Minggu ini pembaca akhbar, penonton televisyen dan pendengar radio di seluruh negara telah dihiburkan dengan sebuah drama 'hidup' yang dipentaskan di sebuah kebun durian.
Untuk pelajar atau peminat sandiwara, filem atau bangsawan, mereka pasti tahu serba sedikit mengenai Tragedi Greek - ibu segala bentuk teater yang memulakan tradisi seni teater di dunia ini.
Kita juga boleh berasa bangga kerana telah berjaya mementaskan sebuah drama Grik yang lebih hebat daripada Tragedi Greek kerana pementasan sandiwara kita, walau dalam kebun durian, telah dapat merangkumi semua genre teater - daripada komedi, absurdisme hingga tragedi.
Seperti skrip filem, lima minit awal babak pembukaan - rompakan senjata - cukup menggemparkan. Babak pembukaan drama Grik ini setaraf dengan arahan John Woo atau Sam Peckinpah - cukup mengkagumkan.
Sayangnya apabila para protagonis mula muncul di atas pentas untuk mengeluarkan dialog-dialog, maka kelihatan "kata bual" mereka bertaburan dan bertelingkah sesama sendiri.
Penonton yang mengikuti drama ini di kaca televisyen atau akhbar telah menjadi kelam-kabut dan kehilangan punca. Penonton, pendengar dan pembaca menjadi gelabah kerana tidak dapat mengikuti naratif drama ini.
Penonton mula tertanya-tanya apakah drama ini genre mata-mata gelap? Genre perisik? Genre perang? Atau sebuah komedi?
Kata bual yang dilafazkan oleh Menteri Pertahanan yang dilakonkan oleh Najib Razak telah bercanggah dengan kata bual Ketua Polis Negara yang dimainkan oleh Norian Mai. Exit point dan entry point yang begitu penting dalam pementasan drama menjadi kelam-kabut.
Suasana ini tambah bercelaru apabila muncul pelakon-pelakon sampingan yang dimainkan oleh wartawan-wartawan akhbar dari dalam dan luar negara.
Rompakan kem askar di Grik dan Banding mengikut istilah filem Peranchis ialah genre policier. Drama genre kepolisan yang cukup suspens ini tiba-tiba berubah menjadi komedi. Ketua perompak yang dimainkan oleh Mohd Amin Mohd Razali yang menggunakan teknik lakonan "method" kelihatan begitu meyakinkan, malah setaraf dengan Robert de Niro atau Marlon Brando.
Tetapi, mungkin kerana salah arahan atau salah menafsir skrip, antagonis utama Mohd Amin yang kebal dan boleh bermandi minyak panas tiba-tiba menjadi "sewel" dan kemudiannya membawa watak Inspektor Jacques Clousseau yang dimainkan oleh Peter Sellers dalam siri Pink Panther .
Peralihan watak dan genre daripada suspens kepada komedi ini berlaku secara mendadak sehingga tidak meyakinkan para penonton dan pembaca di rumah.
Dalam sebuah naratif filem, tidak dibenarkan sama sekali watak berubah dengan serta-merta tanpa sebab dan musabab. Wajib diadakan motivasi untuk peralihan perwatakan sesuatu watak. Jika ini tidak dilakukan, maka penonton akan menjadi kurang yakin dengan lakonan sesuatu watak.
Dari komedi Grik, drama ini kemudian beralih sekali lagi untuk menjadi teater absurd . Ini terjadi apabila lampu dipasang. Penonton dan pembaca kini dapat melihat muka antagonis utama Mohd Amin dengan jelas. Sebelum ini, watak Amin hanya didesas-desuskan bahawa beliau telah berjaya melakonkan watak seorang pegawai tentera.
Absurdisme lakonan dalam drama ini dibantu pula oleh ketrampilan jurusolek. Penonton secara absurd telah dipaksa untuk menerima wajah Mohd Amin, seorang seorang pegawai tentera yang mempunyai misai dan janggut.
Absurdisme memang wujud sebagai genre teater. Leugi Pirandallo seorang pengasas teater absurd dari Itali menekankan yang absurd itu bukan hanya tertumpu kepada persolekan tetapi kepada plot dan jalan cerita. Justeru drama Grik yang kita pentaskan ini mempunyai pola-pola ke absurd an.
Salah satu unsur absurd yang penting ialah kehilangan watak. Di dalam teater Six Characters in Search on An Author tulisan Pirandallo, enam watak sedang berkeliaran mencari seorang pengarah. Teater ini cukup absurd. Biasanya pengarah yang mengarahkan watak - lakonan ini berlaku di sebaliknya.
Ciri absurd seperti ini diselitkan juga dalam drama Grik kita. Ia disampaikan melalui laporan akhbar tentang watak seorang Cina, bukan mencari seorang pengarah tetapi mencari buah durian. Kemudian watak ini ditinggalkan dan ditenggelamkan begitu sahaja. Cukup absurd !
Untuk para intelektual di kota Paris yang begitu obsesif dengan teori, pasti mereka akan berasa kagum dengan kebolehan Malaysia mementaskan drama Grik walaupun dalam kebun durian. Roland Barthes atau Andre Bazin (jika mereka masih hidup) tanpa segan-silu akan mengangkat drama ini sebagai contoh terbaru teater pascamoden.
Ini kerana wujud unsur-unsur yang moden bercampur-baur dengan kuno dalam naratif induk drama ini. " Magic " adalah unsur kuno yang penting dalam penakrifan pascamoden. Bersilat, mandi minyak panas dan menjadi kebal adalah contoh magis yang bercampur-aduk dengan benda-benda moden seperti Pajero, M-16, rokok dan mancis api.
Sebuah filem atau teater tanpa muzik pasti tidak memuaskan hati penonton dan pendengar. Kemunculan lagu Getaran Jiwa nyanyian P. Ramlee yang digunakan untuk meliuk-lintukkan suasana cukup berkesan. Pemilihannya sebagai lagu tema adalah tepat kerana drama Grik ini berakhir dengan tragedi dua kematian.
Sekali lagi genre kepolisan ini beralih menjadi tragik komedi. Siapa yang menulis skrip drama ini hingga ke hari ini masih belum jelas. Seperti dalam teater Six Characters , wajib ada seorang pengarah yang bertanggungjawab terhadap atas dua kematian ini.
Penonton, pendengar dan pembaca di rumah yang terlalai selama seminggu lalu, kini kembali ke alam nyata. Mereka masih bertanya bagaimana Mission: Impossible telah menjadi lawak Three Stooges ?
