malaysiakini logo
story-image
ADS

Arwah bapa saya ialah seorang guru agama lulusan sekolah pondok. Almarhum bapa mengajar di masjid-masijd sekitar kampung, dan pada sebelah petang beliau mengajar di sekolah agama yang pada waktu itu dipanggil "sekolah Arab". 

Sambil itu, almarhum berbendang bagi menampung kehidupan kami sekeluarga.

Di kampung, almarhum bapa saya lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Sulam.

Semasa zaman reformasi, almarhum agak aktif dalam program parti tetapi jarang sekali beliau berceramah. Sesekali, beliau memimpin bacaan doa yang diaminkan oleh orang ramai.

Kemudian, almarhum dilantik sebagai ketua urusan ulama kawasan. Setelah itu, dalam beberapa program parti, almarhum dipanggil "tuan guru". Sejujurnya, almarhum sendiri tidak selesa dengan gelaran tersebut, tetapi tidak pula beliau menghalangnya.

Secara tradisinya gelaran tok guru dalam masyarakat Melayu Perak atau di Kelantan, Terengganu dan Kedah diberikan kepada seseorang ulama yang mengajar agama dan mempunyai sekolah pondok serta anak-anak muridnya.

Ada ilmu yang mendalam

Dari segi bahasa, tok guru adalah panggilan bahasa perbualan biasa yang lahir daripada istilah rasminya, tuan guru. Istilah guru dipinjam daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud seseorang yang mengajar ilmu, mendidik dan pengasuh.

Dalam manuskrip Surat Pawang yang diterbitkan pada 1890 dan dikumpulkan oleh WW Skeat, istilah ‘guru’ merujuk nama seorang pendeta.

Dalam agama Hindu, guru merupakan simbol bagi suatu tempat suci yang berisi ilmu (vidya) dan juga pembagi ilmu. Seorang guru adalah pemandu spiritual atau kejiwaan kepada murid-muridnya.

Dalam tradisi Buddha pula, guru difahami sebagai pemandu muridnya berjalan menuju kebenaran. Oleh sebab itu, mereka memandang guru sebagai jelmaan Buddha atau Bodhisattva.

Guru dalam kedua-dua konteks di atas biasanya merujuk kepada para pendeta yang mempunyai ilmu mendalam dalam hal-hal kerohanian.

Namun dalam tradisi Sikh, posisi guru lebih penting lagi kerana salah satu inti pati utama ajaran agama itu ialah kepercayaan terhadap ajaran sepuluh guru Sikh.

Dan guru pertama ialah Guru Nanak yang juga menjadi pendiri ajaran Sikh.

Dalam tradisi Melayu, istilah guru banyak digunakan dalam ilmu persilatan dan ghaib. Hal ini ditemui dalam Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Pendawa Lima dan sebagainya. 

Sekiranya guru tersebut memiliki ramai pelajar dan mempunyai ketinggian ilmu persilatan dan ghaib, mereka dipanggil mahaguru.

Istilah guru juga ditemui dalam Hikayat Pelayaran Abdullah (1838) dan Hikayat Hasanuddin (1800). Ia memberi makna tidak khusus kepada ilmu persilatan sahaja tetapi lebih kepada orang yang mengajar ilmu agama.

Manakala dalam tradisi Melayu, seseorang yang mengajar agama, lazimnya diberikan panggilan ustaz atau guru agama. Namun istimewanya di Johor, mereka diberikan panggilan cikgu.

Bezakan MB baru, MB lama

Contohnya Cikgu Yassin, iaitu ayah kepada Muhyiddin Yassin, ialah tokoh agamawan Johor suatu ketika dahulu. Beliau tidak dipanggil ustaz. Begitu juga, ayah kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahudin Ayub. Cikgu Ayub ialah guru agama kerajaan di sekolah Johor. Beliau tidak dipanggil ustaz.

Di negara ini penyertaan golongan agamawan dalam politik kepartian bukanlah suatu yang asing. Bekas Menteri Besar Terengganu, Wan Mokhtar Wan Ahmad adalah tokoh lulusan Universiti al-Azhar. Oleh kerana penampilannya tidak berjubah atau berserban, masyarakat kurang melihat beliau sebagai agamawan.

Hal itu bukanlah aneh kerana sebahagian orang dalam masyarakat kita memang melihat agama dalam konteks luaran sahaja.

Berdasarkan sejarah penggunaan gelaran tok guru atau tuan guru sebagai gelaran yang memiliki nilai politik, ia bermula apabila Kelantan diperintah oleh PAS dengan bantuan Semangat 46 pada 1990.

Wan Abdul Rahim

Pada pilihan raya umum (PRU) 1990, jentera PAS Kelantan diketuai Cikgu Wan Rahim Wan Abdullah yang menjadi pengarahnya. Pada PRU berkenaan PAS mengadakan kerjasama politik dengan parti serpihan Umno yang diketuai Tengku Razaliegh Hamzah.

Pakatan itu dikenali dengan nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Menurut Cikgu Wan Rahim, PAS Kelantan pada masa itu memerlukan satu jenama baru untuk menteri besarnya bagi membezakan ia dengan menteri besar lama. Hal tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kelantan. Mereka berbincang dan berfikir untuk mencari pendekatan yang sesuai.

Mesyuarat kemudian bersetuju menteri besar baru Kelantan menggunakan gelaran tuan guru sebagai gelaran rasmi bagi menggantikan gelaran ustaz digunakan oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum itu.

Ada usaha tapi tak menjadi

Apabila gelaran berkenaan diangkat dalam mesyuarat dan dibawa mengikut saluran kerajaan, gelaran itu menjadi rasmi dan digunakan secara meluas.

Keputusan itu dibawa kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Hassan Yusuf, untuk proses pelaksanaan di peringkat kerajaan negeri. Seterusnya kerajaan negeri mengeluarkan poster menteri besar Kelantan yang meletakkan bersama gelaran Tuan Guru.

Langkah itu seterusnya diperkemaskan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan. Pendekatan ini sememangnya memberi impak sosial dalam masyarakat.

Sejak itu, panggilan Ustaz Nik Aziz sedikit demi sedikit berubah menjadi tuan guru ataupun - dalam bahasa biasa - dipanggil tok guru. 'Pangkat' tuan guru atau tok guru bukan sekadar panggilan atau penghormatan kepada ilmu yang dimiliki, tetapi menjadi identiti yang eksklusif.

Penggunaan gelaran dalam masyarakat adalah lebih memenuhi kehendak kelompok elit bagi membezakannya dengan kelompok-kelompok lain. Ini merupakan persoalan sesuatu kelompok yang sengaja mahu membina nilai-nilai dan identiti tertentu.

Nilai-nilai berkenaan ditanam dalam pemikiran pengikut, ahli serta penyokong mereka secara doktrinisasi yang berterusan.

Doktrin yang tertanam dalam pemikiran masyarakat atau sesetengah kelompok mudah membina pengaruh serta kekuatan dalam organisasi atau komuniti.

Doktrinisasi melalui pengenalan gelaran-gelaran tertentu tidak sahaja berlaku dalam kelompok agama tetapi juga terjadi pada kelompok-kelompok lain. Termasuklah dalam kelompok feudal, akademik, kerjaya dan sebagainya.

Sejak ada perubahan gelaran pada nama Nik Abdul Aziz, gelaran tok guru mempunyai nilai politik dan pengaruh tersendiri dalam parti. Lama-kelamaan, ramai ustaz dalam parti itu ditingkatkan nilai politiknya melalui gelaran tuan guru yang diberikan.

Ini termasuk usaha memberi gelaran tuan guru kepada presiden PAS suatu ketika dulu, Allahyarham Fadzil Mohd Noor, namun ia tidak menjadi.

Orang ramai dan pengikut beliau lebih selesa menggunakan gelaran ustaz saja berbanding tuan guru. Hal itu kerana, perwatakan beliau sendiri yang membebaskan dirinya daripada terikat dengan penampilan yang stereotaip.

Jika Ustaz Fadzil terus mengekalkan penampilannya dengan berjubah dan berserban pada setiap masa, nescaya gelaran tuan guru itu akhirnya akan melekat pada namanya.


DR MUHAIMIN SULAM ialah peneraju Gerakan Nusantara Melaka, aktivis budaya dan penulis buku serta esei.

Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen