya.
Kami sebaya, dan perbualan di kafe Zus itu nampaknya tidak seperti kami baru sahaja berkenalan. Malah seolah-olah kami adalah pasangan kawan lama yang saling bercerita mengisi senggang masa kosong yang telah terkorban.
Dan Mancung memberitahu saya setelah 28 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Intip di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dia menanti masanya untuk bersara.
Mancung menyertai BPR (Badan Pencegah Rasuah) setelah usai peperiksaan STPM, dihantar menyertai latihan, dan sejak itu dia ditempatkan sebagai Pegawai Intip.
“Apa rasanya menyandang satu jawatan yang secara ofisialnya adalah mengintai orang?” Soal saya bernada seloroh. Barangkali peribadi Mancung yang mudah tertawa, dia cepat menyahut gurau tersebut, “Ya umpama halimunan.”
Memang setepatnya seorang Pegawai Intip di SPRM adalah halimunan. Ia harus tidak kelihatan di mata sasaran, atau target, dan juga harus berhati-hati bergerak meresap dan menyatu dengan lingkungan agar tidak disedari. Dan menurut Mancung, selama itu juga belum pernah penyamarannya terdedah.
“Jadi apa yang diintai?” Saya kembali serius.
“Mengesan sasaran, memastikan pergerakan sebelum sasaran tersebut diserahkan kepada Pegawai Perisik dan Pegawai Penyiasat kes. Kadangkala ada kes diserahkan datang dengan lengkap, tidak banyak yang perlu kami langsaikan. Mungkin tinggal mencari saksi.
“Dalam keadaan tertentu untuk kes yang telah dirancang awal dan bertujuan memerangkap, atau kes yang sangat mentah; peranan Pegawai Intip sangat penting untuk mengisi kelompongan. Kami memerhatikan sasaran agar tidak lari, menyaksikan mereka meratah umpan yang disediakan, atau melihat mereka menerima dan memakan habuan.
“Kami mengikuti tindak-tanduk dan gerak-geri sasaran yang berbuat jenayah. Memang kelihatan ada pertindanan dengan tugas Pegawai Perisik, tetapi peranan kami lebih kepada memastikan sasaran memang di situ dan Pegawai Penyiasat tidak terpedaya.”
Menyedari saya agak meraba dan masih kabur, Mancung membawa sebuah cerita lucu. Kisah bagaimana pegawai SPRM sedang di ambang memberkas seorang tersangka. Saat Pegawai Penyiasat tiba untuk menahan sang tersangka itu, dia bersekongkol dengan bapa mertuanya konon dia tiada di rumah yang sedang diperhatikan.
Pegawai SPRM sudah bersedia untuk pulang kecewa lantaran percaya setelah penyelongkaran dilakukan.
Namun, Pegawai Intip dari celah semak-samun berdekatan yang menyedari helah segera melaungkan, “Tersangka ada bersembunyi di bawah tangga konkrit di belakang rumah!”

Dan peranan halimunan Pegawai Intip itu membolehkan si tersangka lekas dikepung lantas ditahan, manakala bapa mertuanya ikut terdakwa sekali kerana pandai-pandai menyembunyikan sasaran.
Dalam banyak keadaan sewaktu melakukan intipan tentu sahaja ada bahaya menanti seorang Pegawai Intip. Mereka berada di kawasan kejiranan atau daerah yang asing mengintai. Itu juga bermaksud mereka memasuki daerah yang boleh membawa mereka kepada kecurigaan dan prasangka.
“Pernah sekali saya sedang melakukan tugas intipan untuk beberapa hari lamanya. Saya menyorot dari jauh pergerakan tersangka. Pun ada seorang pak cik yang memikirkan kami adalah penculik atau orang jahat yang sedang meneropong kanak-kanak, kami nyaris diserang dengan parang.”
Cerita lucu yang lain, ada juga Pegawai Intip yang tidak dibenar bergerak dan harus memerhati secara tekun dan dekat seorang suspek penting. Arahan atas jelas; Pegawai Intip ini tidak boleh beredar dalam cara apa pun sehingga Pegawai Penyiasat dan tangkapan dilakukan.
Berseluar dalam dalam kereta
Dalam masa sama enjin kereta tidak boleh dihidupkan agar ketahuan. Dan jendela kenderaan tidak boleh dibuka luas. Maka untuk bertahan, Pegawai Intip dalam keadaan berpeluh dan kepanasan terpaksa menanggalkan pakaian satu demi satu; sehinggakan hanya tinggal berseluar dalam.
“Dan kadang juga risiko datang dari pihak berkuasa yang lainnya.”
“Maksud Mancung?”
Dalam beberapa keadaan sewaktu melakukan intipan mereka akan didatangi oleh pihak polis setempat yang hairan atau dalam curiga. Pegawai Intip SPRM tidak boleh memecah rahsia mendedahkan identiti, tambahan jika yang diintip itu ada kaitannya dengan pihak polis sendiri.
“Bukan sekali sewaktu mengintip, kami akan didatangi oleh polis RCJ (Rondaan Cegah Jenayah) yang tidak mengenali siapa kami meskipun banyak isyarat telah diberikan agar lekas difahami. Pernah sekali kami pula dibawa ke balai sehingga pegawai atasan SPRM harus datang melepaskan.
“Akibatnya sasaran yang sedang kami intip itu terlepas berlalu, dan kes kami menjadi rumit dan berpanjangan. Saya tidak menyalahkan polis, mereka dengan kerja mereka…itulah antara cabaran kami.”
Selalunya Pegawai Intip akan turun ke lapangan terlebih awal, menentukan persekitaran, dan mengawasi tempat. Pegawai Intip tidak boleh membangkitkan prasangka. Setiap kawasan intipan memberikan cabaran berbeza. Misalnya jika sasaran itu kaki golf, dan bakal bertemu dengan mangsa atau pemangsanya di padang golf, hal ini memerlukan Pegawai Intip menyedari lapangan terlebih dahulu.
Pakaian, gaya, tingkah laku malah langgam bahasa si kaki golf perlu dipelajari. Pernah juga berlaku sasaran memasuki restoran tidak halal yang sesak, atau melesap di dalam kuil dan gereja.
Bukan sekali sasaran yang diintip di kawasan kejiranan akhirnya kelak keluar bukan dengan kenderaan sendiri, dan berlalu dengan menempah kenderaan Grab tanpa disedari terlepas dari pemantauan.
Berlaku juga kawasan kejiranan itu berpagar dengan kawalan keselamatan, Pegawai Intip tidak dapat berkompromi dengan pengawal keselamatan yang memang mati-mati tidak akan membenarkan mereka memasuki kawasan.
“Selalunya mengintip ini tidak akan berlaku sekali. Jikalau yang diintip itu rumah misalnya, kita akan kembali. Kita perlu memastikan memang benar itu kediaman sasaran, mungkin sahaja dia bertemu orang hubungan atau rakan jenayahnya. Atau rumah isteri muda, kekasih gelap dan sebagainya. Kami harus mengekori dia ke mana-mana sahaja.”
“…kalau kalian Pegawai Intip perlu terberak ketika pengintipan di puncak?” Celah saya kemusykilan.
Berak pun kena tahan
Mancung tertawa besar, “Ya tahan selagi boleh tahan; atau segera lunaskan sekadarnya, agar sasaran intipan tidak berlalu. Dan selalunya kami lebih dari seorang, tentu rakan sekerja boleh membantu.”
Saya menyeluruhi wajah Mancung. Memang hidungnya agak mancung, dan ada iras mamak. Ruang pelanggan di kafe Zus kembali rancak, meja kiri kanan dipenuhi, “Bunyinya kerja Pegawai Intip ini melelahkan.”
Mancung menyambut, “Ya terlalu. Bahkan jika kami sudah mengintip berhari lamanya, emosi sedikit sebanyak terganggu dan waktu inilah jika pulang menghadap pasangan yang tidak memahami akan terjadi perkelahian besar dalam keluarga.”
Mancung diam, memandang kopi, melenggangkan cawan. Tidak tahu apa bermain dalam benaknya. Saya juga diam. Memang demikian banyak kisah daripada Pegawai SPRM berdepan dengan krisis keluarga dan memerlukan ketabahan menguruskannya.
Sebagai halimunan, Mancung acap mengetahui rahsia sasaran. Bukan sekali kaki masjid juga seorang kaki sakau, atau yang terlekat kopiah di kepala tetapi menempel sarang yang tidak patut. Ia mengundang rasa menyampah. Sering juga dilanda rasa kasihan melihatkan ahli keluarga sasaran yang kadang-kala tidak punya apa setelah ketua keluarga diserkup. Akan tetapi latihan sedia ada meneguhkan emosi dan kematangan.
“Saya juga pernah ditugaskan mengintip Pegawai SPRM yang lain, kerana memang ada saja pegawai kami pun berbuat yang tidak patut. Atau ada permintaan siasatan dalaman. Itu antara kes paling sukar, kerana kita bukan sahaja menghalimunan tetapi juga sentiasa berpura-pura untuk menyergap teman sekerja sendiri. Saya harus mengasingkan emosi begini agar objektif sebenar diraih. Itu sangat sukar, sangat…”

Mancung menghela nafas, menggetap bibir dan dalam kepalanya seakan ada bilah kenangan pahit mesti ditelan.
Dalam banyak-banyak kes yang mendebarkan, ada yang menghimbau Mancung dengan cara mencemaskan, “Risiko kemalangan,” ujarnya.
Saya berkerut, Mancung meneguk kopi lagi.
“Pernah dengar kereta piang? Khusus kereta piang dari negara jiran?”
“Apa yang terjadi.”
Mancung memejam mata, melayan lembar pengalaman lampau yang bergerak bagai gambar di paparan reels. Dia masih ingat arahan atas, iaitu mengekori sasaran intipan yang ke sempadan negara untuk mengambil kereta terpakai negara jiran bagi dijualkan di sini.
Mereka berenam. Dua menunggang motorsikal berkuasa besar, sepasang yang lain berkereta mewah, manakala Mancung dan teman sekerjanya dalam sebuah Wira.
Subjek intipan bertolak dari Kuala Lumpur awal pagi, memandu melesat melaju. Di bandar raya selatan tersebut subjek menemui orang tengah yang memberikannya sebuah motokar mahal. Subjek kemudian memandu kembali ke ibu kota.
“Dia memandu seperti pelesit, dan kami harus memastikan dia tidak terlepas. Ada antara kami hampir-hampir kemalangan kerana mengejarkan intipan di lebuh raya.
“Sasaran memandu 200km sejam. Kami mengekori dengan kelajuan 180km sejam kerana setakat itu kemampuan Wira kami.”
Alat komunikasi ketinggalan
Mancung memejam mata, seakan membayang kembali apa yang berlaku. Kes di tahun 2008 itu menghantarnya kembali ke dalam kenderaan tersebut. Dan apa yang lebih menggamatkan adalah Pegawai Intip SPRM masih berdepan dengan alat bantu komunikasi yang sedikit ketinggalan berbanding pihak polis pada waktu itu.
Hari ini sudah ada penambahbaikan tetapi tatkala itu mereka harus terbiasa hanya dengan walkie talkie, mobile radio, kamera handicam, dan Nikon lensa panjang.
Dan sebaik intipan tiba di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer atau Puspakom di Kuala Lumpur sebelum pukul lima petang, sudah ada penjenayah kolar putih yang menerima rasuah dan menyediakan dokumen agar kereta piang ini siap untuk dijual di pasaran gelap.
Pembelinya seorang guru agama, membayar tunai. Sejak itu Mancung dan cawangan beliau melakukan beberapa lagi operasi memerangkap sindiket kereta piang melibatkan staf di Puspakom berbeza.
Saya mendekatkan mulut cangkir ke hidung, menghidu aroma kopi sedalamnya persis seseorang yang ketagihan kafein, “Tidak ada yang dikesalkan?”
Soalan itu memerangkap, lekas menangkap. Mancung tampak terkesima, matanya berkaca tetapi tidak memburai. Dia memejam mata, menunduk ke permukaan meja sembari merenungi kopi yang separuh.
Muncung bersuara, “Tidak ada yang saya kesalkan. Saya bangga, dan gembira pernah berkhidmat di SPRM.”
Sebagai Pegawai Intip tiada siapa mengenal identiti sebenar Mancung. Bahkan mereka selalu bersara penuh senyap. Benar-benar halimunan. Ia satu bentuk pengorbanan yang sukar diungkap dan difahami.
Mancung menarik nafas panjang.
“Anak-anak membesar dengan cepat sekali. Masa beredar dan kita tak dapat mengejar. Saya akui sebagai halimunan di lapangan, dan di tempat kerja; saya juga barangkali tidak begitu kelihatan di hadapan mata anak-anak.
“Pegawai Intip seperti saya terbiasa memerhati, kami sering memandang dari jauh. Barangkali itu terbawa dalam resmi peribadi. Mungkin saja anak-anak tidak berasa dekat, tetapi ya saya sentiasa dan tetap ada; seakan mengintai mereka.”
Suara Mancung bergetar, “Moga usia saya panjang dan dapat menghabisi masa berkualiti kelak dengan mereka sebelum mereka meneruskan perjalanan hidup.”
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini
BERKAITAN: Tersungkur di kaki rumah urut