malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
KOLUM | Benarkah Munshi Abdullah syaitan? 
ADS

Saya terkejut dan melongo lama setelah membaca tulisan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyamakan seorang Muslim yang baik dan terpelajar seperti Munshi Abdullah dengan syaitan. Beliau menukilkan begini:

Penulis upahan penjajah itu sengaja mengorek cerita negatif yang tidak boleh dihapuskan adanya di mana-mana tempat dalam jumlah yang kecil, tetapi ia dibesar-besarkan. Hal ini demikian kerana, di semua penjuru dunia pasti adanya syaitan, termasuk juga di Makkah yang mempunyai Abu Jahal dan Abu Lahab serta di Mesir yang mempunyai Firaun. Mengapa cerita yang baik dan banyak bersama Islam ditutup? Bahkan, Islam juga diputar belitnya bagi mengelirukan masyarakat.”

Hadi turut memanggil Abdullah, seorang Muslim yang baik dan terpelajar sebagai “khadam penjajah”. Abdul Hadi yang berasal dari Marang, di Terengganu, mengatakan dalam tulisannya:

“…bukunya yang diterbitkan pada zaman penjajah dahulu dalam tulisan Jawi, membawa fikrah yang sama dengan penulisan para orientalis Barat yang merendahkan Islam dan penganutnya, termasuk bangsa Melayu kerana Islam yang dianutinya.”

Pandangan Hadi di atas, terhadap Abdullah, seorang Muslim yang baik dan terpelajar adalah satu ulang-ulangan yang kita, pembaca tegar Munshi Abdullah, akan selalu hadapi musim demi musim. 

Istilah Munshi berasal dari kata Parsi yang bermakna guru dan diberikan oleh masyarakat setempat dan murid-muridnya kepada Abdullah bin Abdul Kadir yang lahir di Melaka pada tahun 1797 dan meninggal dunia pada bulan Oktober 1854. Bapanya adalah seorang yang berpengetahuan iaitu Sheikh Abdul Kadir yang berketurunan India-Arab. Karya-karya beliau yang paling ternama adalah Kisah Pelayaran Abdullah keKelantan (1838), dan Hikayat Abdullah (1849). 

Dorongan untuk memanggil Munshi Abdullah sebagai syaitan meskipun beliau seorang Muslim yang baik dan terpelajar mungkin terhasil oleh ketidakbacaan, ketidakcanggihan dan kejahilan ahli politik uzur dan sangat berusia dari parti PAS itu. Panggilan syaitan terhadap Abdullah, seorang yang telah meninggal dunia beratus tahun lamanya telah ikut disertakan dengan argumen longgar daripada Hadi. Bahawa konon negeri-negeri di Pantai Timur dalam kurun-kurun sebelumnya itu dimusuhi oleh British kerana mengamalkan Islam. 

Dalam buku luar biasanya, Bahawa Ini Kisah Pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir Munshi dari Singapura Sampai ke Kelantan (1838) terbitan Am Mis Press di Singapura, Munshi Abdullah seorang Muslim yang berakhlak dan berilmu merakamkan antara lain pengalaman beliau di negeri Pantai Timur yang dikatakan Islamik itu.

Pertama, di Kampung Raja, Munshi Abdullah seorang Muslim yang berakhlak dan berilmu mengkritik adat yang menghormati kaum bangsawan secara melampau seperti tidak dibenarkan menggunakan payung kuning meskipun di tengah hari buta yang panas. 

