malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
KOLUM | Ketika AS tuntut 'prinsip peralihan' dari Syria
ADS

KOLUM | Hari Isnin lepas, pemimpin de facto Syria, Ahmad Al-Sharaa mengumumkan anggota kerajaan negaranya dengan dirinya sendiri sebagai adalah presiden peralihan dan barisan kabinetnya termasuk seorang menteri Hal Ehwal Wanita.

Kerajaannya disertai oleh enam kumpulan bersenjata yang sama-sama berjuang menentang pemerintahan Bashar Al-Assad. Mereka adalah Hayat Tahrir Shams (HTR) pimpinan Al-Sharaa, Tentera Nasional Syria (SNA) yang disokong oleh Turkiye, Tentera Bebas Syria (FSA) yang disokong Amerika Syarikaf, 8 Briged 6 Kor yang disokong Rusia, Barisan Pembebasan Islam Syria (SILF) yang berfahaman Islamis ekstremis dan Jaish Islam yang berfahaman Islamis “rigid”.

Satu kumpulan yang tidak menyertai kerajaan peralihan ini ialah Angkatan Pertahanan (SDF) yang terdiri daripada etnik Kurdis, berhaluan kiri dan disokong oleh Amerika dan Israel. Ia merupakan cabaran bagi Al-Sharaa untuk menyelesaikannya kemudian hari.

Al-Sharaa dan anggota kabinetnya dengan berpakaian formal, lengkap sut dan bertali leher bergambar dengan bendera baru Republik Syria yang merupakan tiga relang warna: hijau, putih dan hitam berserta tiga bintang berbucu lima berwarna merah pada jalur putih.

Sejak awal ketika menjatuhkan pemerintahan Bashar Al-Assad pada 8 Disember lalu Al-Sharaa telah mengumumkan untuk kembali menggunakan nama asalnya. Abu Muhammad Al-Jolani adalah nome de guerre iaitu nama perang atau nama yang digunakan dalam perjuangan supaya identiti sebenar dapat dilindungi. Kini nome de guerre baginya sudah tidak relevan. Peperangan pun sudah berakhir dan dunia sudah ketahui identitinya.

Sehari sebelum itu AS telah menggugurkan tawaran hadiah wang sebanyak $10 juta (RM50 juta) kepada sesiapa yang dapat menangkap Al-Sharaa. Ini kerana dia dianggap sebagai pemimpin pengganas. ASmelabelkan HTS sebagai kumpulan pengganas. Label itu masih belum digugurkan. Bagaimanapun, United Kingdom menyatakan bahawa mereka akan mengkaji balik pelabelan “pengganas” terhadap HTS.

Pengumuman pengguguran tawaran hadiah itu dibuat selepas satu delegasi AS berjumpa Al-Sharaa. Delegasi itu berpuas hati dengan penjelasan Al-Sharaa tentang hala tuju Syria. Mereka telah menetapkan “prinsip-prinsip peralihan” iaitu apa yang pemerintahan Al-Sharaa lakukan dalam peringkat peralihan negara itu untuk mendapatkan pengiktirafan, sokongan dan bantuan AS.

Walaupun tidak diperincikan apakah itu “prinsip-prinsip peralihan” tetapi dapat difahami bahawa ia meliputi proses demokrasi di mana ada kebebasan penubuhan parti politik dan pilihan raya umum bagi membolehkan penubuhan kerajaan yang sah.

Penekanan yang kuat oleh pihak AS ialah hak golongan minoriti untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing. Dalam hal ini, golongan minoriti yang perlu dilindungi ialah orang beragama Kristian dari pelbagai jenis mazhab. Begitu juga dengan golongan Druze, Alawiah dan Ismailiah yang dianggap sesat oleh orang Islam.

Kehadiran kumpulan pengganas

Satu lagi penekanan ialah mengenai hak wanita. Dalam hal ini Al-Sharaa pernah memberitahu dalam satu wawancara bahawa pentadbiran HTS di Idlib sejak tahun 2018 menjamin hak wanita. Katanya, para wanita di situ bebas untuk belajar, malah lebih 60 peratus pelajar universiti adalah perempuan. Maknanya, HTS bukanlah seperti Taliban.

Begitu ambil beratnya AS terhadap soal amalan demokrasi serta hak minoriti dan hak wanita di Syria. Sedangkan Israel yang melanggar hak rakyat Palestin dan wanita Palestin disokong begitu saja. Rakyat Palestin yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dibunuh oleh Israel di Gaza. Begitu juga tangkapan dan penahanan wanita Palestin di Tebing Barat tanpa proses keadilan.

Tetapi satu lagi perkara lebih penting bagi AS ialan kehadiran kumpulan-kumpulan pengganas lain iaitu ISIS dan Al-Qaeda yang masih menguasai beberapa kawasan di tengah-tengah Syria. Malah beberapa hari lalu, AS mengebom kawasan-kawasan mereka dan membunuh empat anggota ISIS.

Pengeboman itu tentulah melanggar kedaulatan Syria tetapi begitulah sikap AS. Mereka hanya berkira terhadap ancaman keadanya. Ia pernah mengebom bukan saja Afghanistan, Iraq, Libya, Pakistan dan Yaman tetapi banyak negara lain semasa Perang Dingin tanpa menghirau kedaulatan negara lain.

AS sentiasa bersikap menafikan (denial) terhadap “root cause” (punca asal) munculnya “terorisme” anti-Amerika. Lebih-lebih lagi apabila dinyatakan bahawa pendudukan Israel ke atas Palestin adalah “root cause”.

Bukan saja AS masih berada di Syria tetapi kini sebahagian daripada wilayahnya diduduki oleh Israel dan Turki. Rusia dan Iran sedang mengundurkan diri. Bakal presiden AS, Donald Trump berkata semua negara asing perlu keluar dari Syria. Sukar untuk mempercayai bahawa AS akan keluar lebih-lebih lagi ia kini bekerjasama dengan kumpulan Kurdis di Syria utara yang kaya dengan minyak.

Satu lagi perkara yang diketengahkan oleh delegasi AS ialah pembebasan warga negara mereka yang dipercayai ditahan oleh kumpulan-kumpulan “pengganas”. Di Syria ketika ini tentulah banyak perisik, sama ada CIA atau Mossad.

Kelihatannya Israel sudah menjangkakan tarikh tumbangnya kerajaan Assad pada 8 Disember lalu. Sebab itu tentera mereka bersedia untuk memasuki Syria sebelum peristiwa itu berlaku. Sebaik saja Assad melarikan diri, tentera Israel masuk ke Golan tanpa sebarang tembakan.

Al-Sharaa menyatakan bahawa Israel patut keluar dari Syria kerana tanpa adanya Iran dan Hezbollah, negara Zionis itu tidak ada sebab untuk memasuki negaranya. Malangnya, projek Israel Raya (Greater Israel) meliputi keseluruhan Bukit Golan yang merupakan wilayah Syria.

Bagi Al-Sharaa, kehadiran AS di situ adalah kerana adanya Rusia dan Iran. Apabila Rusia dan Iran tiada di situ, maka seharusnya AS mengundurkan diri. Tetapi selagi Al-Qaeda dan ISIS masih wujud, AS akan ada di situ.

Geopolitik tidak semudah peraturan yang tertera dan termaklum. Nasib sesebuah negara bergantung pada kedudukan geografinya. Syria berada di tengah-tengah muka bumi yang dalam sejarah silamnya merupakan pusat pertembungan kuasa-kuasa sezaman.

Selain daripada kebijaksanaan dan daya kepimpinan Al-Sharaa serta kabinetnya, mereka memerlukan Kementerian Luar dan penasihat bidang geopolitik yang unggul, setanding dengan apa yang dimiliki oleh AS, Rusia, Israel dan Turki untuk membawa Syria kepada kedudukan yang disegani.

Al-Sharaa yang berperwatakan tenang pada wawancara awal kelihatannya tidak mempedulikan label “pengganas”. Katanya sesebuah negara tidak wajar melabelkan sesiapa sebagai “pengganas”. Jika “pengganas” bermaksud sesiapa yang membunuh orang awam, maka negara-negara yang membunuh orang awam adalah “pengganas”. Tanpa menyebut mana-mana negara, dapat difahami negara itu adalah AS dan Israel.

Mengenai HTS juga, Al-Sharaa ada menyebut dalam wawancara awalnya itu bahawa ia hanyalah wadah atau platform yang boleh dibubarkan pada bila-bila masa apabila matlamatnya tercapai. Matlamatnya adalah untuk menumbangkan kerajaan Assad dan ia tercapai. Maka tidak menghairankan jika HTS mungkin disusun semula sebagai parti politik bagi menyertai pilihan raya umum kelak

Sebenarnya HTS boleh mengambil dua iktibar yang dilalui oleh tiga negara Arab Spring iaitu Tunisia, Libya dan Mesir. Bagaimana Arab Spring di ketiga-tiga negara itu telah mengecewakan rakyat mereka walaupun peralihan telah berlaku.

Apa yang lebih dituntut oleh Al-Sharaa terhadap AS ialah pembatalan sekatan ke atas Syria. Sekatan itu dibuat oleh AS dan negara-negara Eropah untuk memberi tekanan pada Assad. Tetapi kini Assad sudah tiada dan sepatutnya sekatan itu dibatalkan dengan serta-merta. Namun perkara itu tidak berlaku. Mereka masih menunggu perubahan baru untuk berlaku di Syria.

Tanpa menunggu lebih lama, Al-Sharaa tentu beralih kepada negara-negara jirannya iaitu Turki, Jordan dan Qatar untuk pembinaan semula Syria. Delegasi dari ketiga-tiga negara sudah pun bertemu dengan Al-Sharaa.

Kerajaan peralihan Syria ini memegang mandat hingga bulan Mac ini. Perlembagaan baru perlu digubal dan pilihan raya umum mesti diadakan. Al-Sharaa menjanjikan inklusiviti dan mungkin satu kerajaan campuran akhirnya akan dibentuk dengan diketuai oleh Al-Sharaa dan HTS sebagai parti utama.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen