Baru-baru ini saya diundang untuk menyertai Sesi Libat Urus Peranan DBP Dalam Penggalakan Sastera di Sekolah. Harapan penganjur adalah supaya sastera akan berada dalam jiwa pelajar sepanjang hayat. Maka panel jemputan pun ditugaskan untuk memerah otak memikirkan idea bagaimana sastera boleh disemarak kembali di sekolah-sekolah.
Jose Saramago, dari Portugal selepas memenangi Hadiah Nobel untuk kesusasteraan pada tahun 1998 ditawarkan tempat di sekolah. Beliau boleh memilih mana-mana karya sastera beliau untuk diperkenal dan diajarkan di sekolah. Jawapan tegas Saramago adalah, tidak sama sekali.
Saramago berpandangan sekiranya novel beliau dibaca di sekolah, ia akan membuka jalan kepada kematian karya-karyanya. Kata Saramago, murid akan membenci saya, dan kesusasteraan; kerana ia dilampir dalam silibus pembelajaran.
Sekolah di banyak negara, termasuk Malaysia dilihat oleh anak-anak sebagai penjara. Oleh demikian, pendapat Saramago itu mungkin berkait dengan keadaan ini. Bahawa menjadikan kesusasteraan itu sebagai subjek wajib bakal menumbuhkan kebencian, bukan kecintaan.

Sejak 1 Mac tahun 2000, Komsas (Komponen Kesusasteraan Dalam Pengajaran Bahasa Melayu) diperkenalkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di semua sekolah menengah.
Sejak itu kesusasteraan ditempelkan dalam subjek bahasa Melayu (dan Inggeris) dengan niat untuk menyuburkan minat murid dan pelajar kita kepada kesusasteraan. Sudah tentu perlu ada kajian pelbagai sudut dianjurkan untuk beroleh maklumat bagaimanakah Komsas telah mencapai objektifnya.
Akan tetapi satu soalan paling relevan ialah pertama, karya sastera bagaimana yang ingin kita perkenalkan kepada murid dan pelajar. Kedua, benarkah minat terhadap sastera dalam kalangan pelajar justeru remaja memang menurun?
Hal ini barangkali akan membawa dapatan lain jika kita bersedia bertanya kepada penerbit-penerbit selain DBP. Perbualan saya bersama-sama penerbit JT menjelaskan novel-novel Hamka, dan Shahnon Ahmad misalnya mendapat sambutan menggalakkan. Jualan buku sasterawan ini begitu meriah.
Penerbit Buku Fixi saban tahun beroleh keuntungan luar biasa di PBAKL dan laporan dari lapangan menjelaskan pembaca membeli buku-buku sastera atau fiksyen tanpa ragu-ragu. Demikian juga penerbit-penerbit buku kecil seperti Katerpilar yang buku-buku puisi mereka demikian laris, atau penerbit Biblio Press dan Ibde, buku-buku terjemahan sastera diterima dengan sangat baik. Siapakah yang membeli buku-buku mereka ini? Adakah mereka membaca karya-karya yang dibeli?

Hal di atas adalah gambaran dari pembaca berbangsa Melayu. Bagaimana pula dengan pelajar atau murid bukan Melayu? Lebih sedekad tidak bersama DBP saya mendapati karya saya berhasil meraih pembaca bukan Melayu dengan jumlah agak luar biasa dan mencengangkan. Saya tertanya-tanya mengapakah gejala ini terjadi? Atau mengapa sebelum ini ia tidak berlaku?
Karya sastera tidak merangkum
Pertanyaan langsung saya kepada pembaca bukan Melayu ini menjelaskan sesuatu yang pahit. Bahawa karya sastera Melayu - tidak merangkum - sifatnya. Subjek dan tema yang diketengahkan tidak sejagat, terlalu kemelayuan, malah keislaman. Adakah kita menyedari bahawa setelah lebih tiga dekad, karya sastera Melayu sudah terlalu sinonim dengan Sastera Islam sehingga menghindari pembaca bukan Melayu atau bukan Islam.
Mereka tidak berhenti membaca, tetapi ke mana mereka membawa diri? Pembaca muda lebih gemar menggeluti dan membaca karya Hanna Alkaf mengenai rusuhan kaum 13 Mei misalnya dalam bahasa Inggeris, berbanding novel remaja produk MPR terbitan DBP.
Ketika sesi libat urus tersebut. Terdapat banyak cadangan agar menubuhkan Kelab Sastera di sekolah. Ia adalah satu cadangan yang baik tetapi sekiranya kita menyediakan aktiviti kebosanan maka kita akan kembali kepada ancaman yang dinyatakan oleh Jose Saramago sebelumnya.
Sebenarnya kita perlu melatih pembaca seiring dengan melatih pengarang. Kelab Sastera di sekolah perlu mengambil kira bahawa kita sedang berurusan dengan Generasi Z, dan Alfa, dan mulai 1 Januari 2025 lalu kita juga akan berdepan dengan Gen Beta.
Apakah yang menjadi minat Gen Z dan Alfa? Tahukah kita yang anak-anak kita membaca di aplikasi interaktif. Mereka menggelumangi aplikasi membaca seperti Wattpad atau Goodreads yang mempunyai elemen permainan, pelajar boleh meneroka cerita, menulis sendiri, dan membincangkannya bersama rakan.
Anak-anak hari ini terhibur dan beroleh pendidikan menerusi audiobook dan podcast. Adakah kita bersedia bergerak untuk menyediakan akses kepada audiobook atau podcast berkaitan kesusasteraan untuk didengar semasa bergerak. Kelab Sastera ini misalnya boleh melakukan aktiviti kandungan pendek berbentuk pandangan sastera melalui Instagram Reels, TikTok, atau YouTube Shorts untuk menarik perhatian generasi mereka.
Kelab Sastera di sekolah ini juga boleh menyediakan insiatif menggabungkan subjek kesusasteraan dengan minat lain di mana projek kreatif akan mengizinkan mereka anak-anak untuk menyampaikan pandangan sastera melalui seni, muzik, atau penceritaan digital. Kelab Sastera siap membuka pintu hubungan merentas disiplin di mana kita dapat memperlihatkan bagaimana kesusasteraan berkait dengan subjek lain seperti sejarah, seni, atau psikologi.
Novel grafik dan manga
Sudah tiba masanya di pihak kita, elitis bahasa dan sastera bersikap terbuka dan bersedia untuk mengetengahkan aksesibiliti dan kepelbagaian. Selain menawarkan kesejagatan dalam tema dengan cerita yang pelbagai, dan latar belakang budaya dan minat mereka; kita juga boleh menawarkan novel grafik dan manga. Anak-anak hari ini menggunakan format yang menarik secara visual untuk memperkenalkan idea sastera yang kompleks.
Untuk anak-anak di sekolah rendah juga kita boleh mengusahakan jambatan dengan budaya pop. Buku dihubungkan kini dengan permainan popular. Jika sekolah di Barat boleh menumbuhkan Fiksyen Peminat (Fan Fiction) iaitu ‘fiksyen’ berdasarkan watak dari novel yang mereka sukai.
Selain itu murid hari ini berminat dengan permainan. Pihak kita harus siap segera bukan sahaja siap siaga, untuk memperkenalkan gamifikasi membaca. Gamifikasi membuka jalan kepada aneka genre seperti fantasi, dan dystopia. Di Barat ada penulis permainan beroleh 30 juta USD setahun hanya untuk menulis gamifikasi ini yang tentu sahaja ada unsur sastera.
Aplikasi seperti Epic! atau Reading Eggs memberi ganjaran kepada kanak-kanak apabila mereka selesai membaca cerita atau menjawab kuiz. Di sini Kelab Sastera boleh menyediakan pertandingan di sekolah atau di rumah dengan hadiah untuk jumlah buku terbanyak yang dibaca.
Selain itu kita juga harus melabur banyak untuk menerbitkan Buku Realiti Terimbuh (AR), dengan watak-watak hidup atau adegan cerita berkembang melalui telefon pintar atau tablet. E-Buku Interaktif dengan ciri klik seperti bunyi, animasi, atau jalan cerita bercabang juga dapat diperkenal.
Kecerdasan buatan harus didakap dan kita mesti siap dengan aplikasi seperti Novel Effect untuk memadankan cerita dengan runut bunyi.
Hari ini suka atau tidak sasterawan dan guru bukan lagi ikon untuk generasi baru. Pihak DBP boleh melibatkan pempengaruh. Blogger buku dapat diketengahkan, dapat bercakap tentang kesusasteraan secara santai dan relevan.
Saya ingin menutup penyampaian ini dengan menegaskan satu ungkapan daripada Saidina Ali yang mengatakan begini; asuhlah anak-anakmu menurut zamannya, dan bukan menurut zaman kamu.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.