malaysiakini logo
story-image
ADS

Heboh. Heboh. Heboh. Heboh tentang undi percaya kepada Dr Mahathir Mohamad. Heboh tentang undi tidak percaya kepada Mahathir. Heboh bila Mahathir nak berhenti daripada jadi PM. Heboh tentang janji Mahathir.

Mari kita bertenang. Mari kita fahami apa makna berita-berita heboh yang kita baca ini. Apa makna dan apa di belakang pelbagai berita menular yang muncul dari mulut Haji Desas dan Lebai Desus. Apa makna semua ini.

Justeru saya tidak dapat menepis, lalu mewajibkan diri untuk memberi pencerahan. Maka saya menangguhkan perbincangan tentang maruah Bani Melayu. Amin.

Begini: Dunia mengetahui bahawa wilayah Timur Tengah terus bergelora. Kacau bilau berterusan. Perang sambung-menyambung. Warga Arab tidak pernah duduk dengan aman damai. Ramai warga Arab lari lintang-pukang meninggalkan tanah air. Lepas satu, satu pemimpin dan negara Arab digodam. Apa sabenaranya semua ini?

Hakikatnya, apa yang berlaku di Timur Tengah adalah manifestasi daripada satu pekara. Hanya satu pekara. Satu pekara yang bernama Israel.

Pekara ini bermula pada 15 Mei 1948 apabila kuasa imperial Anglo- Amerika mewujudkan Isreal. Semenjak 1948 bumi Arab terus bergolak. Pergolakan itu adalah manifestasi daripada kewujudan Israel.

Apa pula sangkut-pautnya Isreal dan Arab dengan heboh-heboh undi percaya kepada Mahathir?

Begini: Heboh-heboh undi percaya kepada Mahathir, pergaduhan dalam PKR, menteri saman menteri, setpol pukul rakan sepejabat, ahli parti kena buang – semua ini hanyalah manifestasi daripada satu pekara.

Pelik dan memelikkan

Kalau kacau-bilau dan perang berterusan di Timur Tengah disebabkan oleh keberahian Israel untuk menakluk bumi Arab, maka kacau-bilau dan huru-hara yang berlaku - dan yang akan terjadi - di Malaysia hari ini hanya kerana satu pekara. Satu pekara sahaja.

Pekara itu ialah keberahian Anwar Ibrahim hendak jadi perdana menteri. Huru-hara dan heboh politik terkini adalah manifestasi daripada keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri. Khalas.

Untuk memahami lebih mendalam, mari kita tengok dan kaji satu persatu manifestasi ini. Yang paling terkini ialah langkah PAS untuk menganjurkan undi percaya kepada Mahathir iaitu perdana menteri ketika ini.

Undi percaya kepada Mahahir ini sekali imbas dilihat sebagai lawak. Malah Mahathir sendiri berkata, dia masih menjawat jawatan perdana menteri dan tak perlukan undi percaya.

Tetapi PAS - daripada kenyataan rasminya - masih ingin meneruskn pengundian berkenaan.

Sama ada Speaker Dewan Rakyat pada bulan Mac ini akan meluluskan agenda pembangkang mendahului agenda kerajaan atau tidak, ia adalah satu persoalan lain. Yang pasti heboh telah muncul.

Undi percaya ini pelik. Pelik dan memelikkan. Apa perlu ianya dilakukan?

Ketahuilah bahawa undi percaya kepada si Mahathir itu bermakna undi tidak percaya kepada si Anwar. Percaya dengan Mahathir bermakna tidak percaya dengan Anwar. Khalas.

Ini gaya permainan politik dan strategi PAS. Parti itu amat jelas tidak mahu Malaysia dipimpin oleh Anwar. Pada pandangan PAS, si Anwar itu tidak layak kerana memiliki keberahian seksual dengan lelaki. Ajaran Islam menolak keberahian sedemikian. Amin.

Awas dan waspada walaupun parti itu melaung-laungkan Islam, PAS masih lagi sebuah parti politik. Parti itu berminat untuk mendapatkan kuasa. Dan PAS sedang berkuasa di Kelantan dan Terengganu.

Daripada kuasa akan muncul kekayaan. Daripada kekayan boleh memiliki kereta Mercedes atau Audi. Sesudah memiliki Mercedes atau Audi, boleh hadiahkan kepada bini muda, atau berkemungkinan berbini lagi.

SD demi SD

Hakikatnya PAS pun sama sahaja dengan parti kafir dalam hal berpolitik dan bersyahwat. Kah kah kah.

Berapa minggu kebelakang ini kita terbaca tentang SD – statutory declaration atau akuan bersumpah. Saban hari kita membaca, berbual dan mendengar tentang SD. Tak habis-habis laporan berita tentang SD. Dari media cetak, ke TV dan melalui portal, SD muncul sebagai induk berita.

Akhbar melapor jumlah SD. Media melapor siapa yang enggan menandatangani SD. Heboh bagai nak rak dengan SD.

Dalam budaya politik Malaysia, SD ini bukan sesuatu yang baru. Awal-awal dulu kita mengenal SD melalui kes pembunuhan Altantuya. PI Bala membuat SD untuk mengakui bahawa Najib Razak mengenali Altantutya.

Kemudian kita baca SD daripada Yusoff Rawther yang mengakui bahawa Anwar cuba mencabul dirinya. Dari SD Yusoff kita dapat tahu bahawa wujud tangga berpusing di rumah Anwar di Bukit Gasing.

Ooopps! Maaf, silap… di Bukit Segambut.

Kini dilaporkan isi SD itu bertujuan untuk menyatakan sokongan kepada Mahathir. Untuk Mahathir duduk di kerusi PM hingga berakhir penggal parlimen ke-14.

Pelik lagi memelikkan. Kenapa Mahathir perlu menerima sokongan melalui SD? Apa perlunya Mahathir disokong? Apakah Mahathir perlu disokong kerana ada ramai YB merancang untuk menjatuhkan Mahathir dari kerusi perdana menteri?

Belek punya belek, kaji punya selidik, kita bertemu jawapan. Bahawa SD ini juga adalah manifestasi daripada keberahian Anwar hendak menjadi perdana menteri.

Sila jelaskan?

Begini: Pada 18 Julai 2019 akhbar The Star melaporkan bahawa Anwar memiliki cukup sokongan ahli parlimen untuk membolehkan dirinya dinobatkan sebagai perdana menteri. Pada 3 Nov 2019 sekali lagi akhbar yang sama melaporkan tentang sokongan majoriti para YB kepada Anwar.

Apabila berita itu muncul, pastilah PAS menggelabah. YB Takiyuddin Setiausaha Agung PAS pernah berkata ketika pilihan raya kecil di Port Dickson bahawa Anwar ialah bekas banduan.

Malah YB Taki mempertikaikan sama ada sah atau tidak pengampunan Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong. Ini ketika dia berceramah berkempen menentang calon yang bernama Anwar.

“I have the number… I have the numbers..." menjadi mantera Anwar. Mantra itu menjadi bahan ratib oleh para peminat, penyokong dan pelabur dalam Bursa Saham Anwar Ibrahim.

Mantera itu mengerunkan bukan saja PAS tetapi juga para para YB dalam PKR. Sayugia diingatkan, Anwar itu menjadi presiden PKR dengan cara menang tanpa bertanding.

Dalam pemilihan PKR yang terakhir, majoriti pemimpin yang menang adalah dari garis yang dikenali sebagai "Kartel".

Manifestasi dari rasa berahi

Kartel itu bukan pengedar dadah seperti di Colombia. Kartel dalam politik Malaysia ialah garis politik yang tidak berminat dan tidak menyokong Anwar. Garis Kartel itu menyokong gedebe yang bernama Azmin Ali – susuk nombor dua sesudah Anwar dalam hierarki PKR.

Parti PAS jadi gerun. Garis Kartel jadi gerun. Fikir punya fikir, maka keluar pendapat yang rasional: Cakap saja tak guna. Lebih baik bercakap dengan tanda bukti.

Maka dijalankan pungutan suara dalam kalangan YB. Ditanyakan para YB sama ada mereka menyokong Anwar atau menyokong Mahathir.

Abracadabra! Sin Salabin! Tetiba jin datang membawa SD. Jika sokong Mahathir sila tandatangani.

Justeru berita tentang SD, tentang jumlah SD yang telah ditandatangani itu adalah juga manifestasi daripada keberahian Anwar untuk menjadi perdana menteri. Amin.

Awas – dalam PKR, Anwar masih memiliki sokongan tapi bukan lagi untuk keseluruhan parti. Parti Bersatu 100 peratus menyokong Mahathir. Garis DAP dan garis Amanah - hanya Guru Nanak yang tahu.

Mustahil Amanah tidak menyokong Mahathir. Mustahil DAP tidak menyokong Mahathir. Kalau mereka bersama maka ini akan mengecewakan Anwar.

Kerana dari tahun lalu lagi Anwar telah berdendang dengan lagu Kerajaan Baru Tanpa Dap dan Amanah. Ini taktik perang saraf Anwar. Hakikatnya SD ini tidak akan meminggirkan sokongan sesiapa. Semua dijemput. Ahlan wa sahlan.

Jeng jeng jeng. Dari itu mencelah masuk pula Hishammuddin Hussein. Dari situ mencelah masuk Zahid Hamidi. Mereka itu adalah gedebe dari United Malays National Organisation.

Dari Haji Desas dan Lebai Desus kita dengar bahawa para gedebe itu boleh mendapatkan para YB dari parti Ketuanan Melayu untuk menandatangani SD yang sedia ada.

Hisham dan Zahid dalam politik negara ini bukanlah susuk ‘kosher’. Hisham bekas Menteri Pertahanan yang masih berkelintau dengan beberapa ekor helikopter yang telah dibayar beratus juta ringgit tapi terbang tersalah radar hingga hari ini tak sampai-sampai ke Malaysia.

Manakala Zahid si presiden United Malaya National Organisation sedang berhadapan dengan puluhan kes mahkamah. Zahid didakwa mengikut undang-undang AMLA - Anti Money Laundring Act - mengubah wang haram.

Gagal dibentang tuntas

Justeru susuk-susuk itu memiliki kepentingan peribadi untuk bersama menandatangani SD menyokong Mahathir. Bayangkan susuk yang hampir mati lemas. Susuk itu akan menggapai apa sahaja termasuk saketul tahi untuk dijadikan pelampung menyelamatkan diri.

Menandatangani SD menyokong Mahathir ini bukan seketul tahi.

Akhirnya pada Jumaat 21 Feb ini Majlis Presiden PH akan bersidang. Anwar beratib mengatakan bahawa dalam mesyuarat itu nanti satu tarikh akan ditetapkan untuk Mahathir berundur.

Beratib, bermimpi dan berangan-angan bukan jenayah. Kita tengok nanti apa yang akan berlaku.

Walau apapun warga Palestin telah lebih dari 70 tahun dihura-harakan oleh keberahian Israel menakluk bumi Arab. Di Malaysia huru-hara oleh keberahian Anwar belum pun mencecah 70 tahun.

Dua tahun sesudah 9 Mei 2018, kemenangan PH telah dibajak oleh keberahian Anwar Ibrahim. Reformasi dan perubahan struktural gagal dibentangkan secara tuntas kepada rakyat.

Saban hari tak ada kisah lain, melainkan labun Anwar nak jadi PM kelapan.

Saban hari ada sahaja pelaburan dari Bursa Saham Anwar Ibrahim beratib: Bila Mahathir nak berudur? Bila Anawar akan jadi PM kelapan?

Ratiban dan tatapan itu wajib diselesaikan agar agenda kemenangan PH pada 9 Mei 2018 dapat dituntaskan.

Anwar ini jadi atau tidak jadi PM kelapan? Jawapannya ada di hadapan mata. Guru Nanak pun tahu. Ratiban dan hehoh-heboh tentang janji Mahathir terus kedengaran.

Mengikut surah yang dihebohkan, itu adalah janji PH. Maka ada molek untuk kita semua melihat apakah janji itu.

Dari dokumen muafakat PH yang ditandatangani pada 6 Jan 2018 oleh empat pemimpin parti Bersatu, DAP, PKR dan Amanah, amat jelas ditulis bahawa Anwar adalah calon perdana menteri.

Malah tidak ada tarikh bila pencalonan itu ditutup. Ini bererti Dolah Sani atau Nik Nazmi pun boleh menjadi calon perdana menteri. Sesiapa saja boleh mencalonkan diri untuk menjadi PM kelapan.

Selamat mencalonkan diri. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen