malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

"Kalau dia tak sibuk menjarah Tabung Haji, tak jual semua harta, kita bukan marah pun siapa yang memerintah. Ini tidak... dia sibuk dengan hal kita, sampai hal agama kita pun dia nak sibuk."

Menurut pendapat yang popular, punca Pakatan Harapan (PH) jatuh adalah kerana sifat rasis yang sangat terang pada ahli politik DAP yang kononnya menjadi sebahagian besar daripada kerajaan yang baru tumbang itu.

Justeru dengan pandangan sebegitu orang Melayu berasakan bahawa mereka seperti terpaksa mengemis di negara sendiri. Semuanya - bagi mereka - kerana DAP.

Untuk rekod, orang Melayu memang dari mula merdeka, itulah kerjanya, iaitu mengadu nasib malang sendiri dan - tanpa berbuat apa-apa - mengharapkan diberi imbuhan untuk menyelamatkan mereka.

Tanah yang mereka warisi ini terpaksa diberikan kepada kumpulan manusia yang selamanya akan dipandang sebagai pendatang.

Tidak kiralah jika makmurnya negara ini adalah hasil daripada kerjasama semua pihak yang ada di dalamnya, namun apabila keutamaan dalam mendapat hak diperkatakan, Melayulah - pada pandangan mereka - yang wajib diutamakan.

Jadi setelah enam puluh tahun memerintah, tiba-tiba segala keistimewaan itu - pada pandangan mereka - telah dirampas. Justeru semestinyalah mereka berhak berasa dikecewakan.

Tidaklah dipeduli akan mereka betapa selama ini Melayu itu telah digula-gulakan dengan lagu hak istimewa, tanah ibunda dan menjadi hak milik bumiputra segala apa yang ada di langit dan di dalam bumi negara ini.

Tak malu walau sedikit

Segala kemanisan habuan yang mereka kecapi kerana menyokong sebuah pemerintahan dianggap sebagai hak mutlak yang wajib dipertahankan dan pantang sama sekali disentuh oleh sesiapa.

Memang begitulah, apa saja hal yang jika diulang-ulang, akhirnya akan menjadi benar walau dari mana pun datangnya atau berapa tebal pun pembohongannya.

Maka suatu ketika dulu apa yang diulang-ulang oleh sesetengah Melayu sejurus setelah kerajaan PH menduduki Putrajaya ialah kononnya negara ini telah jatuh ketangan Cina.

Tidak ada rasa malu sedikit pun pada pihak yang menyalakan api permusuhan itu, kerana mereka hanya mahu segera kembali berkuasa dan mengetepikan PH.

Lalu sedikit demi sedikit orang banyak mulai 'terbeli' dengan lagu yang didendangkan, iaitu semua anggota kerajaan pada waktu itu mempunyai satu niat saja - bekerja untuk menjadikan negara ini milik orang Cina.

Kerana itu apabila terbentuknya saja kerajaan hari ini  - yang semua orang tahu adalah gabungan bekas pemimpin zaman 60 tahun sudah dan semua orang juga tahu bagaimana cara mereka mentadbir negara sebelum ini - segala dosa mereka diampunkan.

Puncanya, kerana mereka Melayu.

Apa yang penting - bagi mereka - ialah negara ini kembali kepada 'tuannya'. Dan mereka sebagai tuan, kita harus persetankan apa saja yang akan dilakukan selagi negara ini masih milik 'orang Melayu'.

Kerana mereka yakin, selagi namanya Melayu, kita akan sentiasa berada di bawah lindungan Tuhan.

Mungkin kesilapan kerajaan yang baru jatuh itu ialah mereka terlalu berkeras dalam melaksanakan apa yang mereka anggap sebagai ketelusan. Malangnya mereka tidak tahu, perjuangan untuk mewujudkan negara yang lebih telus sebenarnya sudah gagal sebaik saja mereka menang pilihan raya umum yang lalu.

Hal itu adalah kerana, penyokong mereka - yang kononnya mahukan pembaharuan dalam sistem kerajaan - tidak berupaya untuk segera menukar mentaliti masing-masing bagi menerima pembaharuan yang diingini.

Jarah, bahagi sesama sendiri

Mereka masih selesa untuk menerima imbuhan daripada apa saja jasa yang mereka rasa sudah berikan. Dalam hal ini, setelah memenangkan PH, penyokong mereka kecewa apabila habuan yang mereka terima bukan seperti yang diharapkan.

Yang paling lekeh daripada segala lekeh tentu saja mereka yang terpekik-pekik sebaik saja peraturan larangan merokok di kebanyakan kawasan dilaksanakan.

Kumpulan itu menjadi seperti si Jebat yang berasa dikhianati. Mengamuklah mereka mabuk darah. Hari ini segala amukam mereka dirasakan berbaloi kerana kerajaan PH yang 'mengkhianati' mereka sudah jatuh.

Hal-hal yang kecil segera diperbesarkan. Pada masa sama kita semua enggan berusaha memahami dan melihat hal itu melalui gambaran yang lebih besar.

Rela kita semua kembali kepada satu kumpulan manusia yang kerjanya tidak lain cuma menjarah harta negara untuk dibahagi-bahagikan sesama mereka.

Jika masih ada yang tersisa - selepas mereka menjarahnya - maka itulah yang akan ditabur kepada kita semua sebagai membalas budi baik kita memilih mereka kembali berkuasa.

Malaya akan selamanya menjadi satu negara yang penduduknya sentiasa curiga antara satu sama lain, kerana mereka yang di atas itu sibuk memainkan sentimen bangsa.

Kita semua menjadi pandir yang senang dilaga-lagakan kerana kita hanya mengharapkan kesenangan hidup sendiri melalui anugerah pemerintah tanpa mahu memikirkan hak dan kesaksamaan.

Syabas kepada seluruh penduduk Malaya kerana kita telah kembali kepada 'keselesaan'.

Kata-kata pada awal tulisan ini datang dari mulut seorang peladang durian dari Lenggong, Perak, yang kami lupa namanya.

Ia suatu pernyataan yang membawa maksud, kita rela sesiapa saja yang memerintah negara ini selagi mereka tahu siapa 'tuan' di tanah ini.

Selangkah mereka cuba untuk mengambil hak kita, maka kepala mereka adalah gantiannya.


ABDULLAHJONES ialah pemerhati politik yang bebas daripada apa juga pengaruh kepartaian dan tidak pernah peduli apa pun pandangan orang terhadapnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen