malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya adalah pempamer dengan dua buah reruai kecil–bernombor 215 dan 216–di belakang pentas utama di tingkat dua. 

Jumlah kehadiran di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 ke-39 melepasi sasaran penganjur dengan lebih 1.3 juta pengunjung direkodkan sepanjang 10 hari.

Dikatakan oleh penganjur, sejumlah 1,363,757 pengunjung menghadiri PBAKL sejak 3 Jun sehingga jam 4 petang hari terakhir.

Jumlah ini jauh melepasi sasaran awal penganjur yang menjangkakan kehadiran sekitar 700,000 hingga sejuta pengunjung.

Pesta buku terbesar di Malaysia ini turut mendapat sambutan hangat di media sosial apabila tanda pagar #pbakl2022 di TikTok merekodkan lebih 13.6 juta tontonan.

Sejak pandemik Covid-19 melanda antara industri yang terjejas teruk adalah industri buku. Sebelum pandemik, boleh dikatakan jualan buku walaupun tidak seperti masa gemilangnya, masih menjadi perolehan terbesar syarikat penerbitan dan penulis.

Apabila pandemik melanda dengan sekatan yang menyusul kemudian, banyak kedai buku gulung tikar. Kilang cetak ditutup dan syarikat penerbitan perit berjuang mengurangkan kos yang meningkat. Ada penerbit terpaksa memberi cuti tanpa gaji dan terpaksa memberhentikan pekerja.

Sewaktu tempoh yang kelam kabut itu, tanpa disangka, jualan dalam talian melonjak dengan tiba-tiba sehingga membawa sinar harapan untuk industri buku. 

Jualan dalam talian luar biasa rancak dan mencanak. Penjual berlumba-lumba menggunakan platform media sosial untuk mempromosi buku. 

Buku-buku baharu kembali diterbitkan dan syarikat penerbitan kembali menugaskan pekerja baharu. Ternyata buku dan ringgit yang banyak bertukar tangan.

PBAKL terasa begitu luasr biasa. Kita melihat sambutan masyarakat sangat hebat dan di luar dugaan. Bayangkanlah pada hari Sabtu dari awal pagi kawasan sekitar Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sesak dengan orang dan kenderaan.

Saya sebagai pempamer terpegun melihat manusia yang ramai sekali. Ulat buku menyerbu WTCKL. Ada pengunjung masuk ke dewan pameran mengusung beg pakaian untuk mengisi buku yang bakal diborong. 

Pencinta dan peminat komik, novel cinta, novel remaja, novel sastera, antologi cerpen, biografi, autobiografi dan buku ilmiah  berada di setiap sudut.

Dalam keasyikan membelek pelbagai genre buku dan mengangkat kepala menoleh ke arah orang ramai, tidak nampak koridor atau ruang kosong lagi. Kawasan pameran menjadi lautan manusia.

Rakyat memang suka pesta

Musim cuti sekolah mendorong pengunjung membanjiri pesta ini. PBAKL jadi syurga dunia kepada pencinta buku.

Sambutan hangat membuktikan industri buku tidak mati dan tidak pupus. Lebih-lebih lagi rakyat memang suka meraikan sesuatu yang dinamakan pesta.

Mungkin pesta buku selama boleh berlangsung sebulan kerana tempoh seminggu dirasa terlalu singkat dan cepat.

Sebagai pempamer saya memberi maklum balas kepada penganjur, pembesar suara dari pentas utama memekakkan telinga. Penganjur mesti menyemak tahap desibel bunyi setiap hari. Ini pesta buku antarabangsa dan mesti ada kawalan kualiti untuk tahap bunyi. 

Saya sebagai pempamer tidak gembira dengan suasana yang terlalu bising dan pencemaran bunyi ini. Apalagi saya duduk di belakang pentas utama yang asyik ada persembahan menyanyi, bukan membaca atau bersajak.

Apatah lagi yang menyanyi kuat seakan di kenduri kahwin.

Banyak pempamer ingin menghebahkan slot dan memancing perhatian pengunjung. Malangnya tanpa sedar pempamer yang besar dan berprestij telah mencabul hak kami yang sama menyewa.

Pempamer berlumba-lumba menguatkan bunyi sistem PA untuk menarik perhatian hadirin. 

Mahu pasang muzik lembut, silakan untuk penghayatan. Namun jangan samakan pesta buku dengan pasar malam atau fun fair. Semua aktiviti yang melampaui batas mesti dihentikan.

Biarkan pembaca menilik, membelek, meneliti buku dengan tenang. Itu sebaiknya. Mungkin pihak PBAKL ada solusi kerana kebisingan akan menyukarkan pengunjung dan suasana tidak seronok lagi.

Kebanyakan pengunjung mahu suasana tenang untuk memilih buku dan mengunjung reruai. Bunyi yang kuat menganggu konsentrasi.

Kemudian saya terdengar bacaan  al-Quran beralun dengan agak kuat juga. Ini kurang sesuai kerana pada masa yang sama ada reruai memasang lagu dan memekak. 

Saya melihat anak-anak sudah penat dan tidak bermaya untuk terus melawat dari satu reruai ke reruai lain. Ramai duduk dan berbaring di kaki-kaki lima setiap tingkat. Kekalutan dan kebisingan menambahkan mood kurang senang dan kurang selesa terutamanya orang tua.

Saya bertemu dua hadirin OKU yang duduk di kerusi roda. Badannya berpeluh dek hiruk-pikuk bising. Saya juga sebagai OKU terpaksa bersembang dengan pembeli dengan cara berteriak kerana suasana bising.

Bagaimanapun, di sebalik semua ini, keadaan ekonomi semakin sihat untuk industri berkembang semula. 

Buku tetap akan wujud dan tidak mati.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 20 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen