malaysiakini logo
story-image
ADS

Semasa berkarya, saya cuba untuk tidak menghasilkan karya (yang melanggar nilai-nilai Islam) menaikan syahwat, misalnya 

- Raja Shahriman Raja Aziddin.

Tidak seperti Indonesia yang majoriti penduduknya adalah Muslim, kita di Malaya ini masih memperbahaskan sama ada karya-karya arca termasuk dalam kegiatan membuat patung seperti yang dilarang agama atau tidak.

Kerana itu para pengarca kita selalu berhati-hati menghasilkan karya masing-masing.

Tidak kurang juga pengarca yang hanya tertumpu menghasilkan karya arca yang berbentuk abstrak demi mengelakkan diri daripada terjatuh dalam polemik mencipta patung yang dilarang agama.

Melalui pameran bertajuk Lok, Raja Shahriman sendiri tidak dapat lari daripada hal itu.

Dalam siri bual seni yang dianjurkan sempena pamerannya, persoalan sama da karya beliau jatuh dalam kumpulan patung yang dilarang atau tidak, menjadi topik utama.

Bilah-bilah keris

Semua 99 arca Raja Shahrimah yang sedang dipamerkan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, adalah berbentuk tubuh manusia yang berkepalakan keris.

Pengumpul karya seni terkenal, Pakharuddin Sulaiman, menyifatkan karya-karya terbaru Raja Shahriman sebagai usaha untuk keluar dari polemik membina patung seperti yang dilarang oleh Islam.

Memurut beliau lagi, walaupun kesemua karya dalam pameran Lok pada dasarnya berbentuk manusia, Raja Shahriman ‘terselamat’ daripada dituntut ‘memberi nyawa’ kepada kesemua hasil kerja beliau.

Hal itu kerana patung-patung berkenaan hanya dibina berbentuk manusia dari bahu hingga ke pinggang, manakala kepalanya pula ada bilah-bilah keris.

"Mustahil untuk mengatakan bahawa karya-karya beliau menyerupai manusia," tambah beliau.

Pengarah filem, U-Wei Saari pula mengambil jalan selamat apabila membaca kesemua karya Raja Shahriman - sama ada dari kumpulan dalam pameran Lok mahupun pameran yang lepas - sebagai karya abstrak.

Kenyataan U-Wei itu sebenarnya terbuka untuk diperbahaskan namun seperti dikatakan, pentafsiran satu-satu karya bergantung kepada mereka yang melihat.

Dengan begitu, ianya akan membuatkan sesuatu karya itu mempunyai pelbagai 'kehidupan' dan ini perlu diraikan.

Atas semangat meraikan kebebasan mentafsir karya, maka kami pula berpendapat bahawa Raja Shahriman tidak terlepas daripada tanggungjawab seperti yang beliau katakan, iaitu tidak mahu karyanya menjadi beban yang mesti digalas di kemudian hari.

Karya-karya dalam siri Lok itu sangat sensual dan erotis sekali - kalau dari pemerhatian kami. Seniman Azizan Paiman juga bersetuju dengan pentafsiran ini.

Lihat saja bagaimana tubuh lelaki yang digayakan dengan teramat segak dan sasa ketika kepala semua tubuh itu diganti dengan bilah keris.

Apakah lagi yang lebih erotis daripada batang tubuh yang melentik-lentik dengan senjata terhunus?

Kemasan dalam semua karya yang dipamerkan berada di tahap yang tersendiri, dan ini juga menjadikannya sesuatu yang menggiurkan.

Raja Shahriman ialah si pandai besi, dan semua orang setuju bahawa di tangan Raja Shahriman besi memang 'mengikut kata' beliau. 

Seperti yang dkatakannya, besi menjadi taat kepada kehendak beliau dan keasyikan melihat karya-karya itu boleh menyebabkan datangnya suatu jenis ghairah yang tidak dapat dijelaskan.

Ini adalah ‘dosa’ yang perlu ditanggung oleh Raja Shahriman setelah menghasilkan satu kumpulan karya yang begitu hebat.

Tahniah kami ucapkan kepada beliau.

Pameran Lok sedang berlangsung di Balai Seni Negara.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pemerhati dunia catan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen