KOLUM | Dakwah atau penyebaran Islam tidak pernah kenal sempadan geografi, budaya dan politik. Selagi ada laluan, dakwah agama akan bergerak perlahan-lahan sebelum sampai ke lokasi tertentu seperti air di sungai yang mengalir.
Jalan air pula merupakan sistem jaringan perhubungan yang paling penting sebelum datangnya revolusi industri. Muara-muara sungai utama menjadi pelabuhan penting.
Antara muara yang menjadi tumpuan pedagang dan pendakwah di Semenanjung Tanah Melayu ialah muara Sungai Perak iaitu Bagan Datuk.
Banyak pusat pengajian Islam dibuka di daerah berkenaan sebelum Perang Dunia Kedua. Misalnya Maahad Irshadiah di Batu 26, dan al-Ulum as-Syariah di Batu 21.
Antara ulama terkenal ketika itu adalah Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26, Tuan Guru Haji Abd Rahman Bagan Datuk, Kiai Radin Haji Siraj Sungai Nipah Darat, Tuan Guru Abdullah Sungai Nipah Baroh, Kiai Abbas Sungai Tiang Darat, Kiai Masduki Moghni, Tuan Guru Haji Radzi Selekoh, Tuan Guru Mohamad Arsyad Mohamad Salleh, Sheikh Ahmad Zubir Filfulani, Tuan Haji Adnan Tanjung Bayan dan ramai lagi.
Nama yang tidak kurang penting dalam kalangan agamawan di situ ialah Kiai Mohd Yasin Thoha Abu Bakar yang mengasaskan Madrasah al-Yasiniah di Sungai Batang.
Dia dilahirkan di kampung itu pada 1909 tetapi bapanya berasal dari Kampong Dukuh, Guna, Indra Mayu, Ceribon, Jawa Barat yang berhijrah ke Tanah Melayu pada 1898.
Berpindah ke Kelantan
Nama asalnya ialah Thoha tetapi selepas menunaikan haji, dia dikenali dengan nama Yasin. Ayahnya, Abu Bakar Sewi dikenali sebagai Kiai Siyam juga seorang ulama.
Nama Siyam diambil sempena amalan tarekatnya yang sentiasa berpuasa (siyam dalam bahasa Arab) setiap hari kecuali hari-hari Tasyrik.
Kiai Mohd Yasin Thoha selalu berulang-alik antara Pulau Jawa dan Tanah Melayu bagi mengikuti orang tuanya berdakwah. Bapanya mempunyai komitmen berdakwah dan mendidik masyarakat di Kampung Dukuhguna.
Di Jawa, dia mempunyai sebuah surau dan tempat belajar agama untuk ahli kariah. Surau tersebut masih wujud hingga sekarang.
Apabila berhijrah ke Tanah Melayu, mereka mendirikan sebuah lagi surau di Kampung Sungai Batang yang kemudiannya dikenali sebagai Surau al-Yasiniah.
Kiai Mohd Yasin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Haji Muhammad, Bagan Datuk, namun dia tidak sempat menamatkan pengajian di situ kerana beralih ke Pondok Langgar di Alor Star, Kedah.
Pendidikannya kemudian dilanjutkan ke Pondok Tok Kenali di Kelantan.
Pada 1930, Kiai Mohd Yasin meneruskan pengajiannya di Jawa. Sekembalinya ke Tanah Melayu dia mengajar di pondok al-Syafiah yang terletak di Tebuk Tengah Sungai Batang.
Ia merupakan pondok milik abang iparnya, Shafei Endrus.
Kiai Mohd Yasin ditauliahkan mengajar agama oleh Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah pada 1937.
Pada tahun itu juga Kiai Mohd Yasin berpindah ke Tebuk Baruh Sungai Batang dan mendirikan rumah serta suraunya sendiri. Tanah itu ditawarkan oleh salah seorang penduduk kampung yang dibeli secara ansuran.
Di dalam kawasan tersebut dibina pondok untuk tempat tinggal para santri (pelajar pondok).
Sesuaikan pendidikan pondok
Beberapa santrinya turut berpindah ke situ. Hampir semua santrinya adalah orang Jawa terutama yang datang dari Sabak Bernam, Sepang, Sungai Tengar, dan Bukit Bakong di Selangor.
Ini kerana dia menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa pengantar.
Pada 1947, Kiai Mohd Yasin telah menjemput seorang ulama yang berasal dari Tanah Jawa tetapi berhijrah ke Parit Medan, Johor untuk mengajar di Madrasah Khairiyah.
Sebelum menjemput ulama tersebut, Kiai Mohd Yasin menghimpunkan ahli kariah untuk berbincang mengenai rancangannya menjemput ulama tersebut.
Ahli kariah Sungai Batang bersetuju untuk menampung kehidupan Kiai Khudhori dengan mewakafkan kebun, hasil ladang, pemberian hibah sama ada terus kepada Kiai Khudhori atau melalui Kiai Mohd Yassin sendiri.
Kiai Khudhori mahir mengajar kaedah-kaedah bahasa Arab dan kitab-kitab turah.
Pada 1950, Madrasah al-Khairiyah ditukar namanya menjadi Madrasah al-Yassiniah. Beberapa guru lain telah dijemput oleh Kiai Mohd Yasin untuk mengajar di situ.
Antaranya ialah Ahmad Ramli Omar dari Batu 20 Bagan Pasir, dan Ashari Naim, Solehah Abdul Kadir, Talib Tamyis serta Salleh Abdul Kadir yang semuanya dari Temoh, Tapah.
Anaknya, Mohd Arif dan Yusuf Azam juga berkhidmat di madrasah tersebut selepas mereka menamatkan pengajian di Pasentren Tebu Ireng di Jawa, dan Ehya as-Sharif di Gunung Semanggol.

Pada masa yang sama, Kiai Mohd Yasin cuba menyesuaikan pendidikan di kampung tersebut dengan tidak sekadar bergantung kepada sistem pondok.
Dia cuba membawa perubahan pendidikan yang lebih moden tetapi terhalang kerana pendudukan Jepun menyukarkan usaha tersebut.
Pada tahun 1950, dia bersama Abdul Hamid Zainal yang menjadi ketua kampung ketika itu, dan Shaari Anang membina sebuah sekolah rendah kebangsaan Melayu di atas tanah milik Kiai Mohd Yasin.
Bangunan sekolah itu mengandungi empat kelas yang dibina daripada kayu laut dan beratap nipah.
Guru besar pertama yang dihantar oleh kerajaan ialah Mat Wazir dari Kampung Ulu Tiga, Kampong Gajah dan dibantu oleh Salleh Dahlan dari Parit 9, Sungai Sumun serta Bohari Mohammad dari Kampung Selekoh.
Hari ini, sekolah berkenaan dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Sungai Batang tetapi sudah berpindah 1km dari tempat asalnya. Dari sistem pendidikan, pembangunan nilai kebangsaan mulai diterap sedikit demi sedikit tanpa mengurangkan nilai suku-suku kaum yang ada ketika itu.
(Artikel ini adalah cuplikan draf buku biografi Kiai Mohd Yasin Thoha yang dalam proses pengumpulan data.)
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