Dalam buku itu kritikan Munshi terhadap kelompok feudal Melayu tidak datang daripada rujukan Barat atau Nasrani seperti yang dibayangkan oleh Abdul Hadi, seorang Muslim yang memanggil Muslim lainnya yang telah meninggal dunia lama sebagai ‘syaitan’. Malah, kecaman Munshi Abdullah itu dinyatakan oleh beliau berdasarkan Tajus Salatin, yang menurutnya wajib menjadi rujukan raja Melayu yang ingin berlaku adil terhadap rakyatnya:

Adapun apabila seorang dijadikan Allah ia raja, bukannya sebab hendak memuaskan nafsunya berbini sepuluh dua puluh atau mencari harta dan membunuh orang dengan aniayanya, melainkan sebab disuruh Allah memeliharakan manusia, supaya tiada dianiaya oleh seorang akan seorang; itulah gunanya. Maka sebab itu, patutlah segara raja2 itu menaruh Kitab Taju’s Salatin (ertinya: Mahkota Segala Raja2) dan menilik akan dia pada tiap2 hari dan mencari orang yang tahu dan belajar daripadanya dan menerima segala nasihat orang yang alim supaya boleh Tengku ketahui hal segala raja2 adil dan zalim.”

Kedua, Abdullah mencatatkan gaya hidup masyarakat Terengganu yang menurut beliau tidak Islamik lantaran pengotor, tahi judi, menagih dadah dan berpenyakit; “…dan lagi seperti memakai pakaian yang penuh dengan kotor dan daki, empat lima bulan yang tiada dibasuh kain bajunya, serta dengan bau busuk bajunya, penuh dengan tuma, sambil duduk sambil menindas tuma…”

Abdullah mengeluh orang Melayu tergamak hidup dalam nyamuk dan pelbagai binatang bisa lain termasuk ular dan kerengga. Persekitaran yang menjijikkan itu membuatkan badan lemah dan sakit-sakit.

Ketiga, Abdullah selaku alim yang mementingkan ilmu dan pengetahuan mengkritik masyarakat Terengganu yang hanya menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama untuk pandai membaca al-Quran tetapi mengesampingkan ilmu-ilmu duniawi yang membantu kepada kesejahteraan hidup dan reformasi masyarakat. Terdapat gejala buta huruf meluas di negeri itu berbanding di negeri seperti Melaka tatkala itu.

Bukan tidak ada pujian daripada Munshi Abdullah untuk orang Terengganu waktu itu. Abdullah seorang Muslim yang adil dan budiman memuji seorang Cina yang telah masuk Islam, iaitu Ah Ching Koh (nama Islam Salleh) sebagai berwawasan, dan berjaya kerana menyimpan duit simpanan “20 atau 30 laksa” selain memiliki aset seperti rumah batu.

Membaca petikan-petikan di atas, saya tidak tahu apa yang syaitannya pada Abdullah, seorang Muslim yang canggih dan berpandangan jauh, selain pembersih dan mementingkan kesihatan diri dan persekitaran. Semua aspek diatas adalah menjadi tuntutan Ahlus Sunnah wal Jamaah dan ada banyak riwayat dari Hadis 40 Imam Nawawi yang boleh menyokong kenyataan ini. 

Terlepas dari tuduhan Abdul Hadi Awang bahawa Munshi Abdullah adalah syaitan, adalah lebih baik kita meninjau letak duduknya sosok Munshi Abdullah ini menerusi lensa karyanya sendiri. Ini kerana Munshi sangat membenci hantu syaitan. Misalan apabila anak kepada majikannya dirasuk hantu, Munshi seorang yang beriman dan enggan menggunakan kemahiran syifa dan ruqyah telah mengarang begini:

“Maka tertawalah aku serta kuertikanlah kepada Tuan Milne dengan terangnya akan segala nama-nama hantu syaitan yang dipercayai oleh orang Cina dan Melayu yang bodoh lagi sia-sia, iaitu turun-temurun daripada nenek moyang dahulu kala. Tinggal lagi, sampai sekarang entah beberapa banyak perkaranya itu tiadalah dapat aku bilangkan dan aku uraikan ertinya, melainkan dengan ringkasnya sahaja aku sebutkan, iaitu hantu, syaitan, polong, pontianak, penanggalan, jin, pelesit, mambang, hantu pemburu, hantu rimba, jadi-jadian, hantu bungkus, bota, gergasi, raksasa, nenek kebayan, himbasan, sawan, hantu mati dibunuh, bajang, keteguran, sampukan, pupukan, afrit, jembalang, terkena, ubat guna. 

“Dan lagi, ada beberapa banyak ilmu-ilmu yang tiada aku teringat iaitu seperti gagah dan penunduk, pengasih, kebal, kesaktian, tuju, alimunan dan penderas, perapuh, cuca, pelali, perangsang, dan sebagainya. Entah ada banyak lagi. Maka sekalian yang tersebut itu dipercayai orang, ada dengan gurunya, tempat belajar dan ada pula tukang ubatnya yang tau ini jenis penyakitnya, ini jenisnya ubatnya. Maka adapun sekalian itu yang boleh mengadakan bahaya di atas manusia.”

Tentu sahaja pemikiran Abdullah, seorang Munshi yang terpelajar dan lojik ini berasal dari kefahaman dan kedalaman akidah beliau selaku seorang Muslim. Kata Abdullah lagi:

“Adalah dalam fikiranku orang yang bodoh lagi tiada berilmu ini bahawa sekali-sekala tiada patut orang percaya seperti polong dan penanggalan dan segala perkara yang tersebut itu, karena asalnya pekerjaan itu semuanya terbit daripada hati orang yang tiada beriman kepada Allah dan Rasul, dan lagi tiada pula mengetahui jalan Allah Ta’ala. 

“Maka ia itulah saja yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu yang boleh mengadakan baik dan jahat, maka kita percaya ada pula yang lain yang boleh mendatangkan sesuatu, nescaya adalah pula yang lain daripada Allah. Maka sekalian itu bohong lagi dusta, adanya.”

Mutakhir ini gejala mengkafirkan, dan melabelkan orang lain sebagai Muslim yang tidak sempurna (atau mengiktiraf hanya diri sendiri sahaja terpaling beriman) begitu menjadi-jadi. Bukan sahaja manusia di zaman kontemporari ini menjadi hunjaman kafir dan khadam menerusi amanat tertentu, kadang-kala Muslim seperti kita yang ikut sembahyang dan berpuasa akan disamakan dalam fatwa dengan binatang dan haiwan. Lemparan nista ini dilakukan selamba menerusi minda ceramah dari mimbar. 

Dahulu orang sezaman, nampaknya gejala di atas telah melampaui zaman pula, hatta tokoh sejarah seperti Munshi Abdullah dari zaman lalu yang merupakan guru bangsa sendiri ikut dijadikan sasaran ekstrem untuk dituduh bukan-bukan.

Beberapa ratus tahun lalu, Munshi Abdullah telah melihat ketidakberdayaan Terengganu mencipta tamadun Islam lantaran perangai umatnya yang ketinggalan zaman, taksub dan enggan berubah. Munshi berharap umat pada waktu itu kembali kepada Islam. Terlihat di atas Munshi Abdullah bukanlah syaitan malah seorang mujaddid yang penuh cita-cita madani. 

Harapan beliau adalah orang Melayu Terengganu ketika itu dapat bebas dan merdeka dari penindasan Islam yang bukan Muhammadi. Malang sekali, Hanya kerana sebab itulah Munshi Abdullah selalu dipanggil khadam dan penjilat British oleh mereka yang tidak reti, gagal habis, malas dan jahil membaca karya-karyanya.

Seperti dimaklumi, di usia tuanya Abdullah seorang tokoh yang berilmu, ikhlas dan hebat telah menulis pelbagai karya yang masih dibaca ke hari ini. Karya-karya Abdullah mengajak kepada perubahan dan kemajuan fikiran agar seiring antara kehendak materi dan keberhasilan ukhrawi. 

Lagi, Abdullah, seorang munshi yang baik meninggal dan bersemadi di tanah suci. 

Saya noktahkan rencana ini dengan serangkap pantun;

Dari Rusila hendak ke Mekah,
Menunai haji naik sekoci;
Penawar tuba akal nan lemah,
pertama membaca kedua mengerti.


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen