Rusia dan Iran adalah negara yang rasa terpukul dengan kejatuhan rejim Bashar Assad di Syria. Tetapi ada sebuah negara lagi yang tidak senang dengan perubahan di negara itu. Ia adalah Mesir.
Tanda awal keadaan itu ialah tindakan Mesir menghalau keluar warga Syria yang terlibat dengan perhimpunan merayakan kejatuhan Assad di Kaherah. Apabila rejim Assad tumbang, sekumpulan penduduk Kaherah berhimpun meraikannya. Walaupun kerajaan Mesir tidak menghalang perhimpunan yang dilakukan oleh warganya, tetapi ia tidak senang terhadap warga Syria yang terlibat dengannya. Perkara ini menjadi tanda tanya.
Terdapat warga Syria yang tinggal di Mesir sejak berpuluh-puluh tahun dahulu. Warga Syria yang datang kemudian adalah mereka yang lari dari keadaan perang saudara di sana.
Kemudian dilaporkan bahawa Mesir bimbang apa yang berlaku di Syria itu boleh mempengaruhi rakyatnya untuk turut menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Abdel Fattah Al-Sisi.
Tidak lama kemudian Al-Sisi sebut bahawa Syria akan alami huru-hara di bawah presiden interim Ahmad Al-Sharaa. Ternyata beliau tidak mengalu-alukan kemenangan Hayat Tahrir Shams (HTR) pimpinan Sharaa. Sisi bukanlah sekutu Assad seperti mana Vladimir Putin dan Ayatullah Khamenei. Tetapi hubungan rejim Sisi dengan rejim Assad adalah lebih mendalam dari segi ideologi dan juga sejarah.

Buat masa ini rejim Sisi berada di pihak Barat dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Musnah macam mana pun Gaza dikerjakan oleh Israel, Mesir terikat dengan perjanjian yang ditandatangani oleh Presiden Anwar Sadat dengan Perdana Menteri Menachem Begin disaksikan oleh Presiden Jimmy Carter. Sementara rejim Assad yang ditumbangkan itu adalah musuh Israel dengan memberi laluan kepada bantuan Iran kepada Hezbollah untuk melawan Israel.
Sharaa pula setakat ini telah menyatakan bahawa Syria tidak akan berperang dengan Israel kerana hendak menumpukan perhatian terhadap pembinaan semula negara. Setelah tidak lagi menjadi sekutu Rusia dan Iran, kini sekutu kuat Syria adalah Turkiye.
Walaupun Sisi dan Recep Tayyip Erdogan boleh dipandang sebagai sama-sama berada di pihak Barat, dengan Turkiye juga mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan merupakan anggota NATO. Tetapi ideologi Sisi dan Erdogan adalah bertentangan.
Erdogan adalah Islamis, seperti juga Sharaa. Beliau menyokong semua kebangkitan Arab Spring di negara-negara Arab termasuk Mesir dan Syria. Di Mesir beliau menyokong Mohamed Morsi yang menang pilihan raya presiden demokratik pertama Mesir. Beliau amat marah apabila Sisi mengguling kerajaan Morsi dan kemudian menangkap dan membunuh penyokong-penyokong Islamis tanpa mempedulikan demokrasi dan hak-hak asasi.

Gelagat rejim Sisi tidak jauh bezanya dengan Assad. Mereka bersikap authoritarian, tidak demokratik dan kejam. Kedua–duanya juga berasaskan kuasa ketenteraan dan dimulakan dengan rampasan kuasa oleh tentera. Mereka juga berfahaman nasionalis kiri walaupun berbeza aliran. Mesir beraliran Nasseriah sementara Syria berpegang pada Baathis. Tetapi dari segi agama mereka adalah berbeza. Mesir diperintah oleh majoriti Sunni tetapi Syria dikuasai oleh minoriti Alawiah. Namun musuh kedua-dua rejim adalah sama iaitu golongan Islamis khususnya Ikhwanul Muslimin. Hafez Assad, iaitu bapa Bashar telah membunuh hampir kesemua anggota Ikhwan di Syria apabila meranapkpan bandar Hama. Kini golongan Islamis Syria diwakili oleh HTS dan sekutu-sekutunya.
Ada satu masa ketika Mesir dan Syria bergabung dalam sebuah negara yang bernama Republik Arab Bersatu (UAR) dari tahun 1958 hingga 1961. Presiden Mesir, Gamal Nasser menjadi presiden negara gabungan itu. Parlimen bagi kedua-dua wilayah bersidang di Kaherah. Semua ahli parlimen Syria datang bersidang di situ. Pegawai-pegawai tentera Syria juga datang ke Kaherah untuk kesatuan pemerintahan dan latihan berpadu. Antara pegawai itu ialah Hafez Assad.
Seperkara penting lagi semasa UAR ialah penubuhan polis rahsia atau Perkhidmatan Perisikan Am (GIS) atau lebih dikenali sebagai Mukhabarat. Pasukan yang banyak berperanan menekan Ikhwanul Muslimin ditubuhkan pada tahun 1952 setelah berlaku Revolusi Mesir yang menggulingkan Raja Farouk. Maka dengan penubuhan UAR, Mukhabarat Syria ditubuhkan dan dilatih oleh pihak Mesir. Semasa Bashar Assad, Mukhabarat Syria berperanan besar melakukan penderaan dan kekejaman terhadap pembangkang, baik dari kalangan demokratik mahupun Islamis.

Penubuhan UAR adalah menepati wawasan Nasser supaya semua negara Arab bersatu di bawah satu pemerintahan. Fahaman pan-Arab ini turut didukug oleh nasionalis kiri. Selain itu penubuhan UAR juga dilakukan sebagai reaksi kepada penubuhan Pertubuhan Perjanjian Pusat (Cento) iaitu berupa NATO bagi Timur Tengah. Perjanjian yang turut dikenali sebagai Baghdad Pact atau Pakatan Baghdad itu ditaja oleh Amerika Syarikat dan dianggotai oleh sekutu-sekutunya iaitu United Kingdom, Iraq (di bawah pemerintahan Raja Faisal II), Turkiye, Pakistan dan Iran (di bawah pemerintahan Shah Iran).
Bendera UAR ialah jalur merah, putih dan hitam dengan dua bintang hijau. Warna-warna itu melambangkan Pemberontakan Arab iaitu kebangkitan Arab dibantu oleh British bagi memisahkan diri daripada pemerintahan Turki melalui Kekhalifahan Usmaniah di Istanbul. Warna-warna itu mewakili khalifah-khalifah Arab iaitu Khualaurasyidin (putih), Umayah (hitam), Abasiah (merah) dan Fatimiah (hijau) yang pernah memerintah Mesir dan Yaman. Kebanyakan negara-negara Arab sekarang mempunyai bendera yang ada empat warna ini termasuk Palestin.
Dua bintang pada bendera UAR menandakan negara Mesir dan Syria. Apabila UAR dibubarkan pada tahun 1961, Mesir menukar benderanya dengan menghilangkan dua bintang itu dan digantikan dengan jata negaranya yang merupakan burung helang, iaitu lambang kekhalifahan Umayah. Tetapi Mesir mengekalkan UAR sebagai nama rasmi negara sehinggalah tahun 1971 apabila ia ditukarkan kepada Republik Arab Mesir.
Setelah UAR bubar, Syria mengambil nama Republik Arab Syria tetapi mengekalkan bendera UAR sebagai benderanya. Ketika berlaku Arab Spring pada tahun 2011, demonstrasi rakyat di Kaherah berjaya menumbangkan rejim Presiden Hosni Mubarak. Tetapi para penunjuk perasaan tidak menggunakan bendera baharu. Mereka tetap menggunakan bendera rasmi negara.

Di Syria, perkara berbeza berlaku. Di sana kebangkitan Arab Spring gagal menumbangkan Bashar Assad. Tetapi para peserta demonstrasi menggunakan bendera berlainan iaitu jalur hijau, putih dan hitam dengan tiga bintang di tengah. Ia merupakan bendera awal Republik Syria sebelum penubuhan UAR. Tiga bintang itu melambangkan tiga wilayah asal Syria iaiti Damsyek, Homs dan Aleppo.
Selepas rejim Mubarak tumbang, Mesir mendapat sistem demokrasi dengan semua parti politik bebas bertanding. Ikhwanul Muslimin menubuhkan Parti Keadilan dan Kebebasan (JFP), sebuah parti yang menyerupai Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki pimpinan Recep Tayyip Erdogan. Parti Islamis tetapi demokratik, inklusif dan sekular. Parti ini menang pilihan raya dan ketuanya, Ahmad Morsi menjadi presiden pada tahun 2012. Beliau menubuhkan kabinet yang inklusif dengan melantik SIsi, seorang pegawai tentera sebagai Menteri Pertahanan yang mengetuai angkatan tentera. Walaupun Arab Spring menumbangkan rejim Mubarak tetapi keutuhan tenteranya tidak terjejas.
Apabila kerajaan Morsi memperkenalkan dasar-dasar yang dilihat sebagai Islamis, demonstraai bantahan berlaku. Atas alasan ini, Sisi melakukan rampasan kuasa. Beliau menangkap Morsi dan ratusan anggota Ikhwanul Muslimin yang antaranya didera dan bunuh maka berakhirlah demokrasi dan pencapaian Arab Spring.
Di Syria keadaannya jauh berbeza. Ada jeneral tentera menyertai pihak penentang dan berusaha kalahkan tentera Assad. Perang saudara pun berlaku. Kumpulan Islamis yang antaranya turut melawan Assad.
Maka sekarang kumpulan Islamis, HTS menguasai Syria. Tentera rejim Assad bukan saja lumpuh tetapi bubar. Maka dalam kerajaan baru ini, Presiden Sharaa menyatakan akan menubuhkan angkatan tentera baru yang terdiri daripada pejuang-pejuang yang sebahagian besarnya adalah Islamis. Mereka diletakkan di bawah Menteri Pertahanan yang merupakan anggota HTS.
Maka buat masa ini Mesir sudah kembali pada rejim lamanya dengan Sisi sebagai waris Mubarak, sementara Syria telah menghapuskan keseluruhan rejim lamanya.
Maka tidak hairanlah rejim Sisi tidak senang dengan Syria baru.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini


