Dia nampaknya tidak membeli lumayan seloroh saya mengusik, “Jadi Tuan adalah seorang bukan Melayu yang kerjanya menangkap Melayu yang merasuah dan menerima rasuah.”
Saya memanggilnya Dragon. Seorang pegawai SPRM berbangsa bukan Melayu yang tampak penuh rahsia. Warna mata Dragon kecoklatan, dengan jambang halus di kedua belah pipi. Galau jiwa seorang Dragon terbentang di permukaan meja di kafe ZUS yang kembali merancak dengan pelanggan muda, dan ibu-bapa yang mengheret anak di hari-hari cuti sekolah.
Tidak menangkap nuansa dan juga gurau saya itu, Dragon membalas dengan serius, “Rasuah adalah isu sejagat, dan isu integriti milik kita semua bersama tak kira apa bangsa pun.”
Kisah Dragon bukan sesuatu yang biasa. Beliau adalah antara beberapa kerat pegawai penyiasat SPRM berbangsa bukan Melayu. Setelah setahun lebih di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia beliau diberi tugasan mencabar. Membuka sebuah rumah urut, dan menjerat penjawat awam di sebuah Majlis Perbandaran yang menerima rasuah.
Memandang saya yang berkerut, Dragon menyambung, “Kedai atau spa perkhidmatan urut badan telah lama dibekukan. Tapi ada sindiket bersarang memanipulasi kod dalam borang permohonan di Majlis.
“Orang awam yang tidak tahu apa berlaku cepat menyalahkan misalnya pihak kerajaan. Tapi kami tahu tentu ada tikus di PBT, dan balai polis berdekatan yang membuat onar.
“Komplot celaka yang pura-pura memohon untuk membuka perkhidmatan refleksologi, tetapi sebenarnya membuka spa urut badan. Dan ini membuka jalan hal-hal iblis.”
Dragon meneguk Americano edisi Lydia di tengah kafe yang kian menghingar di tengah hari terik. Mata saya kekal kepadanya, dan untuk terus memahami galau kocak atau tenang riak jiwanya saya melontar pertanyaan lain; “Mengapa SPRM buat begini?”
Dragon dalam hela nafas panjang, segera menyahut, “Pihak polis mereka ada kuasa menangkap dan langsung menyoal siasat, tapi kami di SPRM perlu terlebih dahulu menghimpun bukti.
“Dan memastikan ada asas kukuh untuk mengambil tindakan. Prosedur penangkapan dan pendakwaan pesalah rasuah dan korupsi amat rumit dan pesalah selalu boleh terlepas jika operasi standar ini dicabar di Mahkamah.
“Jadi kami harus menjangka setiap kelompongan lantas menutup semua itu dari awal, agar kelemahan SOP tidak dijadikan alasan untuk diabai atau ditepis kelak. Inilah yang masyarakat awam tidak fahami, bahawa jenayah kolar putih bukan sesuatu boleh diserkap secara semberono.”
“Jadi buka rumah urut?” Saya lebih menduga.
Dua tahun jadi tauke rumah urut
Semuanya terbentang di mata Dragon kembali. Selama hampir dua tahun dia beraksi di lapangan sebagai pengusaha rumah urut. Ia satu tugas meletihkan. Dia tidak boleh berkongsikan apa yang sedang dilakukannya kepada ibu bapa, isteri dan anak-anak. Mereka melihatnya keluar pagi pulang malam tanpa mengetahui bahawa saban hari dia sedang meniti risiko dan bahaya.
Selama dua tahun itu Dragon bercakap seperti pengusaha rumah urut, merokok seperti pengusaha rumah urut, makan minum seibarat pengusaha rumah urut, berseluar katuk dan berselipar persis pengusaha rumah urut, berjalan ala pengusaha rumah urut, bergurau lucah seumpama pengusaha rumah urut, bertatu seacu dengan pengusaha rumah urut; hatta dia perlu menggaru ketiak dan celah kelangkang sebentuk seperti seorang pengusaha rumah urut.
Dia perlu memastikan pemain sebenar industri rumah urut mengimani bahawa dia adalah salah seorang daripada mereka.
“Ia mendera dan melelahkan. Kita berlakon dan berlagak menjadi seseorang yang sama sekali lain. Saya seorang konservatif yang lebih menyukai kehidupan berkeluarga. Tempoh itu benar-benar merampas dunia saya,” ujar Dragon melepaskan keluh yang tertahan.
Dragon sentiasa berwaspada dalam tempoh tersebut. Cutinya nyaris-nyaris dibekukan. Dan dia tidak boleh keluar dengan ahli keluarganya seperti selalu, “Jikalau ada yang terserempakkan saya, apa yang akan saya lakukan?”
Setelah setahun, Dragon mulai mempelajari tiap langkah dan tindak tanduk pelaksana industri rumah urut. Dan setelah beroleh lampu hijau dari pihak atasannya, Dragon mendekati penjawat awam di sebuah Majlis Bandaran.
“Melayu?” Soal saya.
Dragon mengangguk.
“Muslim?”
Dragon menggetap bibir, “Ya apa lagi. Malah sangat Islamik. Ada yang sebaik menerima habuan, masuk ke surau.”
Dan saya memanjangkan khayal, menggambari dalam cepu kepala penjawat awam penerima rasuah itu ditepuk bahunya untuk menjadi Imam oleh makmum masbuq dari belakang. Ada serbuan hangat memerahkan telinga dan muka saya, perasaan malu yang ketara memikirkan perangai segelintir Melayu saya.
Bukan sahaja Dragon perlu berurusan dengan si keparat di Majlis, minggu demi minggu berlalu dia perlu mendepani Abang Long Kawasan memeras wang perlindungan. “Mereka menyergah datang tanpa segan silu. 300 ringgit sebulan.”
2km dari balai
“Cina, India? Abang Long Kawasan…”
Dragon tertawa rendah, “India. Bila ada penyakit begini, Malaysia berbahagi-bahagi…”
Dragon juga perlu memastikan rumah urut itu berjalan lancar di mana tukang-tukang urut dari Siam itu tidak mengesyaki bahawa mereka sendiri adalah alat dalam sebuah projek khas. Tujuh tukang urut disediakan. Dan menjelang tahun kedua operasi, Dragon mengawasi empat lagi rumah urut yang dibuka di daerah berbeza.
Dan lebih jahanam, “Ya ada sebuah balai dua kilometer dari sebuah premis urut kami. Dan ada sasaran kami memang penghuni di sini.”
Meskipun siaga menerima taklimat sebelum setiap operasi, dan sering dilatih atau dikursus kembali; tetapi perasaan gemuruh dan seram sejuk tatkala berdepan dengan pegawai polis di balai tetap ada.
Setiap tutur perkataan penting untuk dirancang agar tidak salah menyebut kerana itu akan menjadi bahan pertahanan di mahkamah untuk pesalah, otak Dragon harus ligat merapi dan mengatur tindakan berdasarkan keadaan semasa, dan keselamatan adalah keutamaan.
“Saya mesti memastikan identiti diri tidak terdedah. Jika itu terjadi, dua tahun yang dijalani ini akan jadi sia-sia dan terbuang begitu sahaja. Dalam kepala semua harus jelas. Objektif objektif objektif projek. Kerahsiaan projek mesti dilindungi.”
Dua belas budak hitam di Majlis Bandaran menjadi tumpuan Dragon. Dua belas budak hitam yang kerjanya meminta rasuah dari pemain industri rumah urut. Dan ketua mereka yang bukan sahaja merestui, tetapi juga melindungi.
“Jadi tertangkap mereka? Penjawat awam itu semua?”
Dragon memandang ke luar kafe. Hujan tidak semena-mena. “Saya tidak menganiaya mereka. Arahan atas ialah jangan hulur.”
”Justeru?” Mata saya tetap di wajah Dragon.
“Penjawat awam ini meminta. Dia minta. Mereka beri harga.”
“Berapa?”
“Tiga puluh ribu. Biasa untuk mereka 30,000.”
“Untuk apa sebanyak itu?”
Kumpul duit pergi Phuket, cari wang umrah
Hela nafas Dragon berat. “Ada yang lazim dengan wang begini. Ada seorang yang sedang mengumpul duit untuk percutian keluarga di Phuket. Dan ada seorang lain…”
“Seorang yang lain?” Saya tidak sabar.
“Dia mencari wang tambang untuk mertuanya menunaikan umrah.”
Astaghfirullah.
Dua tahun Dragon di lapangan. Setelah pihak penyiasat masuk di tengah jalan, perlahan-lahan dia harus melepaskan dan pulang ke asal. Rutin dua tahun sebagai si pengusaha rumah urut harus diungkai. Dan tatkala itu Dragon dapat merasai ia bukan mudah. Dua tahun dia telah sebati dan menjadi seseorang yang lain.
“Dua tahun saya terperangkap dalam satu jasad yang diprojeksi, dan saya harus keluar dari tubuh itu dalam masa seminggu dua…”
Saya memandang Dragon, menyelami rasa hatinya. Dragon merenung kopi dalam cangkirnya, renungan itu seakan kosong, dan dia menggumam antara dengar dan tidak, “Orang tak tahu apa yang kami buat untuk masyarakat dan negara.”
Entah kenapa saya serasa bersalah, dan hilang kata-kata untuk menenangkannya. Dua tahun Dragon itu tidak membawa apa-apa. Dua belas budak hitam dilepaskan di Mahkamah kerana bukti tidak mencukupi.
Paling tidak takah pendakwaan telah pun dilepasi, “Kadang-kala kes yang kami usahakan ditolak mentah di tahap menyediakan kertas pendakwaan lagi. SPRM tiada kuasa mendakwa. Kami juga tidak ada kuasa melepas dan membebaskan. Kami hanya menyiasat.”
“Apa yang jadi kepada ketua kepada 12 budak hitam?”
Dragon merenung hujan meliar ditiup angin di luar jendela kafe. Tari hujan meliuk kiri dan kanan. Kedinginan mendadak menangkap kami berdua.
“Dia dilepaskan dan malah naik pangkat. Bersara dengan penghargaan pingat cemerlang.”
Ada nama binatang hodoh dalam otak saya. Geram menjalar.
“Yang 12 budak hitam?”
“Ada yang masih bertugas. Ada yang turun pangkat. Ada yang berdepan badan integriti dalaman yang rongak. Ada seorang dibuang kerja.”
“Yang meletak nilai 30,000 itu ya?”
Dragon tidak menjawab.
‘Saya tak beri, dia yang minta’
Kami membiarkan suara anak-anak pelanggan menyerkup suasana. Di kejauhan ada kedengaran bunyi dentam dentum tarian naga. Tahun Ular sedang membelit kita semua.
“Dia dibuang kerja.”
“Bagaimana Tuan tahu?”
“Sekali, saya sedang bersiar-siar dengan anak isteri di pusat membeli belah, dan terserempak dengannya. Mata kami bertentang, dan dia membuat isyarat untuk mengajak saya masuk ke tandas berhampiran.
“Di situ dia beritahu kisahnya ringkas. Derita dia setelah dibuang kerja. Saya beritahu dia, saya bertugas. Saya tidak beri, dia yang meminta.”
Diam.
“Lagi apa katanya?”
“Saya tidak sempat meminta maaf. Dia yang berterima kasih. Dia bilang dia sudah bertaubat.”
“Apa yang Tuan balas?”
Dragon mendekatkan mulut cawan ke bibir, menyatu dan dia meneguk dua kali, sebelum meletakkan di atas meja cawan tersebut. Dia membalas pandangan saya.
“Saya jawab taubatnya bertanda harga 30,000. Orang sering tidak menganggap rasuah dan korupsi itu dosa. Padahal ia setara dengan jenayah rogol, dan bunuh. Ia satu kesalahan yang dahsyat.
“Masyarakat rosak kerananya. Berapa banyak rumah urut bercambah di bandar raya dan dosa bertompok kerana 12 budak hitam itu?”
Gema palu dram berserta mercun bingit tarian naga mendekat. Dragon dan saya duduk menghadap di kafe ZUS mengambil keputusan untuk menambah lagi setiap seorang secangkir kopi pekat.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.