KOLUM | Perang Ukraine Donbas telah bermula pada April 2014. Perang bermula apabila soldadu dan kerajaan Ukraine membantai warga Ukraine berbangsa Rusia di wilayah Donbas dan Luhansk.
Perang ini berhenti sekejap apabila Perjanjian Minsk ditandatangani pada 5 September 2014. Perancis dan Jerman menjadi orang tengah dan saksi.
Tetapi Ukraine terus membantai rakyat berbangsa Rusia di Donbas dan Luhansk. Etnik Rusia ini meminta bantuan daripada Putin.
Akhirnya Rusia datang memberi bantuan melalui Operasi Khas Putin yang bermula pada 24 Februari 2022. Melalui operasi itu soldadu Rusia masuk ke Ukraine. Operasi Khas ini sudah melintasi hari ke 1000.
Ertinya operasi perang ini hampir masuk tahun ke tiga. Inilah perang paling sengit di Eropah sejak Perang Dunia Kedua. Jalan penyelesaian masih tidak kelihatan.
Presiden Amerika Syarikat (AS) telah berganti. United Kingdom (UK) ada perdana menteri baru dari Parti Buruh. Setiausaha Nato juga telah bertukar. Beberapa negara di Eropah telah mengadakan pilihan raya. Ada kerajaan sudah berubah.
Donald Trump menang pemilihan presiden AS dan akan masuk kembali ke Rumah Putih. Presiden Biden akan bersara. Adakah perang Ukraine akan ditamatkan?
Persoalan ini sedang ditanya oleh warga dunia. Persoalan ini timbul kerana Amerika akan mendapat presiden baru.
Donald Trump secara rasmi akan mengangkat sumpah menjawat kerusi presiden pada Isnin 20 Januari 2025. Ini bermakna – ketika tulisan ini di garap – Joe Biden masih ada sebulan lebih lagi sebagai Presiden. Bermakna Joe Biden masih ada kuasa sebagai presiden.
Pada 1964, ketika UK berhadapan dengan krisis mata wang sterling Perdana Menteri Harold Wilson (1916-1995) berkata : a week is a long time in politic – satu minggu adalah lama dalam politik.
Di AS, tempoh sebulan menunggu Trump untuk menjadi presiden pelbagai perkara boleh berlaku. Malah pelbagai perkara sudah pun terjadi.
Dengan licik dan terancang Biden membenarkan Ukraine menggunakan peluru berpandu jarak jauh buatan Amerika untuk menyerang ke dalam Rusia hingga ke Moscow.
Sebenarnya Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy telah berkali-kali merayu dan meminta agar AS, UK, Perancis dan Jerman menggunakan senjata peluru berpandu jarak jauh mereka menyerang Rusia.
Pada awal perang permintaan ini ditolak. Kali ini Biden menerimanya. Ini dasar persenjataan baru presiden Biden.
Biden mengubah dasar dengan alasan tentera Korea Utara datang membantu Putin. Putin ada bantuan Korea Utara maka Ukraine dapat bantuan peluru berpandu jarak jauh.
Pada 17 November 2024 Biden membenarkan ATACMS – Army Tactical Missile Syatem dihantar ke Ukraine. Peluru ini boleh masuk 190 batu ke wilayah Rusia.
Hari berikutnya PM UK Keir Starmer terus mengikut jejak Biden dengan menghantar peluru berpandu jarak jauh Storm Shadow yang bergerak 600 batu satu jam. Peluru ini boleh masuk 155 batu ke wilayah Rusia.
Sebelum perang ini bermula Rusia ada mengeluarkan beberapa garis merah. Putin beberapa kali memberi ingatan dan amaran kepada AS dan Nato agar tidak melintasi garis merah ini.
Salah satu garis merah ini ialah Ukraine jangan menjadi anggota Nato. Juga tidak ada senjata nuklear akan di pasang di Ukraine. AS dan Nato tidak peduli.
Pada 24 September 2024 lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan kemas kini doktrin nuklear Rusia. Ini sebagai tindak balas kepada apa yang Moscow anggap peningkatan campur tangan Barat di Ukraine. Beberapa bulan kemudian, pada Selasa 19 November, Putin memformalkan perubahan itu sebagai dasar rasmi Persekutuan Rusia.
Doktrin yang disemak, bertajuk "Asas Dasar Negara Persekutuan Rusia dalam Bidang Pencegahan Nuklear".
Doktrin ini memperluaskan syarat Rusia untuk penggunaan senjata nuklear. Moscow kini bersedia menggunakan senjata nuklear sebagai tindakan balas terhadap serangan nuklear, serta serangan konvensional yang mengancam kedaulatan atau integriti wilayah Rusia atau Belarus.
Jika wujudiah Rusia terancam maka senjata nuklear akan digunakan.
Kenyataan dan amaran Putin ini jelas selepas siang hari. Tetapi Amerika, UK dan Nato tidak mengambil 'pot'. Malah mereka menganggap ini gertak dan auta daripada Putin.
Sikap Amerika, UK dan Nato tidak mengambil 'pot' terbukti apabila sehari sesudah Biden mengubah dasar, Rusia diserang. Pada 19 November 2024 Ukraine menyerang Rusia dengan ATACMS - peluru berpandu jarak jauh. Kemudian Rusia juga diserang oleh Storm Shadow buatan UK.
Jerman dan Perancis enggan campur tangan. Bila Rusia diserang Ukraine dengan peluru berpandu jarak jauh dunia menjadi gempar. Presiden Zelenskyy tersenyum puas kerana pucuk dicita ulam mendatang. Senjata diminta telah meledak. Moscow sudah diserang.
Awas! Dua hari kemudian jawapan dari Putin sampai. Pada 21 November 2024 - Ukraine terperanjat besar apabila Putin membalas ledakan dengan ledakan.
Satu Eropah tergamam. Presiden Ukraine dengan cepat menuduh Rusia menggunakan ICBM – Peluru Berpandu Melintas Benua. Media dunia jadi heboh adakah betul ICBM telah digunakan.
Peluru ICBM ini boleh membawa bom nuklear. Senjata jenis ini wujud tetapi belum pernah di lancarkan untuk menyerang. Berita serangan ICBM Rusia menjadi heboh.
Dunia untuk kali pertama melihat Rusia melancarkan apa yang dikenali sebagai Oreshnik. Ini peluru berpandu jenis baru buatan Rusia yang membawa enam kepala peledak. Oreshnik meledak di wilayah Dnipro. Ini wilayah ketenteraan Ukraine tempat penyimpanan peluru dan jet pejuang.
Oreshnik bukan Peluru Berpandu Melintasi Benua (ICBM). Oreshnik peluru berpandu balistik jarak jauh Rusia (IRBM) yang dicirikan oleh kelajuan yang melebihi 7,610 batu satu jam. Peluru berpandu itu dilengkapi dengan enam kepala peledak, setiap satu dilaporkan mengandungi senapang dan digambarkan sebagai sangat sukar untuk dipintas.
Oreshnik juga boleh dipasang untuk membawa kepala peledak nuklear.
Dalam satu ucapan sesudah Oreshnik meledak Putin hanya berkata ‘unstopable’ - tidak ada kuasa yang dapat menangkis Oreshnik.
Penggunaan peluru berpandu jarak jauh ini dengan serta merta mengubah watak Perang Ukraine.
Apa sebenarnya niat Joe Biden memberikan Zelensky senjata baru ini?
Sosok pertama di Amerika Syarikat bersuara ialah bekas Lt. Jeneral Michael Flynn, sekutu lama Trump yang berkhidmat tidak lama sebagai penasihat keselamatan negara pada 2017.
Bekas jeneral ini mahu Biden dipecat. Ini kerana Biden telah membawa Amerika Syarikat ke medan Perang Dunia Ke Tiga.
Flynn menulis dalam blognya: "Biden sekarang mengambil langkah berbahaya kepada negara dengan mengambil langkah-langkah yang membentuk tindakan perang tanpa Pengisytiharan Perang - kuasa yang diberikan Perlembagaan AS hanya kepada kongres.”
Hari ini mengikut pandangan Jeneral Flynn dunia mungkin lebih hampir kepada perang nuklear. Lebih dekat lagi daripada krisis peluru berpandu Cuba 1962 antara presiden AS John F Kennedy dengan perdana menteri Kesatuan Soviet Nikita Khrushchev.
Pada hari-hari akhirnya, pentadbiran Biden membawa Amerika kepada potensi perang nuklear dengan Rusia.
Apa yang jelas di sini Biden mahu mensabotaj Trump. Ledakan peluru berpandu jarak jauh umpan untuk melihat apa tindakan balas daripada Putin. Jika Putin gelabah dan hilang perhitungan maka jalan damai akan lebih jauh.
Presiden Biden yang mempunyai kuasa untuk beberapa hari ini mahu perang di Ukraine diteruskan. Justeru Biden sedang melakukan tindakan dan langkah-langkah yang jelas untuk memastikan Trump tidak ada pilihan.
Biden mahu Trump hanya mempunyai pilihan untuk meneruskan tindakan perang.
Dunia tahu apabila Trump menjadi presiden dasar Amerika terhadap Ukraine akan berubah. Berdasarkan apa yang kita baca ketika berkempen, Trump mahu perang ini ditamatkan.
Pada 14 November di Florida, CNN melaporkan Trump berkata: "Kami akan bekerja keras untuk Rusia dan Ukraine. Perang mesti berhenti. Rusia dan Ukraine mesti berhenti berperang."
JD Vance yang kini menjadi naib presiden AS, ketika berkempen pernah mengkritik pakej bantuan Amerika kepada Ukraine. Vance mendesak Amerika mengadakan rundingan dengan Rusia walaupun Ukraine berkata ia tidak mahu mengadakan rundingan.
Amat jelas di sini presiden Trump dan orang nombor duanya mahu Perang Ukraine ditamatkan. Perkara ini disedari oleh presiden Zelenskyy sendiri.
Pada Khamis 28 November, Putin ketika sidang akhbar di Kazakhstan berkata “kami tidak menolak penggunaan Oreshnik terhadap tentera, kemudahan industri ketenteraan atau pusat membuat keputusan, termasuk di Kyiv.”
Putin juga berkata senjata itu "setanding kekuatannya dengan serangan nuklear" jika digunakan beberapa kali di satu lokasi walaupun ia tidak dipasang dengan kepala peledak nuklear
Senjata baru dari Rusia ini sedang mengubah geopolitik Eropah dan dunia.
Tiba-tiba presiden Zelenskyy membuat kejutan. Dalam temu bual di stesen TV Sky News pada 29 November 2024, Zelensky mencadangkan perjanjian gencatan senjata boleh dibuat jika wilayah Ukraine yang dikuasainya boleh diambil "di bawah payung Nato". Kawasan yang lain boleh dirunding kemudian "dengan cara diplomatik."
Ini bermakna perang boleh ditamatkan. Ukraine masuk di bawah kawalan Nato. Wilayah seperti Donbas, Crimea dan Luhansk boleh dirunding kemudian.
Kenyataan presiden Ukraine ini keluar minggu lalu. Hingga ke hari ini belum ada jawapan daripada Putin atau dari Rusia.
Perang masih berterusan. Malah media dunia kini melaporkan keadaan Ukraine semakin nazak. Musim sejuk sudah sampai. Kuasa jana elektrik hampir pupus. Warga Ukraine makin tersiksa. Soldadu Ukraine ramai yang gugur dan ramai lari enggan berperang.
Dalam keadaan sedemikian apakah Putin akan menerima cadangan Zelenskyy? Atau menunggu Ukraine angkat bendera putih.
Dunia juga sedang menunggu Trump masuk sekali lagi ke Rumah Putih. Tetapi kenapa sebenarnya Amerika dan Nato memusuhi Rusia? Tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.