malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
KOLUM | Api Los Angeles, air mata Andrew Wood
ADS

KOLUM | Hanya beberapa hari selepas bakal presiden Donald Trump menyatakan kehendaknya terhadap Panama, Greenland, Kanada dan Mexico, kebakaran besar berlaku di Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Reaksi Trump terhadap kebakaran itu adalah mempolitikkannya dengan menyalahkan parti Demokratik yang menguasai Los Angeles dan California. Beliau juga menyalahkan Presiden Joe Biden yang juga adalah dari Parti Demokratik. Trump adalah dari Parti Republikan.

Sikap Trump itu dikritik hebat oleh sebahagian besar rakyat Amerika. Tetapi sikap dan perwatakan Trump yang tidak beradab itu sudah difahami bukan saja oleh rakyat Amerika tetapi juga dunia. Sebab itu kenyataan Trump mengenai Panama, Greenland, Kanada dan Mexico bukan saja menimbulkan kemarahan dari negara-negara berkenaan tetapi iai juga tidak dipandang serius.

Trump mahu supaya Amerika kembali menguasai Terusan Panama. Beliau juga mahu Amerika memiliki Greenland. Trump juga mencadangkan supaya Kanada dijadikan negeri ke-51 Amerika Syarikat. Beliau juga mahu mengubah nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika.

Alasan Trump ialah Terusan Panama dan Greenland itu merupakan tempat strategik bagi keselamatan Amerika. Sikap beliau itu adalah selaras dengan gagasan beliau “Make America Great Again” (MAGA) iaitu untuk menjadikan Amerika “hebat semula” dalam pemahanan bahawa Amerika kini sudah tidak hebat lagi.

Tetapi sikap Trump ini menunjukkan bahawa beliau tidak menghornati kedaulatan dan sempadan negara-negara. Panama, Denmark yang memiliki Greenland, Kanada dan Mexico mempunyai kedaulatan pada sempadan masing-masing. Mengganggu kedaulatan itu akan hanya mendatangkan kacau-bilau. Inilah apa yang berlaku apabila Rusia melanggar kedaulatan Ukraine, dan begitu juga apabila Israel menakluki wilayah Palestin. Sempadan negara adalah sakral.

Semua negara di dunia, besar atau kecil, kuat atau lemah mempunyai kepentingan strategik keselamatan masing-masing. Tetapi mereka wajib mengukuhkan kedudukan dalam lingkungan sempadan masing-masing di bawah perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Terusan Panama pernah berada dalam kekuasaan Amerika tetapi Presiden Jimmy Carter menyerahkannya pada Panama kerana kawasan itu sememangnya berada dalam kedaulatan Panama. Kerajaan Panama menyatakan bahawa mereka akan mempertahankan terusan itu.

Kerajaan Denmark juga menyatakan bahawa Greenland adalah milik penduduknya. Rakyat Greenland ada hasrat untuk merdeka dari Denmark. Tetapi buat masa ini ia berada dalam kekuasaan Denmark. Kerajaan wilayah Greenland menyatakan mereka menolak untuk berada di bawah Amerika. Trump mempersoalkan hak Denmark memiliki Greenland.

Seorang ahli parlimen Kanada dari Parti Hijau, Elizabeth May dengan tegas menolak untuk negaranya bergabung dengan Amerika. Katanya, kehidupan orang Kanada adalah lebih baik daripada rakyat Amerika. Beliau menyatakan bahawa Kanada ada perkhidmatan kesihatan awam sedangkan Amerika tidak mempunyainya. Jadi tidak ada sebab untuk Kanada menjadi negeri ke-51 Amerika.

Untuk mengubah nama kawasan geografi darat dan laut yang sudah diiktiraf PBB hanya menimbulkan ketegangan hubungan baik antara negara. Maka kehendak Trump supaya Teluk Mexico ditukar nama kepada Teluk Amerika adalah suatu yang tidak perlu. Jika ia dilakukan, maka negara-negara lain akan turut melakukannya dan ia hanya menjejaskan kerjasama dan komunikasi.

Selama ini pun Amerika banyak kali melakukan campur tangan tentera di pelbagai tempat di dunia umpamanya di Panama, Grenada, Korea, Afghanistan, Iraq, Serbia, Yaman dan Somalia. Itu belum dikira campur tangan secara proksi atau melalui operasi CIA.

Gelagat Amerika membuatkan sebahagian penduduk membencinya terutama di Timur Tengah. Sokongan tidak berbelah bahagi Amerika kepada Israel menimbulkan kemarahan umat Islam. Di Gaza, Amerika memberi bantuan senjata kepada Israel untuk membunuh orang Palestin. Bukan itu saja, rakyat Amerika yang kaya memberi sumbangan wang kepada Israel.

Walaupun sebahagian Amerika sedar tentang kekejaman Israel di Gaza tetapi kebanyakannya menyebelahi Zionis. Maka tidak hairanlah apabila berlaku apa-apa bencana di Amerika, sebahagian penduduk dunia terutamanya umat Islam sukar untuk bersimpati atau bersolidariti dengan mangsa-mangsa bencana di Amerika walaupun di kalangan mereka di tempat bencana itu terdapat orang Islam.

Sememangnya sebagai manusia yang bersikap manusiawi, seseorang harus bersimpati dan bersolidariti pada semua manusia yang menjadi mangsa bencana tanpa mengira bangsa dan anutan agama mereka. Malah seseorang yang manusiawi perlu juga bersimpati pada haiwan yang turut terkorban

Apabila berlaku kebakaran di Los Angeles terutamanya di kawasan mewah dan banyak tokoh selebriti tinggal iaitu Pacific Palisades, maka orang kebanyakan sukar hendak bersimpati dengan para bilionair yang mempunyai banyak hartanah. Hidup mereka bernasib baik kerana berbakat dan menjadi kaya raya dapat hidup di California yang memberi banyak peluang untuk mendapatkan wang.

Malah ada orang Islam menyifatkan api yang membakar itu sebagai “tentera Allah” yang membalas terhadap sokongan penduduk di situ kepada genosid di Gaza. Malah ada yang menunjukkan bahawa bentuk dan saiz kawasan Pacific Palisades adalah serupa dengan Gaza.

Tetapi kebakaran di Pacific Palisades tidak boleh disamakan dengan Gaza. Apa yang dilalui oleh penduduk Gaza berganda-ganda lebih teruk. Pengeboman ke atas Gaza mengorbankan puluhan ribu sedangkan mangsa yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Salah seorang pelakon selebriti yang kehilangan kediamannya ialah Andrew Wood. Beliau menjadi perhatian orang Islam kerana dengan terang-terang menyokong Israel dan membenci Palestin. Dalam satu hantaran media sosial dia kata “kill them all” (bunuh mereka semua) iaitu menyuruh Israel bunuh semua orang Gaza.

Maka apabila Andrew Wood menangis di depan CNN, maka tularlah ke seluruh dunia, bukan saja di kalangan orang Islam tetapi bukan Islam, ada yang bahawa konsep karma telah berlaku dengan beliau menerima balasan daripada sikapnya terhadap Gaza.

Dalam Islam tidak ada konsep karma. Cumanya ada doa oleh orang yang dizalimi.

Tetapi orang yang menzalimi Gaza bukanlah penduduk Los Angeles. Kebakaran yang membalas seharusnya berlaku di Israel dan bukannya di California.

Di kalangan mangsa kebakaran Los Angeles ada orang Islam. Malah ada video menunjukkan sekumpulan mereka sedang melaungkan azan apabila berdepan dengan kebakaran itu. Malah sebuah masjid iaitu Taqwa Mosque turut musnah dalam kebakaran itu. Rumah ibadat lain yang terbakar ialah gereja dan sinagog.

Bencana alam termasuk kebakaran liar (wildfire) lebih mudah dilihat dari sudut faktor alam dengan perkiraan sains. Apabila berlaku sambaran petir ke atas hutan yang kering, maka boleh tercetus kebakaran. Dengan angin yang kuat bergerak dari hutan ke laut, ia melintas kawasan penempatan Pacific Palisades, maka terbakarlah kawasan itu.

Amerika maju dalam sains dan teknologi dan mampu untuk membuat penyelidikan dan rancangan bagi mengatasi kebakatan ini. Perubahan ikllm, pemanasan global dan kerosakan alam sekitar sememangnya dijangka menyebabkan bencana ini. Maka bencana kebakaran ini menjadi pengajaran yang mahal bagi Amerika.

Tetapi sistem kapitalisme yang tidak dikawal secara efektif oleh demokrasi menyebabkan kerakusan dan tamak menguasai elit perniagaan dan politik yang memberi laluan pada pelabur dan pemaju mengambil alih tanah-tanah awam di hutan-hutan dan pesisir laut hingga menjejaskan alam sekitar dan mendedahkan penduduk kepada bahaya.

Los Angeles adalah kota yang dinamik di mana banyak orang bertumpu ke situ mencari rezeki dan mencapai impian masing-masing. Walaupun ia merupakan kawasan yang terdedah kepada gempa bumi, ribut taufan, banjir dan kebakaran, orang ngasih tertumpu ke situ.

Adanya Hollywood dan banyaknya selebriti tinggal di situ menunjukkan bahawa ia merupakan kawasan yang memberikan bukan saja hiburan kepada dunia tetapi inspirasi kepada manusia untuk hidup dengan leblh baik dan indah.

Dalam masa 10 tahun, Pacific Palisades dan Los Angeles bukan saja pulih tetapi akan bangkit semula, sementara menunggu bencana yang kemungkinan akan berlaku kemudian.

Sementara itu, Gaza terus dibom oleh Israel yang akan dapat bantuan lebih besar dari Trump. Malah bakal presiden Amerika itu mengugut akan menjadikan Timur Tengah sebagai “neraka” jika Hamas tidak mahu mengalah dengan menyerahkan tebusan.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen