malaysiakini logo
story-image
ADS

Karl Marx lebih dari seratus tahun dahulu telah menunjukkan dengan tepat bahawa dalam masyarakat yang adil agihan ekonominya, individu boleh bekerja pada waktu pagi, memancing pada waktu petang dan menulis puisi atau mendengar muzik pada waktu malam. Pandangan Marx ini berlatarkan revolusi perindustrian - zaman tenaga buruh dan kanak-kanak sedang diperah dengan maksima oleh tuan-tuan punya gudang dan fabrik.

Revolusi Industri membuka modeniti dan mengagihkan kepada kita dunia hari ini. Pertentangan antara modal dan buruh masih berterusan. Kadang kala meruncing dan kadang kala kempis. Modeniti kelihatan dapat menyusun kekuataan pengeluaran dengan tenaga buruh. Juga terdapat beberapa kemajuan yang telah dicapai antara kelas buruh dengan kelas pemodal. Contohnya, kemenangan awal kaum buruh untuk bekerja tidak lebih daripada lapan jam sehari. Kemenangan ini bukan hasil daripada menghantar petisyen atau memohon belas ehsan kaum pemodal. Tetapi hasil perjuangan dan pengorbanan jiwa kaum buruh di Amerika yang telah melakukan mogok di Chicago pada tahun 1886.

Hari ini kaum buruh dan pekerja sekali lagi mengajukan tuntutan untuk bekerja lima hari seminggu. Di Malaysia, hak ini tidak pula dituntut atau dipopularkan oleh kesatuan sekerja tetapi oleh sebuah parti politik. Parti PAS yang menerajui Kelantan telah menjalankan dasar kerja lima hari seminggu. Polisi sosial ini diperluaskan dan diterima oleh pakatan parti-parti Barisan Alternatif untuk dimasukkan ke dalam manifesto mereka dalam pilihanraya umum lalu.

Bekerja lima hari seminggu adalah tuntutan yang progresif dan memihak kepada kepentingan kaum buruh dan kelas pekerja. Di negara-negara maju di Eropah, kaum buruh dan kelas pekerja telah lama mendapat faedah kerja lima hari seminggu. Kini mereka sedang berjuang dan menuntut untuk bekerja empat atau tiga hari seminggu.

Kaum buruh melalui kesatuan-kesatuan sekerja telah sedar dan melihat bahawa pekerjaan adalah satu kebosanan yang amat sangat. Rutin yang dilakukan dari saban hari ke saban minggu ke saban bulan dan ke saban tahun tidak membawa apa-apa faedah hakiki kepada mereka. Malah, rutin bekerja membonsaikan daya fikir dan daya kreatif mereka. Faedah agung daripada tenaga pemburuhan mereka ialah pengumpulan kekayaan untuk tuan punya syarikat atau pemegang saham.

Justeru kita harus melihat dasar kerja lima hari seminggu yang dijalankan oleh kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu adalah dasar buruh yang positif. Ia adalah satu dasar sosial yang baik untuk kebajikan kaum buruh dan pekerja. Ini bermakna kaum buruh dan pekerja mempunyai masa yang lebih banyak untuk bersama keluarga, anak, suami, isteri dan kekasih.

Dasar kerja lima hari seminggu akhirnya sedang memencilkan kerajaan Barisan Nasional. Dasar propemodal yang dijalankan oleh BN semakin ditolak oleh orang ramai. Kerajaan (baca: Umno) kini dalam keadaan serba salah mengenai dasar kerja lima hari seminggu. Dari satu segi, mereka sedar dasar ini popular dan mendapat sokongan rakyat. Tetapi untuk menjalankan dasar yang sama ke seluruh negara, mereka tidak mahu dilihat sebagi 'pak turut' polisi buruh parti lawan. Dari sudut propaganda politik, jika Umno menerima dasar ini, ia bermakna dasar buruh Barisan Alternatif lebih baik, progresif dan maju.

Maka sebagai jawapan kepada polisi sosial yang baik ini kerajaan sedang menjalankan dasar "sampa larau" - cuti pada Sabtu minggu pertama dan ketiga setiap bulan. Ia adalah polisi dongeng sebuah kerajaan yang tidak mahu menerima hakikat bahawa mereka telah ditinggalkan oleh rakyat dan zaman. Mereka kurang sedar bahawa semakin banyak negara sedang menjalankan dasar bekerja lima hari seminggu.

Memburuh dan bekerja adalah satu kebosanan yang telah dipaksakan ke atas kehidupan manusia moden. Modeniti telah membawa rutin - manusia diwajibkan menjual tenaga mereka untuk menampung kehidupan. Kebanyakan pekerja atau buruh sedar bahawa mereka bosan melakukan apa yang sedang mereka lakukan. Jika diberi pilihan, mereka akan meninggalkan pekerjaan untuk mencari jalan yang lebih selesa. Modeniti yang dijana oleh Revolusi Industri seharusnya dapat melahirkan jentera untuk membebaskan manusia daripada kebosanan pekerjaan.

Modeniti juga seharusnya membawa manusia untuk melakukan sesuatu yang mereka sukai. Mereka seharusnya bekerja kerana mereka suka dan cintakan sesuatu pekerjaan yang sedang mereka lakukan. Jika hasrat ini dapat diadakan, maka kadar penghasilan akan dapat ditingkatkan. Mungkin jika buruh dan pekerja sukakan apa yang sedang dilakukan, mereka akan bekerja lapan hari seminggu dan dua puluh lima jam sehari!

Jadi, polisi sosial bekerja lima hari seminggu di Kelantan dan Terengganu adalah langkah awal untuk merealisasikan satu tahap tamadun di mana manusia boleh bekerja jika mereka ingin bekerja dan berhenti bekerja jika mereka enggan memburuh; ke arah satu tamadun di mana manusia boleh melakukan pekerjaan yang mereka sukai dan bukan dipaksa dalam satu sistem sosial yang mewajibkan manusia bekerja untuk hidup.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.