malaysiakini logo
story-image
ADS

"Itu dulu, zaman hu-ha-hu-ha," kata Abu Yusof apabila kami ingatkan betapa beliau adalah peminat nombor satu M Nasir.

Semasa di luar, Abu pernah menghadiahkan kepada kami satu kaset penuh dengan lagu-lagu kumpulan Kembara yang hanya dinyanyikan oleh penyanyi itu.

Waktu itu Kembara merupakan kumpulan yang dianggotai A Ali, S Sahlan dan M Nasir sendiri.

Abu memilih untuk ke kedai kaset dan merakam hanya lagu Kembara yang dinyanyikan oleh M Nasir. Tidak beliau pedulikan nyanyian S Sahlan ataupun akan lembut beralunnya suara A Ali. Walhal kami begitu mengemari lagu Hentian Puduraya.

Begitulah taasubnya Abu kepada M Nasir pada waktu itu.

Selain itu Abu juga adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan kami kepada hebatnya M Nasir melalui Panorama Jingga dan lagu itu kekal menjadi lagu persahabatan kami.

Gambar hiasan

Sedikit trivia: Abu bukanlah seorang yang gemar menyanyi namun kami berasakan bahawa kami adalah orang pertama yang pernah mendengar beliau berbuat demikian.

Dalam van Delica milik beliau suatu masa dulu, ketika dalam perjalanan menuju ke gerai sate Isabella, Abu menyanyikan lagu Keroncong Untuk Ana bagi merawat rawan hati yang melanda dirinya pada masa tersebut.

Dalam terkejut, kami nikmati saja dengan sepenuh hati akan nyanyian jiwa beliau. Dan kami tahu kejadian Abu bernyanyi tidak akan berulang kembali.

Pada zaman yang kita tidak mahu dikenal sebagai pengemar lagu-lagu Melayu, M Nasir datang dengan suatu bentuk muzik yang tidak dapat kami hindarkan.

(Sebelum dilanjutkan, izinkan kami mengatakan bahawa artikel ini ditulis kerana kami gagal ke konsert Panorama Jingga oleh Kembara baru-baru ini.)

Cita-cita dan perjuangan

Muzik yang beliau hasilkan lain daripada muzik popular pada waktu itu, namun sesuatu yang tidak dapat dielakkan ialah bilamana - secara bawah sedar - kami seolah-olah sudah ‘dekat’ dengan irama berkenaan.

M Nasir seperti remaja yang sudah sedikit dewasa pada waktu itu, justeru boleh difahami jika dia semenangnya dipengaruhi oleh muzik barat.

Yang memikat kami tentu saja lirik dari kumpulan tersebut. Apa yang diperkatakan dalam nyanyian Kembara bertiga orang itu lari jauh daripada kepekatan lagu cinta terhalang yang sedang menguasai keadaan semasa.

Walaupun demikian, sesuatu yang kami perhatikan adalah bagaimana lirik-lirik dari Kembara mempunyai persamaan dengan lirik lagu-lagu yang kami gemari dari kumpulan barat.

Baik dari segi cita-cita mahupun perjuangannya.

Mungkin kerana itu Kembara menjadikan kami cepat mendekat kepada muzik mereka.

Gambar hiasan

Muzik dan lirik kumpulan itu seolah-olah digubah kembali dan diberikan nafas sebelah sini, yakni sebelah yang kita faham dengan lenggok dan ragam yang dekat dengan jiwa kita.

Kerana itu apabila Kembara keluar dengan lagu Hati Emas, kami terus jadi teringat kepada lagu Heart Of Gold nyanyian Neil Young.

Neil Young adalah sebahagian daripada kumpulan pemuzik yang menggelar diri mereka sebagai Crosby, Still, Nash And Young sebelum keluar dari kumpulan tersebut dan bergerak solo.

Dia kemudian dikenali sebagai bapa musik grunge dan kekal sebagai pemuzik gila apabila di pentas kegemaran kami.

Jika kamu menggemari Nirvana, maka kamu wajib mendengar lagu-lagu Neil Young.

"Seniman yang baik ialah seniman yang meniru, dan seniman yang terbaik ialah seniman yang mencuri," kata pelukis terkenal Pablo Picasso.

Itulah yang nampaknya dilakukan oleh kumpulan Kembara.

Kembara dengan jayanya 'mencuri' karya-karya pemuzik masa sebelum mereka dan kemudian mengolahnya sebagai karya sendiri.

M Nasir sendiri suatu masa dulu pernah berkata bahawa Kembara itu sendiri menjadikan trio Crosby, Still And Nash sebagai rujukan semasa ia terbentuk.

Lama sebelum itu, M Nasir sendiri 'mencuri' bait pertama salah satu lagu cinta yang paling agung yang pernah dinyanyikan.

"Bagaimana kan kumula" pada dari lagu Suatu Masa nyanyiannya adalah terjemahan umum kepada kata-kata "Where do i begin" dalam lagu Love Story nyanyian Andy Williams.

Kehandalan M Nasir mengolah kata-kata tersebut harus diberi pujian.

Bermain dengan melankolia

Seperti semua lagu yang M Nasir cipta untuk penyanyi lain, apabila saja beliau sendiri menyanyikan lagu-lagu tersebut, ia menjadi lebih baik daripada nyanyian penyanyi asalnya.

Hampir semua musik olahan M Nasir mempunyai pengaruh dari kumpulan Pink Floyd, dan ia pernah diakui sendiri oleh beliau. Kumpulan itu menjadi sumber rujukan banyak lagu yang ditulisnya.

Lagu Duit boleh dianggap diinspirasi daripada lagu Money oleh kumpulan Pink Floyd. Musik dari album runut bunyi filem Kembara Seniman Jalanan terlalu kuat pengaruh kumpulan tersebut.

Dengarkan lagu Rupa Tanpa Wajah misalnya sebagai perbandingan. Dan juga lagu Kupu Kupu.

Album 1404 Hijrah oleh Kembara yang lebih ramai pula kekal sebagai salah satu album kegemaran kami. Lagu-lagu dari album tersebut sememangnya mewakili kehangatan muzik 1980-an.

Ia kedengaran sangat new wave dan sesiapa yang tidak mahu terjebak dengan kumpulan seperti Duran Duran, Tears For Fears dan sebagainya pada ketika itu akan pergi kepada kumpulan The Police.

The Police digambarkan sebagai sebuah kumpulan post-ska. Muzik mereka yang cenderung kepada irama reggae menjadi pilihan kami pada masa itu.

Lagu Rozita nampaknya terilham daripada lagu Roxanne nyanyian The Police, dan kami tidak akan berganjak daripada mengatakannya biar apa pun dibalas orang.

Kembara pada zaman bertiga adalah kumpulan yang bermain dengan melankolia. Lagu-lagu yang bernada syahdu seperti Impian Seorang Nelayan, Lagu Untuk Seorang Ibu dan Ayahku Dan Angkasawan membuai pendengar untuk duduk dalam bersedih-sedihan tanpa sebab.

Kita yang mendengarnya seolah-olah dilanda rawan, seperti dalam kesakitan, sedangkan apa yang dinyanyikan itu hanya sebuah sketsa untuk keperluan sebuah lagu.

Di situlah terletaknya kelebihan kumpulan itu. Mereka melarikan diri daripada lagu-lagu tentang kesayuan cinta terhalang kepada menangisi kasih sayang orang tua dan seorang nelayan yang tidak pulang setelah keluar mencari rezeki untuk keluarga.

Kemudian datang pula Kembara membeli jiwa para remaja yang kerjanya hanya melepak di gerai-gerai burger tetapi mengimpikan perjalanan hidup yang kononnya dialami oleh Kutu, Empat Penjuru dan tentu sekali Impian Anak Jalanan.

Seolah-olah M Nasir dan kumpulannya menjadi suara kepada kami anak-anak zaman itu. Dan entah di mana benarnya, Kembara adalah kumpulan yang mewakili suara anak lelaki waktu itu.

Era muzik hampir basi

Jangan bohonglah jika ada perempuan yang mengaku meminati lagu-lagu yang memperkatakan masalah sosial dan kekurangan hidup pada zaman tersebut.

Diyakini ada sesetengah peminat menggemari Kembara lebih kerana S Sahlan yang comel, manakala M Nasir kerana gagahnya. A Ali pula dikenang orang kerana kemurahan senyumannya.

Namun begitu, petikan gitar A Ali adalah definisi muzik Melayu dalam Kembara.

Setelah semua itu, M Nasir atau Kembara pada waktu tersebut adalah seperti keropok udang Double Decker.

Pada 1980-an, hanya keropok itu yang ada cita rasa - selain Pringles yang sedikit mahal - untuk memuaskan cita rasa orang banyak. Lalu mahu atau tidak, jika kamu ingin makan keropok, itulah pilihan yang ada.

M Nasir datang sewaktu muzik yang kita ada hampir basi dan beliau memperhangat suasana semasa dengan idea-idea yang segar. Beliau adalah keropok udang yang kami layan sama ada kami suka atau tidak.

Harus diingat bahawa yang sedar akan hal ini ialah remaja-remaja yang sudah bosan dengan dendangan penyanyi tempatan.

Selain Kembara, orang banyak masih kekal berhibur dengan irama-irama asyik patah hati dan asmaradana terpidana daripada penghibur lain.

Setelah M Nasir, tidak ada lagi lagu-lagu yang mewakili gelojak hati remaja yang mahukan kelainan.

Kamu boleh mengatakan bahawa kumpulan Rampa adalah penyambung kepada tradisi tersebut namun entah dimana silapnya, Rampa sehingga hari ini dikenali sebagai kumpulan yang kelakar.

Untuk berlaku adil, sebelum M Nasir sudah ada kumpulan Pee Bees yang menumpukan lagu membawa lirik yang bercerita tentang hidup seharian. Namun kumpulan itu kekal sebagai sebuah grup yang cult.

Pada masa sama, untuk mengharapkan M Nasir kekal marhaen dan bergerak ke mana-mana masih dengan kasut Fung Keong adalah satu jenis kejahilan.

Semua orang melalui proses kehidupan dan M Nasir sedang berada dalam frasa hidup yang lain.

Kita sendiri yang melalui zaman seperti beliau sudah lama meninggalkan hidup yang teragak-agak, dan kini sudah tahu apa yang terpenting antara sekalian hal penting.

Lalu kita kita pun jadi bertenang walaupun tidak menghadiri semua konsert penyanyi berkenaan.

Pada petang ketika menulis artikel ini, seperti selalu, jika kami melukis atau menulis, lagu-lagu dari Kembara itulah yang menghiasi latar belakang suasana.

Dan seperti keropok udang Double Decker, suasana ini membawa kami kembali ke tahun-tahun 1980-an. Ia merupakan kumpulan tahun yang - seperti kata Abu - penuh dengan hu-ha-hu-ha.

Mahukah kami kembali ke tahun-tahun tersebut? Walaupun ia adalah tahun-tahun yang penuh dengan kemanisan cinta, kami sudah lama beralih ke realiti hidup.

Tidak mungkin kami mahu mengulangi kesesatan suatu zaman yang digelar remaja.


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan sesekali cuba menjadi penulis lirik yang kelakar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen