malaysiakini logo
story-image
ADS

Menurut pemimpin gerakan Bolshevik Russia, Vladimir Ilyich Lenin, imperialisme ialah tahap tertinggi kapitalisme. Dana yang terkumpul daripada keuntugan perniagaan dalam sistem ekonomi kapitalis wajib mencari dan membuka pasaran baru untuk hidup dan berkembang.

Dana modal yang terus ingin berkembang memerlukan bahan-bahan mentah baru untuk dijadikan bahan dagangan. Mengambil dan mengeksploitasi bahan mentah ini pula memerlukan tenaga buruh.

Justeru untuk mengawal modal dan menguruskan perniagaan, lebih mudah jika kawasan baru ini dijajah. Akhirnya kawasan baru menjadi tanah jajahan untuk dieksploitasi sumber bahan mentahnya. Anak negeri yang dijajah dijadikan tenaga buruh dan pengguna.

Melalui sistem ekonomi kapitalis, munculnya kuasa penjajah atau imperial power . Kuasa ini didukung oleh pemodal kapitalis. Kuasa penjajah sampai di Asia, Afrika dan Amerika Latin hanya untuk menjaga kepentingan pemodal kapitalis.

Alasan-alasan yang lain adalah cerita-cerita dongeng yang direka khusus untuk bahan peperiksaan sekolah rendah.

Kapitalisme dan imperialisme adalah tangan kiri dan tangan kanan. Tanpa kapitalisme, tidak mungkin wujud imperialisme.

Hari ini sistem ekonomi Malaysia berdasarkan sistem ekonomi kapitalis yang berimamkan keuntungan maksimum. Ekonomi kapitalisme tidak pernah berjanji untuk menjaga kesejahteraan orang ramai. Sistem ekonomi kapitalis tidak memihak kepada kepentingan awam atau kebaikan umum.

Pemodal kapitalis akan berbuat dan berniaga apa saja - jika dilihat ada keuntungan yang dapat diraih.

Dalam zaman penjajahan Inggeris, para pemodal memerlukan tentera kuasa penjajah untuk menjaga pengurusan perniagaan mereka. Dalam era pasca penjajahan parti politik telah dijadikan payung untuk menjaga kepentingan diri.

Umno yang mengikut garis falsafah kapitalisme telah menjadi payung dengan membawa Dasar Ekonomi Baru dan ia berjaya memunculkan juragan dan saudagar Melayu - mendadak mereka menjadi kapitalis komprador dan kapitalis nasional.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad merupakan jurucakap dan wakil pemodal nasional tempatan yang berpayung di bawah Umno. Hari ini para kapitalis ini rasa tergugat oleh undang-undang dan peraturan yang diwajibkan oleh lembaga-lembaga sejagat seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa), WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) atau Bank Dunia.

Justeru apabila mendengar Mahathir berkhutbah mengenai imperialisme dan penjajah baru, kita harus menyedari bahawa propoganda ini bertujuan untuk mencari sokongan orang ramai, terutama orang Melayu, untuk bersama-sama sebaris mempertahankan kepentingan kelas pemodal tempatan ini.

Lembaga-lembaga antarabangsa ini mewakili falsafah perdagangan bebas yang didalangi oleh pemodal gergasi terutama syarikat multinasional milik pemodal Amerika.

Syarikat multinasional dengan licik sedang mengaburi mata rakyat dunia untuk menjual dasar perdagangan bebas, globalisasi dan penswastaan dengan memakai topeng PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).

Lembaga antarabangsa ini menuntut segala bentuk dinding dan tembok yang menjaga kepentingan pemodal tempatan diruntuhkan. Lembaga ini juga menuntut agar ada ketelusan dalam agihan tender.

Pengagihan tender ini juga wajib dibuka kepada pasaran dunia. Tuntutan-tuntutan seperti ini pasti akan mengancam pemodal tempatan.

Kapitalis nasional tempatan yang dieramkan di bawah perut Umno bersifat lemah. Mereka hanya bangun jika ditupang oleh dana dan kuasa politik Umno. Juragan dan saudagar tempatan tidak mungkin dapat bersaing dengan modal antarabangsa yang telah teruji, tersusun dan disokong pula oleh dana yang lumayan.

Dalam masa yang sama, Mahathir sedar kapitalis nasional tempatan wajib meluaskan jaringan pasaran dan pelaburan mereka untuk terus berkembang dan menguatkan diri. Kerana itu setiap lawatan rasmi Mahathir ke luar negara, beliau selalu dibuntuti segerombolan ahli perniagaan dan wakil bukan kerajaan, ketua cawangan atau ketua bahagian Umno.

Pemodal-pemodal ini digalakkan melabur di daerah-daerah di mana syarikat antarabangsa belum bertapak kuat atau negara yang dipinggirkan oleh syarikat antarabangsa. Justeru, kita akan bertemu syarikat-syarikat Malaysia di Ghana, Afrika Selatan, Zimbabwe, Kemboja, Burma, Vietnam, Fiji atau Papua New Genuie.

Negara-negara ini mempunyai satu persamaan sifat dengan Malaysia - sama ada di bawah pemerintahan diktator atau diperintah oleh kerajaan yang tidak mengamalkan sistem demokrasi.

Bermakna, negara-negara ini mengamalkan sistem ekonomi tidak telus yang diselaputi budaya rasuah. Hanya dalam suasana ini, barulah modal Malaysia dapat bergerak.

Justeru, Mahathir bersuara menentang imperialisme dan penjajah baru ini kerana beliau takut pemodal-pemodal yang diwakili dan mendukung dirinya akan terkubur dilanggar syarikat multinasional.

Dalam masa yang sama kapitalis nasional ini pula adalah kroni dan anak-pinak Mahathir sendiri. Jadi laungan patriotik kepada rakyat Malaysia bertujuan mengajak rakyat agar bersama mempertahankan harta kekayaan kroni dan anak beranak Mahathir sendiri.

Inilah asas ekonomi dan suasana latar belakang politik yang melahirkan retorik antiimperialis manusia bernama Mahathir Mohamad.

Beliau, dari segi politik dalam dan luar negara, semakin terpencil.

Beliau tidak mempunyai banyak pilihan. Desakan daripada lembaga-lembaga antarabangsa tidak akan berhenti. Hanya laungan nasionalis dan retorik antiimperialis yang tinggal untuk mengaburi mata rakyat Malaysia.

Bahagian II: Hak asasi, bisul PM


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.