malaysiakini logo
story-image
ADS

Al-kesah mengikut kata sahibul hikayat maka muncullah Raja Suran di Bukit Seguntang Mahamiru datang bertemu dengan Wan Empok dan Wan Malini. Maka padi pun berbatangkan tembaga, berdaunkan perak dan berbuahkan emas tanda menyambut kesampaian putera raja keturunan Iskandar Zulkarnain. Cucu-cicit benih Wan Empok dan Wan Malini inilah yang menjadi orang Melayu. Sekian adanya.

Pembaca Sejarah Melayu hari ini tidak perlu menganut fahaman pascamoden untuk menerima kutipan ceritera di atas sebagai sebahagian genre mitos.

Mitos Wan Empok dan Wan Malini dari Bukit Seguntang Mahamiru adalah sebahagian ingatan kolektif manusia Melayu untuk melihat dan merayakan kembali asal-usul keturunan mereka.

Mitos yang mengaitkan keturunan Melayu dengan keturunan Raja Iskandar Zulkarnain bertujuan memperkuatkan dan menghalalkan pemerintah golongan feudal Melayu di Melaka.

Ia sama seperti Maharaja Jepun mendakwa mewakili tuhan di atas bumi atau mitos Ahmad Reza Pahlavi berasal dari Raja Darius yang memerintah Parsi 3000 tahun dahulu.

Mitos diwujudkan dalam suasana budaya dan lanskap politik tertentu. Semua mitos adalah social construction untuk tujuan tertentu. Ada yang bertujuan baik dan tidak kurang juga mitos diwujudkan untuk tujuan jahat.

Bukan kesalahan atau kekolotan untuk mempercayai sesuatu bentuk mitos - jika mitos itu bertujuan merayakan kehidupan. Manusia kuno merayakan seluruh kehidupan mereka berpandukan pelbagai mitos dan legenda.

Hari ini, kemodenan (modernity) telah meretakkan banyak mitos. Ada yang pecah berderai-derai untuk menjadi bahan ketawa. Ada yang masih dipercayai walaupun si penganutnya mengetahui bahawa kepercayaan mereka itu hanyalah mitos.

Kemajuan sains dan kemodenan manusia berjaya memperlihatkan banyak daripada mitos-mitos ini tidak masuk akal dan tidak berdiri dalam alam rasional.

Bagaimanapun, keretakan mitos akibat kemodenan itu tidak pula bermakna manusia ketandusan mitos. Manusia moden juga terus mencipta mitos-mitos baru dalam suasana budaya dan lanskap yang baru.

Untuk manusia Melayu, mitos paling moden yang dicanangkan dalam konteks budaya politik hari ini ialah 'Ketuanan Melayu'.

Kadang-kala mitos yang dianggap sebagai fakta ini timbul terbuka di persidangan separa rasmi. Mitos ini dipungut pula untuk disebarkan melalui media arus perdana berbahasa Melayu.

Sama seperti mitos-mitos kuno, mitos tentang ketuanan Melayu ini sering berjalan secara senyap.

Mitos ketuanan Melayu yang dijual sebagai fakta boleh kita fahami seperti ini: Malaysia asalnya kepunyaan Melayu. Melayu wajib bersatu. Kalau tidak, ketuanan Melayu akan pupus.

Konsep ketuanan Melayu ini amat senang untuk difahami, berbanding mitos-mitos kuno yang mempunyai unsur-unsur misteri, seram dan magis.

Malah jika mitos ketuanan Melayu ini diberi sedikit perhatian, maka akan jelas kelihatan kedangkalan dan lompongnya, hinggakan susah untuk dipercayai lagi.

Konsep mitos ketuanan Melayu itu menjadi bertambah lompong jika mereka sendiri tidak memiliki asas-asas ekonomi dan punca-punca pengeluaran yang boleh mempengaruhi arah dan tujuan budaya politik negara ini.

Memiliki ekonomi bukan bermakna memiliki sebuah warong, satu lot saham amanah Mara atau sebuah Proton Saga. Pemilikan seperti ini adalah pemilikan kepompong. Memiliki kepompong sama sahaja ertinya dengan tidak memiliki apa-apa pun.

Asas ekonomi wajib dijadikan petanda utama ketuanan yang hakiki. Selagi asas-asas ekonomi dan punca-punca pengeluaran ini tidak dimiliki oleh seluruh manusia Melayu, tidak mungkin konsep ketuanan Melayu itu wujud.

Malah segelintir manusia Melayu yang "dihebohkan" sebagai pemilik ekonomi hasil Dasar Ekonomi Baru ini hanyalah cukong-cukong yang menjadi kuda tunggangan kaum pemodal yang lebih besar.

Pemodal yang lebih besar inilah yang sebenarnya memiliki ekonomi dan menjadi tuan di negara ini. Dengan modal yang besar mereka boleh mempengaruhi garis, arah dan mengurus lanskap budaya politik di negara yang sarat dengan ketuanan Melayu ini.

Konsep ketuanan ini juga tidak masuk akal dalam budaya politik majmuk Malaysia hari ini. Jika diterima konsep ketuanan Melayu, pasti ada yang menjadi hamba orang Melayu. Jika ada tuan, sudah pasti ada hamba. Tidak ada tuan, tidak mungkin wujud hamba.

Dalam mitos ketuanan Melayu, siapa pula yang ingin dijadikan hamba - manusia-manusia Cina, India, Kadazan, Murut, Orang Asli, Jakun, Temiar atau siapa?

Juak-juak dari pelbagai parti politik yang mencanangkan mitos ketuanan Melayu ini tidak pula berani menyebarkan mitos ini dengan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Jadi, ada yang berselindung di belakang nasionalisme sempit dan ada yang berselindung di belakang agama dalam usaha mereka untuk menyebarkan mitos ketuanan Melayu ini.

Ada juga kempen menyebar mitos ini dilakukan dengan tersusun secara "gelap". Ada golongan protagonis politik Melayu dari semua parti secara senyap-senyap berbisik-bisik menyebarkan mitos ini.

Ada juga pencanangan yang lebih tersusun terutama untuk anak-anak muda pelajar universiti. Mereka sering dikumpulkan dalam khemah-khemah rasmi atas biayaan kerajaan untuk mendengar mitos ini. Mereka akan ditakut-takutkan bahawa ketuanan Melayu sedang dicabar dan akan pupus.

Mitos ketuanan Melayu sama seperti mitos raja turun dari langit atau raja sebagai wakil tuhan untuk memperkukuhkan sesuatu golongan atau kumpulan.

Mitos ketuanan ini bukan bertujuan merayakan kehidupan orang Melayu tetapi untuk memperkukuhkan segelintir pemodal Melayu.

Manusia Melayu tidak perlu ditakut-takutkan dengan mitos bahawa ketuanan mereka akan pupus. Manusia Melayu seharusnya dihadapkan dengan fakta dan bukan dengan mitos ketuanan Melayu.

Ketuanan Melayu tidak pernah wujud. Ketuanan yang wujud dalam konteks budaya politik hari ini ialah ketuanan pemodal yang memiliki punca-punca pengeluaran negara ini.

Kaum-kaum pemodal inilah yang sedang menjadi tuan untuk menggariskan pembudayaan anak cucu-cicit Wan Empok dan Wan Malini. Lalu ikan di lubuk mati kehausan, padi di huma kuning mengering. Sawah serelong tinggal sekajang dan tergadailah tanah sekangkang kera.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.