malaysiakini logo
story-image
ADS

KOLUM | Pengistiharan darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP) memaksa segala-galanya. Muhyiddin Yassin terpaksa memberi nasihat sebegitu kepada Yang di-Pertuan Agong. Lanjutan daripada itu pengistiharan darurat dikuatkuasakan dan memaksa orang ramai patuh kepada norma yang lebih baru.

Termasuk untuk saya pulang semula ke Perak. Hujan emas di negeri Melaka, lebih baik hujan batu di negeri Perak.

Petang hujung minggu itu, kami bersiap-siap mengemas barangan dan memuatkannya ke dalam kereta. Tiada ghanimah. Hanya buku-buku dan baju pembalut tubuh kering. Malah kami tidak sempat memberi salam permisi. Hanya lambaian kepada pak guard yang setia menunggu di pondok keselamatan.

Waktu pada ketika itu jam 11 malam. Kami melepasi garisan sempadan Selangor - Perak. Deretan kereta di lebuh raya mengejar waktu dan lokasi. Garis sudah dicipta untuk memisah-misahkan kita atas nama politik dan pentadbiran. Ia juga merupakan garis yang membataskan orang terjajah fikirannya.

Sekurang-kurangnya di Perak, saya lebih bebas bergerak. Di Melaka, pergerakan hanya dibenarkan dalam lingkungan 10km radius.

Darurat adalah pengisytiharan yang bersalut hujah perubatan, keselamatan dan agama yang sempit. Lalu diminta para alim ulama menadah tangan memohon keringanan beban penyakit ini. Dosanya sendiri menutup hijab langit.

Rakyat jelata diharap bersabar. Para petugas barisan hadapan perlu berkorban lagi. Peniaga-peniaga - walaupun akan berdepan keperitan yang dahsyat - diminta memahami situasi.

Taat tanpa soal

Inilah waktu untuk membunuh gerakan politik yang berpotensi menghakis kuasa kerajaan. Kerajaan yang dibidankan melalui pintu belakang. Lahir bersama tipu muslihat dan khianat memang tidak akan pernah tenang dan aman sejak hari pertamanya. Setiap harinya adalah hari ia dikejar bayang-bayang sendiri.

Darurat ini tidak lain hanyalah untuk menyekat kerajaan PN daripada jatuh. Covid-19 - seperti halnya dengan hujah agama - hanya diperguna untuk mendapat ketaatan tanpa boleh disoal.

Hakikatnya, kerajaan PN sedang membilang hari menanti saat tersembam ke bumi. Darurat ini sekadar usaha melengahkan sedikit saat itu.

Daripada sembilan kali darurat di negara ini, hanya satu yang tiada kaitan terus dengan politik. Maknanya hampir kesemua pengistiharan darurat di negara kita adalah satu bentuk reaksi kepada tindakan politik semasa.

Hanya warga yang bijak dapat memisahkan antara seribu kekaburan yang wujud. Oleh itu, tugas kita paling utama ialah memberi pencerahan asas kepada bagaimana sistem negara ini berfungsi.

Di bawah darurat ini badan eksekutif dan kehakiman terus berfungsi. Hanya badan parlimen yang tergantung sehingga Ogos ini. Mengapa parlimen sahaja yang digantung? Di situ sahaja sudah memadai untuk memahami jawapan di sebalik pengistiharan ini.

Tugas kedua kita adalah mencerdaskan fikiran warga agar tidak dibantutkan pemikiran mereka dengan dogma daripada sang penguasa. Berikan lorong, cerahkan laluan untuk kita semua berhadapan masalah sebenar tanah air kita. Jangan takut untuk menyuarakan rasa hati.

Tugas ketiga yang juga sangat penting semasa darurat ini ialah mewujudkan sebanyak mungkin rangkaian kenalan melalui media sosial. Jangan jadi kera sumbang atau singa yang sombong. Berkawan, bersahabat dan berukhwah hatta dengan lawan.

Kekalkan hubungan yang ada dengan rakan-rakan dalam PAS yang faham makna ukhwah. Begitu juga rakan-rakan dalam Bersatu dan Umno. Kukuhkah hubungan dengan DAP dan PKR.

Hasrat untuk mewujudkan grand coalition (gabungan besar) tidak terbantut oleh masalah darurat. Bahkan ia adalah kesempatan terbaik untuk PH mencari pendekatan yang lebih bijak.

Ia juga memerlukan jiwa besar dalam diri kepimpinan politik barisan pembangkang untuk mewujudkan persefahaman jitu.

Perkukuh kedudukan

Kerajaan PN akan dirakam sejarahnya sebagai sebuah kerajaan berpenyakit, sakit dan menyakiti. Ia akan dicatat dalam ingatan rakyat sepanjang zaman.

Pengistiharan darurat pertama di negara kita ialah pada 1948. Ia dibuat bagi menyekat kemaraan golongan kiri terhadap Inggeris sebagai kuasa penjajah yang mendapat dukungan aristokrat Melayu.

Lebih kurang 30,000 orang disumbat ke dalam tahanan tanpa bicara.

Darurat kedua sewaktu konfrontasi dengan negara jiran yang nekad menghantar tentera berpayung di Johor. Indonesia menentang pembentukan persekutuan Malaysia. Perisytiharan ‘Ganyang Malaysia’ oleh Sukarno memanaskan lagi hubungan antara bangsa serumpun.

Darurat ketiga muncul sewaktu krisis politik antara kerajaan Sarawak dengan Persekutuan yang menyaksikan pemecatan ketua menteri pertama Sarawak Stephen Kalong Ningkan.

Keempat, darurat diistiharkan kerana krisis perkauman yang tercetus selepas pilihan raya umum 1969.

Memang sejarah selepas darurat, kerajaan yang memerintah memiliki kelebihan bagi memperkukuh kedudukan mereka. Atas penderitaan dan kesukaran rakyat menanggung darurat, parti pemerintah memiliki pentas yang lebih selesa untuk menekan rakyat secara sah.

Semua pengistiharan darurat dibuat sewaktu kerajaan memiliki kuasa politik yang kuat kecuali ketika 13 Mei 1969. Pada masa itu Perikatan hampir kalah di Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Darurat itu adalah untuk menyelamatkan Perikatan daripada terus ditolak rakyat.

Oleh itu langkah paling drastik ialah melantik Abdul Razak Hussein sebagai pengerusi Majlis Gerakan Negara (Mageran). Tunku Abdul Rahman Putra sebagai perdana menteri mengambil sikap berkecuali dan menyerahkan kuasanya kepada Mageran.

Darurat seterusnya juga dikaitkan dengan krisis politik di Kelantan. Ekoran itu, kerajaan PAS di Kelantan jatuh dan BN/Umno mengambil alih pemerintahan.

Darurat yang seterusnya ialah ketika menghadapi masalah jerebu tebal pada 1997, 2005 dan 2013. Itupun hanya negeri-negeri tertentu yang terkesan terus dengan masalah jerebu.

Kesemua darurat tersebut adalah semasa Tunku Abdul Rahman, Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak menjadi perdana menteri. Di bawah pemerintahan Muhyiddin, darurat diistiharkan sebanyak tiga kali dalam tempoh tidak sampai setahun.

Alang-alang Melayu berkuasa, kuasanya memang terserlah sungguh. Kesemua darurat tersebut mempunyai kaitan dengan politik dan kesan politik.

Sepanjang darurat itu, saya kembali ke kampung halaman. Mencari dan mengkaji identiti diri bagi mengumpulkan kekuatan baru. Terima kasih Melaka kerana meminjamkan keramat sejarah yang ditinggalkan.

Pantun Dr Burhanuddin al-Helmy tetap tersemat dalam jiwa ini.

Di atas runtuhan kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka;
Bersatul paduah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.

Ayuh jiwa yang merdeka, bangun. Tiada masa bergundah-gulana dan meratap hiba. Hanya nyalaan api akan membakar semangat melawan kerajaan ini.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penulis esei dan buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen